Thursday, February 21, 2013

STADIUM TERENGGANU DAN ISKANDAR BRIDGE PERAK



STADIUM TERENGGANU DAN ISKANDAR BRIDGE DI PERAK


Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, Terengganu runtuh lagi. Lima orang pekerja cedera. Mujurlah tiada berlaku kehilangan nyawa. Tentunya yang cedera atau sekiranya ada yang meninggal semestinya pekerja yang tergolong dalam kategori buruh kasar. Bukan ‘taukeh-taukeh’. Bukan orang kaya-kaya. Bukan orang yang bertanggungjawab  meluluskan projek berkenaan. Bukan golongan yang ketawa besar, terbahak-bahak apabila memperolehi projek berkenaan beberapa tahun yang lampau.

Kini golongan yang dikira bersalah itu hanya perlu ‘memasang’ muka P.Ramlee. Mesti pandai berlakun terutama di depan camera TV. Mesti tunjukkan muka perihatin dan bertanggungjawab ke atas segala apa yang berlaku, walaupun dalam hati dan perasaan tidak sedikitpun mengusik hati dan perasaan mereka. Yang perlu mereka lakukan ialah menunjukkan muka simpati kepada pekerja malang. Dan mungkin ini satu ‘blessing’ juga kerana dengan kejadian ini akan dapatlah mereka menunjukkan muka di hadapan TV, terutama dalam keadaan pucuk pimpinan sedang memilih calon untuk pilihanraya yang ke 13.

Stadium ini runtuh adalah takdir. Betul. Tapi mengapa Stadium Merdeka, Stadium Negara yang dibina puluhan tahun yang lampau tidak runtuh. Ini persoalan yang sedang difikirkan oleh rakyat. Salah siapa. Proses menuding jari tentunya akan bermula. ‘Puak’ itu akan menuduh ‘ puak’ ini. ‘Kumpulan’ itu akan menyalahkan ‘kumpulan’ ini. Masing-masing menyalahkan. Namun begitu kumpulan yang bersalah sudahpun mengakui kesalahannya, apabila mendapati dirinya terlalu resah dan susah untuk tidur, tidak berselera untuk makan, selalu diserangi perasaan resah gelisah.

Ada juga aku dengar yang siasatan terperinci mengenai keruntuhan stadium ini telah dijalankan. Apa dah jadi dengan siasatan itu?. Tak lengkap lagi kah siasatan yang dijalankan. Sepatutnya apabila dah berlaku sesuatu kemalangan ( yang terdahulu ) tentulah ia tidak berulang lagi. Ini tidak. Berulang lagi. Dan berapa kali lagi agaknya dia akan berulang.

Keadaan ini mengingatkan aku pada Jambatan Iskandar ( Iskandar Bridge kata orang Kuala Kangsar) yang merentangi Sungai Perak, menghubungkan Kota Lama dengan Karai. Kalau tak silap aku jambatan ini dibina tahun 1924. Ada tertulis di situ. Tak pernah roboh. Pada tahun 1966, berlaku banjir besar di Sungai Perak. Seluruh bandar Kuala Kangsar tenggelam. Paras air sampai ke permukaan jam besar Kuala Kangsar.Dan yang menghairankan aku walaupun banjir sebesar mana sekalipun, jambatan ini tidak pernah tenggelam. Roboh jauh sekali. Berdiri tegak dengan megahnya. Nordin Bridge yang dibina di Parit ( selepas Merdeka) pernah runtuh. Sekarang tak tahu pulak aku, ada lagi ke atau dah tak ada.

Aku terpaksa menyoal diri aku. Mengapakah Iskandar Bridge, sekolah-sekolah orang putih yang dibina pada zaman Brtish dulu begitu kukuh dan kemas buatan dan pembinaanya. Sampai sekarang masih kuat dan utuh. Dan mengapa pula bangunan yang dibina pada zaman kemerdekaan mudah benar runtuh dan roboh.

Aku bukan jurutera untuk memberikan jawapan teknikal.

Aku letakkan segala kesalahan ini kepada faktor nilai atau pegangan manusia yang pada fikiran aku sudah agak rosak teruk. Manusia yang dimakudkan itu adalah manusia yang tinggal di Malaysia. Orang Melayu, Cina dan India. Sudah agak rosak. Bukanlah semuanya. Seolah-olah nilai kemanusiaan sudah tiada dalam hati dan perasaan setengah manusia. Yang dipentingkan dan yang menjadi priority mereka adalah wang dan wang.

·      Bagi kontrektor yang mendapat projek berkenaan, seolah-olah mereka sudah tidak peduli kepada keselamatan nyawa. Mereka lupa bahawa stadium adalah tempat orang berkumpul. Tentunya ramai. Jika berlaku sesuatu keadaan yang tidak diingini, tentulah ramai nyawa yang melayang. Seolah-olah para kontrektor tidak peka kepada semua itu.
·      Tentu ada pihak yang bertanggungjawab meluluskan projek berkenaan sebelum dimulakan pembinaan. Apakah pihak yang bertanggungjawab itu tidak terlihat akan kelemahan-kelemahan yang terdapat pada projek berkenaan sekiranya dilaksanakan. Apakah mereka sanggup ‘ memejamkan sebelah mata’ sahaja.

Tentulah banyak lagi persoalan yang mungkin ditimbulkan sekiranya ‘dikorek’ satu persatu. Cukup sekadar kita membandingkan dengan keadaan pembinaan zaman dahulu ( zaman British misalnya ) yang masih tegap dan tegak dengan megahnya. Banyak sangat kita dengar tentang keruntuhan bangunan, keruntuhan lebuharaya dan berbagai keruntuhan lagi. Kita amat bimbang kalau-kalau bangunan-bangunan pencakar langit yang ada di negara ini juga mengalami nasib yang sama seperti stadium di Terengganu itu. Tidak boleh dibayangkan seramai mana pula nyawa yang akan melayang.


