HUBUNGAN KAUM YANG SEMAKIN LUNTUR
Kenyataan YDP Agung yang menyatakan bahawa baginda amat bimbang dengan keadaan hubungan
antara kaum kini sepatutnya mendapat perhatian ‘serious’ dari semua pihak
terutama para pemimpin di negara in. Kenyataan yang dapat dilihat sebagai ‘dari
hati ke hati’ itu amat perlu diambil perhatian dan dihayati oleh seluruh rakyat
Malaysia dengan tidak mengira keturunan dan agama.
Turut sama bimbang dengan keadaan yang meruncing
kini dalam hubungan antara kaum ialah golongan lama atau ‘orang lama’ atau
‘golongan pencen’. Golongan ini
sebenarnya tidak ‘lelap tidur memikirkan apakah akan terjadi kepada anak
cucu pada hari-hari kemudian sekiranya keadaan ini tidak ditangani dengan
serious dan berkesan. Mereka bimbang disebabkan keadaan sebagaimana yang
berlaku kini tidak pernah dilihat oleh mereka sebelum ini, semasa hayat
dikandung badan. Mereka tidak pernah mengalami keadaan sebegini ketika mereka
berhubunga antara satu sama lain. Mkasudnya antara satu kaum dengan kaum lain.
Tidak timbul perasaan ‘syak wasangka’ sepertimana kini.
Aku pun kadang-kadang termenung memikirkan
tentang apakah puncanya yang menyebabkan keadaan jadi begini. Dengan tiba-tiba
seolah-olah tahun 2013 dan 2014 semacam wujud keadaan ‘huru-hara’ yang tidak
menentu yang membabitkan soal-soal agama dan hubungan antara kaum di Malaysia.
Bolehlah aku menuding jari ( sekiranya aku mahu berbuat demikian) untuk
menyalahkan ‘orang itu’ dan ‘orang ini’ ataupun ‘golongan itu’ dan ‘golongan
ini’. Namun amalan tuduh menududh antara satu sama lain bukanlah suatu amalan
yang sihat sekiranya tidak ada bukti jelas yang boleh membantu kenyataan yang
sedemikian.
Dengan tiba-tiba orang bukan Islam tidak boleh
menyebut nama Allah yang kononnya hanya diperuntukan kepada orang Islam semata-mata.
Ada juga golongan yang mempertikaikan saranan ini. Saranan sebegini hanya wujud
pada awal Kurun ke 21 sedangkan apa yang aku pelajari dari guru agama aku ( Pak
Haji Sulaiman) di kampung tidak pula begitu. (Mungkin agaknya ilmu agama Pak
Haji Sulaiman tidak ‘sehebat’ pengetahuan para guru agama kini agaknya!!....)
Dengan tiba-tiba dan tidak semena-mena sudah
wujud pihak yang mempersoalkan tentang golongan pendatang. Ada yang
mempersoalkan tentang golongan pendatang dari China dan India dan ada juga yang
mengungkit pula tentang golongan pendatang yang datang dari Indonesia.
Dengan tiba-tiba juga sudah muncul golongan yang
kononnya ‘amat perihatin dan sentiasa menjaga kesucian agama Islam’ sehinggakan
sanggup menyerang siapa sahaja yang cuba menggugat kesucian agama Islam. Dan
sanggup ‘memikul kepala lembu’ untuk menyatakan keperihatinan dan kecintaan
mereka terhadap agama Islam, untuk diletakkan di tempat-tempat tertentu.
Dengan tiba-tiba juga wujud badan-badan agama
lantikan Kerajaan yang begitu ghairah menunjukkan keperihatinan mereka
sehinggakan mengambil tindakan atas perkara-perkara remeh dan membiarkan
‘dosa-dosa’ besar yang dilakukan oleh setengah pemimpin negara. Mereka lebih
berminat menunjukkan taring mereka kepada golongan lemah tetapi membiarkan
golongan berkuasa melakukan apa saja
yang amat bertentangan dengan kehendak agama.
Golongan lama atau golongan orang pencen di
Malaysia terus terpinga-pinga apabila dikatakan yang bangsa Melayu dan agama
Islam tergugat di negara ini. Golongan lama terus tertanya-tanya – ‘betul ke?’
atau ‘ia ke?’ Dan sehingga kini masih belum terjawab dan tidak tahu bagaimana
hendak menjawabnya sekiranya diajukan persoalan itu.
Orang lama berpendapat bahawa masalah perkauman
ini sebenarnya sudah ‘diselelsaikan’ setelah berlaku Peristiwa 13 Mei 1969.
Semua kaum di Malaysia seolah-olah mengakui ‘kesilapan’ kaum masing-masing yang
telah mencetuskan peristiwa 13 Mei itu. Setiap kaum seolah-olah insaf bahawa
ada sesuatu yang tidak kena yang menyebabkan berlaku peristiwa berkenaan.
Lantas setelah dapat ‘ditamatkan’ peristiwa berkenaan semua kaum ‘duduk semeja’
dan mencari penyelesaian tentang bagaimana untuk menyatukan kaum-kaum di
Malaysia.
Para pemimpin pada ketika itu berpandangan bahawa
kewujudan berbagai kaum di Malaysia sepatutnya digembelingkan untuk mencapai
sesuatu matlamat yang berfaedah demi untuk memacu negara ke arah sebuah negara
maju. Dan nampak kejayaannya selepas itu walaupun terdapat juga kesilapan dan
kesalahan yang dilakukan di sana sini. Namun usaha ke arah penyatuan rakyat
Malaysia kelihatan semakin utuh.
Sehingga awal Kurun ke 21, usaha murni kerajaan
untuk menyatukan rakyat Malaysia agak berjaya. Sekiranya dianggap sebaliknya,
tentulah DS Dr. Mahathir tidak merencanakan Wawasan 2020 nya pada awal tahun
1990an dahulu. Pastinya beliau yakin yang negara Malaysia mampu menjadi sebuah
negara maju melihatkan perpaduan dan kemajuan yang dicapai oleh kaum-kaum di
Malaysia pada ketika itu.
Kini kelihatan perpaduan kaum-kaum di Malaysia
agak luntur. Mungkin aku tersilap mengeluarkan kenyataan sedemikian. Keadaan
hubungan kaum kini agak berbeza dengan keadaan sebelum menjelangnya Kurun ke21.
Para pemimpin negara seharusnya cepat-cepat mencari punca yang menyebabkan
keadaan berlaku demikian sebelum kelunturannya merebak menjadi retak dan retak
menunggu belah.
Elakkan retak menjadi belah…..
abuhassanadam
22 Januari 2015
No comments:
Post a Comment