Wednesday, January 14, 2015

MURID MELAYU PILIH SEKOLAH CINA – PERISTIWA YANG MEMILUKAN

Jangan disalah-fahamkan apa yang aku akan katakan nanti. Bukan aku anti sekolah Cina, atau sekolah Tamil atau sekolah orang putih. Arwah bapak aku pernah berkata bahawa,’belajarlah ilmu apa pun (yang berguna) atau disekolah mana sekalipun, pasti mereka akan mengajar perkara yang baik-baik’. Aku ‘pakai’ nasihat bapak aku sampai sekarang. Dengan sebab itulah agaknya arwah bapak aku membuat keputusan untuk menyekolahkan kami ( aku dan adik perempuan aku) di sekolah orang putih ketika orang lain di kampung aku amat ‘takut’ untuk menghantar anak mereka ke sekolah Inggeris.

Seingat aku, sehingga menjelangnya kurun ke 21,terlalu sedikit ibu bapa Melayu yang menghantar anak mereka ke sekolah Cina dan hampir tidak ada (yang aku dengar) yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah Tamil. Sememangnya tidak terlintas di fikiran ibu bapa Melayu, pada ketika  untuk menghantar anak mereka ke sekolah selain daripada sekolah Melayu (kebangsaan) ataupun sekolah orang putih ( pada zaman penjajahan).

Tajuk muka hadapan akhbar ‘Sinar’ bertarikh 13 Januari 2015,” Seramai 6,800 murid Melayu memilih untuk belajar di 65 sekolah jenis kebangsaan Cina di Melaka bagi sesi persekolahan tahun ini’ amat mengejutkan. Bagi aku ini berita yang menggemparkan. Ada pihak-pihak tertentu yang mengatakan ini merupakan perkembangan positif. Mungkin jika dilihat dari aspek penyatuan  kaum.

Tetapi jika dilihat dari suatu sudut yang lain pula, ini merupakan satu tamparan hebat kepada pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia.  Kementerian Pendidikan seharusnya merasa malu dan aib dengan perkembangan kini yang pada aku seperti ‘halaLintar membelah bumi’. Dengan perkembangan yang menakjubkan ini aku merasa hairan tentang mengapa berlaku ‘penghijrahan’ beramai-ramai kanak-kanak Melayu pergi ke sekolah Cina. Itu baru negeri Melaka. Seramai 6,800 orang murid Melayu di Melaka ( sebuah negeri yang kecil) telah memilih sekolah Cina sebagai tempat menuntut ilmu. Bagaimana pula dengan keadaan di negeri lain. Di Johor bagaimana. Dan bagaimana pula di Perak dimana terdapat banyak sekolah-sekolah Cina. Di Penang, di Wilayah Persekutuan. Aku membayangkan tentang angka ratusan ribu murid Melayu yang mula belajar di sekolah Cina bermula pada penggal persekolahan tahun ini.

Dengan perkembangan ini memberikan gambaran bahawa seolah-olah sekolah kebangsaan sudah tidak menjadi pilihan ibu bapa di bandar. Bukan sahaja ibu bapa bukan Melayu yang sudah ‘melarikan diri’ daripada menghantar anak-anak mereka di sekolah kebangsaan ( kerajaan) malah ibu bapa Melayu juga telah memilih untuk tidak menghantar mereka ke sekolah kebangsaan. Perkembangan ini amat memilukan.

Menampakkan bahawa seolah-olah sekolah kebangsaan hanya untuk orang Melayu di luar bandar. Maknanya seolah-olah sekolah kebangsaan hanya untuk anak-anak peneroka Felda yang mana tidak terdapat sekolah-sekolah Cina di kawasan tanah Felda. Bermakna sekolah kebangsaan hanya untuk orang Melayu yang tinggal di pendalaman seperti di Kelantan, Terengganu, Kedah, dimana tidak terdapat banyak sekolah Cina. Maknanya sekiranya terdapat sekolah Cina, walau di mana sahaja, besar kemungkinannya mereka juga akan menghantar anak-anak mereka ke sekolah Cina.

Aku memilih untuk menyatakan perkara ini secara berterus terang disebabkan keseluruhan kehidupan ku, ‘hidup dan mati’ku adalah bergelumang dengan pendidikan negara. Oleh itu aku merasakan apa yang dirasakan oleh kerajaan dan rakan-rakan di kementerian Pendidikan kini adalah merupakan ‘denyut nadi dan jantung’ aku juga. Ibarat kata peribahasa Melayu,’ Cubit paha kanan, paha kiri terasa sakitnya’

Yang menghairankan aku ialah lambatnya kesedaran samapi ke ‘telinga’ pihak kerajaan dan perancang pendidikan di negara ini. Apakah mereka tidak ‘mendengar’ dan ‘melihat’ tentang ‘berduyun-duyun’nya anak-anak dari keluarga bukan Melayu meninggalkan sekolah aliran kebangsaan dan pergi belajar di sekolah Cina atau ke sekolah-sekolah swasta walaupun terpaksa membayaran yuran yang begitu tinggi. Kadang-kadang golongan bukan Melayu yang berbuat demikian dituduh sebagai tidak nasionalistik dan tidak patriotik kerana tidak menghayati aliran kebangsaan – maknanya tidak menghantar anak-anak mereka di sekolah aliran kebangsaan.

