Saturday, January 10, 2015

BUKAN BERAJA DIHATI BERSULTAN DI MATA

Melihatkan beberapa perkembangan yang berlaku di Malaysia kini menampakkan seolah-olah terdapat pihak-pihak tertentu yang seolah-olah tidak mempedulikan kewujudan Perlembagaan Malaysia yang merupakan dokumen penting yang sepatutnya menjadi garis panduan kepada rakyat Malaysia, samada kepimpinan atau rakyat jelata.

Yang menyedihkan ialah perlembagaan semacam diketepi dan tidak dipedulikan. melanggar peraturan di negara ini seolah-olah sudah merupakan satu kebanggan bagi setengah rakyat Malaysia. Dalam hal mematuhi peraturan jalan raya pun rakyat Malaysia ‘berlumba-lumba’ untuk menyalahi peraturan dan undang-undang negara. Dalam hal sekecil mematuhi lampu isyarat jalan raya pun, ramai yang cuba untuk tidak mematuhinya. Dan bagi yang mematuhinya pula ramai yang merasakan bahawa mereka terpaksa patuh disebabkan oleh takut kepada diambil tindakan oleh Polis.

Yang menghairankan aku ialah mengapa di negara-negara maju seperti USA, United Kingdom atau di negara-negara Eropah lain mematuhi undang-undang yang ditetapkan? Sehingga kini disetengah tempat di Palo Alto, California (Stanford University) masih lagi tidak menggunakan lampu isyarat di jalan raya mereka. Mereka masih menggunakan tangan dan ‘perasaan’.Tangan digunakan oleh mereka untuk memberi isyarat memberikan laluan. Di England pula misalnya, walaupun terdapat kesesakan jalan raya, tidak pula terdapat kenderaan yang memotong ‘Q’ dan mencelah kenderaan yang beratur seperti yang diamalkan di Malaysia. Cuma yang dapat ‘mengalahkan’ kita (perangai rakyat Malaysia) dalam hal sebegini ialah pemandu kereta di Istanbul, Turkey. Mereka lebih ‘hebat’ daripada pemandu di Malaysia.

Aku masih menyoal diri ku. Mengapa setengah rakyat Malaysia tidak mahu mematuhi peraturan yang ditetapkan?

Aku terfikir pula peribahasa Melayu lama. Bagaimanalah ketam untuk menyuruh anaknya berjalan betul sedangkan dia sendiri berjalan senget. Bagaimanalah rakyat biasa disuruh mematuhi peraturan dan undang-undang sedangkan para pemiminnya juga tidak mematuhi peraturan dan tidak mengikuti perlembagaan.

Terlalu banyak contoh yang boleh diberikan untuk meunjukkan yang para pemimpin kita tidak mematuhi peraturan yang mereka sendiri tetapkan. Mereka tahu yang setengah tindakan mereka itu menyalahi peraturan, tetapi disebabkan keangkuhan yang merasakan diri mereka berkuasa dalam segala-galanya, mereka tetap ‘memijak’ undang-undang yang mengawal tindakan mereka itu.

Kerajaan memberikan berbagai kemudahan kepada para pemimpin dan pentadbir negara untuk menjalankan tugas dengan berkesan. Pegawai tinggi kerajaan disediakan kenderaan kerajaan untuk memudahkan mereka. Tetapi terdapat pemimpin dan pegawai tinggi kerajaan yang menggunakan kemudahan itu seperti memiliki harta peribadi sendiri. Mereka sewenang-wenangnya menggunakan untuk kepentingan peribadi mereka. Mereka lupa bahawa kenderaan kerajaan adalah untuk kemudahan menjalankan tugas negara dan bukan untuk kepentingan bercuti bersama keluarga. Ini yang dikatakan menyalahgunakan harta kerajaan.

Teringat pula aku tentang kisah zaman pentadbiran Khalifah Saidina Omar pada zaman Khalifah al-Rasyidin di mana dikisahkan tentang Saidina Omar tidak sekali-kali menggunakan harta kerajaan demi untuk kepentingan peribadinya sehinggakan kepada perkara sekecil-kecil seperti penggunaan lampu minyak sekali pun. Beliau tidak sekali-kali akan menggunakan harta milik kerajaan.

Hampir setiap tahun Ketua Audit Negara akan mengemukakan laporannya tentang perbelanjaan yang dilakukan oleh jabatan-jabatan kerajaan di Malaysia. Dan setiap kali dibentangkan akan terdapat penyelewengan yang dilakukan oleh jabatan-jabatan. Yang anihnya juga akan berlaku keadaan yang sama hampir setiap tahun. Diberikan jaminan bahawa akan dibaiki dari masa kesemasa. Namun masih berada ditakuk lama juga.

Perlembagaan Malaysia ada menyatakan bahawa Perkara 107 menyatakan mengenai Laporan Ketua Audit Negara. Ketua Audit Negara hendaklah mengemukakan laporan-laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong yang hendaklah menyebabkan laporan itu dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat.Satu naskhah mana-mana laporan itu yang berhubungan dengan akaun bagi sesuatu Negeri, atau berhubungan dengan akaun-akaun bagi mana-mana pihak berkuasa awam yang menjalankan kuasa yang diberikan oleh undang-undang Negeri, hendaklah dikemukakan kepada Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri itu yang hendaklah menyebabkan laporan itu dibentangkan di hadapan Dewan Undangan.

Persoalan yang berada di hadapan kita ialah apakah para pemimpin di negara ini tidak langsung mahu merujuk tindakan mereka kepada perlembagaan negara atau apakah disebabkan sikap yang terlalu angkuh telah menyebabkan mereka ‘beraja di hati dan bersultan di mata’. Mungkin disebabkan merasakan terlalu berkuasa telah menyebabkan golongan sebegini merasakan bahawa tidak ada siapa yang boleh menegur dan melarang mereka. Mereka tahu bahawa semua jentera kerajaan adalah di bawah kwalan mereka. Lantas boleh dipergunakan sewenang-wenangnya untuk menutup segala ‘keburukan’ dan ‘kecurangan’ yang dilakukan.

Golongan yang masih mahu mematuhi peraturan dan perlembagaan negara dalam melaksanakan tugas mereka masih ada. Tetapi malangnya tidak ramai bilangannya.

Rakyat hanya mampu berdoa dan sekadar boleh membuat perubahan setiap lima tahun.

abuhassanadam
10 Januari 2015


No comments:

Post a Comment