AJARAN ISLAM TIDAK BEGITU
Yang paling aku takuti ketika mengulas sesuatu
isu ialah yang berkaitan dengan agama Islam sebab aku sedar bahawa pengetahuan
aku tentang Islam ini amat cetek. Dan yang paling menakutkan aku lagi ialah
takut-takut dengan hujah yang aku kemukakan boleh menyebabakan aku
‘tergelincir’ daripada ajaran Islam sejati. Aku jadi murtad, munafik, dan
berbagai-bagai tuduhan yang boleh dilemparkan kepada aku. Paling aku takuti.
Tetapi soalnya apakah Islam tidak membenarkan
penganutnya untuk berfikir sekiranya apa yang dilihat dan diperhatikan
‘menerajang’ benaknya untuk mempersoalkan sesuatu. Aku faham bahawa Rukun
Islam, Rukun Iman dan apa yang tertulis dalam Al-Quran tidak boleh dipertikaikan.
Setuju. Tetapi apakah tindakan-tindakan yang dilakukan oleh penganut agama
Islam khususnya pendokong agama seperti tuan-tuan guru yang dirasakan tidak
sesuai dengan perkembangan kemanusiaan tidak boleh juga dipersoal dan
dipertikaikan.
Ketakutan yang sebegini mungkin berpunca daripada
cara pengajaran berkaitan dengan agama Islam itu disampaikan. Aku perhatikan
sehingga kini, sehingga saat ini cara penyampaian tuan-tuan guru tidak banyak
berubah berbanding dengan cara penyampaiannya ketika aku masih kecil-kecil
dulu.Tahun-tahun 1950an.
Telah diamalkan zaman berzaman, kebiasaannya selepas
menunaikan fardu Maghrib, para jemaah akan duduk bersila diruang tempat
sembahayang, bersedia untuk mendengar ‘pengajian’ (syarahan dari tuan guru).
Tuan guru selepas itu akan diperkenalkan dan seterusnya menyampaikan
syarahannya. ‘One way traffic’. Tidak ada soalan yang boleh ditanya sehinggalah
selesai walaupun syarahan yang disampaikan oleh tuan guru itu amat membosankan.
Tidak seorang pun yang ‘berani’ meninggalkan majlis ‘pengajian’ (walaupun
membosankan) takut-takut nanti dituduh ‘berdosa kepada tuan guru’.
Sampai kini itulah cara penyampaian ‘pengajian’
yang disampaikan oleh tuan-tuan guru di Malaysia. Seolah-olah apa yang
diperkatakan oleh tuan guru itu semuanya betul. Sepatutnya begitulah. Tetapi
segala kemusykilan tidak berani ditujukan kepada tuan guru. Takut berdosa…..
Teringat aku beberapa peristiwa pada ketika itu
yang aku rasa memang tidak kena dan tidak sepatutnya diamalkan oleh penganut
agama terutama oleh masyarakat Islam di kampung aku. Misalannya amalan membakar
kemiyan pada majlis khenduri arwah pada malam Jumaat. Adalah merupakan perkara
‘wajib’ berbuat demikian, sedangkan Islam tidak mewajibkan berbuat demikian.
Tidak ada siapa yang berani mempersoalkannya. Tidak tahu pula aku bila
berhentinya amalan demikian. Kini sudah tidak diamalkan lagi.
Aku terpanggil untuk memberanikan diri aku untuk
menulis hal-hal yang berkaitan dengan Islam ialah ekoran daripada peristiwa pembunuhan
di Paris yang membabitkan Charlie Hebdo ataupun Charlie Weekly dimana seramai
dua belas orang telah ditembak mati oleh penembak yang dikatakan penembak
beragama Islam.
Dan satu lagi peristiwa yang berlaku pada 17
Disember 2014 yang lalu sebagaimana yang kita ketahui telah berlaku pembunuhan
beramai-ramai pelajar-pelajar Islam di Pakistan yang ditembak mati oleh
pengganas Taliban. Seramai 145 pelajar Islam yang tidak berdosa terkorban
ditangan golongan saudara seagama Islam. Tentunya dua peristiwa ini amat
‘mengganggu’ fikiran siapa sahaja.