Tetapi apabila ramai dari keluarga Melayu yang berada dibandar-bandar besar sudah mula menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah Cina dan ke sekolah-sekolah swasta berbayar, maka perspsi kita juga turut berubah. Tentulah ada sebab-sebab tertentu yang menyebabkan mereka berbuat demikian. Tentulah ibu bapa (dari golongan elit) ini sedar dan mempunyai alasan tertentu mengapa mereka berbuat demikian. Mungkin mereka sudah hilang keyakinan kepada sistem pendidikan kebangsaan kita, lantas mereka menghantar anak-anak ke sekolah-sekolah swasta. Mungkin.

Untuk menambahkan lagi kerunsingan kita ialah tentang ‘berduyun-duyun’nya keluarga berada di bandar-bandar besar (yang terdiri dari keluarga Melayu dan bukan Melayu) yang sudah mula memilih aliran International General Certificate of Secondary Education (IGCESE) dan meninggalkan terus aliran kebangsaan (KBSM). Apakah pihak kerajaan tidak sedar tentang pertumbuhan sekolah-sekolah swasta yang menawarkan aliran IGCESE yang ibarat seperti tumbuhnya cendawan selepas hujan itu. Apakah pihak bertanggungjawab masih memejamkan mata dan memekakkan telinga dengan perkembangan itu.

“Isyarat’ yang macam mana lagi yang diperlukan oleh pihak bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu perubahan demi untuk memperbaiki sistem pendidikan negara kini. Walaupun ada yang mengatakan bahwa sistem pendidikan negara kita bertaraf dunia dan bertaraf global, maka mungkin itu hanya merupakan satu ‘pujukan’ untuk memujuk hati dan perasaan yang duka lara. Ataupun mungkin hanya untuk ‘syok sendiri’ sahaja. Dari segi realitinya, sistem pendidikan negara kita mengalami keadaan yang sedang luka parah mengikut pandangan ramai orang.

Mungkin aku tersilap membuat andaian sedemikian. Tetapi sekurang-kurangnya aku sudah menyuarakan perasaan hati yang turut duka lara melihatkan sistem pendidikan negara kita kini.

Akhirnya ingin benar rasanya  aku nak tahu berapa ramaikah anak para Menteri Kabinet Malaysia yang menghantar anak atau cucu mereka di sekolah kebangsaan? Statistik sedemikian akan memberikan jawapan yang sebenarnya tentang keadaan sistem pendidikan di negara kita.

abuhassanadam
14 Januari 2015


4 comments:

  1. Sekolah Kebangsaan dipolitikkan. Sekolah Aliran Cina pula amat fokus pada pendidikan. Ramai guru-guru sekolah Cina adalah terpilih dan professional dalam mendidik anak-anak kita. Jadi memanglah ramai Melayu pilih pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka, yakni, dihantarlah ke sekolah Cina.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Apa bukti kajian yang menunjukkan bahawa sekolah Cina amat fokus pada pendidikan. Adakah yang dimaksudkan bahawa sekolahCina amat fokus kepada peperiksaan kerana pelajar-pelajar sekolah cina lebih banyak mendapat keputusan cemerlang di sekolah Cina berbanding pelajar-pelajar di sekolah kebangsaan? Guru-guru sekolah cina lebih profesional, apa bukti kajian yang menyokong pendapat anda ini? Sebaiknya cuba anda tinjau bagaimana situasi di sekolah Cina dari segi infratsruktur dan kemudahan pembelajaran berbanding yang ada di sekolah kebangsaan. Tinjau juga amalan disiplin terhadap pelajar-pelajar yang dilaksanakan di sekolah Cina berbanding di sekolah kebangsaan!

      Delete
    2. Hujah saya dibentangkan melalui pengamatan saya selama ini yang bekerja sebagai guru sampingan di sekolah kebangsaan dan sekolah Cina. Memang sekolah Cina mempunyai banyak kelebihan. Jikalau tiada kelebihan, kenapa ramai Melayu hantar anak2 mereka ke sekolah Cina? Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang?

      Delete
    3. Terlalu rapuh hujahnya.
      Mungkin cikgu mempunyai hujah yang lebih comel dan indah

      Delete