Sunday, January 11, 2015

MALAPETAKA MENIMPA MALAYSIA: MUNGKINKAH ADA KESILAPAN PEMERINTAH?

Puas juga aku merenung dan mencongak tentang nasib malang yang menimpa  negara ku yang tercinta ini. Lepas satu malapetaka kesuatu malapetaka lain. Kisah kapalterbang hilang dan ditembak jatuh sudah cukup untuk membuatkan kita merasa hiba sehinggakan mahu rasanya kita ‘menyalahkan’ Tuhan yang menyebabkan nasib kita jadi begini. Dan dalam keadaan yang belum reda meratapi kehilangan pesawat, datang pula banjir yang mengikut kata orang tua-tua, merupakan banjir yang terbesar yang belum pernah berlaku lagi di Pantai Timur khususnya di Kelantan. Dan dalam suasana banjir yang memilukan itu, terhempas pula lagi satu kapalterbang yang ada juga kaitannya dengan negara kita.

Rakyat merenung jauh mengenangkan nasib malang yang menimpa. Apakah para pemimpin juga turut meratapi nasib malang yang menimpa ini atau sekadar mengalirkan ‘air mata buaya’ di hadapan kamera TV.

Ditinjau dari sudut budaya dan adat mana pun dalam dunia ini sesuatu perkara yang terjadi itu tentulah berpunca dari sesuatu keadaan. Dan jikalau ditinjau dari sudut sejarah Melayu, sesuatu keadaan malapetaka akan muncul sekiranya berlaku satu tindakan zalim oleh pemerintah terhadap rakyatnya. Dan tidak pula aku mahu menuding jari mengatakan yang pemerintah di Malaysia berlaku zalim terhadap rakyatnya yang menyebabkan terjadi dan berlakunya malapetaka seburuk ini. Hanya sekadar mahu merenung apakah ada juga kesilapan yang dilakukan oleh pemerintah sehinggakan kita menghadapi dugaan seteruk ini.

Ada serangkap pantun Melayu yang amat popular.

Telur itik dari Senggora,
  Daun pandan dilangkahi
Darahnya titik di Singapura
  Badannya terlantar di Langkawi

Ada kisah disebalik pantun ini. Ceritanya berkisar tentang pembunuhan seorang alim dari Pasai yang bernama Tun Jana Khatib. Puncanya ialah disebabkan cemburu buta raja Singapura pada ketika itu ia itu Paduka Seri Maharaja. Tun Jana Khatib telah dituduh cuba menunjukkan kesaktiannya (kepintaran ilmunya) di hadapan permaisuri Raja (isteri Paduka Seri Maharaja) ia itu dengan cara menilik sebatang pinang berhampiran istana sehingga terbelah. Atas asas itu saja maka beliau telah diperintah bunuh oleh Paduka Seri Maharaja. Kependekan ceritanya, setelah dibunuh hanya darahnya sahaja yang kelihatan ditempat pembunuhan sedangkan mayatnya terlantar di Langkawi.

Itulah kaitannya peristiwa ini dengan serangkap pantun di atas.

Tidak lama selepas berlaku peristiwa pembunuhan zalim Tun Jana Khatib itu berlaku pula satu malapetaka yang tidak diduga oleh rakyat Singapura pada ketika itu. Beribu-ribu ikan todak menyerang Singapura dari laut. Rakyat pada ketika itu mengaitkan peristiwa serangan todak ini dengan tindakan zalim pemerintah Singapura terhadap Tun Jana Khatib yang tidak berdosa. Itu merupakan balasan kepada rakyat ekoran daripada tindakan zalim pemimpin pada ketika itu membunuh rakyat yang tidak bersalah.

Selanjutnya ramai rakyat yang mati terkena tikaman todak dan pemerintah Singapura telah mengarahkan agar rakyat Singapura menggunakan betis untuk mempertahankan tikaman todak berkenaan sehinggalah muncul seorang kanak-kanak bernama Hang Nadim yang mencadangkan digunakan batang pisang untuk mempertahankan serangan todak berkenaan. Bukan betis. Jasa dan pandangan Hang Nadim bukan dibalas dengan ucapan terima kasih dari pemerintah, malah telah dihukum bunuh oleh pemerintah, kerana pada anggapannya besar kemungkinannya kanak-kanak yang pintar begini pada suatu ketika ini akan menentang pemerintah dengan kecerdikannya.

Kesan daripada kezaliman membunuh Hang Nadim itulah rakyat Singapura menyimpulkan peristiwa itu dengan kedatangan Satnford Raffles dan tentera Inggeris yang terus menawan Singapura daripada Kesultanan Johor. Sehingga kini Singapura terlepas daripada cengkaman Kesultanan Johor.

Terdapat banyak lagi kisah-kisah dalam sejarah Melayu yang menunjukkan tentang kezaliman dan kegiatan fitnah memfitanh yang berakhir dengan pembunuhan zalim. Kisah Mahsuri di Langkawi yang dihukum bunuh disebabkan dendam kesumat yang tidak kehabisan dikalangan pembesar pada ketika itu telah melahirkan ‘sumpah mahsuri’.

Walaupun sukar untuk dipercayai cerita dan kisah begini, namun kisah ini telah diturun temurunkan dari satu generasi ke generasi orang Melayu. Walaupun cuba ditepis dan ditangkis kebenaran kisahnya, namun pengajaran yang disampaikannya perlu diikuti oleh generasi kini. Dan kita tidak harus pula menolak mentah-mentah tentang kisah yang dipaparkan. Mungkin betul. Dan mungkin tidak betul. Dan mungkin juga kisah yang betul tetapi telah diubahsuai agar cerita-cerita asalnya lebih menarik. Mungkin.

Namun begitu yang penting bukannya kisahnya tetapi pengajaran yang disampaikannya agar membolehkan kita kini bermenung memikirkan sesuatu perkara.

Para pemimpin negara tentu boleh merenungkan dan memikirkan apakah terdapat kesilapan yang dilakukan dalam mentadbirkan negara ini sehinggakan berlaku keadaan malapetaka yang tidak pernah lagi berlaku sebelum ini di negara kita yang tercinta ini. Tidak perlu sesiapa untuk menunjukkan kesilapan itu kepada kita. Kesedaran itu pasti datang sendiri dan tentunya berusaha untuk memperbetulkan agar tidak berulang lagi.

Rakyat juga hendaknya sama-sama memikirkannya.

abuhassanaadam

11 Januari 2015

No comments:

Post a Comment