Tuesday, January 26, 2021

KITA JAGA KITA - JANGAN HARAP ORANG LAIN JAGA KITA..

 KITA JAGA KITA –

JANGAN HARAP ORANG LAIN JAGA KITA…

Entah macam mana aku merasakan bahawa ’cogan kata’ di atas amat sesuai dengan keadaan yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia kini. Apa tidaknya. Walaupun ada kedengaran tentang pertolongan yang ’berbagai-bagai’ yang kononnya dihulurkan oleh pihak berwajib (ekoran daripada penularan Covid 19 dan keperluan untuk menjalankan pembelajaran On-Line) namun rakyat  di luar bandar yang memerlukan masih merasakan bahawa mereka diabai dan disisihkan daripada  mendapat pertolongan.

Dua ’malapetaka’ yang betul-betul menguji kesabaran rakyat khususnya rakyat luar bandar ialah Covid 19 dan keperluan untuk menjalankan pembelajaran On-Line bagi pelajar-pelajar yang menghadapi peperiksaan SPM. Ditambah pula dengan limpahan banjir menokok tambah lagi kesusahan yang ada. Tambah dan menokok penderitaan itu ialah tentang kisah anak-anak terpaksa menghadapi peperiksaan SPM dalam keadaan yang amat mencabar.

Ada terdengar ’suara-suara’ dari pihak berwajib yang kononnya akan menghulurkan bantuan tetapi kadang-kadang bantuan sedemikian ’hilang’ entah ke mana. Ataupun mungkin bantuan ’ hilang’ di tengah jalan atau mungkin segala bantuan itu hanya sampai ke tangan saudara-mara pihak berwajib yang langsung tidak sampai ke tangan golongan yang memerlukan.

Dalam suasana negara yang sebegini ada juga pihak berwajib yang lebih mementingkan pembinaan bangunan dewan daripada  menyediakan bantuan untuk membantu anak-anak ke arah persediaan peperiksaan. Kita pun kadang-kadang hairan melihatkan tujuan pihak tertentu ke arah sesuatu yang bukan suatu keperluan mendesak, demi untuk memajukan kehidupan rakyat.

Para pemimpin negara mungkin sibuk memberikan pertolongan kepada rakyat dalam keadaan yang terdesak kini terutama bagi penduduk di luar bandar. Namun begitu rakyat tidak begitu terasa adanya tangan dihulurkan dengan seikhlas-ikhlasnya untuk memberi bantuan. Mungkin bantuan itu ada dihulurkan tetapi tidak kelihatan dan tidak rasa bantuan sedemikian sampai ke pihak yang betul-betul memerlukan. Dan akhirnya rakyat terus merasakan bahawa ’kita jaga kita’ merupakan ’falsafah’ yang amat sesuai untuk diamalkan. Maknanya kita terpaksa jaga kebajikan kita dan tidak mengharapkan pertolongan dari orang lain apatah lagi wakil rakyat yang sepatutnya berusaha meringankan kehidupan rakyat. Kita jaga kitalah…..

Keadaan yang dialami negara kini memberikan kesan yang amat besar kepada rakyat di hari muka. Mungkin kesan dari  apa yang berlaku tidak kelihatan dalam sekelip mata, namun kesan jangka panjangnya akan kelihatan pada masa akan datang.

Aku ingin memberikan contoh tentang suatu keadaan kesusahan yang dialami oleh masyarakat Melayu ketika dalam zaman penjajahan British. Walaupun ada perbezaan kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh masyarakat Melayu kampung dengan keadaan zaman pendudukan British dari segi mendapatkan peluang pendidikan, namun boleh dijadikan ’sempadan’ agar jangan lagi orang Melayu terjerumus ke kancah sedemikian.

Maksud aku begini. Aku perhatikan ramai orang Melayu semakin kecewa samada yang berada di kampung atau yang berada di bandar dalam usaha untuk mendapatkan peluang pendidikan dalam suasana Covit 19 ini. Bukan anak-anak yang hendak mengambil peperiksaan sahaja yang semacam kecewa, tetapi ibu bapa sendiri bukan sahaja kecewa tetapi sudah sampai ke peringkat berputus asa. Keadaan sedemikianlah yang harus dijauhi dan hendaklah dijadikan cabaran oleh ibu bapa agar keadaan sedemikian tidak menghalang pencapaian cita-cita anak-anak.

