Sunday, December 28, 2014

BANJIR MELAHIRKAN ‘THE UNSUNG HEROES’

Terus terang aku katakan bahawa aku begitu ‘terusik’ membaca artikel berjodol,” where is PERKASA/ISMA now! Regardless of race, Malaysians respond to calls for help’ yang tersiar dalam ‘Malaysia Chronicles’ bertarikh 28 Disember 2014. Aku begitu bangga sekali membaca kisah tentang anak muda bangsa Malaysia dari semua keturunan dan agama yang bertungkus lumus berusaha membantu mangsa banjir di Kelantan yang sudah tentunya bukan merupakan saudara mara mereka, bukan adik beradik mereka, bukan sama sebangsa dengan mereka, bukan seagama dengan mereka tetapi dengan tidak ‘memilih bulu’ mereka menghulurkan bantuan atas dasar kemanuasiaan. Syabas anak-anak muda Malaysia!

Dan sekiranya tidak disiarkan oleh Malaysia Chronicles, maka tidak ada siapa yang tahu mengenai kegiatan ‘the unsung heroes’ ini kerana kegiatan mereka bukan untuk ‘didendangkan’ sebagaimana yang kebiasaannya dilakukan oleh akhbar-akhbar arus perdana. Mereka tidak mengharapkan bahawa apa yang mereka lakukan itu untuk mendapat pujian ataupun mendapat liputan meluas melalui akhbar dan media elektronik sebagaimana yang kebiasaannya kita lihat.

Tentulah tidak terfikir di kepala manusia yang ‘waras’ fikiran seperti NGO-NGO yang sentiasa ‘memperjuangkan’ agama dan bangsa bahawa anak muda yang suka bermain jet ski boleh tampil kehadapan untuk membantu mangsa banjir dengan menggunakan beberapa buah jet skinya. Dikatakan bahawa Elisa Mohd Isa telah bersedia ‘mengorbankan’ cuti tahunannya untuk membantu mangsa banjir di Kelantan dengan menggunakan jet skinya. satu lagi innovasi dalam usaha menyelamatkan mangsa banjir yang mungkin belum terfikir lagi oleh pihak kerajaan Malaysia. Mungkin.

"There are so many advantages of using the jet ski. It can be used for surveillance, monitoring purposes and rescue efforts. It is also durable and can stand the strong current and better than boats…..We read about families who are still stranded at their homes because it's not accessible by boat or too dangerous by boat. I think we can help them using the jet skis," kata Elisa.Rupa-rupanya ramai lagi rakan-rakan ‘jet skinya’ yang akan turun ke Kelantan untuk membantu mangsa banjir yang terkandas.

Rakyat Malaysia pastinya berbangga dengan apa yang dilakukan oleh anak-anak muda ini yang ‘tidak pandai berdemonstrasi’ dan tidak juga terpekik dan terlolong kononnya memperjuangkan hal-hal yang berkaitan dengan agama dan bangsa, teapi sumbangan mereka terhadap golongan yang memerlukan amat terpuji. Inilah yang dilakukan oleh ‘heroes’ seperti Azizuddin Redzual Lu, Ahmad Natasha, Adi Hariez, Ally Hazran, Ahamd dan ramai lagi yang aku yakin merupakan dari keluarga elit di Kuala Lumpur tetapi perihatin tentang nasib golongan yang ditimpa bencana. Syabas!

Membaca artikel di atas membuatkan aku termenung memikirkan tentang berbagai perkara. Anak muda ini telah menunjukkan jalan bahawa sekiranya kita mahu menolong dan mahu menyumbangkan jasa bakti, tidaklah perlu kita menunjuk dan ‘mempamerkan’ apa yang kita lakukan kepada dunia. Dan tidak perlu pun mendapat ‘kebenaran’ dari pihak pemerintah sekiranya pertolongan kita itu ikhlas. Tidak perlulah memanggil RTM atau TV3 untuk mengambil gambar kita sedang menolong mengangkat barang untuk disampaikan kepada mangsa banjir. Tak perlu rupanya. Hanya kepada Allah sahaja diserahkan jasa bakti itu.

Dilihat dari sudut yang lain, peristiwa banjir yang diturunkanNya rupanya memberikan hikmah yang terselindung disamping berbagai-bagai ujian yang timbul ekoran daripada peristiwa banjir yang ‘menyerang’ beberapa negeri di Malaysia pada ketika ini. Yakinlah kita bahawa tidak semua ujian yang diberi oleh Allah itu membawa keburukan semata-mata tetapi terselindung disebaliknya hikmah yang perlu dihayati.

Ini berbeza dengan cerita ‘sour grapes’. Bukan sekadar untuk mengukuhkan keimanan kita supaya sentiasa bersabar tetapi menghasilkan kesan yang jauh lebih dari hakikat sedemikian. Jikalau diperhati dan diperhalusi, barulah kita sedar bahawa telah wujud sesuatu yang lebih bermakna dari sudut perpaduan bangsa-bangsa di Malaysia. Barulah disedari bahawa  segala usaha untuk memecah-belahkan perpaduan di negara ini ‘hancur berderai’ dan terus ‘dihanyut’ oleh arus deras banjir yang melanda.

Keadaan perpaduan dikalangan kaum-kaum di Malaysia sebelum ini adalah amat membimbangkan, terutama apabila berbagai-bagai isu sensitif yang membabitkan kaum dan agama terus menerus dimainkan oleh pihak-pihak yang amat tidak bertanggungjawab. Walaupun kesan daripada usaha penyebaran itu tidak berapa berkesan namun sedikit sebanyak boleh juga melunturkan usaha pemufukan perpaduan kaum di negara ini.

Banjir besar di Pantai Timur pada kali ini akan melenyapkan tanggapan banyak pihak terutama yang beranggapan bahawa orang Cina adalah merupakan ancaman kepada orang Melayu. Telah ‘didendangkan’ saban hari bahawa agama Islam terancam dan bangsa Melayu juga terancam. Tetapi dengan beberapa tindakan yang dilakukan oleh kaum Cina yang begitu mengambil  berat tentang keadaan mangsa banjir (yang sebahagian besarnya terdiri orang Melayu) telah hampir melenyapkan tanggapan demikian.

Cuma yang agak malang ialah tentang adanya sikap yang dikira bertentangan dengan adat orang Melayu ialah tentang adanya orang Melayu (mangsa banjir) yang menolak pemberian dan sumbangan dari golongan DAP ( yang dikatakan parti orang Cina!). Bagi aku ini merupakan perbuatan yang amat tidak disenangi oleh orang Melayu sendiri yang terkenal dengan sifat berbudi dan berbahasanya. Perbuatan sedemikian bukan sifat orang Melayu tulin. Dan dharapkan perbuatan sedemikian tidak menular kerana perbuatan sedemikian boleh dianggap paling biadab. Peribahasa Melayu menyatakan, “orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa”. Jelas sekali ‘ajaran’ orang Melayu itu.

Aku begitu yakin dengan masa hadapan Malaysia memandangkan kepada tindakan-tindakan anak-anak muda bangsa Malaysia yang masih perihatn dan bersedia untuk saling membantu antara satu sama lain tanpa memikirkan kaum dan agama. Aku begitu bangga dengan sikap anak-anak Malaysia yang amat sedar tentang tanggungjawab mereka utuk menyatu dan memajukan bangsa Malaysia.

Syabas anak-anak ku!......

abuhassanadam
28 Disember 2014


No comments:

Post a Comment