Thursday, January 9, 2020

‘MELUR’ DAN ‘MAKAN’ DI LONDON


‘MELUR’ DAN ‘MAKAN’ DI LONDON

            Setiap kali aku berkunjung dan bercuti di London pastinya aku akan singgah di restoran “MAKAN’ dan ‘MELUR’ dua restoran anak Melayu (tulin) dari Kedah yang telah berjaya ‘mengharumkan’ nama Melayu dengan menjalankan perniagaan kedai makan di tengah kota London. Restoran ‘MAKAN’ terletak di 270 Portobello Road, W10 5TY London sedangkan Restoran MELUR di 175A, Edgware Road London W2.

            Aku bangga dengan kehadiran dua restoran Melayu ini walaupun ada restoran-restoran Melayu lain yang bertapak di London ini. Aku berbangga dengan kehadiran mereka disebabkan aku tahu dan sentiasa mengikti perkembangan perniagaan mereka terutamanya ‘langkah demi langkah’ yang dilakukan oleh pengusaha Resoran MAKAN yang bernama Azhar dan lebih dikenali dengan panggilan ‘Art’  dan isterinya bernama Ani.

            Perniagaan Azhar dan Ani bermula secara kecil-kecilan di Kantin Malaysia Hall (lama)  pada awal tahun-tahun 1990an yang pada ketika itu di Bryanston Square. Seingat aku ketika aku memulakan tugas aku sebagai Pengarah di Malaysian Student Department (MSD) pada tahun 1995 maka Azhar dan Anilah yang menjalankan perniagaan di situ. Dan sehingga penghujung tahun 1998, maka Azhar lah yang menjalankan perniagaan di situ.

            Mungkin ramai yang tidak tahu bagaimana Restoran MAKAN yang diselenggarakan oleh Azhar pada hari ini telah menjadi sebuah restoran antarabangsa yang boleh dibanggakan kewujudannya. Tidak banyak perbezaan antara Restoran MAKAN dan restoran-restoran lain yang ada di kota London ini, apatah lagi apabila melihatkan pengunjung restoran MAKAN bukan sahaja dikunjungi oleh pelawat dari Malaysia tetapi dikunjungi juga oleh pelawat dari seluruh dunia dan makanan yang dijual juga tidak terhad kepada makanan Melayu.

            Aku ingin menyingkap sejenak peranan dan sumbangan Azhar dan Ani dalam membantu pelajar Malaysia yang dalam kesusahan ketika berada di rantau orang. Selama empat tahun (1995-1998) Azharlah yang bertanggungjawab menyediakan makanan untuk pelajar-pelajar ketika ‘More” selepas sembahayang terawih di Malaysia Hall hasil sumbangan kewangan daripada penderma-penderma dari Malaysia dan dari London sendiri. Mereka tidak jemu-jemu menyediakan makanan kepada anak-anak pelajar samada pada bulan Ramadhan ataupun untuk menyediakan makanan pada hari raya.

            Berkat ketabahan Azhar dan Ani menjalankan perniagaan kantin yang bermula dengan secara kecil-kecilan telah berkembang maju menjadi suatu perniagaan yang boleh dibanggakan oleh orang Melayu. Walaupun ada restoran Melayu yang pada mulanya maju dan berjaya tetapi akhirnya terpaksa ‘bungkus’ namun sehingga kini Restoran MAKAN terus berkembang maju dari setahun ke setahun.

            Aku mendoakan ‘Art dan Ani terus berjaya.

abuhassanadam
9 Januari 2020






Wednesday, January 8, 2020

MENTERI PERLU DINILAI...


MENTERI PERLU DINILAI...

            Sekurang-kurangnya Dr Mazlee cuba membuat berbagai percubaan dalam memajukan kementrian pendidikan. Ini diakui sendiri oleh Tun Mahathir. Dan sebagaimana kebiasaan manusia yang tidak sunyi dari melakukan kesilapan, maka Dr Mazlee juga dikatakan melakukan kesilapan, suatu ‘kesilapan’ yang amat tidak disukai oleh Tun Mahathir yang menyebabkan beliau dinasihatkan untuk meletak jawatan.

            Bagaimana pula dengan keadaan menteri-menteri lain?

