MENGINTAI KAK JENAB MANDI
Aku panggil dia Kak Jenab kerana jauh lebih tua
dari aku. Nama sebenarnya Zainab binti Din. Dan kebiasaannya orang kampung yang
begitu kreatif dalam hal ‘menukar’ nama seseorang. Apatah lagi jikalau yang
bernama Mat atau Muhammad. Akan adalah gelarannya. Dan yang anihnya aku
difahamkan keadaan sebegini berlaku bukan sahaja di kampung aku, malah berlaku
di seluruh negara. Maksud aku di kampung-kampung Melayu di seluruh negara.
Berbagai gelaran yang pelik-pelik diberikan kepada orang kampung dan tidak pula
menimbulkan kemarahan kepada sesiapa yang mendapat gelaran berkenaan.
Kak Jenab pada mata orang kampung dalam tahun
1950an sememangnya lawa dan cantik. Aku berkata begitu kerana mungkin pada mata
masyarakat Kurun ke 21, Kak Jenab tidak secantik sebagaimana pandangan
masyarakat tahun 1950an. Seeingat aku Kak Jenab sentiasa bersanggul dua.
Maknanya ada dua sanggul (rambut yang digulung dijadikan sanggul) di atas
kepala Kak Jenab. Untuk lebih tepat lagi sanggul Kak Jenab semacam tergantung
di atas tengkuknya. Kadang-kadang rambut Kak Jenab yang bersanggul dua itu
ditutup dengan selendang dan kadang-kadang dibiarkannya terdedah begitu. Itu
yang menyebabkan pemuda kampung pada ketika itu ‘mandi tak basah dan tidur tak
lena, makan tak kenyang’ kerana Kak Jenab.
Kaum wanita tahun-tahun 1950an jarang sekali
bertudung (menutup aurat) seperti wanita zaman sekarang.Jangan tanya aku
mengapa begitu keadaannya. Yang anihnya, lepasan sekolah arab (agama) pun tidak
bertudung apabila sudah tidak bersekolah. Yang bertudung seperti wanita
sekarang ialah golongan ustazah atau guru agama yang mengajar di sekolah Arab.
Di kampung aku yang bertudung pada ketika itu, seeingat aku ada dua orang saja.
Ustazah Rashidah ( Kak Sidah) dan Ustazah Jamaliah. Dua beradik. Mengajar di
sekolah Arab Pondok (Al Yahyawiyah – masih ada lagi sekolah berkenaan).
Jadi Kak Jenab tentulah tidak bertudung. Setahu
aku Kak Jenab hanya belajar setakat Darjah 5 sekolah Melayu saja. Lepas itu
‘duduk rumah’ ler. Tunggu orang meminang. Begitulah keadaan anak gadis kampung
pada ketika itu. Aku kenal rapat dengan Kak Jenab disebabkan dia belajar
mengaji dengan Wah (ibu saudara) aku. Lagi pun Kak Jenab adalah jiran kami
terdekat. Aku kata jiran terdekat kerana berkongsi telaga. Maknanya telaga
(perigi) yang digali oleh Atuk aku itu dikongsi oleh beberapa orang jiran
terdekat. Antaranya keluarga Kak Jenab.
Suatu hari Tokki Amat (pangkat atuk aku tetapi
masih muda remaja ketika itu) bersama dengan abang Saidin Ismail Romit dari
Kampung Pulau datang ke rumah Atuk aku. Aku pun hairan mengapa Tokki Amat
datang tergesa-gesa ke rumah aku dengan abang Saidin yang sememangnya tidak
pernah datang ke rumah aku, walaupun keluarga aku mengenali antara sama lain
dengan keluarga beliau.
Aku pula tidak bertanya Opah tentang kedatangan mereka. Tetapi
kedatangan mereka pada ketika itu aku anggap sebagai luar biasa sedikit. Lepas
menikmati rebus ubi bercolekkan kelapa bercampur dengan gula, Opah memberi
isyarat kepada mereka supaya pergi ke suatu ruang di tepi tingkap kerana kata
Opah ‘dari situ nampak jelas ke telaga melalui lubang kecil di tepi tingkap’.
Aku masih tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Opah dan apakah hasrat dan
tujuan Tokki Amat datang ke rumah.
Rupa-rupanya mereka hendak mengintai kak Jenab
sedang mandi!.....Tetapi mengapa pula mendapat ‘bantuan dan sokongan’ padu
daripada Opah aku. Malah Opah memberikan bantal lagi untuk lapik dada mereka
ketika mereka meniarap mengintai Kak Jenab mandi. Setahu aku ‘kerja’ mereka ini
tidak betul. Memang tidak sepatutnya mengintai orang mandi, pada fikiran aku
yang pada ketika itu berumur lebh kurang empat
atau lima tahun. Walaupun masih tidak mengerti, tetapi aku masih dapat
mengingati peristiwa berkenaan.
