SELUAR KAHAR TERLONDEH
Aku ingin menyambung kisah aku mula bersekolah.
Darjah 1. Malay Boys School, Padang Rengas. Dalam bahasa orang putih. Sekolah Melayu
Padang Rengas ler. Tahun 1951.Kini sekolah itu telah bertukar nama. Sekolah
Rendah Tun Dr. Ismail. Masih ada lagi struktur bangunan lama tetapi telah
diubah suai. Dah tak macam sekolah lama. Itu yang ‘tak betul’nya. Sepatutnya
dikekalkan bentuk luarannya – keasliannya.
Aku hairan bagaimana pihak pentadbir University Cambridge, University Oxford dapat
mengekalkan keaslian wajah university berkenaan. Begitu juga apabila aku
berpeluang menghadiri kursus di University Prinston di Amerika Syarikat, bentuk
asal univesity berkenaan dikekalkan walaupun rekaan dalamannya sudah
dimodernkan mengikut zaman. Stanford dan Harvard juga mengekalkan bentuk lama. Dilihat
dari luar sememangnya tidak banyak berubah. Berbeza pula dengan SITC (Sultan
Idris Training College) bukan sahaja namanya telah berubah kepada UPSI
(University Perguruan Sultan Idris) tetapi bentuk bangunan lamanya juga sudah
banyak yang ‘hilang’ entah ke mana. (Akan aku tulis hal ini pada masa yang
sesuai kelak)
Yang penting kali ini aku nak meneruskan kisah
aku dalam Darjah 1 tahun 1951. Guru kelas aku ialah Cikgu Yunus Shamsuddin (bukan
Cikgu Samad yang mengajar aku dalam Darjah 3).Garang dan tegas orangnya.
Sememangnya guru zaman garang-garang belaka tetapi tetap disayangi oleh pelajar
(terutama setelah keluar dari sekolah)
Setelah aku renung dan aku telek, sebenarnya guru
zaman dahulu tidak mengajar untuk lulus peperiksaan tetapi mengajar anak
muridnya supaya menjadi ‘orang’. Maksudnya mereka adalah sebenarnya pendidik
yang mendidik manusia supaya menjadi insan yang berguna disamping memberikan
pelajaran supaya lulus peperiksaan supaya nanti dapat digunakan kepandaian
mereka untuk menjadi pendidik ataupun untuk bekerja di pejabat-pejabat
kerajaan. Seperti kata R.O. Winstedt bahawa tujuan British memberikan
pendidikan kepada anak Melayu ialah ‘supaya mereka boleh menjadi petani yang
berpelajaran daripada ibu bapa mereka’.Dan guru-guru pada ketika itu telah
menjalankan tugas mereka dengan ikhlas.
Apabila loceng cangkul dipukul dengan kuat maka
semua akan masuk kelas. Pada ketika itu mana ada loceng letrik macam sekarang.
Mata cangkul digantung di dahan pokok Cherry berhampiran dengan sekolah dan
mata cangkul itulah diketuk supaya mengeluarkan bunyi menandakan semua pelajar
mesti masuk kelas.Loceng hanya berbunyi beberapa kali saja satu hari. Ketika
masuk sekolah. Keluar rehat. Masuk kelas semula. Dan waktu pulang. Hanya empat
kali sahaja ‘loceng’ dibunyikan.
Seperti biasalah, ketua murid akan menyuruh semua
pelajar bangun dan mengucapkan ‘Selamat Pagi Cikgu’ kepada Cikgu Yunus. Agaknya
sampai sampai ke hari ini, itulah bunyi lagu dan iramanya pelajar-pelajar
menyampaikan ucap selamat kepada guru-guru. Kemudian Cikgu Yunus akan mengambil
kedatangan murid-murid. Dalam kelas aku pada ketika itu tak ramai. Tak sampai
pun dua puluh orang. Biasanya ramai yang tak datang sekolah. Cikgu Yunus
memanggil seorang demi seorang.
“Abdullah bin Zainun…”
“ Ada…” kata Dollah. Aku dengar Dollah adalah
sebagai akauntan di Majlis Perbandaran Ipoh, jawatan terakhirnya.
“Rashidi bin Sulaiman….”
“Ada” kata Di. Kini sebagai pesara guru.
“Jamal…”
“ Dia tak datang cikgu…dia nolong (menolong)
maknya noreh (menoreh) …’ kata kawan Jamal dari kampung Setor.
“Kahar….”
“Ada cikgu……” kata Kahar dengan suara yang agak
nyaring.
Begitulah seterusnya. Sehinggalah Cikgu Yunus
selesai mengambil kedatangan murid. Selepas itu Cikgu Yunus akan memeriksa gigi,
kuku dan daki dibadan. Seorang demi seorang. Dan biasanya semua murid
dikehendaki berdiri di atas kerusi sambil Cikgu Yunus memeriksanya. Cara cikgu
Yunus memeriksa kesihatan murid-murid bukan setakat ‘melepaskan batuk di
tangga’. Inilah kehebatan guru dulu-dulu.
Beliau tidak perlu tergesa-gesa untuk
mempercepatkan pemeriksaannya. Beliau tidak perlu bimbang, takut-takut sukatan
pelajaran tidak dapat dihabiskan. Beliau tidak perlu bimbang takut
murid-muridnya akan gagal dalam pelajaran. Dan yang paling penting baginya
ialah bahawa menjaga kesihatan ini adalah merupakan pendidikan yang amat
penting juga terutama dalam keadaan di bawah sistem penjajahan British.