Aku teringat akan suasana yang terpaksa dilalui oleh ibu bapa dalam zaman penjajahan British untuk menyekolahkan anak-anak. Ramai ibu bapa yang ’tewas’ dalam usaha memberikan pendidikan kepada anak-anak mereka disebabkan cengkaman kemiskinan. Kebanyakan ibu bapa ’tewas’ sebelum ’berjuang’. Maknanya ibu bapa Melayu sudah awal-awal mengaku kalah dalam hal menyekolahkan anak-anak pada ketika itu.

Tidak ramai orang Melayu pada ketika itu yang sanggup ’bertongkat paruh’ demi berkorban untuk kepentingan pelajaran anak-anak mereka. Ramai orang Melayu terus mengaku ’kalah’ dan ’tewas’ apabila ada diantara anggota masyarakat yang memperlekehkan usaha menghantar anak ke sekolah Inggeris misalnya. Orang Melayu tidak mahu berkorban demi pendidikan anak-anak pada ketika itu sebaliknya mereka sanggup ’bergolok-bergadai’ untuk perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah kepada mereka. Apatah lagi mereka akan terus menerima apa saja yang ’dinasihatkan’ oleh Tuan-tuan guru pada ketika itu yang sentiasa ’menasihatkan’ jangan menghantar anak-anak ke sekolah Inggeris takut-takut ’tergelincir’ iman di dada. Malangnya orang Melayu terus menerima ’nasihat’ sedemikian tanpa usul periksa.

Keadaan sebegini yang membimbangkan dalam keadaan orang Melayu menempuh pancaroba kehadiran Covid 19 ini. Tidak kurang orang Melayu dalam kesusahan samada di bandar atau di kampung. Terlalu ramai ibu bapa yang berada dalam keadaan buntu tentang bagaimana pelaksanaan pembelajaran On-Line anak-anak mereka sekiranya tidak ada perlatan untuk tujuan sedemikian.

Aku harap jangan ada ibu bapa yang tewas dalam hal sebegini. Cabaran sebegini harus diteruskan sebagaimana ibu bapa Melayu dalam zaman penjajahan menghadapi cabaran untuk menyekolahkan anak-anak di sekolah Inggeris walaupun perbelanjaannya begitu besar. Ibu bapa yang gigih dalam zaman penjajahan harus disanjung dan dipuja kerana dengan ’keberanian’ mereka anak-anak mereka berjaya menjadi manusia yang agak berguna kini. Anak-anak merekalah yang menjadi anak merdeka kini dan menjadi kebanggaan negara dan bangsa.

Abuhassanadam

Padang Rengas

26 Januari 2021



Monday, January 25, 2021

 BERJAYAKAH UMNO MENGHADAPI KEMELUT…

Boleh disifatkan bahawa UMNO kini menghadapi keadaan paling getir dalam menentukan jatuh bangunnya parti keramat milik orang Melayu itu. Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa UMNO menghadapi keadaan paling menyukarkan untuk dia terus membangun dan tegak sebagai parti dalam erti kata yang sebenarnya.

Pengisytiharan Dharurat oleh DYMM Seri paduka Baginda YDP Agung atas nasihat Perdana Menteri sebenarnya membawa ‘malapetaka’ yang amat besar kepada UMNO dan mungkin akan ‘tenggelam’ sekiranya tersalah langkah para pemimpin yang mengemudikan UMNO kini. Apa tidaknya. Dengan pengisytiharan itu sudah memungkinkan UMNO tidak dapat mengadakan persidanagan agungnya untuk menentukan hala tuju parti berkenaan. Dan kebiasaannya di negara ini sekiranya ada ruang yang terluang, maka penentuan sikap dan pandangan akan terselit dan tercelah dalam keadaan sedemikian.

Belum pun beberapa hari pengisytiharan Dharurat itu telah kelihatan dan kedengaran suara-suara sumbang yang menyuarakan pandangan agar kepimpinan tertinggi diganti dan diambil alih oleh kepimpinan muda. Dan suara-suara sebegini tidak akan terhenti dengan begitu saja, malah ia akan berterusan apatah lagi ada tokoh-tokoh yang berperanan menghangatkan keadaan sedemikian. Apatah lagi apabila ’dedak’ berserakan di mana-mana. Bukankah dalam percaturan politik di Malaysia kini ‘dedak’ yang berperanan besar menentukan keadaan?