Tidak berapa lama kemudian, kelihatanlah kak
Jenab keluar dari rumahnya menghampiri telaga kami. Kebiasaannya begitulah ‘jadual’
Kak Jenab. Dia akan datang dua kali setiap hari. Pagi sekali dan petang sekali.
Waktu pagi untuk mandi pagi dan membasuk kain dan pada petangnya pula mandi
petang dan terus mengambil air sembahayang Maghrib. Pada ketika itu mana ada
air paip.Semua rumah di kampung aku pakai telaga. Dan ada yang berkongsi telaga
seperti telaga Atuk aku.
Opah terus memberi isyarat kepada dua orang
jejaka supaya bersedia mengambil tempat masing-masing. Sekali lagi aku pening
dengan gelagat tiga orang manusia itu. Opah dengan caranya, Tokki Amat dan
Abang Saidin dengan cara yang tersendiri. Yang aku pelik mengapa Opah
‘bersubahat’ dengam mereka untuk mengintai Kak Jenab mandi. Ini yang aku tak
faham. Dululah….Sekarang dah faham dah…….
Itulah caranya jejaka pada zaman itu mencari
jodoh pertemuannya. Dalam hal ini yang mencari jodohnya ialah abang Saidin yang
bekerja sebagai polis. Tokki Amat hanya sebagai rakan karib untuk menemani
abang Saidin. Dan Kak Jenab pula sudah sampilah masanya untuk bersuami. Jadi
kak Jenab sebagai bunga yang sedang mekar dikampung itu sudah sedia untuk
dipetik. Namun bukan sebarang kumbang untuk memetiknya. Maklumlah kecantikannya
menakutkan pemuda kampung untuk melamarnya.
Tetapi bagi abang Saidin yang bekerja sebagai
polis sudah barang tentu akan diterima lamaran sekiranya diajukan. Ini
merupakan peringkat awal ke arah melamar Kak Jenab. Yang hendak dilihat oleh
abang Saidin bukan Kak Jenab sedang mandi. Tak nampak apa pun disebabkan telaga
Atuk aku tu dipagari oleh daun kelapa. Lagi pun Kak Jenab dan semua orang
perempuan pada ketika itu mandi memakai kain basahan sampai ke dada. Memang tak
nampak apa…….
Kak Jenab tak tahu bahawa dia sedang diperhatikan
dengan penuh minat oleh bakal suaminya. Mengikut kata orang tua-tua (pada
ketika itu) amatlah elok mencari jodoh ketika bakal isteri kita berada di
telaga. Sejuk…Dan dengan demikian amat sesuailah strategi yang diatur oleh Opah
aku bagi abang Saidin.
Untuk mendapatkan pandangan ‘close-up’ Kak Jenab,
Opah mengatur satu lagi strategi dengan menuyuruh Wah (ibu saudara aku) pergi
memetik buah Ciku yang betul-betul berada di hadapan anjung rumah Atuk aku. Jarak
antara anjung rumah (dimana abang Saidin berada) dengan pokok Ciku tidak sampai
pun 10 meter. Dengan demikian dapatlah abang Saidin melihat wajah Kak Jenab
sepuas-puasnya.Wah kemudiannya meminta Kak Jenab untuk mengutip ciku yang
dikaitnya. Dan Kak Jenab tidak membantah ‘arahan’ dari guru Quraannya. Dengan
demikian dapatlah abang Saidin melihat secara ‘close-up’ wajah Kak Jenab.
Anak-anak zaman ini mungkinlah hairan membaca kisah sebegini. Mungkin tidak terlintas di kepala mereka langsung. Bagi mereka kini tidak perlu menunggu di telaga untuk bertemu kekasih hati. Apatah lagi dengan adanya peralatan komunikasi canggih lebih memudahkan perhubungan. Tetapi harus diingat peribahasa Melayu ada juga mengingatkan,' senang dapat dan senang juga terlepas'. Ikut cerita Kak Jenab seterusnya.
Anak-anak zaman ini mungkinlah hairan membaca kisah sebegini. Mungkin tidak terlintas di kepala mereka langsung. Bagi mereka kini tidak perlu menunggu di telaga untuk bertemu kekasih hati. Apatah lagi dengan adanya peralatan komunikasi canggih lebih memudahkan perhubungan. Tetapi harus diingat peribahasa Melayu ada juga mengingatkan,' senang dapat dan senang juga terlepas'. Ikut cerita Kak Jenab seterusnya.
Opah berjaya menjadi ‘matchmaker’ kerana tidak
lama selepas itu tepak peminangan telah dihantar ke rumah Kak Jenab. Dan bulan
Zulhijjah seterusnya, berlangsunglah perkahwinan antara Abang Saidin dengan Kak
Jenab yang terus kekal sehinggalah kedua-duanya meninggal kerana sakit tua.
abuhassanadam
2 Januari 2015
p/s
Kesemua nama yang aku sebutkan di atas sudah tidak ada lagi. Semoga roh
mereka ditempatkan bersama-sama dengan orang beriman. Amin…
No comments:
Post a Comment