Saturday, December 13, 2014


PEMIMPIN UMNO KINI SEMACAM MENGKHIANATI ORANG MELAYU

Edmund Burke mengatakan,” The only thing necessary for the triumph of evil is for good men to do nothing’

Walau ditinjau dari segi apa sekalipun,’saham’ UMNO dalam  menggagalkan  pencapaian orang Melayu adalah amat besar disebabkan UMNO (BN) lah yang telah memerintah Negara ini lebih dari separuh abad. Tidak dinafikan orang Melayu telah maju berbanding dengan orang Melayu pada zaman penjajahan tetapi jika dibandingkan dengan bangsa lain (yang dahulunya juga di bawah sistem penjajahan) jelas menunjukkan yang orang Melayu di Malaysia memang agak terkebelakang. Tidak usahlah dibandingkan dengan Singapura, dengan Indoensia, Filipina pun aku anggap kita (orang Melayu) agak ketinggalan (walaupun aku tidak ada statistik yang jelas menyokong pandangan demikian). Malah apabila melihat pencapaian Vietnam  pun aku merasakan kita agak ketinggalan. Ini merupakan persepsi dan terbuka untuk diperbahaskan.

Mungkin tidak keterlaluan sekiranya aku katakan bahawa sebahagian besar ahli UMNO kini terutama pemimpin peringkat atasannya seolah-olah mengkhianati perjuangan orang Melayu berbanding dengan apa yang telah dilakukan oleh pejuang-pejuang UMNO lama yang benar-benar berjuang untuk memajukan bangsanya. Walaupun ini merupakan pandangan ‘ kedai kopi kampung’ namun perlu juga dinilai tentang kebenarannya.

Tidak pula aku menafikan seratus peratus bahawa pemimpin UMNO tidak memperjuangkan orang Melayu. Memang ada. Namun aku boleh ibaratkan sikap mereka adalah seperti lembu yang meragut rumput. Aku masih ingat ketika aku masih bersekolah rendah pernah juga menaiki kereta lembu (kepunyaan orang sikh untuk mengangkut barangannya) ketika pulang dari sekolah. Masih aku terbayang di mata bagaimana lembunya meragut rumput di tepi jalan sambil membawa kereta. Maknanya lembunya menjalankan dua ‘tugas’. Membawa kereta disamping meragut rumput ditepi jalan. Bagitulah analogi yang boleh aku gambarkan mengenai sikap setengah pemimpin UMNO kini.

Apabila tersentuh tentang ‘lembu’ tentulah tidak lari pemikiran kita tentang laporan Ketua Audit Negara mengenai projek lembu DS Shahrizat Abdul Jalil. Bukanlah hasrat aku untuk ‘menanahkan’ semula luka lama, namun apa yang menghairankan aku ialah sikap ahli wanita UMNO dan sikap pemimpin tertinggi UMNO yang terus menerus memberi kepercayaan kepada beliau untuk terus menerus memimpin satu sayap dalam UMNO. Bukankah dalam Islam sudah termaktub tentang criteria-kriteria yang perlu ada kepada seorang pemimpin sebelum seseorang itu dilantik sebagai pemimpin. Mengapa hal sedemikian tidak diikuti dan dipatuhi sedangkan perkara-perakara remeh seperti ‘memegang anjing’ diriuh-rendahkan’. Dalam hal sebeginilah para perwakilan UMNO dan kempimpinan tertinggi UMNO yang mungkin patut dipersalahkan.

Ekoran daripada peristiwa “lembu’ berkenaan, maka “Hang Nadim’ pula yang diambil tindakan dan dipersalahkan ( merujuk cerita Singapura dilanggar todak) takut kalau-kalau apabila ‘kanak-kanak’ ini besar nanti akan terlalu panjang akalnya dan menentang baginda Sultan. YB Rafizi Ramli yang menjadi mangsa dan dikenakan tindakan lepas satu demi satu, sedangkan jelas peribahasa orang putih pernah menyatakan, ‘ don’t kill a messenger’.

Maknanya bukan mereka ( pemimpin UMNO) tidak berjuang untuk memajukan orang Melayu tetapi lebih merupakan menjaga kepentingan diri. Persitiwa penolakan wang peruntukan RM 200,000.00 oleh pihak pembangkang (BN) di Selangor baru-baru ini memberikan contoh jelas bagaimana sikap mementingkan diri itu terserlah. Aku tidak tahu apakah alasan mereka menolak peruntukan sedemikian. Pada hakikatnya wang peruntukan itu adalah untuk pembangnan rakyat kawasan masing-masing dan bukan ‘habuan’ untuk keperluan wakil rakyat berkenaan. Yang menghairankan ialah mengapa mereka sanggup menolak sedangkan golongan inilah yang terpekik dan terlolong menyatakan yang mereka berjuang untuk rakyat….