Perlu difahami bahawa UMNO tidak seperti UMNO ketika berkuasa memerintah negara. Kelihatan UMNO seolah-olah masih tegak seperti dulu tetapi roh dan perjuangan UMNO agak berubah berbanding dengan UMNO ketika berjuang menunutut kemerdekaan dulu. Perjuangan UMNO telah diasuh dengan suatu ikatan yang bukan berdasarkan perjuangan untuk membela orang Melayu dan Islam ( mungkin aku silap) tetapi hubungan dan ikatan ahli UMNO dengan para pemimpinnya telah diikat dengan wang dan dedak (mungkin juga aku tersilap!)

Ketika UMNO berkuasa para ahli UMNO dapat diikat dengan ’tali’ wang dan ringgit dan sememangnya para ahli UMNO tidak akan lari (disebabkan ikatan sedemikian) namun apabila ’ tali pengikat’nya sudah longgar atau sudah tidak ada lagi maka besar kemungkinannya UMNO akan terkulai layu sepertimana parti-parti lain seperti MCA, MIC dan Gerakan.

Sebagai perbandingan parti-parti dalam Pakatan Harapan ( PKR, DAP, Aamanah) akan terus hidup dan kukuh dan tidak mudah ’digoncang’ dan ’digoyang’ disebabkan perjuangan mereka bukan berasaskan dedak tetapi atas satu perjuangan yang kukuh. Walaupun ada usaha yang cuba menodai perjuangan PKR misalnya, namun ia masih tetap kukuh dan teguh. Buktinya dapat dilihat sokongan yang diberikan kepada DS Anwar Ibrahim. Walaupun berbagai usaha dilakukan untuk melumpuhkan perjuangan PKR namuntetap utuh kecuali pemimpin ’plastik’ yang tergoda dan ternoda dengan dedak-dedak yang berserakan.

Walaupun digambarkan dengan berbagai imej namun Pakatan Harapan terus yakin dengan perjuangan yang telah lama dilancar dan terus diperjuangkan. Pakatan Harapan seolah-olahbegitu yakin bahawa satu ketika nanti rakyat Malaysia akan sedar bahawa apa yang diperjuangkan oleh mereka dalam konsep Reform Agenda akan membuahkan hasil juga pada suatu ketika nanti. Berbanding dengan parti PAS yang seolah-olah begitu yakin dengan perjuangan mereka tetapi sebenarnya akan menghadapi suatu dilemma apabila berhadapan dengan PRU ke 15 sekiranya PAS terus bersama Perikatan Nasional dan UMNO.

Perjuangan tiga parti (UMNO, Bersatu dan PAS) belum teruji menghadapi PRU. Kini mereka rancank memikirkan tentang PRU yang akan dihadapi tetapi kurang memikirkan tentang berbagai masalah yang akan merentangi jalan-jalan yang berliku. Apakah UMNO dan PAS dapat bergabung dengan amanya sedangkan puluhan tahun kedua parti ini sentiasa menghadapi berbagai masalah dan berbalah antara satu sama lainApa yang berlaku di Terengganu yang menunjukkan keengganan UMNO untuk bekerjasama dengan PAS dalam PRU 15 akan datang sudah cukup untuk membuktikan bahawa ’persahabatn’ sedemikian tidak berpeanjangan. 

Sekiranya lurus dan ’licin’ jalan yang dihadapi tentulah Arwah Tuan Guru Nik Aziz begitu berhati-hati mengadakan hubungan dan kerjasama dengan UMNO. Malah Tuan Guru bersedia untuk bekerjasama dengan DAP atas keyakinan bahawa DAP lebih secocok dengan PAS atas dasar perjuangan untuk bangsa Malaysia. Sudah terbukti kegagalam sedemikian apabila pernah PAS bergabung dan bekerjasama dengan UMNO pada tahun 1978 dulu, namun ikatan kerjasama itu gagal juga.Mungkin pisang kali ini akan berbuah dua kali!

Persoalan yang perlu diselesaikan ialah dapatkah UMNO bertahan dan wujud seperti sediakala dalam menempuh keadaan yang penuh pancaroba ini. Sebagai seorang yang tersangat sayangkan UMNO aku tidak mahu UMNO tersungkur dalam kemelut yang dihadapi kini, namun berasaskan kepada pengalaman dan ’sepak-terajang’ para pemimpin kini maka keadaan sedemikian semacam tidak dapat diselamatkan. Bagi aku UMNO kini bukan merupakan UMNO sebelum 1980an dan ’jauh panggang dari api’ untuk dibandingkan dengan UMNO ketika menuntut kemerdekaan negara dahulu. Dan tidak juga UMNO sepertimana yang dipimpin oleh guru-guru Melayu yang betul-betul menghayati erti perjuangan untuk memajukan bangsa melayu dan agama Islam.