Berdasarkan peristiwa-peristiwa ini aku tidak
mahu mempersoalkan siapa salah dan siapa yang benar. Lagi pun bukan aku untuk
mempersoalkan isu sedemikian. Yang menghairankan ialah apakah itu saja jalan
penyelesainnya apabila berhadapan dengan masalah tertentu. Dan bukankah Islam
mengesyorkan konsep ‘musyawarah’, berbincang untuk menyelesaikan sesuatu
masalah. Mengapakah setengah penganut Islam megambil jalan pintas untuk
menyelesaikan apa juga masalah.
Yang membimbangkan kita juga di negara ini ialah
telah wujud ‘bunga-bunga’ yang boleh mencetuskan juga keadaan sedemikian
walaupun belum lagi berlaku keadaan sedemikian. Dan adalah menjadi tugas pihak
berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung keadaan sedemikian
merebak.
Menyentuh tentang peristiwa pembunuhan di Paris,
sememangnya apa yang dilakukan oleh Charlie Weekly ia itu selalu mempersendakan
tentang Nabi Muhammad sememangnya satu kegiatan provokasi. Tetapi apakah Islam
mengajar kita bahawa sesuatu provokasi yang diajukan kepada kita, maka
jawapannya adalah kekerasan – pembunuhan.
Pada 9 Oktober 2012, seorang gadis remaja bernama
Malala telah ditembak dari jarak dekat oleh pengganas Taliban di Lembah Swat di
Pakistan. Gadis yang tidak berdosa ini ditembak hanya sekadarkan beliau
menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap sesuatu isu yang berkaitan dengan
agama. Lantas beliau ditembak. Tetapi sebagaimana yang selalu dikatakan, ‘
pantang maut sebelum ajal’. Beliau kini terus menjadi jurucakap memperjuangkan
isu pendidikan dikalangan orang Islam.
Dengan berbagai perkembangan yang sebegini aku
khuatir imej Islam akan bertambah ‘gelap’ bukan sahaja dikalangan penganut
agama lain tetapi berkemungkianan juga anak-anak kita (yang beragama Islam)
yang mula berfikir tentang agama islam yang dianuti oleh mereka. Mereka mungkin
mempersoalkan kewajaran penganut Islam melakukan pembunuhan sedemikian. Keadaan
sebegini tentulah akan dikusutkan lagi dengan usaha yang berterusan oleh
musush-musuh Islam yang sengaja mencari jalan dan helah untuk memburuk-burukan
agama Islam.
Kita agak bernasib baik disebabkan sejarah
perkembangan Islam yang bermula daripada kelahiran Nabi Muhammad sehinggalah
Islam mencapai beberapa kejayaan diajarkan di sekolah-sekolah menengah di
Malaysia(Tingkatan Empat). Dengan demikian dapatlah pelajar-pelajar (Islam dan
bukan Islam) memahami bahawa ajaran agama islam bukan begitu. Nabi Muhammad
tidak mengajar pengikutnya berperangai begitu. Dan Islam melarang umatnya
berbunuhan sehinggakan Islam melarang membunuh walaupun tumbuh-tumbuhan.
Begitulah perihatinnya Islam tentang soal-soal kemanusiaan.
Malangnya satu perkembangan yang agak
membimbangkan kini di negara kita ialah adanya NGO-NGO yang memperjuangkan isu
yang berkaitan dengan agama dan bangsa di Malaysia. Ada yang mengatakan bahawa
Perlembagaan negara kita dan agama Islam sedang digugat. Ramai yang merasakan
tidak begitu. Ramai yang tidak faham mengapa dikatakan sedemikian sehinggakan
majority orang Islam sendiri yang secara senyap-senyap meraskan tidak bersetuju
dengan anggapan sedemikian.
Dan yang paling membimbangkan lagi ialah persepsi
yang sudah mula kedengaran dari kalangan orang bukan Islam ialah kecondongan
mereka untuk menyamakan gerakan sedemikian di Malaysia sama dengan kegiatan golongan
Taliban dan pengganas islam lain diseluruh dunia sebagaimana yang difahami
melalui pembacaan mereka. Memang betul orang Islam di negara ini tidak bersifat
demikian. Namun yang merunsingkan kita tentulah masalah persepsi.
Persepsi yang amat sukar untuk ‘dipadam-padam’.
abuhassanadam
9 Januari 2014
Katakan yang benar mengikut pengetahuan mu. Jangan sanggah kritik yang benar. Kita sentiasa berkembang. Luaskan ilmu pengetahuan dan maklumat. Persilakan teguran jangan takut.
ReplyDeleteSaudara Manshor,
ReplyDeleteKomen anda walaupun pendek menyebabkan saya terangsang.
Pak Abu