Monday, May 17, 2021

 SUMBANGAN GURU ASING KEPADA PELAJAR MELAYU

Sejujurnya sememang sudah lama terpendam di perasaan ku tentang hasratku untuk menulis tentang tajuk di atas. Memang tidak dapat dinafikan tentang sumbangan yang begitu besar yang telah diberikan oleh guru-guru bukan Melayu, khususnya guru dari kaum Cina dan India terhadap kemajuan anak Melayu. Maksudnya dalam zaman penjajahan sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Tahun 1955 aku diterima masuk ke 'sekolah orang putih' - Special Malay Class 1. Maknanya SMC1 - kelas 'sekolah orang putih' untuk anak Melayu sahaja. Sekolah berkenaan terletak di Padang Assam. Dah tak ada dah sekolah berkenaan dan diganti dengan Sekolah Kebangsaan Padang Assam. Kami berada di sekolah berkenaan hanya tiga tahun ia itu SMC1, SMC2 dan Standard VI. Setelah lulus Standard VI Entrance Examinations, dinaikkan ke Form 1 ia itu di Clifford School, Kuala Kangsar untuk meneruskan pelajaran menengah seterusnya.

Aku masih ingat lagi guru-guru yang mengajar di sekolah Padang Assam berkenaan. Guru besarnya bernama Mr Ang Chui Pek dan dibantu oleh Mr Lee Siew Wah, Mr Muthusamy dan Cikgu Wan Omar. Setiap kelas terdapat 30 orang pelajar. Kesemuanya Melayu dan ramai yang telah berjaya akhirnya menyandang berbagai jawatan penting dalam kerajaan dan swasta. Mahu tidak mahu perlu ditegaskan juga bahawa kejayaan anak Melayu berkenaan adalah juga merupakan sumbangan guru-guru bangsa asing yang tidak pernah kelihatan menganaktirikan pelajar-pelajar Melayu yang diajar pada waktu itu. Malah mereka dengan penuh dedikasi mengajar kami yang menyebabkan kami berjaya lulus peperiksaan dan berjaya ke sekolah menengah.

Satu perkara lagi yang tentunya menarik perhatian ialah tentang kesediaan penjajah Inggeris untuk membina sekolah Inggeris dan bersedia untuk memberikan pelajaran kepada rakyat Malaya (Melayu, Cina dan India) pada ketika itu. Walaupun sebagai penjajah, Inggeris seharusnya dikutuk, namun harus juga dipuji tentang kesediaan penjajah Inggeris untuk memberikan pelajaran kepada anak-anak Melayu pada waktu itu.

Terdapat dua buah sekolah Inggeris yang dibina semata-mata untuk memberi peluang kepada anak Melayu dari kawasan luar bandar mendapat didikan Inggeris di daerah Kuala kangsar. Government English Schoola Padang Assam dan Government English School, Sayong Kota Lama Kanan. Kedua-dua sekolah inilah adalah sebagai 'feeder school' kepada Clifford School Kuala Kangsar, disamping memberi peluang kepada pelajar luar bandar mendapat didikan sempurna.

Di Clifford School Kuala Kangsar, pada ketika itu ( 1950an) hanya terdapat tiga orang guru Melayu ia itu Cikgu Mokhtar, Ckgu Sharbi dan Cikgu Syed Jaafar. Selebihnya terdiri guru-guru keturunan Cina, India. Dan Pengetuanya ialah Mr Karam Singh. Yang mahu aku tegaskan disini ialah bahawa sungguhpun kebanyakan guru-guru dari keturunan bukan Melayu dan ramai anak melayu yang menunutut di sekolah ini, namun guru-guru asing tidak pernah menunjukkan pilih kasih terhadap pelajar Melayu apa lagi menampakkan kebencian terhadap pelajar Melayu.

Jasa mereka sebagai guru tetap dikenang kerana atas sumbangan yang berharga merekalah ramai anak murid yang berjaya. Terima kasih Cikgu!

abuhassanadam

Padang Rengas

17 Mei 2021

Sunday, May 16, 2021

 ANTARA GURU KINI DAN GURU ZAMAN DULU


Jikalau ditanya anak-anak Melayu zaman penjajahan tentang apakah pekerjaan yang dipilihnya jika besar nanti, maka jawapan yang pasti terkeluar dari mulut mereka ialah untuk menjadi seorang guru. Mengapa begitu. Jawabnya ialah disebabkan hanya jawatan seorang guru yang sentiasa diperhatikan oleh ibu bapa ketika itu. Pakaian seorang guru kelihatan bersih dan bekerja hanya lima hari seminggu dan sebulan bercuti dalam bulan Ramadan. ( Pada zaman penjajahan, sebelum merdeka sekolah Melayu diberikan cuti sebulan pada bulan Ramdan).