Dan untuk menambah pelik lagi ialah sikap wakil rakyat pembangkang di Selangor yang tidak mahu kumpulan mereka dilantik sebagai ketua pembangkang. Bagi aku tindakan mereka itu merupakan tindakan yang paling tidak cerdik. Pada pemikiran rakyat terbanyak, khususnya di Selangor ialah untuk apa perlunya mereka berada di DUN Selangor. Bukankah untuk jadi pembangkang disebabkan parti mereka (BN) sudah tidak mendapat kepercayaan rakyat di Selangor. Untuk jadi pembangkanglah. Untuk apa mereka menerima elaun setiap bulan yang diberikan oleh kerajaan negeri itu. Memang aku tidak faham atau mungkin aku sudah tidak sesuai lagi ‘wujud’ dalam Abad ke 21 ini.

Rakyat sebenarnya memerhati keadaan sedemikian. Bukan sahaja tindakan-tindakan yang dilakukan oleh pemimpin UMNO di Selangor tetapi di seluruh Negara. Rakyat sebenarnya ‘makan hati dan memendam perasaan’. Ramai yang hanya mendiamkan diri membiarkan ‘si Luncai terjun dengan labu-labu’nya. Ada juga yang terus menerus ‘membakar diri’ seperti yang dilakukan oleh beberapa kerat pemimpin parti pembangkang. Namun disebabkan berbagai-bagai sekatan dan akta yang dikenakan oleh  kerajaan, maka teguran-teguran oleh pemimpin berkenaan seolah-olah hilang lenyap begitu sahaja. Sebaliknya diambil tindakan pula oleh pihak berkuasa menggunakan akta-akta yang tersedia.

Ahli UMNO yang tahu tentang ‘kerenah’ yang dilakukan oleh pemimpin mereka terus menerus membisu seribu bahasa. Mereka juga takut periuk nasi ditaruh pasir. Kenyataan Saudara Khairuddin yang mengatakan bahawa para perwakilan UMNO tidak berani menyuarakan tentang masalah IMDB di persidangan Agung UMNO akan mebuka mata masyarakat terbanyak, walaupun selama ini rakyat dapat mengagak keadaan sedemikian berlaku.

Masyarakat Malaysia bukan tidak memerhati apa yang berlaku dalam Persidangan Agung UMNO. Bukan anggota masyarakat tidak pernah menyoal diri tentang kesangsian mereka mengenai PAU yang berlaku pada setiap tahun. Ramai anggota masyarakat yang merasakan bahawa apakah tujuan persidangan itu diadakan sekiranya tidak langsung membincangkan tentang kepincangan dan mengatasi kepincangan seperti yang pernah dilakukan oleh PAU zaman-zaman 1960an dan 1970an.

Kita dengar kisah bagaimana perjuangan ahli UMNO zaman sebelum merdeka dan selepas merdeka. Di Persidangan UMNO tahunan itulah mereka menyuarakan hasrat untuk kemerdekaan dan di PAU sedemikian juglah mereka mendesak supaya ditubuhkan sebuah bank (Bank Bumiputera yang kini entah ke mana) untuk orang Melayu pada ketika itu dan di PAU jugalah mereka ‘menangis’ mengenangkan nasib orang Melayu dan mencari jalan bagaimana membelanya. Dan tidak pula mereka menjadikan PAU sebagai tempat memuji dan memuja pemimpin disamping memerhatikan gelagat ‘raja lawak’ yang sentiasa beraksi menghiburkan ‘penonton’nya.

Kenyataan Saudara Khairuddin yang mengatakan "A lot of them (Umno members) did not want me to make such a report, especially when it concerns a company which is closely linked with Umno……I want to make it clear to a few Umno leaders that this is the approach that Umno should take……The public's perception of Umno should change and the people must feel that Umno is responsible for all Malaysians and must become popular again," agak boleh menyedarkan ahli UMNO supaya tidak ditempelak oleh generasi terkemudian sebagai parti yang seolah-olah mengkhianati perjuangan orang Melayu.

Abuhassanadam
London
13 Disember 2014

No comments:

Post a Comment