Monday, January 12, 2015

SPECIAL MALAY CLASS

Ringkasnya SMC . Tahun 1955. SMC 1. Maknanya ‘Darjah 1’ semula. Aku mula masuk sekolah orang putih. Sekolahnya di Padang Assam. Government English School Padang Assam. Kampung Padang Assam. Mana ada pekan Padang Assam macam pekan Padang Rengas tu. Separuh perjalanan ke Kuala Kangsar dari Padang Rengas. Lebih kurang empat kilometer dari Padang Rengas. Dekat kampung Kuala Dal. Kini dah tidak ada lagi sekolah berkenaan. Digantikan dengan Sekolah Kebangsaan Padang Assam. Bukan sekolah orang putih lagi. Memang tidak ada lagi peninggalan sekolah orang putih lama. Semua dah baru. Bangunan batu. Tiga tingkat.

Bangunan lama amat berbeza dengan bagunan yang ada sekarang. Berdinding papan ‘tak berketam’ (yang tidak dilicinkan). Hanya separuh. Separuh lagi dipagar dengan jaring besi. Jikalau hujan lebat, tempias masuk ke sekolah. Beratap zinc. Pada waktu tengah hari musim kemarau, pelajar-pelajar ‘dibakar’ seperti kuih bengkang. Jikalau hujan lebat tak boleh belajar disebabkan titikan hujan ke atas atap zinc. Ada terdapat tiga kelas sahaja waktu itu. SMC1, SMC2 dan Standard 6. Guru-guru yang mengajar pada waktu itu ialah Mr. Ang Chui Pek (Guru Besar), Mr. Muthusamy dan Mr. Lee Siew Wah.

Agaknya dibina bangunan disitu mungkin juga untuk memudahkan pelajar dari Talang, Lubuk Merbau, Tanah Merah, Padang Rengas belajar di situ. Yang aku tahu di Sayung Kota Lama Kanan ada juga sekolah orang putih Special Malay Class. Mungkin untuk budak Melayu yang datang dari Karai, Kati, Cheh, Cegar Galah, Teroso, Bendang Kering agaknya.

Nak memasuki SMC tak mudah. Bukan boleh terus diterima masuk ke SMC 1. Kena menduduki peperiksaan dulu. Entrance Examination. Lulus peperiksaan berkenaan baru boleh diterima masuk. Pendek kata macam nak masuk university ler. Apa tidaknya. Sesiapa saja yang lulus peperiksaan berkenaan, seluruh Padang Rengas tahu ler. Bukan sahaja di kampung-kampung, ‘seentero’ Padang Rengas hebuh.

Yang menyebabkan keadaan demikian adalah disebabkan tidak ramai yang boleh lulus dan dapat diterima. Pada setiap tahun hanya emapt atau lima orang saja yang berjaya memasuki SMC 1. Bukanlah pulak aku nak tunjuk hebat kerana dapat diterima masuk. Tidak berniat begitu. Cuma nak menerangkan keadaan dan suasana yang wujud pada ketika itu. Ada diantara kawan aku sampai dua kali (maksimum) menduduki peperiksaan berkenaan. Tak lulus juga sedangkan dia adalah anak orang berada. Sememangnya bapak dia mengharapkan sangat agar dia memasuki sekolah orang putih.

Peperiksaan Entrance Examination diadakan di Clifford School Kuala Kangsar. Aku masih terbayang lagi suasana pagi itu ketika aku dan beberapa orang kawan lain mengekori Cikgu Aziz ( pandai cakap orang putih) menaiki bas Red&Yellow ke Kuala Kangsar. Pada ketika itu mana ada cikgu pakai kereta. Jikalau dia ada kereta tentulah aku menumpang kereta dia. Apabila sampai berhampiran denga sekolah Clifford, kami turun di situ dan berjalan kaki pula menuju ke dewan Sekolah Clifford dimana peperiksaan akan diadakan.