Abuhassanadam
22 Februari 2013


Wednesday, February 20, 2013

ANTARA PAK LAH DAN ANWAR


ANTARA PAK LAH DAN ANWAR IBRAHIM


Aku merasa bertuah kerana dapat bertugas sebagai Pegawai Khas kepada dua orang tokoh pemimpin negara. Pak lah dan Saudara Anwar Ibrahim. Aku berpeluang berkhidmat dengan mereka ketika mereka menjadi Menteri Pelajaran ( Pendidikan). Mulanya sebagai Pegawai Khas kepada Pak Lah ( 1984-1986) . Lepas itu sebagai Pegawai Khas kepada Saudara Anwar Ibrahim ( 1986- 1990). Dan setelah aku tilik dan aku kaji, memang tidak ada orang lain yang senasib dengan aku. Bertugas sebagai Pegawai Khas kepada  kedua-dua tokoh ini.

Dengan demikian aku berasa cukup bertuah dapat berkhidmat di bawah kedua-duanya. Tentulah banyak yang nak aku tulis mengenai kedua-dua tokoh ini. Satu buku tak cukup. Dan pastinya ramai pula yang ingin tahu tentang hal-hal yang berkaitan dengan diri mereka. Dan yang aku nak tulis tentunya bukan mengenai dasar pelajaran dibawah pimpinan mereka, tetapi tentunya hal-hal peribadi kedua-dua tokoh ini yang ada hubung-kaitnya dengan aku. Tentunya tidaklah perkara-perkara yang buruk mengenai mereka ( kalau pun ada).

Dan dapat aku katakan sepanjang pergaulan aku dengan kedua-dua tokoh ini tidak ternampak aku mereka melakukan perkara-perkara aib dan buruk di mata masyarakat. Tak pernah. Ini aku jamin. Namun begitu takkanlah mereka tidak pernah melakukan kesalahan dan kesilapan kecil yang boleh dimaafkan. Selagi namanya manusia pasti melakukan kesilapan. Itu tentulah tidak dapat dielakkan.

Tentulah banyak peristiwa yang sukar aku lupakan ketika bersama dengan kedua-dua tokoh ini. Yang aku nampak satu perbezaan besar antara kedua-dua tokoh ini ialah dari segi menikmati makanan. Bagi Pak Lah sememangnya bersemangat apabila menghadapi juadah. Pak Lah bukan kuat makan ( pelahap). Bukan. Aku tak setuju kalau kata begitu. Pak Lah sanggup ‘ mengorbankan’ dirinya dengan menunaikan hajat orang lain.  Pak Lah adalah manusia yang tak sampai hati mengecilkan hati orang. Seboleh-bolehnya dia akan layan. Siapa saja.

Aku teringat suatu hari ketika kami melawat negeri Kedah. Aku dah lupa tahun berapa. Tempatnya aku ingat. Di Sultan Abdul Hamid College, Alor Setar. Malam. Ketika makan malam. Aku tengok Pak Lah begitu bersemangat menikmati juadah yang dihidangkan. Lepas makan nasi, makan laksa. Lepas makan laksa makan kuih muih pulak. Bukan satu jenis kuih, berjenis-jenis. Pak Lah tidak sampai hati menolak pelawaan makan terutama apabila ada yang berkata, “ cuba try kuih ni Pak Lah, sedap…saya yang buat…”. Dia akan makan sampai aku ‘ takut’ melihat Pak Lah menikmati juadah berkenaan. Kerana nak ambil hati le tu…

Dan ketika mahu pulang ke hotel, apabila Pak Lah hendak menaiki keretanya, tiba-tiba datang pula seorang Cikgu muda bermotorsikal menghampiri kami. “ Pak Lah boleh tunggu tak sekejap…kami nak bawa nira untuk Pak Lah rasa…..” kata Cikgu muda itu. Pak Lah turun dari kereta dan memberitahu kami supaya menunggu ‘ kedatangan nira’. “ Tak pa, Pak Lah tunggu ni….” Katanya. Penamat cerita, kami sampai di hotel pada malam itu jam sudah menunjukkan angka satu. Itulah kisah Pak lah …..

Saudara Anwar memang ‘tak kuat’ makan. Mungkin dia jaga tentang pemakanannya. Takut gemuk agaknya. Olehkerana dia tak kuat makan, memang banyak kali dia menyebabkan kami ( pembantu-pembantu) ‘ marah’ berkaitan dengan hal makan. Sampai hari ini aku tak boleh melupakan peristiwa yang amat ‘menyedihkan’ berkaitan dengan makan.

Peristiwa ini berlaku di Seremban, Negeri Sembilan. Aku lupa  tahun berapa peristiwa ini berlaku. Yang aku ingat, Saudara Anwar merasmikan sebuah sekolah Cina di situ. Kebiasaanya selepas perasmian akan adalah jamuan-jamuan yang disajikan. Biasalah. Untuk menjamu YB Menteri. Dan tentunya hidangan yang disediakan tentunya sedap-sedap belaka. Dan yang kenyang  tentulah pembantu-pembantunya.

Tak pernah aku rasa seumur hidupku hidangan lemang dan rendang daging sesedap itu yang dihidangkan kepada kami pada hari itu. Memang orang Negeri Sembilan pandai buat lemang dan handal memasak rendang daging. Memang sedap sungguh. Untuk mengesahkan kenyataan aku boleh dirujuk Saudara Mokhtar ( Pengawal peribadi hingga sekarang). Yang menyebabkan kami ‘marah’ hingga kini ialah sedang kami baru nak mencuba ketul lemang yang kedua, tiba-tiba Saudara Anwar sudah bangun untuk beredar. Apa lagi le, kami pun terpaksalah beredar sama.  Tinggalah lemang dan rending yang sedap itu. Kami agak ‘terkilan’…

Sampai ke hari ini, aku dan Mokhtar tidak dapat ‘ memaafkan’ Saudara Anwar Ibrahim dalam hal ini. Mungkin dia tahu hal ini mungkin tidak!. Tapi aku Nampak dia tersenyum sinis apabila menjemput kami beredar. Seolah-olah berkata, ‘ padan muka hangpa….” Banyak lagi peristiwa-peristiwa sebegini yang akan aku ceritakan dalam siri-siri yang akan datang. Terlalu banyak peristiwa-peristiwa berkenaan.