            Jikalau dikatakan bahawa mereka tidak melakukan apa-apa kesilapan bermakna bahawa mereka tidak langsung berusaha untuk melakukan perubahan dan pembaharuan dalam kementerian yang mereka bertanggungjawab. Sekurang-kurangnya ada menteri yang cuba melakukan perubahan yang cukup besar dengan memperkenalkan kereta terbang untuk Malaysia. Belum lagi kelihatan kereta terbang di negara kita. Sepatutnya menteri berkenaan sudah terlebih dahulu meletak jawatan dari Dr Mazlee. Mungkin kesilapan yang dilakukannya tidak menyakiti hati Tun Mahathir.

            Tentulah tidak adil sekiranya fokus kita hanya kepada menteri  kereta yang tidak boleh terbang. Ramai lagi menteri lain dalam kabinet Tun Mahathir yang belum mengorak langkah melakukan perubahan ataupun sekurang-kurangnya berusaha untuk memperkenalkan perubahan. Seolah-olah mereka berada dalam keadaan ‘berhoney-moon’ ataupun ‘kegiatan’ mereka tertumpu kepada usaha mengekalkan kedudukan mereka dari segi politik. Ada yang lebih mementingkan keselamatan kedudukan mereka dalam politik lantas terus menerus membuat kenyataan , ‘ Tun Mahathir harus meneruskan pentadbiran sehingga tamat tempoh’.

            Ada menteri yang begitu berminat untuk membuat kenyataan demi kenyataan untuk menyedapkan hati rakyat yang mendengar sedangkan tidak nampak pun sesuatu yang konkrit hasil dari tindakannya. Memang gah bunyinya tetapi kadang-kadang kelihatan seperti ‘angan-angan Mat Jenin’ saja.

            Kadang-kadang terfikir juga tentang mengapa keadaan di negara kita sekarang menjadi seteruk ini. Kita menyedari bahawa puncanya tentulah pentadbiran yang terdahulu yang telah banyak menimbulkan bencana kepada negara sehinggakan negara Malaysia hampir muflis dengan tindakan pentadbiran yang terdahulu. Tetapi soalnya berapa lama lagi kita perlu menyalahkan pentadbiran dahulu. Apakah langkah-langkah yang perlu diambil bagi menegakkan semula pentadbiran yang berkesan kepada negara.

            Kelihatan juga seolah-olah para Menteri tidak mengembelingkan tenaga pentadbir yang ada di setiap kementerian. Kemana perginya Ketua Setiausaha Kementerian. Ke mana hilangnya Ketua Pengarah. Berbilion ringgit dibelanjakan untuk membayar gaji para pegawai kerajaan yang melaksanakan tugas-tugas kementerian. Apakah mereka sedang ‘lena’ menikmati gaji yang lumayan yang diberikan oleh rakyat Malaysia melalui cukai-cukai yang dibiayai oleh rakyat.

            Atau mungkin juga disebabkan para menteri kita tidak ‘membuka mulut’ langsung memberikan arahan kepada para pegawai kita tentang apakah yang sepatutnya dilakukan oleh mereka. Sepatutnya para menteri mesti ‘berani’ memberi arahan tentang apa yang sepatutnya dilakukan demi memajukan kementerian dan negara. Dan sekiranya para menteri ‘mendiamkan diri’ tentulah para pegawai tidak berani untuk bergerak bersendirian.

            Mungkin juga agaknya mesyuarat ‘post-kabinet’ yang diadakan selepas mesyuarat kabinet tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh para menteri. Di situlah sepatutnya dijelaskan dengan sejelas-jelasnya oleh Menteri apakah yang sepatutnya dilakukan oleh para pegawai. Jika diteliti dan diperhalusi memang tidak sepatutnya berlaku keadaan di mana sehingga kini negara kita masih belum bergerak dalam keadaan yang sepatutnya.