Aku tak yakin masih ada lagi hasrat dan perjuangan semacam itu dikalangan ahli UMNO kini. Mungkin ada. Tak ramai…

abuhassanadam

Padang Rengas

25 Januari 2021


Sunday, January 24, 2021

 DERITANYA PELAJAR ON-LINE

Aku terpanggil untuk sama-sama merasakan penderitaan dan kesengsaraan yang dialami oleh ’anak-anak internet’ yang sedang ’bertungkus lumus’ berjuang untuk menghadapi peperiksaan SPM dalam suasana ’pembelajaran on-line’ yang sedang dihadapi oleh mereka.

Ramai rakyat Malaysia yang tidak tahu dan tidak mengerti kesusahan yang sedang mereka hadapi khsusnya  anak-anak dari kawasan luar bandar yang baru sahaja menyedari tentang adanya ’jembalang’ yang bernama internet. Itu pun mungkin disebabkan merebaknya penyakit ’Covid 19’ yang menyerang seluruh dunia kini.

Aku amat simpati dengan keadaan yang dihadapi oleh anak-anak ( dari luar bandar khususnya) dan hampir mengalirkan air mata mengenangkan nasib yang dialami oleh anak-anak yang  menghadapi peperiksaan kerajaan dalam suasana yang sebegini. Tambah menyusahkan keadaan lagi ialah bagi mereka yang terpaksa menghadapi pepriksaan dalam keadaan suasana banjir.

Suasan sedih begini membawa kepada suasana aku mengenangkan keadaan dan nasib yang menimpa kami (anak-anak merdeka tahun 1950an dan 1960an). Tentulah berbeza derita dan suasana yang aku alami pada zaman sebelum dan selepas merdeka namun ia tetap merupakan suatu keadaan yang sama dan serupa ia itu ’kesusahan dan derita’. Walaupun tidak sama dan serupa tentang derita yang kami alami, namun ia masih tetap merupakan satu peristiwa yang menyayat hati.

Apa tidaknya. Aku baca kisah anak-anak yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet yang jelas demi pelajarannya. Aku terbaca juga anak-anak yang terpaksa menumpang di rumah kawan untuk ’menumpang’ mendapatkan capaian internet demi pembelajaran ’on-line’ mereka. Yang paling menyedihkan aku dan terus menitiskan air mata ialah tentang kisah yang digambarkan tentang seorang anak yang sedang menunggu rakanya mengadakan pembelajaran on-line sedangkan beliau tidak ada telefon pintar apatah lagi komputer riba.

Maka menunggulah dia rakan-rakannya yang sedang on-line sambil dia membetulkan tali pelitup mukanya yang sudah hampir putus (akibat lanjutan usia mungkin!)

Aku langsung tidak menyedari tentang air mataku terus menitis. Cuma yang aku sedari bahawa kisah anak itu adalah kisah aku 60 tahun yang lampau, duduk ditangga sekolah menunggu rakanku Chan Foo Chow dan Chan Siew yang sedang menghadiri kelas Tuisyen di rumah masing-masing sedangkan aku tidak ada kelas  tuisyen yang mampu dibayar oleh bapak. Aku hanya mampu bersyukr dapat belajar di sekolah Inggeris bersama mereka yang berada.

Itulah rupa suasana yang kami  ( anak kampung) hadapi selepas sahaja negara mencapai kemerdekaan. Amat kaya dengan kemiskinan. Dan disebabkan kegigihan kami itu jugalah kam telah berjaya ’menebus’ segala kemiskinan yang dialami dan boleh duduk sama tegaK dan berdiri sama tinggi dengan kaum-kaum lain di negara ini.

Yang menyedihkan aku ialah apabila aku memikirkan tentang keadaan ’malap’ yang dilalui oleh anak-anak malang yang terpaksa menderita disebabkan serangan Covid 19 yang menyebabkan mereka terpaksa belajar secara on-line. Bagi anak-anak yang tidak ada peralatan on-line, aku tidak dapat bayangkan derita dan sengsara yang terpaksa dilalui. Pilunya hati ibu bapa yang melihat anak-anak dalam kesusahan dan hampir tidak dapat menyelamatkan keadaan sedemikian disebabkan tekanan kemiskinan.

