Saturday, December 20, 2014


ANAK MUDA HARUS MEMERANGI PERASAAN TAKUT DIKALANGAN ORANG MELAYU

Kadang-kadang aku terfikir bahawa semenjak zaman berzaman orang Melayu sentiasa takut dan merupakan takut yang ‘tidak bertempat’. Maknanya sentiasa dalam ketakutan. Namun apabila dikemukakan soalan tentang apa yang ditakutinya maka jawapannya adalah berbagai-bagai. Dan kadang-kadang hampir tidak boleh diterima oleh akal dan fikrian.

Sudah agak lama aku memerhatikan keadaan orang Melayu yang sebegini. Semenjak zaman berzaman masih dalam keadaan ‘takut’. Namun tidak pula menampakkan usaha yang begitu gigih untuk mengatasi perasaan takut dikalangan orang Melayu itu malah diperkukuhkan lagi perasaan ‘takut’ dikalangan orang Melayu yang disemai dan disuburkan oleh pihak tertentu.

Aku merasakan bahawa anak muda generasi baru di Negara ini perlu mengorak lagkah melakukan sesuatu demi untuk meyakin dan melenyapkan perasaan takut dikalangan orang Melayu. Sekiranya tidak dimulakan oleh anak muda generasi baru, maka aku tidak dapat meramalkan sampai bilakah orang Melayu akan sedar dan boleh bergerak seiring dengan bangsa lain di dunia.

Aku tidak dapat menafikan tentang penampilan keyakinan diri yang sudah mula agak bertapak dilakangan orang Melayu, namun peratusnya agak kecil dan terlalu kecil. Kebanyakan orang Melayu masih lagi masih merasakan diri mereka ‘kerdil’ dan tidak berdaya apabila berhadapan dengan keadaan alam keliling yang mencabar. Yang anihnya ialah masih ramai lulusan university samada dari dalam atau dari luar Negara masih tidak menunjukkan keyakinan diri seperti kaum lain. Dengan lain perkataan orang Melayu masih dalam ‘ketakutan’.

Aku hanya berani mengemukakan andaian melalui pemerhatian dan tidak ada fakta akademik untuk menyokong apa yang aku katakan.

Aku berani mengatakan bahawa anak-anak zaman penjajahan yang belajar di sekolah Inggeris adalah merupakan ‘peneroka’ zaman yang berani dalam keadaan berbagai cabaran dan ancaman yang diterima. Bayangkanlah dalam keadaan dugaan yang berbagai-bagai anak sekolah zaman penjajahan terus berjaya melakar zaman mencapai cita-cita. Dalam keadaan yang miskin melarat, tanpa peralatan pembelajaran yang mencukupi anak-anak Melayu zaman penjajahan berjaya juga mencapai cita-cita sebagaimana yang diharapkan.

Dan yang paling penting sekali untuk dilihat dan dimenungkan oleh anak-anak muda zaman ini ialah kemampuan anak-anak  Melayu zaman penjajahan dapat bersaing dengan anak-anak kaum lain dalam keadaan yang sama rata. Tidak ada dasar ‘keistemewaan orang Melayu’ atau ‘Dasar Ekonomi Baru’ untuk menolong pelajar Melayu. Tidak ada bantuan daripada kerajaan British untuk memberikan apa-apa keistmewaan kepada pelajar Melayu. Sama rata dan sama rasa. Sekiranya tidak berusaha dan berjaya akan terus ketinggalan. Tidak ada siapa yang akan meratapinya.

Namun pelajar Melayu masih ada yang berjaya maju kehadapan walaupun ramai yang gagal dan tertinggal.

Persoalan yang ingin aku kemukakan ialah mengapa ramai juga pelajar Melayu pada ketika itu yang boleh berjaya dan bersaing dengan anak-anak kaum lain (Cina dan India) untuk mencapai kejayaan, tanpa ada bantuan dari pihak kerajaan British. Dan bukan sahaja di Negara sendiri, malah dapat mengatasi pelajar lain di university luar Negara. Mengapa?

Aku merasakan bahawa sudah sampailah masanya anak Melayu kurun ke 21 mengorak langkah meninggalkan’ amalan-amalan’ yang dirasakan kurang berfaedah demi kemajuan bangsa dan Negara. Anak-anak muda zaman ini perlulah memilih kegiatan-kegiatan yang perlu dilakukan sesuai untuk zaman yang dilalui kini. Dan agak penting juga difikirkan bahawa anak muda zaman ini perlu berani dan tidak diselubungi oleh perasaan ‘takut’ yang sentiasa diwar-warkan oleh golongan-golongan tertentu yang berkemungkinan mempunyai agenda politik yang terselindung.

Yang paling penting untuk disematkan dalam hati dan perasaan anak muda Melayu bahawa, kaum Cina dan India bukannya merupakan ancaman kepada kemajuan orang Melayu. Malah pada tanggapan aku sekiranya betul cara dan acuannya kaum Cina dan India mungkin boleh dijadikan rakan dan ‘pelengkap’ kepada kemajuan orang Melayu dan bangsa Malaysia. Aku amat yakin keadaan sedemikian akan wujud. Hanya menunggu masa dan ketikanya sahaja.Mungkin aku tidak dapat melihat dan ‘menikmati’ suasana demikian. Namun aku tetap berdoa dan mengharapkan sesuatu akan terjelma.

Orang Melayu terpaksa mengakui kelemahan yang ada padanya berbanding dengan kaum Cina dan India. Walau ditinjau dari segi apa pun orang Melayu masih ketinggalan. Namun tidak pula bererti bahawa orang Melayu tidak boleh maju dan berjaya seperti bangsa lain sekiranya usaha yang dilakukan sama dan setanding dengan usaha kaum Cina dan India itu.

Dari segi sikap, orang Melayu terpaksa mengakui bahawa orang Melayu tidak banyak berubah berbanding dengan orang Melayu zaman sebelum merdeka. Kenyataan ini juga boleh dipertikaikan. Namun itu merupakan satu persepsi. Zaman pentadbiran Dr Mahathir kelihatan usaha ke arah mengubah sikap orang Melayu tetapi akhirnya beliau sendiri menagatakan bahawa beliau juga tidak berjaya melakukan sepenuhnya.

Kini usaha sedemikian mungkin ada dilakukan tetapi semacam tidak ketara. Yang hanya nampak jelas ialah usaha menakutkan orang Melayu supaya sentiasa berwaspada terhadap anacaman terhadap bangsa Melayu dan agama Islam. Dan yang anihnya ialah apakah sememangnya betul ada dan wujud ‘ancaman’ sebagaimana yang dikatakan itu.

Anak muda Melayu yang progresif perlu mencari jawapannya.

Abuhassanadam
London
20 Disember 2014












No comments:

Post a Comment