            Jika betullah yang Perdana Menteri akan melihat dan meneliti ‘Report- Card’ setiap menteri maka amat wajarlah tahun 2020 dijadikan titik tolak menilai pencapaian yang dilakukan oleh seseorang menteri. Dan sampailah masanya Tun Mahathir melakukan tindakan drastik menasihati para menteri yang tidak mencapai tahap yang sepatutnya. Dan tentulah wajar juga mereka mengikutii jejak langkah Dr Mazlee daripada mereka berada di situ semata-mata untuk memanaskan kerusi dan ‘menghabiskan beras’ sahaja. Ataupun mungkin juga Perdana Menteri yang sepatutnya berundur.


abuhassanadam
8 Januari 2020

Tuesday, January 7, 2020

‘KUNDAS’ KANTIN PAK WAN


‘KUNDAS’ KANTIN PAK WAN

            Baru hari itu aku diketemukan dengan konsep Kantin – Kantin Pak Wan dan pada hari itu juga aku mula bersekolah. Darjah Satu. Tahun 1951. Dan yang mendorong untuk aku menulis tentang hal kantin ini hanya semata-mata untuk ‘bercerita’ kepada anak-anak zaman ini tentang keadaan kantin sekolah pada zaman pemerintahan British di Malaya ( Tanah Melayu). Dengan ‘penceritaan’ sedemikian dapatlah anak-anak zaman ini membandingkan kantin sekolah zaman ini.

            Kantin Pak Wan Dollah terletak tidak jauh dari kelas tempat aku belajar. Yang dikatakan kelas itu hanyalah sebuah bangunan berlantaikan tanah dan berdinding separuh siap disamping beratapkan zinc. Tidak dapat dibayangkan kepanasannya berada dalam kelas ketika hari panas. Dan itulah merupakan kelas tempat kami belajar disekolah pada zaman pentadbiran British.

            Loceng cangkul akan dibunyikan menandakan sudah sampai waktu rehat. Maka berduyun-duyunlah murid-murid menuju ke Kantin Pak Wan Dollah. Seingat aku barang makanan yang terjual di kantin Pak Wan adalah nasi lemak, meehun, kuih-kuih seperti lepat pisang, cucur bawang (cucur kodok) goreng pisang dll. Kesemuanya berharga 5 sen tiap-tiap satu. Dan kebanyakan murid-murid berbelanja hanya 10 sen. Sudah boleh ‘melapek perut’ menunggu makan tengah hari.

            Tidak ada ruang tempat makan yang khas seperti kantin sekolah yang ada sekarang. Murid-murid yang menikmat makanan samada duduk ditas tungkul kayu yang ada berhampiran dengan kantin berkenaan ataupun menikmati makanan sambil berdiri. Untuk mendapatkan minuman kami terpaksa pergi ke telaga Pak Mansur, jiran sekolah berkenaan untuk mendapatkan air minuman (mineral!)

            Walaupun dari segi kebersihan, Kantin Pak Wan tidaklah sebersih mana, namun tidak pula kedengaran ada murid-murid yang mengalami keracunan makanan disebabkan memakan makanan dari Kantin Pak Wan pada ketika itu.
           
            Teringat pula aku tentang ada sejenis kuih yang dipanggil ‘Kundas’ yang terjual di Kantin Pak Wan dan juga yang terdapat di kedai-kedai mamak yang terjual di pekan Padang Rengas. Kini tidak terdapat lagi kuih “Kundas’ terjual di kedai mamak di pekan Padang Rengas. Jikalau adapun terjual tidaklah sesedap ‘Kundas’ yang asli zaman dulu. Memang sedap!

            Setiap kali aku pulang bercuti balik kampung pasti aku akan singgah di kedai mamak di pekan Padang Rengas bertanyakan kuih ‘Kundas’. Kadang-kadang ada dan kadang-kadang tak ada!.

abuhassanadam
6 Januari 2020

TUN MAHATHIR – PISANG TAK BERBUAH DUA KALI


TUN MAHATHIR – PISANG TAK BERBUAH DUA KALI

           
            Betul kata orang tua-tua yang sering mengatakan bahawa pisang tak berbuah dua kali walaupun kita mengharapkan buah pisang yang dihasilkan pada kali pertama cukup segar dan sedap dimakan. Walaubagaimana pun kita mengharapkan pisang itu berbuah bagi kali kedua, ia tidak mungkin akan berlaku.

            Begitulah ibaratnya keadaan negara Malaysia kini pada pandangan aku. Tun Dr Mahathir telah mentadbir negara ini dengan cukup berkesan dari tahun 1981 sehingga 2003. Negara Malaysia telah mendapat pujian serata dunia sehinggakan negara tercinta ini sudah hampir mencapai status sebuah negara maju. Dan rakyat Malayisa amat terkilan dan kecewa apabila Malaysia yang telah ‘diletakkan’ oleh Tun Mahathir di satu tahap yang amat dibanggakan, tak semena-semena ‘ turun’ dari darjat yang tercipta.