Oleh itu mungkin atas alasan yang sedemikian jugalah maka emak dan bapak mengharapkan aku menjadi seorang guru. Menjadi gurulah aku sehingga kini. Amat berbangga rasanya menjadi seorang guru. Sekurang-kurangnya aku telah dapat mebahagiakan arwah emak dan bapak yang aku telah menyumpurnakan hasrat mereka agar aku menjadi seorang guru.

Bercakap mengenai guru tentulah aku tidak akan melupakan guruku yang bernama Cikgu Samad. Sudah banyak kali aku tuliskan mengenai sumbangan Cikgu Samad kepada anak muridnya. Namun disebabkan keunikan sumbangan Cikgu Samad maka menyebabkan aku tidak putus-putus melukis dan melakarkan sumbangannya kepada kami.

Tahun 1953. Aku dalam Darjah tiga di Sekolah Melayu Padang Rengas. Zaman penjajahan. Zaman sebelum merdeka lah tu. Salah satu peristiwa yang tidak dapat aku lupakan ialah tentang dedikasi Cikgu Samad menyampaikan pelajarannya yang pada pandangan aku tidak akan dilakukan oleh Cikgu zaman ini sebagaimana yang dilakukan oleh Cikgu Samad. 

Pelajaran yang diajar oleh Cikgu Samad ialah Ilmu Alam atau Geografi (kata orang sekarang). Cikgu Samad mengajar mengenai sebuah pulau. Maka ditulisnya di papan hitam (menggunakan kapur putih) ayat, " PULAU IALAH SEKEPING TANAH YANG DIKELILINGI OLEH AIR'. Murid-murid perlu menghafal ayat berkenaan kerana inilah 'senjata' yang paling penting untuk membolehkan kami samada balik awal ataupun akan terus menjadi orang 'tahanan' sehingga dapat melafazakan ayat berkenaan tanpa merujuk ke papan hitam.

Pukul 12.30 tengah hari sampailah masa waktu pulang. Dan ketika inilah Cikgu Samad menggunakan ayat, " PULAU IALAH SEKEPING TANAH YANG DIKELILINGI OLEH AIR'sebagai tiket untuk kami pulang. Kami diarah berdiri atas kerusi dan berpaling ke belakang. Seorang demi seorang akan menyatakan ayat demikian. Sekiranya 'dengan penuh lancar' akan dibenarkan pulang. Biasanya ada seorang kawan aku yang nasibya agak malang yang sentiasa tidak dapat membacakan ayat yang sedemikian. Azhar ( bukan nama sebenar) namanya. Dan Azhar hampir setiap hari balik lewat disebabkan gagal 'ujian' yang diberikan oleh Cikgu Samad.

Satu hal yang unik mengenai Cikgu Samad ( ataupun guru-guru zaman dulu) ialah sebenarnya mereka bersungguh-sungguh benar menyampaikan ilmu kepada pelajar mereka.  Disebabkan kesungguhna Cikgu Samad itu, beliau sanggup 'menunggu' sehingga Azhar betul-betul dapat membaca ayat yang diberikan. Berkaitan dengan peristiwa ini Cikgu Samad sanggup menunggu sehingga pukul 2.00 petang. Kelihatan semacam Cikgu Samad mahu mendenda Azhar tetapi sebenarnya Cikgu Samad 'mendenda' dirinya sendiri. Beliau sepatutnya boleh pulang lebih awal tetapi disebabkan dedikasi dan rasa bertanggung jawab kepada anak muridnya beliau sanggup bersama Azhar untuk pulang sehinggalah Azhar dapat menjawab soalannya.

