KESAN BANJIR: ANTARA ‘WIRA’ DAN ‘WARNA MERAH’
BERSALUT LECAH
Melihatkan keadaan rakyat Malaysia mengahdapi
suasana banjir kini memberikan suatu
tanggapan bahawa sememangnya rakyat Malaysia mengamalkan apa yang
diperibahasakan sebagai ‘sakit sama sakit dan senang sama senang’. Amalan
tolong menolong yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia kini adalah suatu
fenomena luar biasa, satu kebanggaan yang harus dirasai oleh semua rakyat
Malaysia tidak kira samada dari keturunana Melayu, Cina atau India. Walau
apapun kesimpulan yang dibuat mengenai perpaduan dan perhubungan kaum di negara
ini, namun aku tetap mengatakan yang perpaduan rakyat Malaysia adalah teguh dan
utuh dan bukan senang untuk diroboh.
Kemunculan ‘wira yang tidak didendang’ adalah
merupakan perkara biasa dalam usaha rakyat Malaysia memberikan pertolongan kepada
mangsa banjir di Pantai Timur. Terlalu banyak cerita yang hendak diceritakan
terutama tentang kisah yang diluar dugaan pemikiran rakyat biasa yang tidak
menyangka akan terjelmanya pertolongan
sedemikian yang dihulurkan oleh golongan yang tidak diduga juga.
Maksud aku ada antara golongan ‘wira yang tidak
didendang’ ini adalah merupakan ‘sampah masyarakat’ pada anggapan setengah
golongan. Rupa-rupanya dalam keadaan yang memerlukan sebegini, golongan inilah
yang bertungkus lumus memberikan pertolongan tanpa memikirkan tentang dirinya.
Dan sebaliknya pula golongan yang kononya sentiasa ‘membela’ bangsa dan agama
tidak pun ‘menampakkan muka’ dikala rakyat amat memerlukan sumbangan mereka.
Mungkin itulah ragam dunia.
Banjir di Pantai Timur kali ini mengajar kita
berbagai perkara…..
Mangsa banjir di negeri-negeri yang dilanda
banjir harus sedar bahawa walaupun rakyat di negeri-negeri lain tidak mengalami
keadaan sebagaimana yang dilalui, namun simpati mereka terhadap mangsa-mangsa
banjir adalah dalam keadaan luar biasa. Walaupun ‘betapa berat mata yang
memandang, lagi berat bahu yang memikul’ namun sedaya upaya merek berusaha
membantu dalam apa juga usaha yang boleh dihulurkan.
Samada di masjid, di surau, di pejabat, di
padang-padang golf, di kedai kopi rakyat Malaysia, dari segenap lapisan
masyarakat dan tidak mengira kaum tampil membincang dan memikirkan bagaimana
hendak membantu mangsa banjir di Pantai Timur. Dan bukan sahaja mereka
merancang dan berbincang, tetapi telah menjalankan tindakan dengan mengumpulkan
wang dan barang-barang keperluan untuk mangsa banjir di negeri berkenaan.
Bukan sahaja hasrat membantu ini terhad kepada
golongan dewasa malah kanak-kanak pun turut memberikan sumbangan dalam usaha
yang semurni ini. Sekurang-kurangnya mereka tolong mengumpulkan barang-barang
makanan dan keperluan lain untuk dihantar kepada mangsa banjir. Aku amat bangga
melihatkan kanak-kanak yang menolong memasukkan barang-barang ke dalam kotak
untuk dihantarkan kepada mangsa banjir.
Yang menyedihkan pula ada terdengar kisah-kisah
bagaimana ada pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba ‘menangguk di air
keruh’, ia itu dengan cara melakukan berbagai bentuk penyelewengan ke atas
barangan yang dikhaskan untuk mangsa banjir. Mereka adalah seperti ‘Yu’ yang
mengambil kesempatan ketika ‘kapal pecah’. Golongan ini sengaja menanti peluang
yang serupa ini untuk mencari keuntungan diri sendiri.
Tidak kurang juga terdengar khabar berita tentang
kisah setengah VVIP yang ‘melarikan’ helikopter untuk kepentingan diri dan
mengenepikan tanggngjawab untuk membantu mangsa banjr yang amat memerlukan
perkhidmatan sedemikian sebagaimana yang diceritakan oleh seorang doktor yang
terpaksa bertindak bersendirian menyelamatkan pesakit kanser yang berada dalam
keadaa kritikal. Rakyat yang bukan sahaja mangsa banjir pastinya mengutuk
tindakan sedemikian yang dilakukan seseorang yang bergelar pemimpin.
Satu perkara ‘anih’ yang dapat aku perhatikan
dalam ‘mengharungi’ susana banjir di Pantai Timur ini ialah tentang kurangnya
penglibatan isteri-isteri pemimpin samada di peringkat negara atau negeri.
Mungkin ada tetapi mungkin media massa dan elektronik sahaja yang tidak
melaporkan tentang kegiatan para isteri pemimpin-pemimpin kita. Dan besar
kemungkinan para isteri memberikan pertolongan secara senyap tanpa didedahkan
melalui akhbar-akhbar atau TV.
Kehadiran para isteri pemimpin dalam menempuh
saat getir begini amat bermakna. ‘Sentuhan’ kasih yang sedemikian pasti akan
diingat dan tidak mudah akan dilupakan. Dan yang paling penting sekali ialah
‘sentuhan’ sedemikian akan menjadi ubat untuk mengubati hati yang duka lara.
Cukup bagi seseorang isteri VVIP sekadar memberikan senyuman dan memberikan
kata-kata semangat kepada serorang mangsa banjir berkenaan. Pasti akan menjadi
ubat yang mujarab.
Tetapi akan hancur luluhlah hati dan perasaan
mereka sekiranya mereka diketepi dan tidak dipedulikan…..
Kebiasaannya sekiranya sesuatu malapetaka di
negara ini berlaku menjelang sesuatu pilihanraya, maka akan kelihatan
‘kesibukan’ luar biasa yang ditunjukkan oleh pemimpin pemuda atau wanita
parti-parti yang bertanding. Ini amat berbeza dengan keadaan yang berlaku
diPantai Timur. Pada penglihatan aku melalui TV, tidak banyak ternampak
wanita-wanita yang bertudung merah yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir
berkenaan dan tidak kelihatan langsung kelibat pemimpin-pemimpin mereka untuk
untuk ‘menghias’ muka RTM atau TV3. Mereka
mungkin berada di mana-mana. Mungkin tudung yang berwarna merah yang selalunya
dipakai oleh mereka sudah bertukar warna disebabkan bergelumang dengan selut
dan lecah. Mungkin…..
abuhassanadam
1 Januari 2015
No comments:
Post a Comment