LEBIH MEMENTINGKAN PERPECAHAN DAN PERBALAHAN
DARIPADA PERPADUAN DAN KEMAJUAN BANGSA
Terdapat segkumpulan kecil masyarakat kita di Malaysia
pada hari ini lebih suka membincangkan tentang soal-soal yang boleh mencetuskan
perbalahan dan perpecahan daripada membincangkan hal-hal yang boleh membawa
kepada pengukuhan perpaduan dan lantas memajukan bangsa. Mungkin aku tersilap.
Mungkin ada yang menuduh aku seperti katak di bawah tempurung yang tidak
membuka mata ‘luas-luas’ melihat keadaan yang wujud kini. Mungkin betul
sangkaan mereka yang menududh aku bersikap demikian- tidak melihat betul-betul
tentang kamajuan yang dicapai oleh Malaysia. Namun ini adalah masalah persepsi.
Apa yang aku pandang dan aku rasa. Dan pada pandangan aku keadaan yang wujud di
Malaysia kini adalah tidak sebagaimana yang diharapkan.
Seingat aku masyarakat Malaysia tidak begitu
keadaannya. Cuma akhir-akhir ini saja yang berkeadaan begitu. Apabila aku
memperkatakan tentang perpecahan dan perbalahan, maksudnya bukan sahaja
perbalahan antara Melayu dan bukan Melayu, malah dikalangan orang Melayu juga
tidak kurang elemen perpecahannya. Aku tidak mendalami tentang perpecahan
dikalangan orang Cina atau orang India. Dan aku merasakan bahawa ‘lebih kurang
sama’ sahaja keadaannya.
Tetapi elemen perpecahan dan perbalahan ini
nampak jelas berlaku antara sebahagian kecil orang Melayu dan bukan Melayu.
Maksud aku sebahagian kecil orang Melayu yang mengamalkan sikap sedemikian
sedangkan majoriti orang Melayu di Malaysia tidak begitu. Jikalau mengikut kata
orang putih boleh dikatakan sebagai ‘the good news’. Dengan sebab itulah tidak
timbul perbalahan besar seperti yang seolah-olah diharapkan oleh sebahagian
kecil golongan masyarakat Melayu itu. Mereka seolah-olah mengharapkan
berlakunya keadaan seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969. Dan harapan ini akan
pastinya meleset disebabkan sebahagian masyarakat Malaysia kini sudah sedar tentang
kepentingan perpaduan dikalangan masyarakat Malaysia itu.
Yang merunsingkan majoriti rakyat Malaysia ialah
adanya sekumpulan kecil ini yang sentiasa mengganggu gugat keadaan kedamaian di
negara ini. Walaupun tidak mendatangkan kesan yang besar kepada status-quo
masyarakat namun sikap mereka seperti nyamuk itu pasti juga akan ‘menganggu
keharmonian malam sewaktu sedang tidur’
Sepatutnya golongan sedemikian memberhentikan
sikap yang sedemikian dan seharusnya menumpukan kepada soal-soal perpaduan dan
kemajuan bangsa. Aku merasa begitu sedih melihatkan keadaan ini yang berlaku di
negara kita yang tercinta sedangkan negara-negara lain di Asia Tenggara sedang
melakar kemajuan.
Aku terpaksa juga memetik statistik yang
diketengahkan oleh
Dato A Kadir Jassin dalam
artikelnya berjodol,’ Kita Mahukan Malaysia Yang Sejahtera’ bertarikh 17
Januari yang mana antara lain beliau menyataakan, “ Antara 31 Disember 2013 dan
29 Disember 2014 Bursa saham Pakistan naik 26.3% dalam mata wang nasional dan
(31.5%) dalam mata wang dollar. Bursa Indonesia naik 21.2% (18.5%), Bursa
Thailand naik 15.4% (15%). Bursa India naik 29.4% (25.6%), Bursa Singapura
naik 6.3% (1.5%). Bursa Malaysa JATUH 5.3% dalam mata wang ringgit dan JATUH
11.3% dalam mata wang dollar (Sumber The Economist 3 January 2015).
