DS NAJIB – LUPAKAN PERBEZAAN POLITIK DEMI
KEPENTINGAN RAKYAT
Hendak aku bercakap mengenai kejatuhan ringgit,
aku tak pandai. Hendak aku cuba memperkatakan tentang kejatuhan harga petrol
dipasaran dunia, pun juga aku tak tahu selok beloknya. Yang aku tahu dan yang
boleh aku nampak ialah tentang keluhan demi keluhan rakyat tentang berbagai
perkara yang menimpa negara ekoran daripada krisis ekonomi yang melanda negara
sekarang ini. Yang boleh aku tumpang rasa simpati dan yang juga menimpa diri
aku dan keluarga ialah tentang kenaikan harga barang ekoran daripada kenaikan
harga minyak di Malaysia beberapa bulan lalu. Dan malangnya apabila harga
minyak telah turun, maka harga barang tidak pula diturunkan. Rakyat yang bodoh
seperti aku tidak dapat mencari jawapannya. Mungkin Menteri yang
bertanggungjawab boleh memberikan jawpaan kepada rakyat yang amat dahagakan
jawapan sedemikian.
Akhir kalam Dato A Kadir Jassin dalam artikelnya
berjodol,’ Kita Mahukan Malaysia Yang Sejahtera’ bertarikh 17 Januari
menyataakan, “ Antara 31 Disember 2013 dan 29 Disember 2014 Bursa saham
Pakistan naik 26.3% dalam mata wang nasional dan (31.5%) dalam mata wang
dollar. Bursa Indonesia naik 21.2% (18.5%), Bursa Thailand naik 15.4% (15%). Bursa India naik 29.4%
(25.6%), Bursa Singapura naik 6.3% (1.5%). Bursa Malaysa JATUH 5.3% dalam mata
wang ringgit dan JATUH 11.3% dalam mata wang dollar (Sumber The Economist 3
January 2015).
Untuk kita meneliti tentang harga minyak mentah
pula YB Saudara Anwar Ibrahim menjelaskan juga tentang keadaan harga minyak
yang terus menjunam. Katanya “Harga minyak mentah
Brent terus menurun sebanyak 53% dari tahun lepas, yakni daripada purata AS$108
setong pada Januari 2014 kepada AS$51 secara purata bagi bulan Januari 2015.”
Dan sambung Dato’ A Kadir Jasin lagi,’ kalau kita
faham ekonomi, banyak lagi khabar ngeri mengenai Malaysia tercinta. Sebenarnya
aku yang tak faham mengenai ekonomi pun sudah merasa ngeri melihatkan akan
keadaan negara yang sedemikian. Namun begitu aku merasa hairan juga melihat
gelagat setengah pemimpin kita ( kebanyakannya), para menteri misalnya berlagak
seperti biasa sahaja. Tidak pun menunjukkan kerisauan tentang keadaan ekonomi
negara. Masih berbelanja seperti biasa. Masih mahu ke luar negara, dengan
alasan untuk menghadiri mesyuarat. Apakah tidak bolehkah ditangguhkan pemergian
ke luar negara untuk menghadiri mesyuarat itu. Apakah penting benar ke
mesyuarat yang akan dihadiri itu pada negara kita. Apakah sekiranya dengan
ketiadaan pemimpin dari Malaysia, apakah merupakan kerugian besar kepada dunia
khususnya negara kita.
Dikhabarkan bahawa perbelanjaan untuk seorang
Menteri ke luar negara memakan belanja yang begitu besar apatah lagi sekiranya
yang ke luar negara itu Perdana Menteri dan rombongannya. Bukan bermakna rakyat
tidak merelakan perbelanjaan sedemikian, namun dalam keadaan negara yang sedang
menghadapi krisis ekonomi, dan kerajaan juga meminta kerjasama rakyat untuk
melakukan penjimatan, apalah salahnya para pemimpin juga menunjukkan perihatin
dan simpati mereka, sama berjimat demi kepentingan negara. Apa salahnya?
Aku pernah mengalami ‘penangan’ krisis ekonomi
dan penurunan nilai mata wang tahun 1997. Aku masih teringat bagaimana kerajaan
terpaksa menghadkan penghantaran pelajar ke luar negara khsusnya ke Great
Britain. Ramai pelajar kita yang sepatutnya berpeluang menuntut di Great
Britain terpaksa dibatalkan disebabkan kegawatan ekonomi yang melanda negara
pada ketika itu. Apakah keadaan kegawatan ekonomi yang akan melanda negara kali
ini akan menjejaskan juga penghantaran pelajar ke luar negara?
Sudah sampai masanya kerajaan terpaksa
menjelaskan keadaan sebenarnya kedudukan kewangan negara yang meruncing. Sudah
sampai juga masanya rakyat diberitahu dengan sejelas-jelasnya berapakah hutang
negara yang sedang dideritai kini supaya rakyat tahu tentang beban hutang yang
ditanggung kerana rakyat dan anak cucu cicit kita juga yang akan sengsara untuk
membayar hutang berkenaan. Sudah sampai masanya juga agar media milik kerajaan
bercakap betul dan benar tentang keadaan negara kini, tentang krisis ekonomi
yang bakal kita harungi pada tahun 2015 ini. Tidak perlulah kita berlagak
sebagai orang kaya sedangkan kita dalam keadaan miskin dan papa kedana.
Cadangan YB Saudara Anwar Ibrahim sebagai ketua
pembangkang untuk menubuhkan Jawatankuasa Krisis Nasional untuk menghadapi
kelembapan ekonomi seharusnya mendapat perhatian pihak kerajaan. Demi untuk
kepentingan rakyat terbanyak DS Najib seharusnya menerima pelawaan tersebut dan
harus melupakan perbezaan fahaman politik buat sementara waktu.
Antara cadangan awal YB Saudara Anwar sebagai
langkah penjimatan sekiranya harga minyak menyusut ke tahap lebih rendah dan
kekal statik ialah keperluan memangkas projek-projek mega disamping meneruskan
perbelanjaan dalam bidang-bidang kritikal seperti kesihatan, pendidikan dan
bantuan kemanusiaan untuk mangsa banjir.
Dan yang pentingnya ialah peihak kerajaan dan
pembangkan duduk semeja membincangkan isu yang dideritai oleh rakyat ini.
Semoga dapat dilakukan segera….
abuhassanadam
19 Januari 2015
No comments:
Post a Comment