Ketakutan aku dan gementarnya untuk menduduki peperiksaan ini jangan dikira. Aku merasa yakin sedikit disebabkan ada ‘tangkal’ dan ayat suci yang dibekalkan oleh Pak Haji Sulaiman. Aku tak taulah berkesan tidaknya. Tapi adalah dilengan aku. Tersorok. Tak nampak. Berdekatan dengan celah ketiak aku. Aku yakin kawan-kawan lain pun pakai tangkal juga. Aku yakin. Mungkin tangkal Kang Tomo (bomoh Jawa) dari Kampung Paya Lintah yang dipakai oleh mereka! Mungkin…Tapi kesannya ramai juga yang pakai tangkal tidak lulus peperiksaan…

Yang menambahkan gementar lagi perasaan aku ialah tentang ‘kehebatan’ Dewan Sekolah Menengah Clifford tu. Bagi aku macam Dewan Tunku Chancellor, University Malaya ( perasaan pada ketika itu) . Maklumlah mana pernah kami memasuki bangunan ‘sehebat’ itu. Pada ketika itu mana bangunan yang dinamakan ‘dewan’ di sekitar Padang Rengas. Belum ada lagi bangunan sebesar itu di pekan Padang Rengas, apatah lagi di kampung aku.

Kebanyakan rumah di kampung aku pada ketika itu pakai tiang lagi. Rumah berdinding papan. Kebanyakan rumah beratapkan atap rumbia. Tidak banyak rumah yang beratap zinc. Panas kata mereka. Atau pun mungkin mereka belum mampu lagi mebeli zinc untuk mengatapkan rumah mereka.

Yang mengendalikan pepepriksaan berkenaan pada ketika itu ialah Mr. Soh Kai Jan ( menjadi guru matematik aku ketika berada di Tingkatan tiga). Beliau yang mengendalikan. Mungkin disebabkan dia pandai berbahasa Melayu agaknya. Kebanyakan guru yang mengajar di sekolah Inggeris pada ketika itu terdiri dari kaum bukan Melayu. Mana ada orang Melayu. Jikalau ada pun hanya seorang atau berdua di sesebuah sekolah.

Jadi kegementaran kami tentulah bertambah. Mana pernah kami bergurukan orang asing di sekolah Melayu. Semuanya orang Melayu belaka. Jadi apabila bertemu dengan guru dari kaum lain tentulah agak janggal.

Yang diuji dalam peperiksaan itu ialah Matematik dan Ujian Berfikir. Aku dah lupa bentuk soalan yang diberikan. Mungkin soalan yang diberikan itu dicetak di Cambridge juga agaknya. Maklumlah zaman penjajahan. Mereka begitu teliti dalam hal sebegini. Bukan sebagai melepaskan batuk di tangga.

Kependekan cerita, daripada beberapa puluh orang yang mengambil peperiksaan berkenaan, tiga orang telah terpilih. Salmi Rashid ( anak Cikgu Salmah, guru besar Sekolah Perempuan Padang Rengas), Hadi Idrus ( anak seorang guru yang mengajar di Sekolah Perempuan Padang Rengas) dan aku ( anak seorang petani dari Kampung Keroh Hilir. Tentulah gelabah juga perasaan bapak aku apabila aku terpilih memasuki sekolah orang putih.

Gelabah disebabkan takut dituduh oleh orang kampung yang aku akan masuk Kristian kelak.
Gelabah untuk membiayai pelajaran aku disekolah orang putih nanti ( kerana mengikut kata orang kampung, ‘beribu’  belanjanya)
Gelabah kerana dia bukannya guru berbanding dengan kawan aku yang lain semuanya anak cikgu.

Atas ketabahan hatinya, bapak aku memberanikan dirinya menghantar aku ke sekolah orang putih – Special  Malay Class 1.


abuhassanadam
12 Januari 2015

p/s  Mungkin pada lain kali akan aku ceritakan tentang hari pertama aku berada di SMC1








1 comment:

  1. Assalamu'alaikum, abah saya juga ex SMC di Clifford. Mr Soh Kai Jan tu adalah abah menyebutnya.

    ReplyDelete