Sunday, January 4, 2015

“ADA MATA TENGOK, ADA TELINGA DENGAR’

Sudah lama aku perhatikan bahawa rupa-rupanya di Malaysia kini  rakayat  mengamalkan konsep ada ‘mata tengok, ada telinga dengar’. Maknanya rakyat Malaysia amat patuh kepada peribahasa Melayu supaya jangan menjaga tepi kain orang lain. Maknanya juga rakyat hanya ‘menjaga tepi’ kain sendiri. Rakyat tidak mahu peduli apa yang berlaku keada orang lain seperti kata peribahasa Melayu, ‘seperti enau dalam belukar’ yang hanya mementingkan ‘pucuk’ sendiri untuk mendapatkan cahaya matahari. Begitulah ibaratnya keadaan di negara kini yang rata-rata rakyatnya sentiasa mementingkan diri sendiri walaupun terdapat segolongan kecil rakyat yang perihatin dan mengambil berat juga tentang kesejahteraan orang lain.

Berbagai keadaan yang wujud di negara kita yang  dilakukan oleh para pemimpin kita yang dirasakan tidak sesuai dan secocok dengan kehendak rakyat terbanyak. Tetapi disebabkan begitu ramai yang mengamalkan – ‘ada mata tengok dan ada telinga dengar’- maka rakyat hanya memekakkan telinga dan memejamkan mata tentang segala kemungkaran yang wujud. Ada segolongan kecil rakyat yang sedar tentang wujudnya sesuatu kemungkaran, namun disebabkan oleh sesuatu keadaan  maka didiamkan sahaja.

Yang menyedihkan ialah ada juga sekumpulan rakyat yang bukan sahaja tidak menentang segala kemungkaran yang dilakukan, tetapi  mempertahankan tindakan setengah pihak dan mengiakan apa saja yang dilakukan walaupun bertentangan dengan norma-norma budaya di negara ini.

Rakyat bukan tidak tahu adanya pemimpin-pemimpin negara yang berbelanja secara ‘lavish’ sekali di pusat-pusat membeli belah terkenal samada di London atau di Paris. Kadang-kadang si pemimpin semacam tidak tahu dan sedar yang sebenarnya mereka berselisih bahu dengan salah seorang pengundinya dalam pilihanraya yang lepas. Cara mereka berbelanja amat menakutkan. Bermakna bukanlah kemampuannya untuk berbelanja sedemikian sekiranya berdasarkan kepada gaji dan elaunya. Persoalannya tidak ada pihak yang berani menegurnya. Masing-masing mengamalkan – ‘ada mata tengok dan ada telinga dengar’

Rakyat bawahan nampak tentang jenis kereta yang dipakai oleh setengah pemimpin yang jelas menampakkkan keadaan yang diluar kemampuannya untuk memiliki kereta berkenaan. Tetapi rakyat masih mengamalkan – ‘ada mata tengok dan ada telinga dengar’.

Rakyat yang merupakan pengundi seseorang pemimpin tahu bahawa rumah yang diduduki oleh wakil rakyat mereka bukanlah kemampuannya untuk memiliki rumah sebesar dan sehebat itu tetapi rakyat masih mengamalkan – ‘ada mata tengok dan ada telinga dengar’.

Rakyat tahu bahawa pemimpin mereka terlalu kerap makan angin keluar negara bersama keluarganya yang agak ramai. Rakyat tahu bahawa berdasarkan kepada elaun yang diterimanya, tentulah mustahil dapat berbelanja sedemikian rupa. Rakyat mendiamkan diri – ‘ada mata tengok dan ada telinga dengar’

Pendek kata apa saja yang dilakukan oleh pemimpin, rakyat tahu dan sedar tentang tindakan yang dilakukan, apatah lagi dalam zaman ‘amukan’ media sosial ini. Mereka boleh menjejak di mana Jet Perdana Menteri singgah dan mendarat dan siapa yang berada sebagai penumpangnya tatkala DS Najib berada di Kelantan bersama-sama dengan mangsa banjir. Mungkin ada menteri-menteri yang tahu hal sedemikian. Mereka tahu tetapi masih mengamalkan – ‘ada mata tengok ada telinga dengar’