Jikakalau ada orang yang bertanya aku mengenai kedua-dua tokoh ini, Pak Lah dan Anwar, aku hanya dapat simpulkan bahawa kedua-dua mereka adalah orang ‘ BAIK’. Itu saja yang dapat aku ucapkan. Jikalau ada orang yang dapat menafikan kenyataan aku itu, maknanya orang berkenaan lebih rapat dari aku. Itu aku tak tahu. Yang aku tahu mereka berdua adalah tokoh dan diberikan oleh Allah bakat pimpinan yang luar biasa.

Sebab itulah apabila ramai orang bertanya aku mengenai Saudara Anwar Ibrahim yang dikaitkan dengan kisah liwat, dengan tegas aku katakan, “ itu hanya fitnah. Aku tak fikir yang Anwar sanggup melakukan perkara terkutuk itu. Dan berasaskan kepada pergaulan aku dengan Saudara Anwar tidak aku Nampak walau sedikitpun bibit-bibit yang berkemungkinan Anwar melakukan perkara terkutuk itu. Begitu jugalah dengan fitnah-fitnah lain yang cuba memburukkan peribadi Saudara Anwar. Aku tak akan yakin Anwar sanggup melakukan.

Aku tak yakin……

Aku mendoakan ke hadrat Allah supaya orang yang sentiasa membuat fitnah segera bertaubat dan memohon ampun kepada Allah dan momohon  maaf kepadanya.

Abuhassanadam
21 Februari 2013

Tuesday, February 19, 2013

TONY BLAIR DAN GARY HART


TONY BLAIR DAN GARY HART

Bermacam perasaan menyerang aku. Kadang-kadang marah. Kadang-kadang semacam kecil hati. Kadang-kadang berasa sayu apabila melihat keadaan negara-negara maju seperti negara-negara Eropah atau Amerika Syarikat. Bukanlah tidak ada cacat celanya negara-negara berkenaan tetapi apabila diperhalusi ternampak banyak perkara yang baik daripada perkara yang tak baiknya.

Katanya Malaysia sebuah negara demokrasi. Ke hulu ke hilir orang mengatakan negara kita adalah sebuah negara demokrasi berparlimen. Betullah tu. Ada Parlimen tersergam di kawasan Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur. Ada wakil rakyat yang kita pilih dalam pilihanraya yang diadakan lima tahun sekali. Dan pilihanraya yang ke 13 sudah hampir benar. Sekali lagi kita akan pilih wakil rakyat untuk menjadi ahli parlimen.

Itu negara demokrasi la tu.

Entah macam mana aku berpeluang juga berada di luar negara untuk menyaksi dan menikmati perjalanan demokrasi di negara-negara barat. Pada tahun 1986 aku berada di Amerika Syarikat dan berpeluang jugalah aku melihat perjalanan demokrasi di negara berkenaan. Selama empat tahun ( 1995-1998 ) aku berada di London, dapat pula aku melihat perjalanan demokrasi di negara berkenaan.

Ketika berada di London pada tahun-tahun berkenaan aku bekesempatan melihat bagaimana parlimen British bersidang. Live. Aku dapat melihat bagaimana Tony Blair ( Ketua pembangkang pada ketika itu ) ‘bergasak’ dengan John Major  ( Perdana Menteri Conservative pada ketika itu ).  Tidak ada sekatan untuk bercakap samada pihak pembangkang atau pihak kerajaan. Bebas bercakap. Berdebat setiap hari. Mungkin berdebat itu budaya mereka agaknya. Sebab itulah mereka sanggup berdebat setiap hari. Dan oleh kerana ada yang berpendapat bahawa debat bukan budaya kita di Malaysia, maka ada juga antara pemimpin kita yang takut berdebat.

Begitu juga di Amerika Syarikat. Berdebat adalah budaya mereka. Nak jadi presiden mesti kena berdebat dulu. Mesti tunjukkan ‘ jantan’ calon yang nak jadi presiden. Mereka tak mahu pilih presiden yang tak ‘smart’. Tak ‘aci’. Main tipu-tipu juga tak boleh. Mereka pandai mengesan siapa yang nak tipu. Jikalau didapati menipu, mereka akan dihadapkan ke mahkamah. Hakim mereka tegas, tak berat sebelah, tak takut pada siapa pun dan tentulah tak ‘ makan-suap’ agaknya.

Secara kebetulan pada tahun 1986, adalah tahun apabila berlaku kempen  calon untuk Presiden. Gary Hart telah bertekad yang beliau akan bertanding sebagai calon parti Demokrat untuk jawatan President Amerika Syarikat. Entah macam mana selepas sahaja beliau mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan berkenaan, timbul khabar-khabar yang mengatakan yang beliau ada membuat hubungan sulit dengan Rice. Ada sekumpulan wartawan yang nampak Rice keluar dari rumah Gary Hart.

Gary Hart menafikan tentang hubungannya dengan Rice. Dia mengatakan sememangnya betul Rice pergi ke rumahnya tetapi ‘ untuk meminjam buku’ katanya. Setelah mendengarkan penafian Gary Hart itu, pada keesokan harinya, akhbar ‘ The Herald’ menyiarkan gambar Rice yang berpakaian Bimini duduk di atas riba Gary Hart, ketika berada disebuah Yacht bernama “ Monkey Business’

Setelah tersiarnya gambar berkenaan, Gary Hart terus mengumumkan penarikan dirinya dari bertanding jawatan presiden. Banyak yang boleh kita pelajari dari peristiwa ini.

