Saturday, January 17, 2015

KHENDURI KAHWIN KAK JENAB

(Coretan kali ini adalah lanjutan dan sambungan daripada coretan sebelum ini yang berjodol ‘ MENGINTAI KAK JENAB MANDI’)

Dua hari dua malam khenduri kahwin Kak Jenab dengan abang Saidin. Meriah betul. Semua orang kampung  dijemput. Begitu juga dengan seluruh penduduk Kampung Pulau, (kampung abang Saidin Wan Romit). Jumlah penduduk kedua-dua buah kampung pada ketika itu kurang daripada tiga ratus orang (termasuk kanak-kanak). Pendek kata dua hari dua malam orang kampung aku boleh ‘tonggeng periuk’. Dapur tak berasap. Semuanya ‘makan tanggung’ di rumah Wan Minah (ibu Kak Jenab).

Khenduri kampung pada ketika itu semacam ringkas tetapi meriah. Jikalau dibandingkan dengan khenduri kahwin di Dewan Perdana Felda sudah tentulah seperti ‘jauh panggang dari api’. Tak usahlah dibandingkan. Namun jika diukur dari segi meriah dan keseronokan khenduri di kampung (pada ketika itu) aku berani mengatakan jauh lebih meriah dan lebih seronok khenduri di kampung lagi.

Lauk-pauk untuk hidangan pastinya ringkas. Kerbau pasti tumbang ( bagi orang yang agak berada seperti khenduri Kak Jenab). Disamping itu lauk pauk lain tentulah atas sumbangan orang kampung. Pak Cu Dinah (bapak saudara Kak Jenab) mesti menyumbang kelapa yang dipetik dari kebunnya. Percuma. Pak Mat Salleh pula mungkin menyediakan pucuk paku yang dipetiknya dari Bukit Cangkat Ponggin. Segala pucuk rebung diambil dari perdu pokok buluh di tepi Sungai Sauk, kerana di situ terdapat perdu buluh yang besar-besar. Kecuali daging kerbau, yang lain-lain adalah didapati atas sumbangan penduduk kampung dilakukan secara gotong royong.

Sebenarnya persiapan untuk khenduri Kak Jenab sudah bermula semenjak dua minggu sebelum majlis khenduri sebenar diadakan. Orang kampung aku panggil ‘Kendara’. Ketika ‘kendara’ saudara –mara Kak Jenab dan jiran-jiran terdekat (seperti Opah aku) sudah berada di rumah Kak Jenab hampir setiap hari, memberikan pertolongan agar tidak terdapat kecacatan pada majlis khenduri sebenar nanti. Kaum lelaki bertugas untuk membuat balai dan lepau dan pondok untuk masak memasak disamping mengacau dodol. Kaum wanita pula bertanggungjawab dalam hal masak memasak dan menghias rumah. Pendek kata selama dua minggu sebelum khenduri rumah Kak Jenab tidak ‘kering’ dengan orang kampung yang datang menolong. Konsepnya ialah sama-sama menolong dan sama-sama makan.

Kebiasaaannya dua minggu sebelum khenduri diadakan mulalah tuan rumah melakukan lawatan dari rumah ke rumah untuk menjemput khenduri. Aku pernah mengekori Opah aku menjemput orang kampung dari rumah ke rumah ketika khenduri kahwin Wah (emak saudara). Tidak ada kad jemputan. Semuanya secara lisan. Aku teringat bagaimana Opah menjemput orang kampung supaya hadir di khendurinya. Misalnya,

“ Zizah….kamu dah dengar aku nak khenduri kan….ini aku nak menjemput kamu semua dengan Samad (suami Azizah) dan anak beranak datang pada hari Sabtu lagi satu.Bukan Sabtu ini….. Sabtu lagi satu…..tak tahu lah ada makan ke tidaknya….air sejuk tu ada ler…..Jangan lupa!.....”

Begitulah bunyinya jemputan khenduri pada ketika itu. Penuh dengan sopan santun dan sentiasa merendah diri. Tarikh tidak penting kerana pada ketika itu ramai yang belum ada kalender di rumah. Dengan sebab itulah jarak antara jemputan khenduri itu dengan khenduri sebenarnya hanya dalam masa dua minggu sahaja. Bukan seperti keadaan sekarang. Satu bulan….!

Khenduri Kak Jenab akan berlangsung selama dua hari. Biasanya di kampung aku begitulah. Hari pertama adalah dipanggil ‘menghantar serah’ dan hari kedua barulah majlis pernikahan dan persandingan. ‘Menghantar serah’ sebenarnya pihak lelaki menyerahkan berbagai barangan untuk digunakan pada majlis khenduri. Barangan serahan termasuklah beras yang dibubuh dalam kampit beras berhias, kelapa berhias, dan hasil pertanian lain yang boleh digunakan untuk majlis khenduri.

Semua serahan ‘diarak’ beramai-ramai dan merupakan penyerahan secara rasmi barang-barang berkenaan. Aku masih ingat dan semacam masih terbayang-bayang dan ternampak barisan ‘penghantar serah’ yang berbaris dari Kampung Pulau (kampung abang Saidin, mempelai lelaki), melalui batas sawah padi (yang merupakan jalan raya pada ketika itu) untuk menuju ke rumah Kak Jenab. Dari rumah Kak Jenab memang jelas kelihatan rumah abang Saidin di Kampung Pulau di seberang bendang. Maknanya mungkin apabila abang Saidin tidak boleh tidur, merindui kak Jenab ( semasa bertunang) bolehlah beliau menghilangkan rindunya dengan melihat bumbung rumah Kak Jenab. Mungkin!.....

Apabila sampai di pertengahan perjalanan, lebih kurang setengah kilometer dari rumah Kak Jenab, rombongan ‘penghantar serah’ akan memasang mercun, memberi isyarat yang rombongan sudah hampir. Dan pihak pengantin perempuan yang menunggu perlulah bersiap sedia untuk menyambut ketibaan ‘penghantar serah’.

Sesampai sahaja mereka di rumah Kak Jenab, segala hantaran diletakkan di atas tikar yang dibentangkan di halaman rumah untuk dilihat oleh tetamu yang hadir. Bermacam-macam bentuk hantaran akan dapat dilihat dalam berbagai bentuk dan warna. Semuanya berhias. Jikalau kelapa yang dihantar, buah kelapa dihias dalam berbagai bentuk. Jikalau pisang dihantar, maka setandan pisang itu dihiasi juga. Begitulah seterusnya.

Majlis ‘Penghantar Serah’ berakhir dengan jamuan minum petang beserta dengan kuih muih yang dihidangkan. Hanya menunggu majlis pernikahan dan persandingan yang akan diadakan pada  hari esoknya.

abuhassanadam
17 Januari 2015


p/s  Mungkin kisah ini akan bersambung. Tetapi entah bila……

No comments:

Post a Comment