Thursday, January 8, 2015

BUAT ‘NOHIN’……..

“NOHIN’ adalah loghat yang dipakai di negeri Perak. Orang Kuala (Kuala Kangsar) tahu apa maknanya. Orang Padang Rengas, Sayung, Ketior, Manung, Lubuk Merbau, Sauk, Liman Kati tahu apa makna ‘Nohin’. Aku semak dalam Kamus Dewan tentang makna ‘Nohin’. Tak ada perkataan ‘Nohin’ dalam Kamus Dewan. Oleh itu dari mana agaknya orang Perak dapat perkataan tersebut.Mungkin mereka cipta sendiri.

“NOHIN” itu sebenarnya ialah sikap ‘buat tak tahu…” Sikap ‘buat derk……” Sikap tak peduli. Contoh untuk menunjukkan suasana ‘NOHIN”. Misalnya menjelang waktu sembahayang Maghrib, sepatutnya anak-anak kita bersedia untuk mandi dan bersedia untuk menunaikan fardu Maghrib. Tetapi anak-anak kita masih terus bermain dengan kawan-kawannya. Puas menyuruh dia mandi tetapi dia masih ‘buat nohin…” Buat tak peduli suruhan emak bapak.

Aku semak kamus Bahasa Inggeris. Ada perkataan ‘HINT’ yang bermaksud, ‘ indirect indication, bayangan: can you give me some ~s as to who will be appointed?, bolehkah saudara memberi saya sedikit bayangan ttg siapa yg akan dilantik. take a ~, mengerti apa yg dibayangkan; 2. useful advice, petua: helpful ~s, petua-petua yg berguna; 3. small sign, tanda, alamat: a ~ of spring in the air, ada tanda musim bunga akan tiba;

Lebih kurang sama pula dengan apa yang dimaksudkan oleh orang Perak. ‘NO HINT” lebih kurang sama dengan ‘NOHIN”. Lebih kurang….Agaknya perkataan ‘Nohin’ daripada perkataan inggeris ‘no hint’ agaknya. Mungkin. Atau pun mungkin rekaan aku saja. Tetapi di negeri Perak, banyak perkataan Inggeris telah ‘diPerak’kan. Contohnya orang Perak memanggil ‘hairpin’ sebagai ‘harpin’; “notice’ bertukar kepada ‘notih’. Banyak lagi lah…..

Coreta kali ini bukanlah bertujuan untuk menjelas dan menyusur-galur dari mana datangnya perkataan ‘nohin’. Bukan tujuan aku begitu. Aku cuma mahu membayangkan tentang kebanyakan anggota masyarakat kini sentiasa ‘buat nohin’ apabila melakukan sesuatu yang bertentangan dengan norma-norma masyarakat. Maknanya mereka buat tak tahu, walaupun mereka melakukan kesalahan. Maknanaya ramai yang ‘buat nohin’ dan bersikap ‘buat derk’ apabila telah melakukan keburukan kepada negara dan bangsa. Seolah-olah golongan sedemikian sudah tidak ada malu dan sudah hilang meruah diri.

Dan untuk menambah ‘menghairankan’ lagi ialah adanya kumpulan  yang ‘bermati-matian’ mempertahankan tindakan yang melakukan sedangkan sudah terbukti dengan jelas bahawa dia telah melakukan kesalahan. Sebaliknya terus menerus menyalahkan orang lain yang kononnya yang menyebabkan dia terjadi demikian.

Ini adalah antara perkembangan dan perubahan yang berlaku pada awal Kurun ke 21. Para pemimpin khususnya sudah tidak ada segan silu ‘berbohong’ dan sentiasa ‘buat nohin’ sekiranya tindakan mereka yang tidak kena itu mendapat teguran. Golongan yang tidak ada malu ini akan menggunakan khidmat peguam untuk mengambil tindakan ke atas golongan yang mendedahkan perkara buruk yang dilakukan oleh mereka.

Dan juga para peguam pula akan  sanggup berbuat apa saja untuk mempertahan anak guamannya (walaupun jelas menampakkan kesalahan) mereka asalkan mendapat bayaran dan upah yang lumayan. Sudah hilang maruah dan harga diri dikalangan setengah anggota masyarakat kita, terutama orang Melayu yang terkenal dengan bangsa yang berbudi bahasa.