Aku tidak dapat juga melupakan jasa Cikgu Samad apabila beliau memberikan hadiah kepada anak murid yang 'berjaya' dalam peperiksaan. Masih ada lagi hadiah yang berupa 4 buah buku tulis ( berharga 10 sen setiap satu) yang diberikan oleh Cikgu Samad kerana kejayaan ku dalam peperiksaan. Aku masih ingat juga hadiah kedua diberikan oleh Cikgu Samad tiga buah buku tulis kepada Khairuddin Arshad ( Dato Haji Khairuddin Arshad (Arwah) yang pernah menjadi Pengarah Pendidikan Perak ). Kami sama-sama dalam Darjah tiga pada tahun 1953 sebelum berpindah ke sekolah Inggeris.

Dilihat sepintas lalu menampakkan bahawa sumbangan Cikgu Samad kelihatan kecil tetapi penuh makna kepada kami berdua. Pernah satu hari ketika mereka (Cikgu Samad dan Dato Khairuddin masih ada ) aku dan Khairuddin mengunjungi Cikgu Samad di rumahnya. Ketika itu beliau sudah agak uzur disebabkan sakit tua. Pemergian kami adalah semata-mata untuk mengucapkan 'terima kasih' kepada beliau kerana merupakan salah seorang guru yang membentuk penghidupan kami.

Secara kebetulan aku pulang bercuti dari London dan Khairuddin pula mengambil cuti semata-mata untuk bertemu Cikgu Samad. Memang merupakan satu drama sebabak apabila kami berjumpa dan bertemu dan memeluk Cikgu Samad. Air muta tumpak tidak disedari dari enam kelopak mata, Cikgu samad, Khairuddin dan aku. Sehingga kini aku tidak dapat melupakan peristiwa itu. 

Yang paling aku bangga sekali ialah apabila Cikgu Samad menegur kami dengan mengatakan, "BILA MIKE ME BALIK?' seolah-olah merasakan kami adalah muridnya yang masih dalam Darjah Tiga tahun 1953 sedangkan pada ketika itu aku sudah bertugas sebagai Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di London dan Khhairuddin sudah bergelar Dato sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Perak. Beliau masih ingatkan kami. Kononya sentiasa menyebut nama-nama kami ( menurut kata anaknya). Kini mereka sudah tidak ada lagi.

Semoga roh keduanya dicucuri rahmat.


abuhassanadam

16 Mei 2021

(Hari Guru)



Tuesday, May 11, 2021

 KENYATAAN DS HADI AWANG DANGKAL

Tentulah ramai yang rasa geli hati membaca saranan DS Hadi Awang yang menyarankan agar pegawai kerajaan meletakan jawatan sekiranya mereka tidak begitu serasi dengan kepimpinan kerajaan PN. Dengan sendirinya meletakkkan dirinya begitu 'rendah' dalam menilai kedudukan pegawai kerajaaan dalam pentadbiran negara. Tentulah tidak semudah itu untuk menyuruh pegawai kerajaan meletkkan jawatan sekiranya tidak secocok atau tidak mahu mengikut arahan dan perintah para menteri yang merupakan ketua di satu-satu kementerian.

Yang anihnya lagi ialah saranan ini datangnya dari pemimpin sebuah parti yang hanya memenangi 19 kerusi dalam PRU yang lepas dan 'bertuah' kerana dapat diterima oleh kerajaan 'tebuk atap' PN. Sepatutnya DS Haji Hadi terasa 'malu' untuk menyarankan saranan sedemikian kerana memang sebelum ini seingat aku belum ada lagi pemimpin sebuah parti kerajaan yang membuat saranan sedemikian. Mereka sebelum ini faham dan tahu bahawa antara pemimpin politik ( menteri khususnya) dengan para pegawai kerajaan adalah seperti air dengan tebing, kerjasama erat antara satu dengan yang lain. Dan sememangnya belum tercatat lagi dalam sejarah yang menunjukkan bahawa golongan pegawai kerajaan tidak bekerjasama dengan pimpinan politik. Belum ada lagi.

Jadi persoalannya mengapa ditimbulkan oleh DS Haji Hadi isu yang amat sensitif ini. Apakah sudah ada terdengar yang para pegawai kerajaan tidak mahu bekerjasama dengan pimpinan politik. Ada juga kemungkinan yang para pegawai kerajaan semacam enggan memberikan kerjasama dengan para pemimpin politik dari parti PAS memandangkan kecetekan pemikiran golongan berkenaan atau pun berkemungkinan kecetekan fikiran para menteri dari PAS berkenaan. Mungkin. Dan terbukti juga bahawa sudah terserlah bahawa para menteri dari PAS menampakkan tindakan kurang cerdik dalam mengendalikan kementerian yang dikendalikan oleh mereka. Maka dengan demikian mungkin para pegawai kerajaan yang mendokong kementerian berkenaan merasa kurang selesa berada di bawah kementerian berkenaan. Mungkin.

