Friday, February 27, 2015

‘MENGHINA’ ANWAR IBRAHIM:  YANG BERGELAR PEMIMPIN TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN

Sebahagian besar rakyat Malaysia simpati terhadap penderitaan dan kesengsaraan yang dihadapi oleh Saudara Anwar Ibrahim dan keluarganya ekoran daripada keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman lima tahun penjara.  Ramai yang mencurahkan rasa sedih dan simpati mereka kepada keluarga yang ditimpa malang, walaupun mereka terpaksa akur dengan keputusan mahkamah itu.

Pertubuhan NGO peringkat antarabangsa dan International Network of political parties mencurahkan rasa simpati mereka terhadap nasib malang yang diterima oleh Saudara Anwar Ibrahim itu. Malaysiakini melaporkan bahawa, “ The Progressive Alliance - comprising 120 organisations from five continents - said the Permatang Pauh MP’s case had raised ‘”internationally-worrying questions” about the independence of Malaysia’s judiciary and rule of law….. We call for fairness, transparency and the rule of law. Malaysia’s government has to recognise the importance of confidence in its judicial system and has to restore trust in its commitment to human rights."

Suatu yang menghairankan ramai rakyat di Malaysia kini ialah ada pemimpin negara semacam tidak ada langsung perasaan peri kemanusiaan terhadap kesengsaraan seorang manusia seperti Saudara Anwar. Walaupun sebahagian besar rakyat Malaysia mengatakan Saudara Anwar difitnah dan diainaya, namun bagi kumpulan kecil ini akan tetap mengatakan sebaliknya.

Sepatutnya para pemimpin menunjukkan contoh kepada rakyat bahawa ‘perbalahan’ politik adalah amat berbeza dengan ‘perbalahan peribadi’. Sepatutnya tidak dicampur-radukan sepertimana yang terdapat sekarang. Pemimpin parti-parti koponen Barisan Nasional seolah-olah sudah ‘meletakkan jawatan sebagai seorang manusia’ apabila mereka menyatakan sesuatu yang ‘buruk’ mengenai Saudara Anwar Ibrahim. Seolah-olah sudah tidak wujud langsung pertimbangan kemanusiaan apabila ‘menghentam’ dan menuduh Saudara Anwar Ibrahim dengan berbagai tuduhan yang kadang-kadang amat menyinggung bukan sahaja keluarga Saudara Anwar tetapi juga perasaan rakyat berbagai keturunan di Malaysia yang menaruh ‘empathy’ terhadap beliau.

Kenyataan Ketua Pemuda Gerakan tentunya amat menyinggung perasaan rakyat apabila beliau menampakkan ketidakpekaannya terhadap nasib malang yang menimpa Saudara Anwar Ibrahim dan keluarga. Kenyataannya yang menyatakan,’ "Tiada asas kukuh untuk pengampunan dan pengecualian hukuman tersebut kecualilah liwat dimansuhkan oleh Parlimen…… Tindakan ini (mohon pengampunan) menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan orang ramai. Kenapa seseorang perlu memohon diampunkan jika dia tidak melakukan kesalahan itu?" Nampak kenyataan beliau merupakan kenyataan biasa yang tidak menyinggung, tetapi dalam suasana malang yang menimpa sepatutnya beliau menghulurkan kata-kata yang berbentuk simpati terhadap  keluarga malang dan bukan yang bersifat negatif. Sepatutnya begitu.

Yang agak mendukacita juga ialah apabila seorang anggota Majlis Tertinggi Umno menempelak Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila keluarganya memohon pengampunan diraja.Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata petisyen pengampunan selalunya dimohon oleh banduan yang menghadapi hukuman gantung atau penjara seumur hidup.

"Anwar ternyata seorang yang bacul kerana biasanya mereka yang menerima hukuman gantung atau penjara seumur hidup sahaja yang memohon pengampunan…
.Setakat lima tahun pun hendak minta pengampunan ternyata Anwar hanya gempar sahaja apabila selalu melaungkan slogan 'lawan tetap lawan'," katanya yang dipetik oleh Malaysiakini.