Apakah tidak terdetik walau
sedikitpun perasaan golongan ‘cari gaduh’ ini untuk merenungkan sejenak dan
berusaha mencari titik persamaan dan perpaduan dikalangan rakyat Malaysia
supaya dapat kita sama-sama bangunkan negara kita yang tercinta ini?
Sebenarnya kita sedang
undur ke belakang walaupun ramai pemimpin negara yang mengatakan kita sedang
menuju kemajuan yang bukan kepalang. Tak apalah. Itu pendapat dan pandangan
mereka. Hanya semalam, Menteri Perdagangan Anatarabangsa dan industri Malaysia
menyatakan yang Malaysia amat berjaya di
World Economic Forum di DAVOS. Aku bersyukur tetapi aku sangsi. Sepanjang
bulan Disember 2014, aku melihat iklan, ‘Endless Celebration in Malaysia’
tergantung pada bas-bas di kota London dan katanya kempen itu juga berjaya. Aku
bersyukur….
Dr. Mahathir cuba mengikut
jejak langkah Presiden Park Chun Hee dari Korea Selatan yang berjaya
membangunkan negara dan bangsanya dalam masa tidak sampai pun 30 tahun. Kita di
Malaysia cuba mengikuti jejak Korea dan Jepun dengan memperkenalkan konsep ‘Pandang
ke Timur’. Walaupun tidak begitu berjaya tetapi sekurang-kurangnya ada usaha
yang bersungguh-sungguh yang dilakukan untuk mencapai hasrat itu. Dan Malaysia
sudah mula digeruni pada ketika itu, dan hampir sama teraf dengan Hong Kong,
Singapore, Taiwan, Korea dll. Tetapi kini kita sudah ketinggalan jauh. Apakah
rakyat Malaysia tidak bersedih mengenagkan hal sedemikian? Apakah kita masih
lagi mahu bercakaran dan mempersoalkan isu remeh temeh daripada memikirkan
tentang kemajuan bangsa dan negara.
Aku merasakan bahawa
kebanyakan pemimpin di negara kita amat kurang membaca dan berfikir. Atau pun
kurang terlibat dalam percambahan fikrian peringkat antarabangsa, lantas
semacam tidak sedar apa yang sedang berlaku tentang kemajuan yang dicapai oleh
negara-negara lain di dunia yang dahulunya merupakan negara mundur dan tidak
berdaya. Misalnya apakah kita tidak sedar bahawa negara-negara seperti India
dan China yang dahulunya merupakan tergolong dalam negara-negara miskin dan
tidak membangun sudah boleh mengalahkan Amerika tidak lama lagi dari segi
pendapatan negaranya. Apakah kita tidak sedar yang negara Vietnam yang
merupakan sebuah negara yang baru ‘bangun’ selepas perang berkemungkinan juag
menjadi ‘anak harimau’ Asia tidak berapa lama lagi.
Malangnya kita masih
seperti ‘Mat Jenin’ yang berkhayal dan bermimpi serta berangan-angan yang suatu
hari rezeki ‘ akan datang menggolek dan
yang pipih akan datang melayang’. Seolah-olah orang Melayu amat berpuas hati
menerima bantuan BR1M yang ‘dihadiahkan’ oleh kerajaan Malaysia itu. Rakyat
luar bandar akan terus bermimpi dan mengingau tentang BR1M yang diterima itu
sedangkan orang lain merasakan nilaian wang sebanyak itu belum cukup untuk
membayar harga minum paginya bersama keluarganya.
Dan bagi golongan yang
sentiasa terpekik dan terlolong sentiasa mencari isu untuk ‘diperjuangkan’ agar
dapat menampung pendapatan daripada tindakan sedemikian walaupun tindakan
sedemikian boleh membawa kepada perpecahan dan perbalahan antara kaum dan agama
di negara ini. Seolah-oleh golongan sedemikian tidak peduli apa yang akan
berlaku kepada bangsa dan negara. Yang penting ialah kepuasan dan dapat juga
memenuhi keperluan untuk mendapatkan sesuap nasi pagi dan petang. Mungkin….
abuhassanadam
25 Januari 2015
No comments:
Post a Comment