Walaupun begitu kita rakyat Malaysia masih bernasib baik kerana rakyat Malaysia tidak mengamalkan –‘ada mata tengok ada telinga dengar’ – apabila melihat sebahagian besar rakyat Pantai Timur yang berdepan dengan banjir. Sememangnya kita amat berbangga apabila melihatkan segenap rakyat tidak kira bangsa dan agama bertungkus lumus memberikan pertolongan kepada mangsa banjir begi menyelamatkan harta benda yang boleh diselamatkan.

Yang agak ‘cacat’nya ialah ada juga terdapat pihak yang cuba ‘menangguk di air keruh’. Ada terdengar kisah-kisah di mana kumpulan-kumpulan tertentu mengambil kesempatan dengan cara mengutip wang dan barangan yang dikutip yang kononnya akan dibahagi-bahagikan kepada mangsa banjir tetapi sebenarnya mereka yang ‘merompak’nya. Dan ini merupakan satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab. Lebih buruk dari mereka yang mengamalkan, ‘ada mata tengok dan ada telinga dengar’.

Sampai bila agaknya masyarakat di negara kita bersikap sedemikian – ‘ada mata tengok dan ada telinga dengar’. Sampai bila agaknya rakyat Malaysia baru menghayati kenyataan Edmund Burke yang mengatakan,’ All that is necessary for evil to triumph is for good men to do nothing’. Sikap sedemikian ada juga kaitannya dengan sikap mementingkan diri seseorang itu. Mereka takut untuk ‘memeriksa’ tepi kain orang lain, takut kalau-kalau tepi kain sendiri pula yang dijaga oleh orang lain.

Rakyat Malaysia merasa bersyukur dengan wujud kumpulan perihatin yang teridiri dari 35 (dulu hanya 25) orang bijak pandai dan bekas pegawai tinggi kerajaan Malaysia yang merasakan sudah sampai masanya mereka menyuarkan sesuatu yang tidak kena yang dilakukan oleh kerajaan. Seolah-olah mereka sudah mengenepikan ‘falsafah’ – ‘ada mata tengok dan ada telinga dengar’

Kewujudan golongan ini negara kita kini amat tepat sekali. Tidak siapa yang boleh mempersoalkan yang kewujudan kumpulan ini untuk mencari kepentingan diri. Maksudnya untuk cari makan….Amat malang sekali sekiranya ada yang menuduh sedemikian. Mereka bukan merupakan kumpulan yang ‘melalak’ ke hulu ke hilir mencari sesuap nasi seperti yang terdapat disetengah kalangan NGO di  negara ini. Kewujudan kumpulan ini adalah sebenarnya untuk menyelamatkan negara. Dan pastinya mereka sudah sedar bahawa sekiranya mereka tidak bertindak sesuatu yang buruk akan menimpa negara yang tercinta ini.

Pastinya rakyat Malaysia, (kecualilah kumpulan NGO yang merasakan kehadiran kumpulan 35 ini akan menyekat ‘rezeki’ mereka) )  akan memberikan sokongan padu kepada usaha murni kumpulan yang dikatakan sebagai ‘kumpulan orang pencen’ ini. Dan kepada para pemimpin negara yang terdiri dari golongan yang jauh lebih muda daripada ahli kumpulan ini harus ‘mendengar’ apa yang ingin diperkatakan oleh kumpulan 35 ini. Tidak semestinya para pemimpin negara terus menerima dan mengikuti apa yang disuarakan oleh mereka. Sekurang-kurangnya ‘lihat’ dan ‘dengar’ apa yang ingin disuarakan.

Sekurang-kurangnya sudah wujud kumpulan yang bukan lagi mengamalkan ‘falsafah’ – “ada mata lihat dan ada telinga dengar’.

abuhassanadam
4 Januari 2015





No comments:

Post a Comment