Pegawai kerajaan adalah ibarat  peranan sekor 'kucing' dan para pemimpin politik diibaratkan peranannya seperti seekor 'anjing'. 'Kucing' akan sentiasa berada dan menunggu di rumah sedanagkan anjing akan datang dan pergi. Para pegawai kerajaan akan terus menerus menguruskan kementerian yang diselenggarakan oleh mereka sedangkan para pemimpin politik akan datang dan pergi bergantung kepada kedudukan merea dalam sesuatu pilihanraya. Sekiranya mereka menang dan berkkuasa maka mereka akan menaungi sesuatu kementerian dan begitu juga sebaliknya. Keadaan sedemikianlah yang menentukan taraf seorang menteri.

Terlalu banyak kedengaran sungutan dan kritikan dari rakyat Malaysia tentang prestasi kerja seorang Menteri khususnya Menteri dari PAS. Sudah satu tahun diberikan peluang untuk mereka menunjukkan prestasi kerja mengendalikan sesuatu kementerian dan kini nampaknya belum ada lagi sesuatu tindakan yang boleh dibanggakan. Seolah-olah para menteri berkenaan mencari-cari dalam 'kegelapan' apakah langkah-langkah yang sepatutnya dilakukan bagi memajukan rakyat. Seolah-olah mereka berada dalam kegelapan.

Dan sepatutnya kepimpinan PAS tidak merasa ragu-ragu terhadap  pegawai kerajaan yang kononnya dianggap tidak secocok dengan kepimpinan PN dan sepatutnya DS Haji Hadi melihat prestasi anak buahnya terlebih dahulu dan mengkaji sedalam-dalamnya hubungan kepimpinan politik dengan pegawai kerajaan sebelum menyuarakan saranan yang dianggap amat dangkal yang tidak pernah disuarakan oleh pimpinan kerjaan terdahulu, seingat aku.

abuhassanadam

Padang Rengas

11 Mei 2021


Monday, May 10, 2021

 MENYAMBUT AIDILFITRI DI RANTAU KRISTIAN

Masih terbayang difikiranku pada tahun 1995, aku menyambut Aidilfitri di London, sebuah negara yang kebanyakan penduduknya beragama Kristian. Bukan setahun aku dan keluarga aku menyambut Aidilfitri di negara Kristian tetapi selama empat tahun aku terpaksa 'mengorbankan' perayaan Aidilfitri di negara orang.

Kebetulan pada malam itu salji turun dengan lebatnya. Sengaja aku duduk di tepi jendela di rumah aku No 17, Prothero Garden, Hendon, London, semata-mata untuk menikmati suasana Aidilfitri di kampung ku yang jauh dimata, membayangkan tentang malam yang dirayakan ibu bapa dan sanak saudaraku walaupun ketiadaan aku dan keluarga ku. Tentulah timbul kehampaan yang amat sangat yang dirasakan oleh ibu bapaku menyambut Aidilfitri dengan ketiadaan cucu-cucu tercinta. Aku dapat rasakan perasaan yang dirasakan oleh ibu bapaku.

Salji terus turun dengan lebatnya - bercucuran seolah-olah semacam mengiringi air mataku yang sedang mengalir tanpa ditahan dan disekat. Aku hanya seorang dalam bilik berkenaan tanpa ditemani isteri atau anak-anak tercinta. Sengaja aku berbuat begitu demi untuk aku merasakan suasana Aidilfitri yang penuh syahdu. Hanya air mata yang dapat 'mengerti' betapa sedihnya menghadapi Aidilfitri di rantau orang. Tidak dapat dibandingkan persamaan Aidilfitri di rantau orang dengan aidilfitri yang dirayakan di kampung sendiri.