Dalam hal sebegini aku terpaksa juga menyentuh tentang kealpaan pihak berwajib yang semacam tidak dapat menduga keadaan sebegini yang bakal melanda kehidupan anak-anak kita yang malang, anak-anak dari kawasan luar bandar. Apakah ikhtiar yang mampu dilalui oleh mereka selain dari menyerahkan nasib keapada takdir. 

Sepatutnya pihak berwajib sudah dapat memikirkan keadaan sebegini yang akan berlaku. Memang tidak dapat diduga. Betul. Tetapi sekurang-kurangnya sudah kedengaran tindakan sebelumnya tentang bagaimana menghadapi keadaan sedemikian sekiranya berlaku. Aku terpaksa juga ’angkat topi’ kepada Syed Saddiq (yang selalu digembar-gemburkan sebagai ’budak-budak’) tentang tindakan terpujinya mengusahan pemberian laptop kepada anak-anak di kawasan jagaannya. Dan tidak pula aku dengar ada wakil rakyat ( yang waras dan diwasa dari kalangan dewasa) dari kawasan lain yang melakukan sebagaimana yang dilakukan oleh Syed Saddiq. Syabas dan tahniah!

Sampai bilalah agaknya  kerajaan dan wakil rakyat kita benar-benar dapat menjaga hal kesejahteraan anak buahnya. Rakyat nampak apa yang mereka lakukan. Memang tepatlah slogan ’KITA JAGA KITA” yang diamalkan sekarang. Seolah-olah kita terpaksa jaga diri sendiri dan jauh sekali mengharapkan pertolongan dan bantuan dari pihak yang sepatutnya memberi bantuan.

Sudah puluhan tahun kita merdeka tetapi masih berada di takuk lama juga.


Abuhassanadam

24 Januari 2021


Monday, January 4, 2021

"NO ANWAR NO DAP"

‘No Anwar no DAP:  ‘DASAR’ YANG AGAK PELIK

Ada beberapa kekeliruan dalam politik di negara kini yang menyebabkan rakyat betul-betul keliru untuk memilih para pemimpin atau parti politik yang mana yang sesuai untuk mentadbir negara ini.

Dasar “No Anwar no DAP’ yang cuba dipopularkan oleh kumpulan teretentu dengan harapan untuk menawan hati rakyat memenangi PRU akan datang.Apakah ia merupakan satu ‘dasar’ atau slogan tidak siapa yang boleh menentukan.

‘Berkecamuk’nya dasar-dasar parti yang bergabung dalam satu gabungan. Misalnya gabungan antara PAS dan UMNO yang mempunyai hala tuju yang sungguh berlainan, jika dilihat perjuangan yang mereka lakukan. Sorot sahaja kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin PAS ketika tidak berada bersama UMNO. Jelas menunjukkan bahawa tidak akan ada persefahaman dari segi dasar dan hala tuju. Tetapi kini mereka dalam satu wadah perjuangan. Ramai yang meragui kejayaannya.

  • Penjelasan oleh YBM Tengku Razaleigh mengenai ’persahabatan’ UMNO-PAS amat jelas sebagaimana yang dirungkaikannya dalam satu temuramah di sebuah rancangan TV. Beliau mengatakan bahawa tidak mudah ahli-ahli UMNO peringkat grassroots menerima PAS yang sudah sekian lama ’mencerca’ dan menempelak para pejuang UMNO dengan berbagai celaan walaupun kelihatan adanya kerjasama di peringkat atasan dalam parti masing-masing. Dan keadaan begini juga hanya menunggu ’retak menjadi belah’. Hanya masa yang menetukan.

  • Keadaan dalam BERSATU lagi agak ’sesat’ dan ’menyesatkan’. Ke manakah arah tujunya. Yang jelasnya ialah parti ini ditubuhkan demi untuk mennewaskan Barisan Nasional dan khususnya ’menenggelamkan’ kepimpinan DS Najib dan rakan-rakannya yang  begitu ghairah memperalatkan IMDB.

    Memang agak pelik tentang ‘dasar’ ‘No Anwar no DAP’ yang dikemukakan setengah pihak dalam usaha mereka untuk memenangi PRU 15 dengan jayanya. Golongan ini lupa bahawa dengan melakukan sedemikian mereka telah mendedahkan diri mereka ke arah satu keadaan yang tidak cerdik mengenai langkah dan strategi untuk memenangi PRU15 yang akan datang.

