Wednesday, January 7, 2015

CONGAK

Mengikut Kamus Dewan, ‘congak’ bermaksud hitungan yang dibuat dalam kepala (tidak dengan menulis pada kertas atau tidak dengan menggunakan alat pengira). mencongak 1 menghitung atau me­ngira dalam kepala. 2 mengangkat kepala (muka) ke atas; mendongak. 3 mengagak-agak; menduga.

‘Congak’ yang akan aku kisahkan ialah mengenai satu mata pelajaran yang berkaitan dengan Matematik. Zaman dulu-dulu Matematik dipanggil ‘Ilmu Hisab’. Entah mengapa dipanggil ilmu hisab tidak juga aku tahu. Entah apa yang ‘dihisab’ juga dluar pengetahuan aku. Tetapi mengenai mata pelajaran ‘Congak’ aku merasakan dipanggil demikian disebabkan murid-murid terpaksa berfikir, mencongak untuk mendapatkan sesuatu jawapan.

Entah bila ‘tamatnya’ pengajaran Congak disekolah juga tidak aku ingat. Yang aku ingat, zaman aku mula-mula bersekolah dulu, sememangnya ada mata pelajaran ‘Congak’. Tiap-tiap hari Cikgu Yunus ketika berada dalam Darjah 1 mengadakan ‘congak’ kepada murid-murid darjah 1. Aku tidak pula dapat mengingati samada ‘Congak’ diadakan atau tidak untuk pelajar Darjah tiga dan ke atas. Seingat aku, apabila aku berada dalam Darjah Dua masih lagi ada ujian yang berbentuk Congak.

Setelah selesai memeriksa gigi, kuku dan daki di badan, maka Cikgu Yunus memulakan pengajarannya dengan ‘Congak’. Mental Arithmatic kata orang putih. Murid-murid disuruh berdiri. Lagi sekali berdiri. Ketika dia memeriksa gigi, kuku dan daki sememangnya murid-murid disuruh berdiri. Cikgu Yunus menyuruh murid-murid berdiri mungkin juga sebagai satu galakan supaya murid-murid menjawab soalan dengan tepat dan segera. Ataupun mungkin sebagai satu bentuk denda. Siapa dapat menjawab dengan tepat maka segeralah seseorang itu boleh duduk. Bolehlah cepat ‘rileks’ berbanding dengan kawan-kawan lain yang tidak dapat menjawab dengan betul akan terus beridiri sehingga satu jangka waktu yang tidak dapat ditetapkan. Mungkin sampai waktu rehat….

“ Dua campur dua…berapa?”tanya Cikgu Yunus.
Mat Tahir terus menjawab. Dua, katanya. Mat Tahir sememannya bijak dalam ilmu kira-kira. Kini sudah ‘pergi’ lebeh awal ketika berusia lingkungan 50 tahun. Yang aku ingat mengenai Mat Tahir ialah tentang air lior yangterus mengalir dari mulutnya sehinggakan basah kuyup baju dibahagian hadapan. Dan apabila meningkat dewasa tidak pula kelihatan lagi air liornya mengalir sebagaimana ketika dalam Darjah 1 dulu-dulu.

Cikgu Yunus terus memberikan soalan Congak kepada murid-murid. . Dan murid-murid terus mengira menggunakan jari tangan. Itu pun sekiranya jawapan tidak melangkaui kiraan sepuluh.

“Enam campur sembilan……” tanya Cikgu Yunus.

Soalan begini ‘kacau’ sikit. Ini yang menimbulkan masalah kepada murid. Sudah tidak cukup jari tangan untuk menghitung ‘masalah’ yang diberikan. Maka terpaksalah murid-murid membuka kasut (bagi yang berkasut) untuk menghitung menggunakan jari kaki pula kerana sudah tidak cukup menggunakan jari tangan. Suasana sebeginilah yang selalu ‘menggeletik’ perasaan aku kini yang menyebabkan aku tersenyum bersendirian. Dan boleh menyebabkan ketawa terbahak-bahak sekiranya dikongsikan peristiwa sedemikian dengan rakan-rakan yang mengalami keadaan yang sama.