Memang indah suasana malam diselimuti salji tetapi bagi aku tidak seperti suasana malam di kampungku ketika menjelangnya Aidilfitri.Memang terang-benderang suasana malam di Kampung Ekor Dusun ( kampungku) pada malam Aidilfitri, diterangi pelita panjut yang hampir setiap rumah memasang pelita berkenaan. Dan aku bayangkan pelita panjut yang dibuat dengan susunan tempurung tentunya hampir habis terbakar ketika menjelangnya pukul 3.00 atau 4 .00 subuh. Dan aku dapat meramalkan bahawa sekiranya 'panjut tempurung' itu dinyalakan pada pukul 8.00 malam, pastinya akan habis terbakar pada pukul 3.00 subuh. Dan gelaplah semula kampung Ekor Dusun kerana tidak ada lampu letrik yang meneranginya pada waktu tiu. Gelap gelita kampungku namun bagi aku itulah keindahan yang tidak tolak bandingnya.

Mungkin ramai penduduk kampung aku yang menghabiskan malam ini dengan berbagai kegiatan seolah-olah tidak mahu 'pergi'nya malam Aidilfitri dengan begitu sia-sia. Tidak banyak hari-hari dalam kehidupan penduduk desa yang boleh dianggap sebagai hari bergembira. Hari raya adalah satu-satunya hari yang tidak harus 'dilepaskan' begitu saja. Ada juga yang melakukan pembakaran lemang satu hari sebelum raya kerana tidak pasti bilakah Hari Raya akan tiba. Ramai juga yang memasak ketupat dan memasak rendang ayam kampung (kerana hapir seluruh penduduk kampung ku membela ayam kampung).

Aku masih 'berpaut' dijendela rumah ku melemparkan pandangan ke arah salji yang terus turun dengan lebatnya. Ini merupakan salah satu kegemaran aku ia itu melihat salji turun, apatah lagi apbila salji turun pada malam menyambut Aidilfitri. Aku dapat bayangkan juga tentang sanak saudaraku, Pak Ngah Said, Encik Yusuf dan Che Wa, Mak Cik Jah yang aku rasa masih mahu terus berada di rumah ku, bersembang sambil 'menemani' emak aku masak rendang ayam kampung yang diadun dengan santan kelapa yang dikait sebelah reban ayam di rumah ku. Memang tak boleh 'lawan' lemaknya.

Anak-anak ku pastinya rindu kepada Atuk dan Opah mereka tetapi aku pasti bahawa kerinduan mereka tentunya berbeda dengan kerinduan yang aku alami. Mereka tetap merindui sanak saudara dan sepupu mereka, tetapi tidak seperti aku yang merindui Mak Cik Lamah, Makcik Munah, Chu Mi dll. Aku tidak pula menyalah mereka (anak-anak ku) kerana mereka sudah biasa dengan Aidilfitri di negara orang.  Mereka pernah beraya di San Francisco, USA ( ketika aku menuntut di Stanford University, Palo Alto) pada tahun 1986-1987 dan pada tahun 1995-1998 beraya di London. Mereka tetap merayakan tetapi aku yakin bahawa 'penghayatan' mereka pasti berbeza. Mungkin. 

Aku amat simpati dengan mereka yang tidak dapat merayakan Aidilfitri di kampung bersama ibu bapa dan sanak saudara. Aku amat faham dengan perasaan yang 'dideritai' oleh mereka. Aku amat simpat dengan anak-anak yang merindui kasih dan belaian ibu, 'peluk-cium' opah dan nenek yang sudah sekian lama tidak mendakap cucu. Segala 'kerinduan' itu harapnya dapat diubati dengan kesabaran. Moga-moga sentiasa sabar selalu demi untuk menyelamatkan negara dari Covid 19.

abuhassanadam

Padang Rengas

10 Mei 2021

Saturday, May 8, 2021

 SEBUTAN LUCAH ADALAH SEBUTAN LUMRAH


Akhirnya anak yang bernama Ain Husniza yangmenyedarkan kita bahawa sebenarnya anak-anak di sekolah memang tidak selesa dengan perangai orang dewasa yang sentiasa melafzkan perkataan lucah samada di sekolah ( dilakukan guru-guru dalam bentuk gurauan), mau pun di Parlimen ( yang sentiasa dilakukan oleh ahli-ahli Parlimen). 

Teguran dari anak Ain Husniza ini merupakan 'eye-opener' dan 'membuka mata' golongan dewasa bahawa sebenarnya apa yang dilakukan oleh golongan dewasa sebenarnya mendapat perhatian kanak-kanak. Sudah lama disedari bahawa apa yang dilakukan oleh ahli parlimen dalam melakukan perbahasan kadang kelihatan ' terbabas' dan semacam tidak disedari oleh mereka bahawa apa yang diperkatakan sudah melampau 'batas' sebagai seorang yang beraklhlak mulia. Kadang-kadang terdapat seseorang ahli parlimen yang sememangnya amat gemar menyelitkan huja-hujahnya dengan istilah lucah untuk menarik perhatian kononnya.