·      Adanya kebebasan akhbar di negara-negara berkenaan dapat menyelamatkan negara mereka daripada memilih calon presiden yang cuba berbohong dan berperangai buruk yang sememangnya tidak sesuai menjadi pemimpin.
·      Akhbar di US bebas menyiarkan apa berita sekalipun. Dan tidak pula ada sekatan dari pihak pemerintah sekiranya menyiarkan berita yang tidak seiring dengan hasrat pemerintah. Kebebasan akhbar dalam erti kata yang sebenarnya.
·      Apabila Gary Hart sedar yang beliau telah bersalah, beliau tidak pula cuba mengelak dan menafikan kesalahan yang dilakukannya. Dan tidak pula dia menggunakan penulis upahan untuk membela dirinya.

Inilah suatu kenikmatan yang aku rasai ketika berada di sebuah negara yang  mengamalkan prinsip demokrasi.

Samada berada di London atau di New York, membaca akhbar pada waktu pagi adalah suatu kenikmatan yang tidak boleh dilupakan. Keadaan sedemikian wujud juga di Malaysia, ia itu pada tahun-tahun 60an dan 70an dimana membaca akhbar adalah suatu kenikmatan. Bukan sahaja kita tahu apa yang berlaku di sekeliling kita, tetapi dapat juga mengasah fikiran dan menambah ilmu melalui pembacaan akhbar. Majalah sisipan ‘ The Asiamagazine’ yang datang bersama dengan The Straits Times ( 60an dan 70an) adalah majalah yang ditunggu-tunggu untuk ‘dinikmati’. Dan pada ketika itu  akhbar “ The Starits Times’ ataupun “ Utusan Melayu’ adalah akhbar yang bermarwah.

“ Nightline’ yang dihoskan oleh Ted Koppel dari ABC atau pun “ Breakfast Poppery’ dari BBC adalah rancangan-rancangan yang boleh menambahkan ilmu pengetahuan kita mengenai kedaan dunia semasa. Walaupun kadang-kadang ada ternampak yang mereka sedikit ‘condong’ ketika membicarakan sesuatu isu, namun pada umumnya prinsip kebebasan bersuara masih diamal dan dipatuhi.

Rindu benar perasaan ku pada keadaan serupa itu berlaku di Malaysia, negara ku yang tercinta ini.

Abuhassanadam
20 Februari 2013


PAK MAT PENGGALI KUBUR


PAK MAT-PENGGALI KUBUR


Pada 12 Februari 2013, hari Rabu ayahanda tersayang ADAM BIN PANDAK MAT ARIP telah menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 9.45 malam dalam usia tua 90 tahun. Arwah dilahirkan pada tahun 1923.

Amat panjang ‘perjalanan’ hidupnya. Melangkaui krurun. Mengalami zaman Jepun , zaman penjajahan dan zaman kemerdekaan. Berpendidikan hanya setakat Darjah 5 ‘ sekolah atap ‘ ( sekolah Melayu ) dan menyambung pelajaran di sekolah Arab ( Agama). Berpendidikan sedemikian pada ketika itu dianggap sudah cukup bagus kerana kebanyakan penduduk kampungku ( pada ketika itu ) masih lagi buta huruf. Tidak ramai yang bersekolah sepertimana juga orang Melayu lain di seluruh Tanah Melayu.

Bukankah sememangnya tujuan British memberikan pendidikan kepada orang Melayu pada ketika itu adalah ‘ supaya mereka menjadi petani yang lebih berpelajaran daripada bapa mereka’. Itu R.O Winstedt ( orang putih) yang kata. Walaupun mereka mendirikan sekolah-sekolah, tetapi penjajah tidak berhasrat untuk memberikan pendidikan tinggi kepada anak Melayu. Hanya untuk menjadikan petani yang lebih baik. Ataupu sekiranya mereka belajar di sekolah Ingeris hanyalah untuk menjadi kerani atau peon sahaja. Membantu penjajah Inggeris menjalankan pentadbiran.

Arwah bapa aku hanya orang kampung biasa. Petani yang bekerja kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Tetapi bagiku dia adalah segala-galanya. Dia merupakan orang pertama di kampung aku yang menghantar anak-anaknya ( aku dan adikku ) ke sekolah Inggeris. Pada ketika itu sesiapa yang menghantar anak belajar di sekolah Inggeris, boleh dikira sebagai usaha untuk menukar agama menjadi Kristian. Tetapi bapaku tabah mengahadapi keadaan itu. Dia tak peduli apa orang lain kata.

Dari segi politik pula, dia ada bersama-sama dengan ratusan pemuda daerah Kuala Kangsar di Panggung Empire Kuala Kangsar mendengar ucapan Ahmad Boestamam yang mengetuai API ( Angkatan Pemuda Insaf). Dia pernah menceritakan kepada aku tentang keberanian Ahmad Boestamam menghadapi ancaman tentera British ketika itu. Ketika negara menyambut kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, arwah bersama-sama aku mendengar ucapan Tunku Abdul Rahman pada malam bersejarah itu di kedai Pak Alang Ibrahim melalui Radio Malaya. Kalau tak silap aku juruhebah pada malam bersejarah itu ialah Abu Bakar Ahmad ataupun Ibrahim Tahir.

Kini bapa aku dah tidak ada lagi. Arwah dikebumikan di perkuburan Kampung Keroh Hilir, Padang Rengas. Dia meninggal di rumah adik ku di Pualau Pinang dan dikebumikan bersebelahan dengan pusara ibuku di kampung.