Orang Melayu tidak perlu lagi mengajar anak-anak dengan mengatakan yang orang Melayu berbudi bahasa. Tak perlu lagi kerana bertentangan sekali apa yang dilihat dan didengar oleh anak melalui media cetak dan elektronik yang menunjukkan tentang tindakan setengah pemimpin yang terang-ternag tidak mempedulikan amalan hidup yang diamalkan oleh orang Melayu. Golongan sedemikian ‘buat nohin’.

Yang menghairankan lagi ialah tentang ketiadaan perasaan malu dan aim kepada diri seseorang pemimpin. Apakah mereka yang melakukan perkara-perkara buruk itu tidak sedar yang apa yang mereka lakukan itu diperhatikan. Apakah mereka tidak merasa bersalah di atas apa yang mereka lakukan itu. Ataupun apakah mereka tidak langsung merasa hiba mengenangkan apa yang mereka lakukan itu adalah amat bertentangan dengan apa yang diajar dan dinasihat oleh ibu bapa mereka yang sudah tidak ada lagi. Apakah mereka tidak terfikir bahawa roh ibu bapa mereka tidak akan ‘selesa’ memandangkan anak-anak yang berperangai sedemikian rupa.

Pemipin-pemimpin yang berperangan buruk ini terus menerus ‘buat nohin’

Mereka tahu bahawa perbuatan terkutuk yang mereka lakukan itu akan ‘terlepas’ memandangkan bahawa mereka mempunyai kuasa untuk menentukan segala-galanya. Mereka tahu dengan wang dan kuasa yang ada mereka boleh ‘membeli’ segala keburukan yang mereka lakukan untuk dijadikan ‘kebaikan’. Mereka tahu bahawa mereka memiliki peguam-peguam yang ‘handal’ untuk ‘memutar-belitkan’ fakta agar ‘keburukan’ yang mereka lakukan akan bertukar kepada ‘kebaikan’. Mereka juga sedar bahawa hukuman yang sepatutnya ‘bersalah’ boleh diterbalikkan menjadi ‘tidak bersalah’ dengan hujah-hujah yang dikemukakan oleh peguam ‘kaki putar’ yang boleh ‘meyakinkan’ hakim yang ‘sewaktu dengannya’.

Mereka lupa bahawa sebenarnya mereka sedang diperhatikan dengan teliti oleh rakyat dan pastinya mereka tidak dapat mengubah persepsi rakyat. Rakyat terbanyak yang boleh berfikir akan membuat kesimpulan berdasarkan pemerhatian dan fikiran mereka yang waras. Rakyat akan mengadili mereka. Allah akan mengadili mereka. Walaupun terdapat rakyat yang boleh ‘dibeli’ dan ‘digula-gula’ namun sebahagian besar rakyat masih berfikiran waras dan rasional. Tahu membuat keputusan dan memilih yang mana baik dan yang mana buruk.

Para pemimpin sedar hal ini. Tetapi mereka ‘buat nohin’ juga.

Berbagai petunjuk dari Tuhan telah berlaku dalam tahun 2014. Tidak ada negara di dunia (yang aku tahu) yang mengalami kemalangan pesawat kapalterbang seperti yang dialami oleh negara kita. Dan tidak pernah juga berlaku banjir sebesar dan seteruk itu di pantai Timur seperti yang berlaku beberapa hari yang lepas. Apakah peristiwa-peristiwa sedemikian tidak boleh kita jadikan sebagai ‘amaran’ dan ‘kemarahan’ Tuhan terhadap berbagai-bagai pihak yang melakukan perkara buruk dalam negara kita. Apakah kita masih tidak sedar…..

Apakah para pemimpin disetiap peringkat di negara kita belum sedar lagi akan ‘balasan’ Tuhan sedemikian. Mengapa kita ‘buat nohin’ juga.

Sampai bila kita  bersikap ‘buat nohin’ begitu?

abuhassanadam
8Januari 2014



























No comments:

Post a Comment