Dan kenyataan beliau itu disanggah oleh Datuk Zaid Ibrahim melalui twetternya dengan mengatakan, “Fuad Zakarshi called Anwar a coward. No he is not a coward, just seeking a remedy available to him…….” Dan beliau menyambung lagi dengan mengatakan bahawa, “Hard for Umno fellas to understand the concept of pardon. They are more in tune when putting shame on others,”

Kenyataan Dato’ Zaid  menampakkan semacam begitu sikap dan tindakan setengah pemimpin UMNO. Berdasarkan kenyataan dan komen-komen yang dikeluarkan oleh mereka menampakkan bahawa mereka langsung tidak mengenangkan peristiwa lampau dimana pada suatu ketika dahulu merekalah yang ‘memuja’, ‘menyembah’ dan ‘mendendangkan’ ke hulu ke hilir nama ‘manusia’ bernama Anwar Ibrahim. Dan dalam sekelip mata sahaja mereka telah bertukar menjadi manusia ‘vultures’ yang tidak langsung ada perasaan simpati dan ‘empathy’ terhadap rakan yang terainaya. Betul kata peribahasa Melayu yang mengatakan bahawa sekiranya pokok sudah condong dan tumbang maka ‘kura-kura’ pun ingin memanjat dan menitinya.

Rakyat akan tetap mendoakan agar Saudara Anwar ‘dipulihkan’ seperti sediakala. Sekurang-kurangnya bagi rakyat jelata ingin melihat golongan yang sedemikian yang akan ‘menjilat ludahnya’ semula.

Diharapkan DS Mohd Najib tidak ‘berkelakuan’ seperti setengah pemimpin yang langsung tidak ‘berhati perut’ dan hilang perasaan kemanusiaan mereka terhadap ‘musuh’ dan berkemungkinan juga menjadi ‘rakan’ dalam politik pada suatu ketika nanti. Diharapkan juga DS Mohd Najib waras dan rasional dalam menangani isu berkaitan pengampunan Saudara Anwar Ibrahim ini.

Rakyat Malaysia rata-rata mendoakan Saudara Anwar Ibrahim dapat pengampunan dari DYMM Seri Paduka Yang Dipertuan Agung. Dan tentunya dengan campurtangan dan belas ikhsan YAB Perdana Menteri juga.

abuhassanadam

27 Februari 2015

Thursday, February 26, 2015

MEREKA BERKEMBAN DAN BERGULUNG KAIN

‘Berkemban’ Itu orang kampung aku panggil ‘bergetang dada’. Maksudnya ialah tidak memakai baju dan mengikat kain di paras dada ( bagi kaum wanita yang sudah berumur). Memang ‘seksi’ bunyinya bagi orang zaman ini tetapi itulah rupa keadaannya pakaian yang dipakai oleh kebanyakan kaum ibu di kampung aku. Termasuklah arwah ibu ku dan pangkat emak saudara aku Wan (MakCik) Meriam. Memang itulah rupa pakaian yang dipakai oleh mereka. Bukan sahaja dipakai dipersekitaran rumah, malah apabila mereka bertandang ke rumah jiran pun, mereka hanya bergetang dada, berkemban. Sekiranya ingin ‘bersopan’ sikit (mungkin), mereka menutup bahagian atas tubuh mereka dengan kain basahan atau tuala mandi.

Jarang sekali aku melihat golongan wanita pada tahun-tahun 50an dan 60an yang bertudung seperti kaum wanita zaman ini. Ibuku dan sepupunya Wan Meriam pernah menuntut di sekolah Arab (agama) Aldiniah Kampung Lalang, tetapi jarang sekali aku melihat mereka memakai tudung kecualilah untuk ke masjid atau ke surau mendengar syarahan agama yang disampaikan oleh Ustaz Salleh atau Ustaz Jidin atau Pak Alang Jawa. Ataupun ketika menghadiri majlis khenduri atau pengurusan jenazah. Itupun selendang yang dipakai oleh mereka hanya sekadar untuk melilit tengkuk sahaja.

Yang memakai tudung seperti kebanyakan wanita sekarang ialah golongan guru agama. Ustazah. Maknanya sekiranya kelihatan wanita pada ketika itu yang bertudung lingkup seperti wanita sekarang bererti seorang ustazah lah tu.

Bukan setakat tidak bertudung, tetapi kebanyakan wanita pada ketika itu ‘berkaran’ rambut’. “Bab’ ini tidak berlaku kepada ibu ku dan Wan Meriam. Namun begitu ada juga isteri para guru agama di bandar yang ‘berkaran’ rambut (mengerintingkan rambut). Kebanyakan pelajar-pelajar perempuan yang belajar di sekolah Inggeris pada ketika itu memakai blouse dan gown. Bagi yang belajar di sekolah Melayu memakai baju kurung dan berkain sarung. Tidak bertudung seperti sekarang ini.

Seingat aku, golongan laki-laki pula jarang sangat aku lihat mereka memakai baju. Di kampung aku ler. Sekiranya mereka memakai baju maka pasti samada mereka pergi ke pekan Padang Rengas ataupun menghadiri jemputan khenduri kahwin ataupun ke masjid untuk sembahayang Jumaat. Pendek kata zaman itu mereka tidak memerlukan baju yang banyak. Paling banyak pun mungkin tidak melebihi tiga helai. Lagipun pada ketika itu orang kampung aku tidak mempunyai wang untuk membeli pesalinan baju yang banyak.