Mat Saad adalah penggali kubur untuk arwah bapak aku. Nama sebenarnya Mat Saad bin Dahaman. Tetapi di kampung ada panggilan tertentu untuk sesiapa yang bernama Mat atau Ahmad. Mat adalah rakan karibku sejak dari kecil. Sejak dari awal lagi beliau telah memberitahu aku, “ sekiranya berlaku sesuatu kepada Pak Adam, beritahu aku segera…”

Maknanya dalam bahasa yang senang difahami, sekiranya bapak aku meninggal, beliaulah yang bertanggungjawab untuk menggali dan mengendalikan mayatnya. Satu penghormatan yang diberikannya kepada aku dan arwah bapak aku.

Pada hari pengkebumian bapak aku, memang ramai orang kampung datang mengiringi jenazah buat kali terakhir. 90 % dari orang kampung hadhir. Aku masih kenal benar dengan orang kampung aku. Kebanyakan mereka adalah saudara mara ku. Saudara terdekat atau bau bacang. Ada kaitan keluarga. Dengan sebab itulah mereka ‘ terpaksa’ menghadhirkan diri untuk mengiringi jenazah arwah bapak aku.

Pak Mat penggali kubur mendapat perhatian istemewa dari anak-anak ku yang hadhir sama mengiriingi jenazah Atuk mereka. Anak-anak aku sentiasa memberikan pujian yang tak habis-habis kepada Pak Mat penggali kubur. Semasa Pak Mat dan rakan-rakan menggali liang lahat untuk arwah, mereka ada bersama melihatkan gelagat orang kampung ku menggali kubur.

“ Kalau di London, terpaksa pakai tractor le untuk menggali kubur begitu” kata anak aku yang bermastautin di United Kingdom dan secara kebetulan bercuti di Malaysia. Amat bertuah dia berkesempatan bersama dengan jenazah Atuknya.

Anak-anak ku yang lain juga amat jarang melihat suasana menggali kubur oleh orang kampung. Dilakukan secara bergotong royong. Mereka bertanya berapa upahnya aku bayar kepada Pak Mat dan rakan-rakannya. Aku kata, “ mereka bekerja bukan untuk mendapatkan bayaran’. Namun begitu terpulanglah kepada ikhlasan aku untuk membalas budi yang telah dicurahkan.

Aku bangga dan terus bangga dengan sikap yang ditunjukkan oleh orang kampung aku. Walaupun di sini tempat lahir ku, namun amat jurang juga berada dalam situasi begini. Di kubur. Ditengah-tengah masyarakat penggali kubur. Aku bangga kerana tradisi menggali kubur yang dilakukan kini tidak ubah seperti keadaan penggali kubur pada zaman tahun-tahun 50an dulu, ketika aku masih kecil. Tak banyak bezanya. Ataupun hampir tak berbeza langsung.

Aku mengangkat tangan bersyukur kepada Allah kerana mengekalkan keadaan sedemikian.

Ada 25 orang yang telah disenaraikan untuk menggali kubur arwah bapa aku. Maknanya 25 orang telah dengan sukarela bersedia untuk berkhidmat tanpa paksaan. Zaman dulu-dulu begitulah juga caranya. Tidak ada paksaan. Tidak mengharapkan balasan atau upahan. Kini pun mereka tidak bersikap begitu. Terpulanglah kepada keluarga jenazah untuk memberikan sedekah keapda mereka.

Orang kampung ku bersurai setelah Talqin di baca dan diakhiri dengan doa tahlil.

Dalam perjalanan pulang berbagai-bagai kenangan dan ingatan menerpa ingatan ku.

·      Aku amat bangga dengan sikap orang kampung ku yang masih berpaut kepada tradisi lama.
·      Walaupun ramai anak kampung ku yang telah berjaya dalam lapangan masing-masing, namun sifat ‘ kampung’ masih lagi dipegang dengan kuat.
·      Kemuliaan orang kampung ku terletak dari sikap mereka yang tidak materialistic, berbanding dengan sikap setengah orang kampung yang telah berhijrah ke bandar-bandar.

Pak Mat penggali kubur mungkin merasa puas setelah dapat menyempurnakan tugasnya menggali liang lahat untuk arwah bapak aku. Dia akan ‘berkhidmat’ semula sekiranya berlaku kematian di kampung ku. Esok atau lusa.


Abuhassanadam
19 Februari 2013

Monday, February 18, 2013

JANGAN KELIRU


JANGAN KELIRU……

Aku tak mahu kata le yang masih ramai rakyat di Malaysia kini tak berapa cerdik. Bilangan dan peratusnya aku tak pasti. Tapi ramai le. Yang aku hairan ialah mengapa setelah lebih setengah abad kita merdeka, masih ramai rakyat kita yang tidak merdeka, tidak berapa cerdik, tidak beberapa peka dengan keadaan sekeliling, tidak begitu arif melihat dan menilai pergerakan politik negara, dan beberapa ‘ tidak’ lagi.Masih banyak benar ‘ tidak’nya.

Dan yang malangnya, apa yang aku ceritakan ini berlaku kebanyakannya pada masyarakt luar bandar. Orang Melayu. ‘Adik-beradik’ aku yang berada di seluruh Malaysia. Aku tak kata yang ‘tak berapa cerdik ni terdiri dari orang kampung semata-mata. Orang Melayu yang tinggal di bandar pun ramai juga yang berkeadaan begitu.

Mungkin ramai yang marah dengan kenyataan aku ni. Taka pa lah. Marah-marah le. Aku tak peduli. Asalkan aku cakap perkara yang betul. Semuanya benar belaka. Tidak ada sebab yang aku terpaksa menipu dalam hal ini. Bukan ada siapa yang mengupah aku untuk menipu. Mungkin jikalau ada orang yang mahu bagi aku RM 1 Juta untuk menipu, mungkin aku setuju dan berbuat begitu. Mungkin!. Itu pun sekiranya aku dah hilang akal, lupa kepada pesan arwah mak bapak, sudah lupa yang esok lusa aku akan mati, sudah tidak peduli ajaran Pak Haji Sulaiman, guru agamaku masa aku kecil-kecil dulu.

