Sunday, December 21, 2014


PELITA BELALANG DI OXFORD STREET LONDON

Semalam secara kebetulan aku berada di Oxford Street. Jikalau di Kuala Lumpur macam Jalan Tuanku Abdul Rahman ler. Zaman dulu-dulu siapa yang datang ke Kuala Lumpur tetapi tak datang ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, semacam tak sah lawatannya ke Kuala Lumpur. Sekarang tidak lagi begitu. Seingat aku sudah hampir lima tahun aku tak ke Jalan Tuanku Abdul Rahman walaupun aku tinggal di Shah Alam. ‘Takut’ nak ke situ. Jam.

Begitu jugalah keadaanya dengan Oxford Street di London. Jikalau tidak ke Oxford Street semacam tak sah pula datang ke London. Di sinilah tempat membeli belah yang paling ramai dikunjungi oleh pelawat dari seluruh dunia.. Tidak dapat aku nak membandingkan dengan tempat lain. Tidak ada tolak bandingnya. Berbanding dengan Paris atau new York atau Tokyo, aku merasakan bahawa ‘johan’ masih dimiliki oleh London. Penuh sesak . Setiap masa dan ketika kecuali jikalau pusat membeli belah tidak beroperasi. Sekiranya pusat membeli belah itu beroperasi 24 jam aku yakin pasti akan terus dikunjungi oleh pembeli dan pelawat.

Keadaan menjadi lebih sesak lagi apabila menghampiri hari Krismas. Macam kita nak menyambut Hari Raya ler. Setiap kedai dipenuhi dengan pengunjung. Bukan sahaja oleh penganut Kristian yang nak menyambut Krismas, malah yang nak ‘menyambut’ Hari Raya tahun hadapan pun ramai yang berada di sini. Ramai muka yang biasa dilihat dalam Persidangan Agung UMNO tempoh hari, sudah ramai yang berkunjung ke sini. Agaknya setelah ‘penat lelah’ berbahas di persidangan agung baru-baru ini, maka di London inilah tempat mereka berehat agaknya. Ramai sungguh…..

Pukul 4.00 petang sudah gelap di sini. Musim Winter sememangnya begitu. Cepat malam, lambat siang. Pukul 3.50 petang dah Maghrib. Subuh pukul 6.00 pagi. Semalam waktu Maghrib aku berada di Oxford Street. Dan dapatlah aku melihat lampu-lampu yang dipasang di merata-rata tempat di bandar London ini. Macam memasang pelita panjut menjelang Hari Raya.Aku perhatikan sepanjang Oxford Street, Regent Street dan sehinggalah ke Pinccardilly Circus memang dipenuhi dan dibanjiri oleh manusia. “Mengeghonyut!’ kata orang kampung aku.

Biasanya apabila melihat suasana yang sebegini pastilah aku teringatkan kampung aku. Teringatkan sanak saudara dan sahabat handai yang berada di kampung yang tidak berpeluang berada dalam keadaan yang aku rasai ini. Sedih jangan dikira. Aku hanya bersyukur kepada Allah yang dapat memberikan sedikit kebahagiaan sebegini kepada aku dan keluarga. Mungkin rakan-rakan aku di kampung mendapat kebahagiaan dalam bentuk yang lain pulak. Mungkin begitu ‘peraturan’ Tuhan….

Dan teringat juga aku kepada ‘pelita belalang’ di kampung apabila melihat kerdipan lampu nion yang berkerdipan di merata-rata tempat di persekitaran bandar London ini. “Pelita Belalang’ adalah pelita yang digunakan untuk menangkap belalang pada waktu malam. Orang kampung aku menggunakan panggilan ‘Menyuluh Belalang’.

Kegiatan ‘Menyuluh Belalang’ mungkin sudah pupus dan tidak lagi dilakukan oleh orang kampung walau di kampung mana sekalipun. Mungkin. Aku mengatakan begitu kerana kegiatan ‘menyuluh belalang’ ini dilakukan sekiranya ada  pohon Menerung yang tumbuh liar di bendang, menjelang antara musim menanam padi.