    Keadaan politik di negara ini menjadi bertambah pelik lagi dan memalukan ialah apabila Tun Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan yang kadang-kadang tidak sepatutnya dihamburkan oleh seorang negarawan yang kononnya disegani tetapi jelas menampakkan kecetekan apabila menyatakan sesuatu yang tidak kena. Misalnya beliau tidak ‘habis-habis’ mengeluarkan kenyataan yang agak kurang sesuai mengenai DS Anwar Ibrahim seolah-olah beliau seorang sajalah pemimpin yang  dalam keadaan semuanya betul belaka.

    Dikatakannya bahawa seolah-olah beliaulah yang boleh menarik undi orang Melayu yang menyebabkan kemenangan sesuatu pilihan raya. Seolah-olah kenyataan yang dikeluarkannya tidak berfikir panjang dan tidak berpijak di bumi nyata. Seolah-olah beliau sajalah yang boleh mendapatkan undi orang Melayu. Hakikat ini dinafikan oleh Saudara Anwar dengan mengemukakan contoh pilihanraya pada tahun 2013 ketika beliau menerajui dan mengemudi PRU pada tahun berkenaan.

    Sebagai contoh, "Even we (PKR) in 2013, when Mahathir and our friends in Pejuang were on the other side with BN, we won 52 percent of the people's support," kata Saudara Anwar. Banyak lagi contoh-contoh dan ‘dalil’ yang dikemukakan menunjukkan bahawa tidak kukuhnya dasar yang diperjuangkan oleh ahli-ahli parti politik di Malaysia kini. Dan jika ada perkara-perkara yang diperjuangkan menampakkan ketidak-cukupan bukti untuk meyakinkan.

    Tidak dilupakan juga tentang tuduhan yang sentiasa dilemparkan oleh Tun Mahathir yang sentiasa mengatakan bahawa terdapat individu yang begitu ghairah untuk menjadi Perdana Menteri. Walaupun tidak dinyatakan terus terang, namun jelas ia ditujukan kepada DS Anwar Ibrahim. Dan tindakkan beliau merasa agak malu membuat tuduhan sedemikian, sedangkan jelasnya tuduhan sedemikian ditujukan kepada dirinya yang jelas menampakkan keghairahan untuk memimpin negara ini buat kali ketiga sedangkan DS Anwar Ibrahim belum pun mencuba untuk melakukannya.

    Mungkin Tun Mahathir lupa atau masih ada  rakyat Malaysia yang tidak faham bahawa rakyat Malaysia masih menunggu kehadiran DS Anwar Ibrahim untuk memimpin negara ini. Yang menjadi penghalang ke arah merealisasikan hasrat tersebut ialah adanya batu penghalang yang bukan kecil halangan yang masih tidak mahu melihat DS Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia. Golongan ini amat takut akan ’penangan’nya sekiranya impian itu menjadi kenyataan  yang akan terbongkar banyak rahsia mereka yang tersimpan dan seterusnya akan mendatangkan bencana kepada anak cucu mereka. Itulah hakikat sebenarnya mengapa sebarang usaha ke arah menjadikan DS Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri terpaksa ditentang dan dihalang.

    Hanya masa dan keadaan yang akan menentukan. Tidak akan lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah ia.

Abuhassanadam

5 Januari 2021

 

Friday, December 25, 2020

 ‘PENGHANTAR MAKANAN’ – MENGAPA ‘DIMONOPOLI’ PEMUDA MELAYU?

Penekanan rencana ini tidak rasis cuma didorong oleh perasaan ingin tahu yang membuak-buak tentang mengapa peranan dan tugas menghantar makanan ke rumah-rumah seolah-olah ’dimonopoli’ oleh pemuda Melayu. Apakah sudah ’termaktub’ bahawa tugas dan kerja sebegini hanya ’dikhususkan’ kepada orang Melayu seperti juga tugas sebagai pengawal keselamatan.

Aku tidak pula mengatakan bahawa tugas sebagai penghantar makanan sebagi kerja yang ’lekeh’ dan tidak berprestij, malah aku amat menghargai dan mneghormati anak-anak muda yang sanggup melakukan kerja-kerja sedemikian terutamanya dalam keadaan dan suasana negara yang mengalami keadaan agak meleset (dari segi ekonomi) ini. Ramai anak muda yang sanggup melakukannya demi untuk menyambung kehidupan yang serba kekurangan ini. Dan pastinya ramai juga yang berkelulusan universiti yang sanggup melakukan kerja sedemikian.