Masih ramai rakyat yang tidak begitu faham tentang konsep negara, pemerintahan dan kepartian. Sebagai misalan,

·      Masih ramai yang merasakan mereka terhutang budi kepada kerajaan sekarang kerana memberikan mereka berbagai bantuan, pertolongan. Betul le. Tetapi ada pula pihak yang memutar-belitkan dengan mengatakan yang BN yang mengeluarkan bantuan itu. Hanya BN yang mampu berbuat begitu. Mungkin betul. Mungkin tidak. Mungkin jikalau pembangkang ( sekarang ) membentuk kerajaan, mungkin akan berbuat demikian juga. Pada hakikatnya wang dan bantuan itu bukan wang BN. Itu adalah wang kerajaan. Wang rakyat yang dikutip daripada cukai yang dikenakan kepada rakyat. Ini yang tidak difahami oleh sebahgian masyarakat di Malaysia.

·      Ada dikalangan pegawai kerajaan, pasukan keselamatan tidak faham bahawa taat setia mereka adalah kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung. Khidmat mereka adalah kepada kerajaan yang memerintah. Kerajaan yang memerintah kini adalah Barisan Nasional. Dan sekiranya dalam pilihan raya ke 13 nanti, Barisan Nasional kalah kepada Pakatan Rakyat, maka kerajaan yang memerintah pada ketika itu adalah kerajaan Pakatan Rakyat. Dan para pegawai kerajaan dan pasukan keselamatan akan bekerja untuk kerajaan Pakatan Rakyat. Hal ini perlu jelas kepada pihak yang berkenaan. Mereka bukan berkhidmat kepada parti  tetapi khidmat mereka adalah kepada rakyat.

·      Begitu juga dengan alat penyiaran yang dimiliki oleh kerajaan. Sepatutnya mereka berkhidmat untuk rakyat terbanyak, bukan kepada parti yang memerintah. Aku masih ingat pada keadaan tahun-tahun 50an, 60an, 70an dulu di mana seingat aku le, alat penyiaran kerajaan tidak disalahgunakan  oleh parti yang memerintah. Pada ketika itu alat penyiaran kerajaan betul-betul menepati erti kata sebenarnya. Berkhidmat untuk rakyat.

Yang menyedihkan aku masih ada lagi pihak-pihak tertentu yang memutar-belitkan fakta. Dengan kata lain ‘ menipu’ rakyat yang kurang arif, khususnya rakyat di kawasan luar bandar. Memperkatakan sesuatu fakta yang sememangnya tidak betul dan tepat. Dan yang paling parah lagi ialah ada pihak-pihak itu tidak segan silu memfitnah dan memburuk-burukkan pemimpin. Apakah mereka sudah hilang pertimbangan keagamaan mereka. Atau apakah mereka tidak diajar supaya jangan bersikap demikian oleh ibu bapa mereka..Aku tak faham.

Dan rakyat semestinya tahu dan faham bahawa parti mana yang memenangi pilihan raya yang ke 13 nanti mesti mematuhi Perlembagaan Malaysia. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 telah ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu dan British pada 15 Ogos 1957. Antara isi-isi penting yang perlu difahami oleh rakyat ialah,

·      Institusi  Raja dijadikan Raja Berperlembagaan pada peringkat negeri dan negara.
·      Kedudukan istemewa orang Melayu dikekalkan
·      Agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan
·      Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
·      Tanah Simpanan Melayu dikekalkan

Dan banyak lagi peruntukan –peruntkan lain yang terdapat dalam Perjanjian Perskutuan itu.

Walau parti mana yang memenangi pilihan raya akan datang, perkara di atas tak boleh diubah. Dah termaktub. Semua bangsa dah setuju. Dah elok. Kemas. Dan yang pentingnya sudah teruji buat beberapa lama, semenjak 1957.


Abuhassanadam
18 Februari 2013


Sunday, February 17, 2013

IMEJ MALAYSIA TERCALAR......


JANGAN DICALARKAN IMEJ MALAYSIA


Akhbar The Star- 16 Februari 2013 melaporkan

Australian senator Nick Xenophon was not allowed to enter the country as his name is on the Immigration Department's blacklist.
Immigration director-general Datuk Alias Ahmad said Xenophon had been listed as prohibited immigrant ……He said prohibited immigrants were those whose presence in Malaysia was a danger to the community….“Prohibited immigrants are also those who could cause disorder in the country”

Ketua Pengarah Immigration telah menjelaskan dan memberikan sebab-sebab mengenai penahanan itu. Itu kata pihak immigration kita. Bagaimana pula dengan pihak kerajaan Australia.  Adakah mereka mahu terima penjelasan dari pihak kita. Dan apa pula kata masyarakat luar tentang penahanan sedemikian.

Dan mengikut berita ABC News ( Australia ) bertarikh 17 February 2013, punca penahanan mengikut kata yang empunya diri ialah,

"But it seems the only risk I am is to embarrassing the Malaysian government because of my advocacy for clean elections in Malaysia."

Dia menyambung lagi kenyataannya,

"We're expressing our disappointment. We're seeking a full explanation of this," he said. Former prime minister Kevin Rudd agrees the detainment was unacceptable and says Australia should be robust in its response.

Aku sebagai rakyat Malaysia amat bimbang dengan keadaan ini. Aku takut imej negara ini akan tercalar di mata dunia. Malaysia ialah kepunyaan rakyat Malaysia. Bukan dimiliki oleh seorang dua individu tertentu. Sekiranya silap langkah, persepsi luar terhadap negara kita akan menjadi begitu negatif sekali. Hancur.