Ke sana ke mari, orang kampung aku memakai kain sarung bergulung besar. Kain pulikat cap siput kebiasaannya. Dan kebiasaanya mereka tidak memakai seluar dalam seperti kita sekarang ini. Mereka amat yakin yang kain mereka tidak ‘terselak’ atau pun tidak ‘terlondeh’. Jarang sangat aku melihat kain mereka terlondeh. Hanya golongan muda belia sahaja yang memakai seluar panjang. Kain ‘kot’ putih. Itu pun dipakai sekiranya hendak ke pekan Padang Rengas atau ke Kuala Kangsar. Di kampung biasanya orang muda hanya memakai kain sarung juga. Tidak berbaju. ‘Bolin’. Dan pastinya akan kelihatan tompok-tompok panau (penyakit kulit) di tubuh-tubuh kebanyakan penduduk kampung pada ketika itu.

Bagaimana pula dengan kasut. Maksudnya apakah mereka memakai kasut pada zaman itu. Kebanyakannya mereka ke sana ke mari mereka berkaki ayam. Sepanjang aku bersama dengan Atuk aku, tidak pernah aku melihat Atuk aku memakai kasut walaupun pergi ‘makan angin’ ke Kuala Kangsar bersama dengan Opah. Yang agak ‘hebat’ mengenai Atuk aku ialah ke sana ke mari dia memakai baju ‘coat’ berbutang lima. Coklat warnanya.

Aku masih terbayang keadaan Atuk aku apabila kami bersama-sama pergi ke pejabat tanah Kuala Kangsar untuk membayar hasil tanahnya di Pejabat Tanah Kuala Kangsar. Biasanya Atuk akan mengenakan pakaian baju Coat butang limanya berwarna coklat. Yang anihnya Atuk tidak mengenakan kancing butangnya. Dibiarkan sahaja terbuka. Tetapi Atuk tidak pula memakai kemeja seperti yang selalu dipakai oleh kebayakan orang. Atuk tidak memakai seluar tetapi memakai kain sarung. Dan aku yakin Atuk tidak memakai seluar dalam……Dan ke mana saja dia pergi pastinya kaki ayam. Yang menghairankan aku tapak kaki Atuk aku boleh menahan kepanasan jalan raya pada ketika itu.

Sebenarnya bukan Atuk aku seorang sahaja yang berpakaian begitu pada ketika itu. Hampir semua orang kampung berpakaian demikian pada ketika itu. Di Gapis ke, di Talang ke. Lubuk Merbau ke, Laneh ke, Paya Lintah ke, Teroso ke, Cegar Galah ke, Sayung ke, Tanah Merah ke …….begitulah pakaian orang tua-tua. Mungkin ikut cara orang putih agaknya. Tetapi orang putih tak pakai kain sarung pulak. Dan orang putih biasanya memakai kasut dan tidak pula berkaki ayam seperti Atuk aku……

Dan aku perhatikan juga bahawa baju ‘coat’ Atuk aku sentiasa tersangkut di dinding rumah kami. Aku pasti tidak  pernah dibasuh walau sekali pun semasa ‘usianya’…..Mungkin….

abuhassanadam
26 Februari 2015





Wednesday, February 25, 2015

NAMA TUN ABDUL RAZAK TERCEMAR

Rakyat Malaysia yang berada dalam era pentadbiran Tun Abdul Razak merasa begitu ‘terguris’ apabila nama baik beliau seolah-olah dicemari dengan kenyataan Pejabat Perdana Menteri yang menjelaskan tentang diri DS Mohd Najib Abdul Razak sebagai " …..seorang individu dengan kedudukan dan tanggungjawab sebagai perdana menteri dan juga warisan harta pusaka (yang diperolehinya)".

Kenyataan itu membayangkan bahawa seolah-olah DS Mohd Najib telah mewarisi harta yang ‘bertimbun’ hasil peninggalan ayahanda beliau Tun Abdul Razak. Dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri itu juga telah menimbulkan rasa ‘kecil hati’ adik beradik DS Mohd Najib sendiri yang merasa ‘terhina’ dengan kenyataan sedemikian. Seolah-olah Tun Abdul Razak semasa menjadi Perdana Menteri Malaysia telah mengumpulkan harta yang begitu banyak yang ditinggalkan kini.