Sudah lama perbuatan sedemikian dilakukan oleh 'tokoh' sebegini namun perbuatan sedemikian semacam 'dibiarkan' oleh pihak Speaker tanpa ada 'sekatan' yang boleh menghalang agar perbuatan 'lucah' sedemikian diberhentikan. Kadang-kadang sebutan sedemikian dapat didengar dengan jelas ketika ucapan para 'pemimpin' ini disiarkan melalui siaran radio dan TV dan pastinya didengar oleh seluruh rakyat termasuklah kanak-kanak.

Seingat aku dalam budaya dan adat Melayu sememangnya  sesuatu yang amat dilarang bagi anak-anak (terutamanya) menyebut perkataan lucah dalam perbualan hari-hari. Ibu-ibu akan 'mencubit pipi' sekiranya didengarnya anak-anak melafazkan perkataan lucah sedemikian. Maknanya ada di antara anak-anak yang sudah di dewasa tetapi tidak tahu makna sesuatu perkataan lucah yang disebutkan itu. Sejujurnya dapat aku katakan bahawa tidak sepatah pun perkataan lucah yang pernah aku lafazkan ketika bercakap dengan arwah ibu sehinggalah arwah menghebuskan nafas akhirnya. Begitulah ajaran seorang ibu dalam masyarakat Melayu lama. Dan aku yakin ramai lagi para ibu yang bersikap sedemikian rupa yang berkaitan dengan persoalan perkataan lucah.

Kini menyebut perkataan lucah merupakan satu lumrah. Penceramah agama semacam tidak sah sekiranya ceramah mereka tidak dimasukkan perkataan dan gurauan lucah yang bertujuan kononnya untuk golongan muda supaya berminat kepada ceramah yang disampaikan oleh mereka. Kadang-kadang isu perkahwinan dan gurauan lucah merupakan inti pati yang amat penting dalam ceramah yang disampaikan oleh penceramah-penceramah agama. Dan kononnya untuk menarik agar lebih ramai yang akan mengikuti ceramah sedemikian.

Apa yang disuarakan oleh Ain Husniza itu harus mendapat perhatian oleh para guru, para pemimpin di parlimen dan golongan dewasa yang pada umumnya harus sedar bahawa perbuatan mereka sudah mendapat perhatian anak-anak. Harus diberhentikan dengan segera agar penghormatan mereka kepada golongan dewasa tidak terhakis.

Sedarlah diri...

abuhassanadam

Padang Rengas

8 Mei 2021


Friday, May 7, 2021

 

ANWAR & AIN HUSNIZA


Aku mengikuti temuramah bekas Menteri pendidikan ( DS Anwar Ibrahim) dengan Ain Husniza yang pada pandangan aku merupakan temuramah yang amat perlu diikuti seluruh warga kementerian Pendidikan dan para guru di Malaysia. Ia memberikan kesedaran tentang keberanian seorang pelajar untuk menyuarakan pandangan tentang apa yang sepatut dan tidak sepatutnya berlaku di sekolah.

Aku tertarik dengan kenyataan Ain yang mengatakan seolah-olah ada guru-guru yang tidak menggalakkan pelajar-pelajar menyuarakan pandangan mereka secara kritikal terhadap sesuatu perkara. Dan dalam hal yang sedemikian seolah ada para guru yang menyekat perkembangan pemikiran anak-anak di sekolah. Dan ini merupakan perbuatan yang amat tidak digalakkan berlaku dikalangan guru-guru.

Aku masih teringat satu peristiwa satu perbualan antara aku dengan seorang pelajar dari negara China pada tahun 1986 ketika kami sama-sama berada di Stanford University, California USA. Kami sama-sama mengikuti kursus Sarjana di university berkenaan. Satu soalan yang dikemukakannya kepada aku yang sehingga kini masih terngiang-ngiang di telinga aku ialah tentang persoalan yang dikemukakan oleh Ain.  Rakan aku dari negara China itu mempersoalan bahawa dia merasa hairan tentang kehebatan pelajar-pelajar dari Amerika boleh menyuarakan pandangan dan pemikiran mereka dengan lancar tanpa ada sekatan berbanding dengan kami yang datang dari luar Amerika. Mungkin keberanian mereka itu disebabkan latihan yang mereka diterima disekolah dan didikan yang disemaikan oleh guru-guru mereka berbanding dengan kami yang amat kurang mendapat didikan sedemikian. Mungkin.

