TAK SANGKA YB SHAHIDAN NAK JADI PENDAMAI
Memang aku tidak terfikir tentang
adanya ‘perbalahan’ antara Tun Dr. Mahathir dengan DS Mohd Najib Tun Razak,
sekiranya tidak diwar-warkan dalam Malaysiakini menjelaskan yang YB Shahidan
akan ‘mendamaikan’ kedua-dua pemimpin itu. Dan aku pun berpandangan bahawa
ramai lagi anggota masyarakat di luar sana yang beranggapan sepertimana yang
aku rasakan- tidak menduga tentang adanya ‘perbalahan’ sedemikian.
Mungkin agaknya aku tidak berapa
sensitif tentang perkembangan politik di Malaysia kini. Mungkin. Dan mungkin
juga aku tidak dapat ‘membaca’ dengan mendalam tentang ‘sepak terajang’ politik
tanah air kini. Dan mungkin juga aku sepatutnya sudah ‘pencen’ daripada menulis
tentang hal politik kerana tidak sensitifnya aku tentang wujudnya ‘perbalahan’
antara Tun Mahathir dan DS Mohd Najib itu. Mungkin.
Aku ada terbaca tentang kritikan
Tun Mahathir dalam berbagai perkara yang berkaitan dengan keadaan yang berlaku
dalam negara kini. Akhir-akhir ini Tun Mahthir telah menyentuh tentang 1MDB.
Pada pandangannya kelihatan ada yang tidak kena mengenai dana yang disediakan
oleh kerajaan itu. YB Tony Pua pun beranggapan begitu. YB Rafizi Ramli pun
memberikan komen mereka mengenai perjalanan 1MDB.
Sebenarnya Tun Mahathir menyentuh berbagai
perkara yang difikirkannya perlu untuk diberikan teguran dan komen. Beliau turut menyentuh tentang pemberian BRIM yang
dirasakannya tidak sepatutnya wujud. Apabila kehilangan kapalterbang MH 370
beliau juga memberikan komen. Begitu juga dengan peristiwa terhempasnya MH 17,
juga beliau memberikan pandangannya. Apakah salah bagi beliau sebagai seorang bekas
Perdana Menteri memberikan pandangan dan pendapat beliau tentang sesuatu
tindakan yang dilakukan oleh DS Najib sebagai pemimpin negara kini yang pada
pandangannya tidak sesuai dilaksanakan. Tentulah sebagai bekas Perdana Menteri
beliau amat bimbang tentang berlaku sesuatu yang buruk yang berkemungkinan akan
menimpa negara. Salahkah bagi Tun Mahathir dan sesiapa sahaja untuk memberikan
pandangan sekiranya dirasakan ada sesuatu yang tidak kena berlaku. Aku
merasakan tidak salah.
Namun begitu, mungkin ada perkara-perkara yang aku tidak tahu ( atau
begitu bodoh untuk memahami keadaan demikian) agaknya yang menampakkan adanya
bibit persengketaan antara Tun Mahathir dengan DS Mohd Najib yang menyebabkan
YB Shahidan terpaksa bertindak untuk menjadi ‘orang tengah’.
Jikalau direnungkan secara agak
mendalam, tentulah banyak lagi perkara yang mendesak yang perlu difikirkan oleh
kepimpinan negara. Sepatutnya kepimpinan negara mengajak rakyat untuk
memikirkan banyak perkara lain yang lebih penting lagi yang membabitkan
kehidupan rakyat jelata. Keadaan ekonomi negara yang menghadapi krisis yang
bukan kecil sepatutnya difikirkan dan perlu ditangani dengan berkesan oleh
pihak kerajaan. Mungkinlah agaknya pemergian DS Najib dan rombongannya ke Davos
Switzerland dan terus ke London itu bertujuan untuk mencari jalan untuk
memulihkan keadaan ekonomi negara kita kini. Mungkin.
Teguran terhadap Dana 1MDB belum
lagi diperjelaskan dan dengan demikian masih ‘tergantung’ dan masih menghantui
pemikiran rakyat di negara ini. Dan banyak lagi isu-isu yang kritikal yang
perlu ditangani oleh kepimpinan negara. Dan isu mendamaikan Tun Mahathir dan DS
Najib boleh dikira agenda terakhir sekiranya YB Shahidan ingin juga meneruskan
rancangan demikian.
‘Perbalahan’ antara Tun Mahathir
dengan DS Najib sebagaimana yang aku jelaskan pada awal rencana ini sebenarnya
tidak wujud. Yang heboh dan yang ‘melatah’ seperti kucing kehilangan anak ialah
golongan ‘tentera upahan’ yang kehidupan mereka mungkin terancam sekiranya
mereka tidak menampakkan diri mereka sebagai pembela ‘boss’ mereka. Lantas
mereka perlu kelihatan sibuk dan ‘bekerja’ bertungkus lumus untuk membela
‘boss’ mereka. Kadang-kadang kelihatan gelagat mereka sama seperti kata
peribahasa Melayu,’ seperti anjing menyalak bukit’. Namun mereka tetap menyalak
dan terus menyalak agar salakan mereka itu ‘didengar’ oleh tuan mereka (
bukanya mangsa salakan) agar dengan berbuat demikian mereka akan terus mendapat
‘rezeki yang disediakan oleh tuan mereka.
Bagi aku YB Shahidan tidak perlulah
bersusah payah untuk ‘memujuk’ Tun Mahathir kerana usaha sedemikian akan
menjadi sia-sia sahaja. Jikalau betul pun ada ‘perbalahan’ ia hanya merupakan
perbalahan antara bapak dengan anak. Salahkah seorang bapak menegur anak
sekiranya apa yang dilakukan oleh si anak menampakkan sesuatu yang tidak kena.
Si bapak akan terus menegur sehingga anak yang ditegur dapat menerima teguran
si bapak dan membetulkan kesilapan yang berlaku.
Aku dapat juga membayangkan bahawa
seolah-olah kepimpinan UMNO kini seolah-olah takutkan bayang-bayang.
Menunjukkan bahawa apabila Tun Mahathir ‘bersuara’ sahaja telah memberikan
isyarat kepada mereka bahawa Tun Mahathir sudah tidak sesuai dan secocok dengan
pemimpin berkenaan. Aku merasakan tidak begitu.
‘Jawapan’ kepada isu yang timbul
kini bukannya ‘memujuk’ Tun Mahathir tetapi sepatutnya pihak kepimpinan negara
yang dipimpin oleh DS Mohd Najib untuk merenung dan melihat kritikan yang
disuarakan oleh Tun Mahathir itu agar dapat diperbetulkan. Tidak pula bermakna
setiapa kritikannya mesti dipatuhi dan diikuti secara membabi buta. Bukan
begitu. Yang elok diikuti dan yang agak tidak sesuai tidak perlulah dipatuhi.
Perdana Menteri dan Menteri-Menteri
seharusnya bertindak ke arah itu. Agaknya begitu ler…….
abuhassanadam
27 Januari 2015
No comments:
Post a Comment