Mereka lebih jujur melakukan kerja yang mendatangkan wang yang halal berbanding dengan indidvidu-individu dan para pemimpin yang sanggup melakukan kegiatan haram dengan kegiatan rasuah untuk menyara keluarga yang tidak berdosa. Bagi aku apa yang dilakukan oleh penghantar makanan ini lebih mulia tugas dan peranan mereka berbanding dengan apa yang dilakukan oleh kebanyakan pemimpin kini yang terpalit dengan berbagai kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Tentulah  terfikir juga tentang mengapa anak-anak muda yang berkelulusan tinggi itu sanggup melakukan tugas sedemikian? Dan kita semacam dikejutkan juga tentang kisah anak Melayu yang sanggup bekerja sebagai buruh kasar di Singapura dan berjaya mendapat pendapatan yang lumayan. Dan tentulah kita merasakan satu kerugian kepada negara anak muda yang berpendidikan tinggi dalam sesuatu bidang melakukan sesuatu yang tidak memerlukan kepakaran yang sepatutnya.

Dari lagak dan gaya yang ditinjolkan oleh anak muda yang bekerja sebagai penghantar makanan dengan menggunakan motorsikal menampakkan bahawa mereka amat bahagia melakukan kerja sedemikian. Tetapi mungkin mereka lupa atau tidak memikirkan bahwa sampai bila mereka akan melakukan tugas sedemikian. Apakah tugas sedemikian akan boleh ’membawa’ mereka sampai bila-bila, samapi kepada suatu keadaan yang membolehkan mereka menanggung anak isteri dan menyediakan persekolahan untuk anak-anak mereka pada masa akan datang. Apakah mereka tidak memikirkan hal yang sedemikian.

Yang anih juga ialah sikap dan tindakan pihak kerajaan yang tidak pun mengambil peduli tentang nasib golongan anak muda sebagi penghantar makanan ini. (Mungkin ada!). Apakah para menteri bertanggungjawab ataupun para wakil rakyat yang kononnya bertanggung jawab menjaga kesejahteraan rakayat memikirkan tentang masa depan anak muda yang sedemikian. Apakah mereka akan terus menerus dibiarkan menjadi penghantar makanan dengan tidak menampakan  sebarang daya usaha untuk memajukan kehidupan mereka.

Pasti ada jalan dan caranya untuk memajukan kehidupan mereka untuk keluar dari kehidupan sebagai penghantar makanan itu. Dan sesuatu yang patut disedari oleh kumpulan pemuda Melayu kita ialah tentang mengapa hampir keseluruhan penghantar makanan yang kelihatan di bandar-bandar terdiri dari orang Melayu, sehinggakan masih tidak kelihatan lagi kaum lain seperti kaum Cina.

Tugas penghantar makanan bukan suatu kerja yang tidak sepatutnya dilakukan. Bukan begitu. Ia sudah merupakan suatu industri yang sepatutnya diterokai bersesuaian dengan peredaran zaman Kurun ke 21. Pihak kerajaan, khususnya kementerian berkaitan sepatutnya mencari jalan tentang bagaimana perusahaan ini dapat dijalankan yang boleh mendatangkan pulangan besar kepada pelaksana penghantar makanan itu.

Mungkin sudah ada satu sistem penyelenggaraan yang dilakukan oleh penghantar makanan ini yang boleh memberikan faedah besar dan keuntungan kepada penghantar makanan itu sendiri dan tidak hanya menguntungkan pihak yang boleh mengeksloitasi kegiatan sedemikian. Mungkin. Dan sekiranya sudah wujud sistem sedemikian, tentu juga ada caranya untuk memajukan apa yang telah wujud. Peranan kerajaan pula lah untuk memantapkan sistem yang telah tercipta. Itupun sekiranya para menteri yang bertanggungjawab ingin dan berhasrat dan ingin meneroka idea-idea baru untuk melakukan perubahan.

Abuhassanadam

25 Disember 2020


Monday, December 21, 2020

 SIAPA NAK GANTI ANWAR

Kini riuh rendah diperkatakan tentang DSAI perlu diganti dengan tokoh yang lebih muda dan berwibawa disebabkan ‘dosa’nya yang tidak dapat ‘menumbangkan’ kerajaan PN pimpinan TS Muhyiddin Yassin. Kononnya DSAI yang mesti dipersalahkan kerana tidak dapat merealisasikan impian sedemikian. 

