TAK LEPAS PELUANG KETIKA BERKUASA.....
Puas aku mencari peribahasa Melayu yang sama
dengan makna peribahasa orang putih, "make hay while the sun shine' Tak dapat. Nak aku katakan, ‘
kumpulkan jerami semasa musim kemarau’. Janggal benar bunyinya kerana orang
Melayu yang bersawah tidak berbuat demikian. Lagipun untuk apa jerami padi
dikumpulkan. Kerbau atau lembu yang dipelihara oleh kebanyakan orang Melayu
terutamanya hanya meragut rumput dan bukan memakan jerami kering.
Sebenarnya orang Melayu yang pandai cakap orang
putih sememangnya selalu menggunakan peribahasa ini, terutama bagi
pemimpin-pemimpin parti politik. Dan bagi pemimpin politik yang tidak tahu
cakap orang putih pula, mereka gunakan peribahasa yang mereka ciptakan sendiri
dan seolah-olah menjadi pemakaian kebanyakan pemimpin politik, terutama yang
menang dalam sesuatu pilihan raya. Dalam ‘peribahasa’ Melayunya ialah,’…..masa
tengah ada kuasa ler kalau nak kumpul harta pun!…..”. Lebih kurang sama dengan
maksud,’ make hay while the sun shine’.
Kini, di Malaysia terutamanya peribahasa ini
adalah lumrah digunakan. Bukan sahaja oleh pemimpin politik yang memenangi
pilihan raya, tetapi digunakan juga oleh ketua jabatan-jabatan kerajaan, samada
PDRM, MACC, Jabatan Kastam, Pendaftaran Negara dll. Akan sentiasa kedengaran
ungkapan sedemikian dilafazkan yang memberi makna bahawa ‘ketika berkuasalah……..”
Aku tidak pula menafikan bahawa langsung tidak
ada pegawai tinggi kerajaan yang berkhidmat di negara in yang perkhidmatan yang
diberikan untuk kepentingan negara. Namun berdasarkan kepada laporan yang
disediakan Ketua Audit Negara, dijelaskan baahwa setiap tahun akan dapat
pembaziran dan keteresan yang bukan kecil di tiap-tiap jabatan kerajaan. Ini
menunjukkan wujudnya penyelewengan yang dilakukan oleh para pegawai di
jabatan-jabatan kerajaan. Yang anihnya hampir setiap tahun berlaku keadaan
sedemikian dan dilakukan oleh jabatan-jabatan yang sama. Maknanya memang
tepatlah ‘falsafah’ yang diamalkan oleh para pegawai di negara kita ‘’make hay
while the sun shine’.
Itu kisah para pegawai kerajaan di
jabatan-jabatan kerajaan. Yang paling aku terkejut ialah kononnya kisah rasuah
dan penyalahgunakan kuasa ini sudah menular ke kementerian pelajaran di mana
ada pegawai yang meminta wang suapan bagi menempatkan anak-anak ( darjah 1) di sekolah-sekolah tertentu di
Wilayah Persekutuan. Seingat aku keadaan yang wujud di kementerian Pelajaran
ini adalah satu keadaan yang cukup luar biasa di mana para ‘pendidik’ yang
sudah mula terjerumus ke lembah kehinaan kini. Aku harap apa yang aku dengar
adalah merupakan berita dan tuduhan palsu. Sekiranya betul begitu maka masyarakat
kita akan menempah malapetaka yang kita tidak tahu apa kesudahannya.
Kebiasaannya yang betul-betul mengamalkan
peribahasa, “ make hay while the sun shine’ ialah golongan politik parti
pemerintah tidak kiralah dari BN atau pakatan. Merebut sesuatu jawatan dalam
parti adalah sesuatu kemestian kerana nampak jelas bahawa laba yang diperolehi
setelah memenangi sesuatu jawatan dalam parti itu mendatangkan habuan yang
cukup besar,khususnya dalam UMNO.
Agak keterlaluan sekiranya aku katakan bahawa
sudah tidak ada lagi individu yang berjuang dalam parti demi untuk membangunkan
bangsa, negara dan agama sepertimana yang dilakukan oleh pejuangpejuang lama
seperti Dato Onn dan Tunku Abdul Rahman, Ishak haji Muhammad, Dr. Burhanuddin
dll. Berani aku mengatakan yang tokoh-tokoh demikian sudah tidak wujud lagi
dalam Kurun ke 21 ini. Mungkin anggapan aku tersangat salah. Aku harapkan
begitu juga. Tetapi melalui pemerhatian aku, kebanyakan pemimpin sekarang hanya
mementingkan diri dan keluarga dan kesinambungan kehidupan keluarga untuk
beberapa generasi akan datang.
Sekiranya ada tokoh-tokoh kini yang menyerupai
perjuangan Dato Onn atau Tunku Abdul Rahman, pastinya tokoh berkenaan akan
ditertawakan apabila menghadiri persidangan UMNO yang diadakan pada setiap
tahun. Mungkin mereka akan dituduh sebagai ‘Pak Pandir’ atau ‘Pak Kaduk’ atau
‘Si Luncai’ yang tidak merebut ‘peluang’ yang telah disediakan oleh UMNO.
Mungkin. Maknanya matlamat kebanyakan pemimpin untuk menyertai politik
kepartian di negara ini adalah untuk ‘mencari makan’ dan ‘memperkayakan diri
disamping ‘berjuang’ untuk kepentingan negara.
Aku harap tahun 2015 akan mengubah persepsi
rakyat tentang pemimpin dan kepimpinan negara. Walaupun perubahan itu terlalu
sukar untuk dilakukan sepertimana kata peribahasa Melayu, ‘jikalau anjing sudah
biasa makan tahi, jikalau tidak dimakan diciumnya juga’ namun sekiranya ada
tertanam hasrat untuk berubah, aku percaya dapat juga dilakukan.
Pemimpin dan rakyat Malaysia harus melakar satu
paradigma baru bagi menjamin penerusan bangsa Malaysia yang maju sesuai dengan
zaman global yang sentiasa dilaung dan dipekikkan oleh pemimpin kita. Dan yang
harus disedari juga bahawa matlamat kita menjadikan Malaysia sebagai sebuah
negara maju menjelang 2020, harus tidak dilupakan langsung.
Biarlah apa yang diimpikan oleh Tun Mahathir itu
menjadi satu reality dalam masa terdekat.
abuhassanadam
6 Januari 2015
No comments:
Post a Comment