Sebenarnya pelajaran “Congak’ memberi kesan dan impak yang cukup besar kepada diri pelajar. Kesannya dapat dilihat sehingga kini. Aku kerapkali mendapat ‘pujian’ daripada anak-anak zaman sekarang apabila melihatkan kecekapan aku menghitung sesuatu dengan cepat dan pantas serta tepat berbanding dengan mereka yang senitaisa menggunakan calculator. Aku perhatikan anak-anak zaman kini terpaksa menggunakan calculator walaupun menghitung sesuatu yang mudah. Dan menyebabkan kami (orang tua-tua) melihatkan gelagat mereka. Inilah kesan positif daripada pelajaran ‘Congak’ ketika darjah satu dulu.

Selepas ‘Congak’ sampai pula giliran kami membaca sifir. Ini juga sudah tidak diamalkan kini. Agaknya ler….Mungkin guru-guru zaman ini merasakan cara ini agak ‘outdated’ tetapi bagi aku amat berkesan sekali cara Cikgu Yunus mengajar sifir. Sifir 2 hingga 12.

Murid-murid dibawa keluar bilik darjah. Disuruh berkumpul di bawah pokok Cherry berhampiran dengan kelas Darjah 1.  Disitu ada tempat duduk. Kerusi panjang yang boleh memuatkan sepuluh orang murid lebih kuarng. Murid lain boleh duduk di atas rumput. Cikgu Yunus menyuruh kami membaca sifir. Kami tahu apa maksudnya. Kami pun mulalah ‘menyanyikan’ sifir 2 dan selepas itu sifir 3 dan seterusnya. Dengan cara menyanyi demikian, dapatlah kami mengingati ‘senikatanya’ (sampai sekarang!)

Cikgu Yunus terpaksa membawa kami keluar untuk mengelak daripada kebisingan yang luar biasa ketika kami sedang ‘melagukan’ sifir. Dan kebiasaanya pada waktu berkenaan (sebelah pagi) , semua kelas yang ada di bangunan itu akan ‘menyanyikan’ juga sifir-sifir mereka. Tentulah suasana yang ditimbulkan itu amat bising.

Tambahan pula antara satu kelas dengan kelas lain hanya disekat oleh pengadang yang diperbuat daripada papan nipis sahaja. Tidak ada dinding untuk memisahkan antara satu kelas dengan kelas lain. Jangan ditimbulkan soal ‘privacy’.Sememanggnya tidak ada langsung istilah ‘privacy’.

Yang agak menggelikan lagi hati aku kini ialah tentang ‘pengajaran merentasi kelas’. Ini istilah yang aku cipta sendiri.Maksudnya ada pelajar dari sebuah kelas mengikuti ‘pengajaran’ oleh seorang guru dari kelas yang lain disebabkan amat jelas suara guru itu didengarnya. Keadaan ini berlaku terutama apabila seseorang guru itu mengadakan pengajaran bercerita. Pasti pelajar-pelajar dari kelas lain juga akan ‘pasang’ telinga mendengar guru bercerita dari kelas yang lain.

Ini merupakan fenomena biasa yang berlaku dalam pengajaran dan pembelajaran zaman penjajahan. Dan kadang-kadang nampak juga kelihatan yang para guru juga ‘bertanding’ menyaringkan suara mereka disebabkan kebisingna yang luar biasa dari kelas-kelas sebelah.

Tidak langsung wujud pengajaran dan pembelajaran yang ditakrifkan sebagai ‘conducive’ pada ketika itu mengikut pentafsiran masyarakat kini. Namun begitu dapat juga melahirkan pelajar-pelajar yang berguna kepada masyaraat dan ramai juga yang terus menjadi pemimpin negara.

Terima kasih cikgu.

abuhassanadam
7 Januari 2015


3 comments:

  1. Pak Hassan

    Hisab itu mungkin juga maknanya 'hitung'. Ilmu hitung barangkali...

    ReplyDelete
  2. Hisab tu dari perkataan arab.
    Perhitungan.
    Kiamat nanti manusia akan di hisab amalannya.

    ReplyDelete
  3. Aziah dan Four Wire,

    Terima kasih atas 'input' yang diberikan untuk dikongsi bersama.

    Pak Abu

    ReplyDelete