Terus terang aku katakan bahawa memang sebenarnya kami merasa 'cuak' apabila berhadapan dengan suasana sedemikian. Kami merasa bimbang takut kalau-kalau hujjah yang dikemukakan tidak diterima ataupun mungkin dianggap suatu hujjah yang lemah atau mungkin takut dianggap 'bodoh' dengan hujah yang dikemukakan. Lantas kami sentiasa dalam keadaan senyap sepi sedangkan pelajar-pelajar lain sibuk memberikan pandangan (walaupun pandangan mereka tidak sehebat mana pun). Dan kami hanya menyuarakan pandangan sekiranya dirasakan apa yang diutarakan itu merupakan satu pandangan yang betul-betul padat dan sarat dengan hujah-hujah yang bernas yang diyakini tidak akan dapat dipatahkan lagi hujah sedemikian.

Dalam masa perbincangan kami sentiasa tidak bercakap banyak tetapi 'kehebatan' pelajar luar Amerika ialah apabila berhadapan dengan soalan peperiksaan bertulis. Disitulah akan terserlah kecemerlangannya. Tetapi persoalan yang ingin aku paparkan disini ialah tentang persoalan yang dikemukakan oleh Ain ia itu mengenai ada para guru kini yang tidak menggalakkan pelajar untuk mengemukakan pandangan secara kritikal  disamping juga tidak menggalakkan pelajar mengeluarkan pandangan secara bebas.

Sebagaimana yang disuarakan oleh DS Anwar Ibrahim bahawa keadaan sedemikian harus tidak berlaku kini. Anak-anak harus digalakkan untuk menyampaikan pandangan mereka secara bebas dan mengeluarkan pandangan walaupun kadang-kadang pandangan mereka terkeluar dari garis perbincangan sebenar. Menyekat kebebasan pelajar mengeluarkan pandangan harus diberhentikan. Begitu jugalah perbuatan-perbuatan yang tidak harus dilakukan oleh guru seperti mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya dikeluarkan dihadapan murid harus diberhentikan.

abuhassanadam

Padang Rengas

7 Mei 2021


Thursday, May 6, 2021

 PEMIMPIN PAS GAGAL MEYAKINKAN PENGIKUTNYA

Sudah lebih setahun PAS bersekongol dengan Perikatan Nasional (PN) dan bersama-sama kononya untuk memajukan negara. Itulah harapan yang dijanjikan kepada pengikut setia PAS bahawa mereka akan memperjuangkan Islam dan melakukan sesuatu yang mengikut landasan Islam. Namun begitu sehingga kini tidak kelihatan lagi perancangan yang konkrit yang dilakukan oleh para menteri lantikan Perikatan Nasional dari PAS mahu pun dari para menteri yang datang dari UMNO.

PAS tentu sudah sedar kini bahawa memang senang melemparkan kritik dan menuding jari menyatakan kesilapan seseorang. Dan sepanjang yang diingati itulah amalan para pemimpin PAS mencari kesalahan para pemimpin kerajaan yang terdahulu. Dan kini mereka sudah berada dalam kerajaan Perikatan Nasional dan sepatutnya mereka melakukan perubahan sebagaimana yang diwar-warkan oleh mereka sebleum ini. Yang jelasnya hukum Hudud yang cuba diperkenalkan oleh mereka sehingga kini sepi sesepinya. Begitu juga dengan tindakan yang sepatutnya mereka lakukan terhadap kegiatan yang bertentangan dengan amalan Islam di negara ini. Terus berleluasa. Kegiatan perjudian misalnya. Terus berleluasa. Jangankan hendak menutup pusat perjudian besar seperti di Genting Highlands. Sepatutnya mereka mengambil langkah dan tindakan yang sewajarnya bagi membendung perbuatan sedemikian.

