Tuesday, January 13, 2015

SELAMA MANA KITA MAHU MEMBIARKAN IMEJ ISLAM TERCALAR

Tidak keterlaluan agaknya sekiranya aku mengatakan bahawa imej Islam agak tercalar kini dengan berlakunya beberapa tragedi di dunia yang betul-betul memberikan satu gambaran yang agak buruk kepada umat Islam keseluruhannya. Aku tidak mahu mempersoalkan betul tidaknya tindakan yang dilakukan oleh ‘pejuang-pejuang’ Islam  di Paris atau di pakistan atau di Nigeria. Yang aku persoalkan ialah ekoran daripada tindakan ‘pengganas’ (mengikut tafsiran akhbar-akhbar antarabangsa) ini telah memberikan satu gambaran yang cukup buruk kepada umat Islam yang tidak berdosa. Seolah-olah apabila disebut saja perkataan ‘pengganas’ maka akan dihubungkaitkan dengan orang Islam. Tentulah tidak adil tetapi yang sering melakukan keganasan di kebanyakan tempat kini adalah golongan yang menamakan diri mereka golongan Islam.

Salahkah agaknya sekiranya aku mempersoalkan tentang pembunuhan beramai-ramai di Nigeria ( lebih kurang 2000 penganut Islam) yang terdiri wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa telah dibunuh dengan kejam oleh kumpulan yang menamakan kumpulan mereka sebagai Boko Haram.

Kononnya Boko Haram merupakan kumpulan ahli Sunnah yang diasaskan pada tahun 2009 yang terpengaruh dengan gerakan Wahabi yang berjuang untuk menubuhkan sebuah negara Islam di Nigeria disamping bertindak untuk membenteras secara kekerasan segala usaha memodernkan (membaratkan) masyarakat Nigeria oleh pihak pemerintah Nigeria. Disamping itu mereka juga menentang tindakan pihak pemerintah dan  kroni –kroni mereka yang membolot kekayaan negara berkenaan. Dikatakan,’ Nigeria is Africa's biggest economy, but 60% of its population of 173 million (2013) live on less than $1 a day.[33][34][35] The sharia law imposed by local authorities, beginning with Zamfara in January 2000 and covering 12 northern states by late 2002, may have promoted links between Boko Haram and political leaders, but was considered by the group to have been corrupted.(Wikipedia)

Apakah wajar dan perlu mendapat sokongan daripada umat Islam lain seperti kita di Malaysia atas tindakan kumpulan Boko Haram yang tidak berperi kemanusiaan itu? Apakah ada di antara kita yang membabi buta memberikan sokongan di atas tindakan sedemikian. Apakah sudah hilangkah pertimbangan kita sebagai seorang manusia yang menyokong pembunuhan yang sedemikian sednagkan Islam tidak langsung menganjurkan pembunuhan sedemikian. Tidak pernah Nabi Muhammad menganjurkan tindakan sedemikian.

Dengan tindakan Boko Haram di Nigeria dan tindakan pengggans lain (yang dikatakan ada kaitan dengan golongan Islam) telah mencemarkan nama baik Islam yang dikatakan sebagai agama yang menganjurkan perdamaian antara manusia. Slogan ‘perdamaian’ yang dilaungkan itu adalah seperti ‘mencurahkan air di daun keladi ‘sahaja.

Setiausaha Agung OIC ( Organization of islamic Cooperation) Iyad Ameen Madani telah mengutuk serangan kumpulan Boko Haram dengan mengatakan,’ the leaders of the insurgents and their followers who perpetrate killing and destruction of properties should be aware that their activities have no place in Islam. He called on them to end these heinous acts which are indeed crimes against humanity’

The OIC Independent Permanent Human Rights Commission (IPHRC)  telah juga mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang dilakukan oleh pengganas terhadap pejabat Charlie Hebdo di Paris pada 7 Januari lepas yang menyebabkan kematian yang agak ramai warga Perancis. Walaupun serangan sedemikian dialaskan kepada beberapa sebab namun jelas menunjukkan bahawa serangan sedemikian tidak sepatutnya dilakukan yang kesannya amat buruk kepada imej Islam di dunia kini.

Disamping itu peristiwa demikian mengingat kita tentang pentingnya berwaspada dan berhati-hati mengamalkan konsep ‘kebebasan bersuara’ supaya jangan disalahguna kerana kesannya amat buruk. Ataupun mungkin  masih ada lagi golongan yang masih belum memahami konsep demikian.

Melihatkan keadaan yang semakin buruk dan membimbangkan ini, terutama dalam hubungan antara Islam dan bukan Islam di dunia, apatah lagi dengan adanya perhimpunan raksaksa yang dianjurkan di Paris kini, apakah tidak ada daya usaha dari pihak pemimpin Islam untuk mengadakan dialog dengan pemimpin-pemimpin dunia lain bagi mencari jalan untuk menyelesaikan ‘perbalahan’ yang agak kusut ini.

Nampaknya teori sebagaimana yang diketengahkan oleh Samuel P.Huntington dalam bukunya ‘The Clash of Civilization..” itu sudah semakin jelas dan nyata walaupun dipertikaikan oleh banyak pihak. Sekiranya diperincikan memanglah pertembungan ini bukan antara dua budaya yang belainan tetapi serangan yang dilakukan oleh pihak tertentu yang  tidak mendapat restu dan sokongan daripada penganut Islam sendiri. Dengan sebab itulah pemimpin-pemimpin dunia tyang masih waras tetap mengatakan bahawa ini bukannya merupakan serangan pengganas Islam sebagaimana yang sentiasa dilabelkan sebagai ‘Muslim terrorist’. Kehadiran beberapa orang pemimpin Islam dunia di perhimpunan raksaksa Paris menunjukkan dengan jelas yang pemimpin dunia Islam sememangnya mengutuk sekeras-kerasnya serangan bukan sahaja di Paris tetapi dimana sahaja di dunia ini.

Walau apa pun aku merasakan bahawa pasti ada pihak-pihak tertentu di negara dikalangan negara Islam yang boleh menjadi orang tengah untuk mendamai dan mententeramkan keadaan dunia ini. Sehingga kini Malaysia  masih dianggap oleh dunia Islam dan bukan Islam sebagai negara yang ditakrifkan sebagai ‘moderate’ dalam memelihara hubungan antara Islam dan bukan Islam.

Tidak mustahil DS Mohd Najib dan Saudara Anwar Ibrahim bergabung tenaga untuk mengambil dayausaha untuk menyelamatkan keadaan dunia kini yang ditakrifkan oleh Huttington sebagai ‘ the clash of civilization’ itu.

Tidak mustahil…..

abuhassanadam
13 Januari 2015


No comments:

Post a Comment