Aku berkata demikian kerana, aku pernah mengalami beberapa situasi di luar negara ketika negara Malaysia begitu harum namanya di persada dunia. Tahun-tahun 1990an ( sebelum 1998 ) seluruh dunia kenal Malaysia. Di mana saja kita pergi dan berada orang luar akan mengenali kita dan bercakap mengenai Malaysia. Pada ketika itu kedudukan kita sudah atau pun hampir tergolong dalam the ‘ five tigers of Asia’. Sudah sama atau hampir-hampir sama dengan Singapore, Hong Kong. Pada ketika itu kita telah meninggalkan negara-negara seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan lain-lain.

Pendek kata, imej Malaysia pada ketika itu  amat hebat. Sentiasa diperkatakan. Sangat positif. Dan ada beberapa peristiwa yang aku alami, yang amat membahagiakan ( sebagai anak Malaysia) dalam keadaan negara kita yang berimej tinggi di mata dunia.

Suatu pagi di  No 44, Bryanston Square London, di mana terletaknya bangunan Malaysian Student Department  UK & Eire, aku terserempak dengan seorang mem orang putih yang sedang memerhatikan plaq yang tertera pada bangunan itu. Sekarang dah tidak ada lagi. Dah pindah ke tempat lain. Plaq berkenaan tertulis, “ MALAYSIAN STUDENT DEPARTMENT’. Jadi mem orang putih itu sedang membaca dan memerhatikannya.

“ Boleh saya tolong mem?” kataku. Cakap orang putih le. Aku bertanya begitu sebab, aku tengok dia berminat benar dengan tulisan itu. Lagi pun Opah aku pesan agar jangan sombong. Tegur orang. Kut-kut dia dalam kesusahan. Tolong. Itu pesan Opah aku.

“ Saya Nampak perkataan ‘MALAYSIA’. Jadi saya terhenti kerana saya banyak dengar mengenai Malaysia. Sebuah negara yang pesat membangun. Mahathir, Anwar Ibrahim…” Dia semacam nak ‘ berceramah’  panjang lebar. Aku potong cakapnya.

“ Apa yang anda dengar tentang Malaysia?” Tanya ku.

“ Hebat…..” katanya pendek.

Alangkah bangganya aku, sebagai anak Malaysia, orang luar, orang putih pulak tu memuji negara kita, pemimpin kita. Dan cara dia bercakap memuji Malaysia nampaknya dengan penuh ikhlas. Lagipun kalau difikirkan apa perlu dia memuji Malaysia pada aku, bukan aku boleh bagi dia kontrek pun…..

Satu lagi episod.  Ini berlaku di Geneve, Switzerland. Aku dijemput untuk memberikan ceramah di sebuah universiti di sana. ( Ceramah tu hebat benar bunyinya. Bersembang-sembang . Macam bersembang atas pondok menunggu durian luruh. Tapi di Switzerland.) Ketika aku keluar dari Lapanganterbang Geneve, aku di jemput oleh seorang wakil dari university berkenaan. Ayat pertama yang ditujukan pada aku ialah,

“ Apa khabar Saudara Anwar Ibrahim? “Dia bertanya. Mana pulak aku nak tahu cerita DS Anwar Ibrahim,. Dia Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Jauh benar bezanya kedudukan dia dengan aku. Dia di Malaysia. Aku di London. Dah dua tahun aku tak menjejakkan kaki di Malaysia ketika itu.

“ Baik-baik belaka” Jawab aku pendek.

Daripada pengalaman ini dapat aku bayangkan bahawa mereka mengikuti perkembangan dan kehebatan negara kita. Seolah-olah Malaysia sentiasa berada dalam ingatan mereka. Secara kebetulan pula pada ketika itu Malaysia sememangnya mengalami zaman keemasannya. Dr. Mahathir memang terkenal di seluruh dunia dalam banyak segi. Saudara Anwar Ibrahim pula begitu juga. Apatah lagi apabila beliau terpilih untuk menjadi Pengerusi UNESCO, sebuah badan antarabangsa. Anak Malaysia yang pertama menerajui badan dunia itu. Selepas itu tidak pernah lagi ada anak Malaysia yang menerajuinya. Jadi Malaysia pada ketika itu memang hebat.

Imej Malaysia di mata dunia  ektika itu amat memberangsangkan. Lantaran itulah aku amat bimbang dengan peristiwa Senator Nick Xenophon dari Australia itu. Kita amat bimbang kalau-kalau peristiwa ini digambarkan secara negatif oleh akhbar luar negara. Kesannya amat buruk kepada negara kita.

Apabila begitu keadaannya tidaklah kita memperolehi layanan VVIP lagi oleh negara luar sepertimana yang pernah aku alami dan yang pernah juga dialami oleh kawan-kawan lain yang pernah bekerja di luar negara.
Harap-harap janganlah berlaku demikian.


Abuhassanadam
17 Februari 2013

Saturday, February 16, 2013

ANTARA MAHATHIR DAN ANWAR


ANTARA MAHATHIR DAN ANWAR

Aku dah kata aku memang suka sangat menulis tentang dua orang tokoh ini Tun Dr. Mahathir ( selepas ini Dr. Mahathir ) dan DS Anwar Ibrahim ( Saudara Anwar ). Dah aku jelaskan beratus artikel sudah aku tulis tentang mereka semenjak tahun 1981. Dan apabila  Saudara Anwar menyertai kerajaan lagi rancak aku menulis dan amat terangsang dengan kepimpinan kedua-dua tokoh ini. Aku ingat ‘ panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari’.

Peristiwa 1998 mengubah segala-galanya. Bagi aku peristiwa itu amat pahit menimpa negara umumnya dan bangsa Melayu khususnya.