Penanaman padi dalam tahun-tahun 1950an adalah setahun sekali. Ini bermakna selama enam bulan sawah bendang akan ‘berehat’ sebelum penanaman padi bermula. Dalam masa enam bulan inilah berbagai ‘aktiviti’ boleh dijalankan di bendang. Di kawasan sawah yang lembap dan berpaya akan tumbuhlah pohon-pohon Menerung seperti di sawah berhadapan dengan rumah Opah aku.

Dan pada pohon Menerung inilah tempat belalang berpaut pada waktu malam terutama selepas hujan lebat. Dan pada ketika inilah orang kampung aku melakukan aktiviti ‘menyuluh belalang’ untuk dimakan. Dan pada malam-malam berkenaan akan kelihatan cahaya pelita orang kampung aku yang ‘bertaburan’ di bendang-bendang sepertimana yang aku saksikan di Oxford Street itu. Suasana ‘menyuluh belalang’ dilakukan beramai-ramai tidak kira tua atau muda. Kebiasaannya orang mudalah yang melakukan kegiatan sedemikian. Dan ditetapkanlah satu malam yang tertentu bagi mereka turun untuk ‘menyuluh belalang’ supaya suasana lebih menyeronokkan.

Kebiasaannnya pada petang sebelum ‘upacara menyuluh belalang’ dijalankan, para ‘peserta’ akan menyiapkan persiapan yang sepatutnya dibawa untuk menyuluh belalang. Sebuah balang yang ditutup dengan kain dimuncungnya perlu ada sebagai tempat menyimpan belalang berkenaan. Dan kain berkenaan perlu ditebuk lubang supaya senang memasukkan belalang ke dalam balang berkenaan ( supaya belalang senang dimasukkan dan tidak mudah pula keluar dari dalam balang berkenaan). Disamping itu tentulah memerlukan ‘Pelita Dahi’ ia iatu sejenis pelita yang diikat di dahi agar senang dan dapat melihat belalang dengan jelas. Dengan persiaapan demikian sudah dikira lengkap sebagai persiapan untuk menyuluh belalang.

Aku pun pernah berpengalaman ‘menyuluh belalang’ bukan sebagai ‘peserta’ tetapi hanya mengikut Wah (ibu saudara ku). Ramai juga yang ‘bertaraf’ seperti aku. Malah pada malam-malam yang ditetapkan untuk ‘menyuluh belalang’ lebih ramai golongan ‘pengikut’ daripada ‘peserta sebenarnya’. Memang menyeronokkan tertutama apabila melihatkan belalang ‘menyerah diri’ sebagai binatang bodoh untuk ditangkap oleh ‘predator’.

Dan ‘pesta’ menyuluh belalang akan berterusan sehingga larut malam dan ‘selagi balang tak penuh’. Maknanya mereka akan terus berada dibendang sehingga pukul 11.00 malam atau sehingga balang mereka dipenuhi dengan belalang. Tidak terasa penatnya disebabkan kerseronokan yang menyelubungi suasana demikian. Itulah antara  bentuk ‘hiburan’ bagi orang kampung aku pada ketika itu.

Hendak diharapkan untuk menonton ‘Drama Swasta’ ataupun “Akademi Fantasia’ jangankan TV, ramai penduduk kampung pada ketika itu yang tidak mampu memiliki radio. Termasuklah Atuk dan Opah aku. Dan sekiranya aku hendak mendengar lagu “Kota Melaka’ atau ‘Sebentuk Cincin’ maka terpaksalah aku pergi ke kedai Pak Man Ali kerana di situ sahaja ada radio berjenama “Phillip”.

Itu pun waktu siang. Pada malamnya aku berpeluang pula mendengar  radio Cik Kontak (jiran) yang memasang radionya dengan kuat. Itupun kalau Cik Kontak memasang radionya. Mungkin juga agaknya Cik Kontak memasang radio dengan kuat  untuk memberikan peluang jiran lain seperti Pak Ajid, Abang Zaidun, Wan Meriam, Pan Ngah Sepiah, Makcik Jah (Azizah) mendengar lagu  “Angin Menderu” yang juga tidak memiliki radio seperti Opah aku. Mungkin begitu….

Abuhassanadam
London
21 Disember 2014



1 comment: