Monday, January 26, 2015

PANDANGAN TG HAJI HADI AGAK KETINGGALAN ZAMAN

Ekoran daripada timbulnya isu yang berkaitan dengan pilihanraya tempatan yang sedang hangat diperbincangkan kini, ternampak bahawa akhir-akhir ini sudah ramai kelihatan pemimpin di Malaysia yang dirasakan sudah tidak berapa sesuai ‘berada’ dan berperanan pada Kurun ke 21. Bukan sahaja Tuan Guru Haji Hadi Awang tetapi ramai lagi pemimpin-pemimpin dari kalangan pemimpin parti kerajaan yang sememangnya kelihatan  sudah tidak berapa sesuai. Dan yang anihnya pula golongan ini semacam tidak sedar bahawa mereka sudah agak jumud dan tidak diperlukan dalam zaman yang mencabar ini.

Yang anihnya mereka adalah seperti kata peribahasa Melayu bahawa seperti ‘hidung tak mancung dan pipi tersorong-sorong’. Mereka harus sedar bahawa budaya Melayu dan Malaysia sememangnya tidak sampai hati untuk menyatakan sesuatu secara terang-terangan, apatah lagi terhadap orang tua yang dikira pernah berjasa. Tidak sampai hati mereka untuk menyuarakan hasrat hati yang terpendam untuk menjelaskan sesuatu. Namun sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab seharusnya merasa sedar bahawa kehadiran mereka sudah semacam merupakan batu penghalang kepada kemajuan bangsa dan negara.

Umur bukan penentu seseorang pemimpin itu sesuai atau tidak berada dalam sesuatu zaman, tetapi yang menentukan relevan tidaknya seseorang pemimpin itu ialah cara berfikirnya. Pandangan dan pendapatnya. Falsafah perjuanganya. Pandangan dan pendapat yang diketengahkan kepada umum. Ramai pemimpin lama yang sudah agak lanjut usia tetapi cara berfikirnya adalah amat matang dan amat sesuai berada dalam Kurun ke 21 berbanding dengan setengah pemimpin yang masih muda ( dari segi umurnya) tetapi berfikiran seperti amat tidak sesuai berada di Kurun ini.

Ini yang harus difikirkan oleh sesiapa sahaja yang mahu menggelarkan diri sebagai pemimpin. Negara Malaysia kini memerlukan pemimpin sedemikian dan bukan lagi pemimpin yang hanya dahagakan kontrek dari kerajaan. Sudah begitu lama negara ini ditadbirkan oleh golongan yang kurang berkemampuan untuk mentadbirkan negara ini yang menyebabkan negara kita ini masih tidak dapat bangun seperti negara lain di Asia Tenggara ini. Dan kini ditambah pula dengan kemunculan pemimpin dari parti pembangkang yang diharapkan akan menjadi gantian kepada pemimpin kerajaan yang ada, tetapi rupa-rupanya tidak banyak berbeza dengan kedudukan yang ada.

Pandangan Tuan Guru Haji Hadi mengenai banyak hal akhir-akhir kini sudah menunjukkan bahawa pemikiran dan pandangan beliau sememnagnya sudah tidak relevan dengan keadaan kini. Maksud aku pandangannya dalam hal yang berkaitan dengan politik dan pentadbiran negara. Aku tidak mahu menyentuh tentang ketokohan dalam lapangan keagamaan yang aku faham sememangnya disitu kepakarannya.

Namun harus diingat baahwa kepakaran dalam bidang agama tidak semestinya pakar juga dalam bidang pentadbiran dan kepimpinanan politik. Mungkin Tuan Guru berjaya menjadi pemimpin parti PAS selama ini disebabkan golongan yang dipimpinnya kebanyakannya sealiran dengan cara berfikiran pada keadaan tertentu. Dan tidak sememstinya cara kepimpinan sedemikian bersesuaian dalam semua keadaan. Dan berkemungkinan keadaan kini telah berubah yang menyebabkan berlakunya perubahan juga dari segi kepimpinan dalam PAS.

Sekali air bah sekali pasir berubah. Jangan dipandang ringan perkembangan pemikiran anak muda kini yang akan mewarnai suasana politik Malaysia pada masa akan datang. Anak muda tahun-tahun 60an atau 70an tentulah berbeza dengan anak muda kelahiran 80an dan 90an dan apatah lagi anak muda generasi Kurun ke21. Sekiranya para pemimpin kelahiran 60an dan terus menerus menjadi pemimpin anak muda Kurun ke 21, jelas terbayang berkemungkinan akan menemui kegagalan juga akhirnya.

Para pemimpin samada dari PAS atau parti-parti lain yang seangkatan dengan pemikiran Tuan Guru Haji Hadi seharusnya merenung sejenak dan berfikir samada mereka bersesuaian atau tidak berada di tempat mereka berada sekarang ataupun sudah sampai masanya mereka berundur dan memberikan laluan kepada pemimpin muda yang lebih sesuai dengan zaman mereka. Contohilah pemimpin-pemimpin yang terdahulu saperti mana yang dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman yang menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Tun Abdul Razak. Bagaimana Tun Hussein menyerahkan tugasnya kepada Tun Dr. Mahathir Mohammed. Dan kesediaan Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi melepaskan jawatanya untuk DS Mohd Najib juga harus mendapat pujian dan sanjungan.

Maknanya penentuan dan penerusan seseorang pemimpin dan kepimpinannya bukan sahaja bergantung kepada suka tidaknya rakyat kepada kepimpinannya, tetapi juga harus dinilai sendiri oleh pemimpin itu samada sesuai atau tidak seseorang itu berada dalam zaman dan keadaan rakyat yang dipimpinnya.

Seorang pemimpin hebat adalah seorang pemimpin yang sanggup menyerahkan tapuk kepimpinannnya setelah didapat bahawa masa telah sampai untuknya menamatkan perkhidmatannya kepada rakyat. Dan amatlah terpuji sekiranya seseorang pemimpin turun dari takta ketika rakyat masih sayang dan menghormati beliau. Ringkasnya pemergiannya ditangisi dan bukan dibenci.

Tuan Guru Dato’ Nik Aziz mungkin boleh disifatkan sebagai contoh terbaik.

abuhassanadam

26 Januari 2015

No comments:

Post a Comment