Cadangan Cikgu Nordin Mahmud agar kedua-dua pahlwan ini berdepan dalam satu pilihan raya adalah cadangan seorang pahlawan. Hanya yang berdarah pahlawan sahaja yang mengemukakan cadangan serupa itu. Cikgu Nordin adalah pahlawan dari kalangan guru Tanjung Malim ( SITC – kini dipanggil UPSI ) yang amat arif dengan erti perjuangan,dan  yang pernah merasakan perit getirnya menentang penjajahan British dan sama-sama berjuang menuntut kemerdekaan. Dalam bahasa kasarnya beliau bukan seorang pejuang ‘pondan’ yang sentiasa menjadi ‘ Yes-man” dan ‘ kaki angguk’.

Mungkin bagi anak muda kini merasakan cadangan sedemikian tidak rasional. Mungkin. Dan mungkin juga yang berkepentingan merasakan cadangan sedemikian tidak lojik. Tetapi bagi seorang pejuang yang pernah berpencak di berbagai gelanggang, itulah cara bahasa yang dituturkan. Itu dinamakan bahasa pahlawan.

Walaupun pertarungan antara Hang Tuah dan Hang Jebat dalam sejarah Melayu tidak boleh disamakan seratus peratus dengan pertarungan Dr. Mahathir dengan Saudara Anwar, tetapi sedikit sebanyak pertarungan itu boleh dijadikan renungan oleh orang Melayu kini ditinjau dari beberapa sudut. Bagi aku ( dan pernah aku tulis pun ) antara Dr. Mahahthir dan Saudara Anwar adalah seperti abang dan adik. Lebih kurang sama dengan antara Hang Tuah dengan Hang Jebat.

Semenjak dari bangku sekolah sehinggalah ke University Malaya dan menjangkau sehingga kini Saudara Anwar Ibrahim sentiasa memperjuangkan ‘ the conscience of the majority’. Itulah perjuangannya. Dengan sebab itulah pengikut tegar Anwar adalah terdiri daripada golongan yang memperjuangkan falsafah ‘ the conscience of the majority’ itu. Mereka bukan pengikut Anwar yang membabi buta. Mereka sebenarnya menyokong perjuangan Anwar disebabkan Anwar memperjuangkan sesuatu yang dekat dengan hati dan perasaan mereka. Mereka juga memperjuangkan perkara yang sama. Sekiranya Anwar tergelincir dari landasan perjuangan itu maka berkemungkinan besar pengkiut setianya akan berpindah mencari tempat lain untuk ‘ menyangkutkan dagu’.

Dr. Mahathir pun begitu juga pada awal perjuangannya. Dengan sebab itulah maka Anwar dengan rela hati sanggup bersamanya berjuang menggunakan wadah UMNO untuk membela bangsa. Anwar yang aku kenali tidak mudah untuk diperkotak-katikan. Tidak mudah untuk dibeli sebagaimana yang berlaku kepada setengah ‘ pejuang’ ( kononnya !!) pada hari ini yang sanggup melacurkan diri untuk sesuap pagi dan sesuap petang.

Anwar tidak begitu. Begitu juga dengan kebanyakan pejuang tulin pada zaman silam. Zaaba, Dato’ Onn Jaafar, Ishak Haji Muhammad, Ibrahim Yaakub, Dr. Burhanuddin,Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Dr. Ismail adalah antara pejuang-pejuang yang harus ditelaah peribadi mereka oleh anak muda kini yang berminat untuk menjadi seorang pejuang tulin. Bukan pejuang tiruan !!

Dr. Mahahthir pada ketika itu ( 1981) yakin sekiranya Anwar tidak dipikat untuk menyertai UMNO dan berjuang bersamanya, maka pastinya Anwar akan bertembung dengannya juga dalam wadah perjuangan yang berlainan. Pada ku itu merupakan pertembungan pertama yang dapat dielakkan. Lantas mahu tidak mahu, Dr. Mahathir menggunakan kebijaksanaannya memikat Anwar dan berjaya. Walaupun pada awalnya para pengikut setia Anwar agak ‘ skeptical ‘ tentang langkah Anwar ( menyertai UMNO ) itu, namun dapat dibuktikan kemudianya oleh mereka ( Mahahthir dan Anwar ) bahawa gandingan abang adik itu dapat dimanfaatkan oleh negara. Bagi ku era ( 1982-1998) adalah zaman keemasan bagi negara Malaysia.

Malangnya bagi bangsa Malaysia, berlaku peristiwa hitam tahun 1998. Pemecatan Anwar Ibrahim. Ini merupakan pertembungan kedua antara Dr. Mahahthir dan Anwar  sehinggalah sekarang. Semenjak 1998 sehingga 2013, perbalahan berterusan. Aku tidak mahu menyentuh sebab dan punca perbalahan, tetapi aku hanya mahu menunjukkan yang perbalahan it terus menerus. Dan pastinya tidak akan berhenti kerana perbalahan antara abang dan adik adalah seperti ‘ carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga’.

Lantaran kefahaman sedemikianlah Cikgu Nordin mencadangkan diadakan ‘pertembugan’ antara dua pahlawan ini dalam satu pilihan raya. Pertembungan ‘ kalah-mati’. Sebab itulah cara yang sebaik-baiknya agar rakyat dapat menilai siapa yang benar dan siapa yang salah. Dan bererti juga bahawa itulah yang sebenarnya lunas-lunas demokrasi yang diamalkan oleh manusia bertamadun. Kalah menang adalah mainan dalam negara yang berpasakan prinsip demokrasi. Pastinya juga kedua-dua pahlawan ini tidak gentar menghadapi antara satu sama lain kerana ‘berpencak’ dan’ bersepak terajang’ adalah mainan mereka ‘semenjak dari kecil’ lagi.

Hanya pejuang  lemah’yang takut dan bimbang untuk ‘ bersepak-terajang’

abuhassanadam

16 FEBRUARI 2013