Tidak pula mereka menuding jari tentang siapakah yang lebih bersalah dan ‘berdosa’  yang menyebabkan keadaan dalam negara ini menjadi begitu huru-hara. Tidak ada siapa yang menyentuh tentang kemunculan kemelut politik dalam negara kini adalah berpunca daripada Tun Mahathir yang cuba berdolak dalik yang tidak mahu menyerahkan tampuk pemerintahan negara ini kepada DSAI walaupun telah dipersetujui sebelum itu. Kini apabila timbul keadaan sebegini maka jari hanya menuding kearah DSAI dengan tidak langsung menyalahkan Tun Mahathir yang menimbulkan ‘angkara’ sedemikian.

Kempimpinan DAP dan Amanah juga terpengaruh dengan ‘cakap-cakap’ dan dakyah yang dilemparkan oleh ‘musush-musuh’ politik Pakatan Harapan yang kelihatan begitu bersungguh-sungguh meletakkan kesalahan kepada DSAI, yang sepenuh bertanggung jawab terhadap kemelut itu. Mungkin ada salah dan silapnya DSAI dalam hal sedemikian namun untuk meletakkan kesalahan itu sepenuhnya kepada kepimpinan beliau tentulah tidak adil juga. Di sinilah letaknya kebijaksanaan pendokong atau kepimpinan parti dalam Pakatan Harapan.

Mungkin perlu difikirkan tentang peralihan kepimpinan dalam Pakatan Harapan. Mungkin sudah sampai masanya ‘orang lama’ perlu menyerahkan ‘baton’ kepada golongan yang lebih muda untuk memimpin. Betul. Patah tumbuh hilang berganti. Itulah yang sedang digembar-gemburkan oleh musuh politik Pakatan Harapan, ia itu hendak mengenepikan kepimpinan Anwar Ibrahim.

Kepimpinan parti dalam Pakatan Harapan perlu juga memikirkan semasak-masaknya siapakah yang akan menggantikan DSAI. Tentulah ada juga yang merasakan bahawa sudah sampai masanya peralihan kuasa demikian. Sudah disebutkan juga tokoh-tokoh yang boleh dan mampu mengambil alih kepimpinan orang lama. Nama-nama seperti Rafizi Ramli dan Nurul Izzah sudah dijaja buat sekian lama seolah-olah rakyat terbanyak di Malaysia begitu yakin dengan kepimpinan tokoh muda itu. Persoalannya ialah apakah tokoh-tokoh muda sedemikian bersedia untuk memikul tugas seberat sebagaimana yang dipikul oleh tokoh-tokoh veteran yang ada sekarang.

Kadang-kadang kelihatan bahawa kita terlalu gopoh untuk membuat sesuatu keputusan. Pendokong Pakatan Harapan harus memikirkan secara mendalam sebelum merasakan sesuatu perubahan perlu dilakukan. Mereka harus sedar bahawa dakyah politik sedang berkeliaran mempengaruhi pemikiran pendokong Pakatan Harapan agar mengenepikan kepimpinan DSAI kerana golongan itu memikirkan bahawa DSAI sahaja yang merupakan batu penghalang yang menghalang ‘kelicinan’ pentadbiran mereka untuk ‘mengekspoitasi’ kepentingan ekonomi demi kepentingan golongan yang rakus.

Kelihatan tidak hentinya ‘usaha’ untuk menyekat kemaraan DSAI dalam usahanya untuk membawa kemajuan dan menyekat penyelewengan dalam negara. Digembar-gemburkan seolah-olah matlamat perjuangan Anwar Ibrahim adalah untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Betul ada usaha kea rah itu, namun perjuangan Anwar Ibrahim semenjak zaman berzaman adalah untuk memajukan rakyat dan menghapuskan rasuah dan penyelewengan disamping usaha-usaha lain yang boleh mengenengahkan negara Malaysia ini setanding dengan negara-negara lain.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin vetran YB Lim Kit Siang itu tepat,ia itu kepimpinan dalam DAP khususnya dan Aamanah (agaknya) tidak berhasrat untuk menggantikan kepimpinan DSAI. Cuma yang diperlukan ialah anjakan dan cara Pakatan Harapan diselenggarakan. Mungkin ada ‘acuan’ yang sesuai yang boleh dipraktikkan menjelang PRU ke 15.

abuhassanadam

21 Disember 2020