            Kini rakyat mengharapkan Tun Mahatir akan menjadikan Malaysia lebih baik dari apa yang sepatutnya dilakukan pada pemerintahan awal beliau namun apa yang diharapkan oleh rakyat Malaysia tidak sepatutnya berlaku. Persepsi rakyat sememangnya berbeza apabila membandingkan pentadbiran Tun Mahathir dulu dan kini. Sebagai seorang yang mengikuti perkembangan pentadbiran Tun Mahathir semenjak zaman itu sehingga kini, aku dapat merasakan perbezaan yang ketara, menunjukkan ‘menurun’nya tindakan Tun Mahathir dari segi pentadbirannya.

            Sebagaimana yang pernah aku lukiskan dalam kebanyakan tulisanku, tidak dapat dibayangkan ‘sambutan’ yang diberikan kepada pemerintahan awal Tun Mahathir pada tahun 1981, apatah lagi dengan adanya pemimpin belia yang bernama Anwar Ibrahim yang dinanti-nantikan oleh rakyat untuk sama-sama memajukan negara bersama Tun Mahathir. Dan seolah-olah tidak ada titik noktahnya dasar yang ingin dilaksanakan oleh Tun Mahathir demi memajukan negara Malaysia. Berbagai dasar negara di perkenalkan seperti ‘Memandang ke Timur’nya, “Buy British Last’nya, ‘Malaysia Incorporated’nya dan lain-lain. Rakyat Malaysia ‘melonjak’ gembira menyambut segala dasar yang diperkenalkan yang jelas menampakkan hasrat untuk benar-benar memajukan Malaysia.

            Kini Tun Mahathir sekali lagi memerintah negara ini. Anti Climax. Kelihatan juga usaha Tun Mahathir untuk memertabatkan negara ini seperti mana yang didamkannya seperti tahun-tahun terdahulu, namun hasilnya begitu hambar. Rakyat memberikan masa dan peluang untuk beliau berbuat sesuatu tetapi jelas kelihatan bahawa setelah hampir dua tahun peluang diberikan hasilnya masih ‘ditakuk’ lama.

            Rakyat Malaysia seolah-olah hilang keyakinan kepada Tun Mahathir selaku pemimpin negara ini. Walaupun kesalahan boleh diletakkan ke bahu para menteri baru yang tidak cekap menjalankan pentadbiran namun ‘it's the body that wags the tail’. Walaupun pun para menteri boleh dipersalahkan namun kesalahan yang paling besar tentunya terpaksa diletakkan ke bahu Tun Mahathir juga yang ‘gagal’ memilih menteri yang betul dan berkebolehan.

Tidak pula Tun Mahathir dipersalahkan mengambil tindakan sedemikian kerana menteri yang dipilih adalah tokoh yang tidak berpengalaman. Bolehlah dijadikan alasan bahawa disebabkan menteri yang tidak berpengalaman maka harus diberikan masa bagi mereka mempelajari bidang ang diceburi. Tetapi soalnya berapa lama lagi masa yang diperlukan.

            Beberapa petunjuk telah diberikan menunjukkan bahawa rakyat sudah tidak dapat menerima lagi Pakatan Harapan pimpinan Tun Mahathir. PRK Tanjung Piai telah memberikan isyarat jelas yang rakyat disitu khususnya tidak boleh menerima lagi Pakatan Harapan dan kepimpinan Tun Mahathir. Rakyat tidak membenci Tun Mahathir tetapi sememangnya hukum alam bahawa ‘pisang tidak berbuah dua kali’. Walau bagaimana pun dicuba namun hasilnya tetap mengecewakan.

            Mungkin hukum alam juga yang telah menetapkan bahawa sudah sampai masanya Tun Mahathir mengundur diri dan menyerahkan kepimpinan kepada YB Saudara Anwar Ibrahim sebagaimana yang telah dipersetujui oleh kepimpinan Pakatan Harapan. Mungkin dengan berbuat sesuatu boleh menyelamatkan Pakatan Harapan dari kecundang. Dan PRK Kimanis yang akan datang boleh memberikan petunjuk.

abuhassanadam
7 Januari 2020