Tentulah ada jawapan dan hujjah bagi menangkis mengapa mereka tidak mengambil tindakan sedemikian. Tentulah ada 'dalil-dalil' yang boleh di ketengahkan bagi meyakinkah pengikut yang mereka pimpin selama ini yang terus menerus mempercayai tentang apa yang mereka lakukan. Para pengikut setia PAS tentu sudah nampak dan jelas kelihatan bahawa tidak kelihatan walau pun satu tindakan yang drastik dan berkesan yang dilakukan oleh pimpinan mereka yang berada dalam kabinet TS Muhyiddin Yassin. Mungkin ada dan aku sahaja yang rabun dan tidak nampak!

Yang ada dan yang sentiasa diwar-warkan ialah kononnya ada menteri dari PAS yang telah pergi ke Turki suatu ketika dahulu dan membawa pelaburan ratusan jutaan ringgit hasil rundingan penjualan kelapa sawit di negara-negara berkenaan. Itu pun diragu dan sangsikan. Dan jika mahu dilihat sebagai satu kemajuan lawatan YB Menteri agama ke Timur Tengah satu ketika dahulu dengan menggunakan jet persendirian, maka kemungkinan akan ada lagi lawatan yang sedemikian menggunakan kemudahan sedemikian demi memajukan negara dan bangsa dan agama kononnya.

Rakyat sebenarnya berhasrat benar mahu melihat tentang kemajuan-kemajuan yang boleh diilhamkan oleh pemimpin PAS yang berada dalam kabinet PN kini sepertimana juga rakyat mahu melihat sumbangan wakil rakyat UMNO dalam kepimpinan sedemikian. Hampir semacam tidak ada sumbangan dari pemimpin PAS yang berada dalam kerajaan PN ke arah memajukan bangsa dan negara ataupun yang terarah ke arah  kemajuan Islam. Yang sentiasa kedengaran ialah kisah kereta Mercedes yang menjadi pemakaian Exco negeri Kelantan disamping sungutan rakyat Kelantan yang menghadapi masalah air yang kelihatan sukar sekali untuk diselesaikan.

Sudah sampailah masanya para pemimin PAS memikirkan tentang hasrat dan cita-cita para penyokong PAS yang bersungguh-sungguh benar memberikan sokongan pada suatu ketika dahulu yang akhirnye meletakkan anda di tempat sedemikian. Mungkin ada saat dan ketikanya rakyat yang memberikan sokongan itu akan menarik 'brek' setelah mereka faham bahawa sebenarnya para pemimpin yang disokong sebelum ini hanya mementingkan diri sendiri dan mungkin baru disedari oleh mereka bahawa pemipin yang mereka sokong sebenarnya tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang secukupnya untuk mentadbir walaupun sebuah kementerian kecil di peringkat pusat.


abuhassanadam

Padang Rengas

6 Mei 2021


PAS LEADERS FAILED TO CONVINCE HIS FOLLOWERS

It has been more than a year that PAS has conspired with Perikatan Nasional (PN) and together supposedly to develop the country. That is the hope promised to the loyal followers of PAS that they will fight for Islam and do something in line with Islam. However, until now there is no concrete planning done by the ministers appointed by Perikatan Nasional from PAS or by the ministers who came from UMNO.

PAS has certainly realized now that it is easy to throw criticism and point fingers at someone's mistakes. And for as long as I can remember, that is the practice of PAS leaders to find fault with previous government leaders. And now they are already in the government of Perikatan Nasional and they should make changes as they preached this time. What is clear is that the Hudud law that they tried to introduce has been quiet until now. The same goes for the actions they should take against activities that are contrary to Islamic practice in this country. Continue to spread. Gambling activities for example. Continue to spread. Don't want to close a big gambling center like in Genting Highlands. They should take appropriate steps and actions to curb such acts.

Of course there are answers and arguments to counter why they don't take such action. Of course there are 'proofs' that can be highlighted to convince the followers they have led all this time who continue to believe in what they are doing. The loyal followers of PAS have certainly seen and clearly seen that not even one drastic and effective action has been taken by their leaders who are in TS Muhyiddin Yassin's cabinet. Maybe there is and I'm the only one who is myopic and doesn't see!

What there is and what is constantly being advertised is that there is supposedly a minister from PAS who went to Turkey some time ago and brought investments of hundreds of millions of ringgit as a result of negotiating the sale of palm oil in the countries concerned. Even that is doubted and doubted. And if it is to be seen as a progress of the YB Minister of Religion's visit to the Middle East once upon a time using a private jet, then it is possible that there will be another such visit using such facilities for the sake of advancing the country and nation and religion so-called.