Kadang-kadang Cikgu Yunus mengambil masa yanga
agak lama ‘memeriksa’ setiap seseorang murid. Aku yakin pada ketika itu tidak
seorang pun antara kami yang menggosok gigi sebelum datang ke sekolah. Gigi
kami putih bukan disebabkan digosok dengan berus tetapi disebabkan memakan
mempelam muda yang ‘berfungsi’ juga sebagai berus gigi yang menyebabkan gigi
kami agak bersih!........
Seingat aku mana ada berus gigi dan ubat gigi
pada ketika itu di Padang Rengas. Seingat aku pada ketika itu kedai Joo Onn
(‘supermarket’ pertama di Padang Rengas) belum lagi menjual berus gigi dan ubat
gigi. Dan sememangnya pun Cikgu hanya menasihatkan kami menggunakan berus sabut
dan arang untuk mencuci gigi. Ataupun menggunakan jari yang diselaputi arang
untuk mencuci gigi.
Tidak hairanlah kebanyakan gigi kanak-kanak pada
ketika itu ‘berkarat’ dan rongak. Ubat gigi berjenama seperti sekarang tidak
diperolehi. Cikgu Yunus akan memeriksa tentang kuku juga. Kebanyakan kuku kami
pada ketika itu panjang disebabkan tidak ada pengepit kuku untuk memotong kuku.
Aku ingat emak menggunakan gunting membuat baju untuk memotong kuku aku. Ada
yang menggunakan sabit rumput atau parang untuk memotong kuku. Lantas memotong
kuku tidak dapat dilakukan sendiri oleh kanak-kanak. Maknanya memerlukan
pertolongan orang tua.
Kemdudian Cikgu Yunus akan memeriksa daki di
tengkuk pula. Memang terdapat ramai yang berdaki di tengkuk disebabkan mandi
tidak menggunakan sabun. Jangankan sabun mandi seperti sekarang, untuk membeli
sabun ‘cap kapak’ pun setengah ibu bapa tidak mampu. Dan kebiasaannya sabun
‘cap kapak’lah digunakan untuk membasuh kain dan juga untuk sabun mandi. Ada
juga yang tidak mandi pagi. Sejuk. Maklumlah air perigi pada ketika terlalu
sejuk. Memang ‘bercinta’ untuk mandi pagi. Aku pun merasakan demikian. Namun
disebabkan paksaan Opah, aku terpaksa juga mandi pagi.
Cikgu Yunus kebiasaannya akan ‘berhenti lama’
apabila memeriksa Kahar. Kahar biasanya ‘serba lengkap’. Maksudnya badanya
berdaki, kukunya pun sentiasa panjang dan giginya jarang bergosok. Namun Cikgu
Yunus suka ‘bergurau’ dengannya disebabkan kenakalannya (dan tidak biadab
dengan guru). Tapi pada hari berkenaan Cikgu Yunus agak marah dengan Kahar
disebabkan Kahar tidak langsung membasuh selut lumpur di kakinya sebelum masuk
sekolah.
Kebiasaaannya kami membasuh kaki dulu di telaga
Pak Mansur dulu segala lecah yang melekat dikaki sebelum masuk sekolah.
Maklumlah dalam perjalanan ke sekolah terpaksa mengharungi sawah yang becak dan
kasut terpaksa dipikul. Hanya apabila sampai di sekolah dan setelah dibersihkan
kaki barulah kami memakai kasut. Dan ada juga yang datang ke sekolah berkaki
ayam. Tidak ada kasut langsung.
Seingat aku Kahar adalah antaranya yang datang ke
sekolah berkaki ayam. Dan secara kebetulan pada hari berkenaan dia tidak
langsung membersihkan kakinya yang penuh lecah itu, dan menyebabkan Cikgu Yunus
marah. Entah macam mana dalam kemarahan Cikgu Yunus itu, beliau terpegang
seluar Kahar yang hanya bertali-pinggangkan tali guni. Disebabkan agak kuat
pegangan Cikgu Yunus kepada seluar Kahar menyebabkan tali guni terputus. Apa
lagi, seluar Kahar pun terlondeh….
Nampaklah Anunya…………………
abuhassanadam
3 Januari 2015
Salam Pak Abu,
ReplyDeleteCerita ini mengigatkan saya waktu zaman kanak-kanak di kampung dulu sekitar tahun 70an...tidak ada letrik dan air paip; jalan becak dengan tanah merah; memotong kuku guna pisau; gosok gigi dan mandi guna sabut kelapa.
Ucin,
ReplyDeleteSememangnya itu hasrat saya melakarkan coretan sebegini untuk memberitahu kesusahan yang dialami orang terdahulu.
Pak Abu
kenangan mengusik jiwa
ReplyDeleteTerus kan bercerita Pak Abu
Nostalgia lama masih segar di ingatan
Four Wire,
ReplyDeleteDiharapkan anda semua terhibur disamping mendapat sedikit maklumat mengenai zaman itu.
Pak Abu
Salam Pak Abu,
ReplyDeleteApa jadi kepada Kahar ya?
Pandi,
ReplyDeleteBaru-baru ini saya makan 'setalam' bersama dia di rumah khenduri saudara saya.Tolong bagi feed-back. Sekiranya kisah sebegini sesuai saya akan buat banyak lagi 'research' untuk didedahkan kepada anak-anak semua.
Pak Abu