Lantas waris Tun Abdul razak telah menafikan berita berkenaan.
"Kami sangat bimbang kerana beberapa laporan berita terkini dan tulisan (di Internet) menimbulkan spekulasi berhubung bentuk dan tahap warisan yang ditinggalkan arwah bapa kami, Abdul Razak.
Kami ingin menyatakan bahawa Abdul Razak merupakan orang yang sangat berprinsip dan hal ini diketahui semua yang mengenali sikap berhemah dan integritinya.
Apa jua kenyataan atau kaitan yang bertentangan dengan itu sama sekali tidak benar dan mengelabui ingatan padanya dan khidmat serta pengorbanannya pada negara," kenyataan ringkas empat beradik itu. ( Malaysiakini 24 Februari 2015)

Rakyat Malaysia yang berada dalam era pentadbiran Tun Abdul Razak tahu dan terlalu menghargai sumbangan yang diberikan oleh Tun Abdul Razak kepada negara. Walaupun tidak ada sumber maklumat seperti hari ini namun rakyat tahu dan yakin bahawa Tun Abdul razak tidak melakukan perbuatan sepertimana yang digambarkan. Apatah lagi dengan sikap dan perwatakan Toh Puan Raha (ibu DS Mohd Najib ) yang begitu dihormati dan disayangi oleh rakyat Malaysia dan tentunya tidak ada rakyat yang akan cuba mencemarkan nama Tun Abdul Razak.

Sebagaimana Tun Syarifah Rodziah ( isteri Perdana Menteri Pertama), Toh Puan Raha juga adalah merupakan ibu mithali. Tidak terdengar suara-suara sumbang dari rakyat jelata yang menyentuh tentang watak dan keperibadian beliau melainkan hampir keseluruhan rakyat Malaysia sentiasa memuji dan menyanjung keperibadian isteri pemimpin yang disayangi itu pada ketika itu.

Pemergian Tun Razak pada tahun 1973, sememangnya ditangisi rakyat dan tangisan rakyat bukan  merupakan ‘lakonan’ rakyat Malaysia. Rakyat betul-betul menangisi pemergiannya yang seolah-olah masih belum diredakan pemergiannya pada ketika itu. Rakyat sememangnya amat memerlukan kepimpinannya untuk membawa negara yang baru membangun ini ke suatu tahap yang dapat dibanggakan.

DS Mohd Najib pasti ingat suasana sedih rakyat Malaysia ketika melihat mendaratnya pesawat yang membawa jenazah pemimpin disayangi itu dari London akibat dari serangan Lukemia. Pasti DS Mohd Najib dapat melihat tangisan rakyat yang betul-betul menyayangi pemimpin yang telah pergi itu. Tun Abdul Razak tidak memberitahu rakyat  yang beliau sedang menderita kibat Lukemia. Tidak ramai yang tahu yang beliau sedang mendapat rawatan di London sehinggalah berita kematiannya di siarkan ke seluruh negara dengan tiba-tiba yang pastinya mengejutkan rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia seperti aku, pastinya amat sedih apabila Pejabat Perdana Menteri menyiarkan berita yang mengatakan "untuk seorang individu dengan kedudukan dan tanggungjawab sebagai perdana menteri dan juga warisan harta pusaka (yang diperolehinya)"  memberikan gambaran bahawa DS Najib memeprolehi kekayaan daripada ayahandanya yang juga sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kedua.

Yang menghairankan aku ialah mengapa DS Mohd Najib selaku Perdana Menteri  ‘membiarkan’ berita sedemikian ‘terlepas’ untuk disiarkan oleh New York Times? Apakah  pegawai akhbar di Jabatan Perdana Menteri tidak peka dan tidak sensitif tentang perkara-perkara sedmikian yang boleh menjejaskan reputasi seorang Perdana Menteri disamping menimbulkan kekecewaan kepada anak-anak Tun Abdul Razak dan rakyat Malaysia lain.

Semoga dengan penjelasan yang diberikan oleh anak-anak Tun Abdul Razak itu akan dapat menafikan segala tohmahan dan anggapan buruk terhadap Tun Abdul Razak yang disayangi oleh rakyat itu. Yang lebih pentingnya ialah penafian itu akan memperjelaskan persepsi golongan muda di Malaysia yang tidak tahu dan mengenali Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein, seorang pejuang kemerdekaan dan bapa pembangunan negara disamping menjadi Perdana Menteri Malaysia kedua.

abuhassanadam
25 Februari 2015


Tuesday, February 24, 2015

KERJASAMA PAS-UMNO :  APAPAKH PISANG AKAN BERBUAH DUA KALI?

Nampaknya sudah terdengar suara-suara yang agak lantang (dan tidak lagi sembunyi-sembunyi menyarankan agar PAS bergabung dengan UMNO. Berbagai alasan dikemukkakan. Tetapi yang nampak jelas hujahnya ialah tentang ‘keuntungan’ yang akan diperolehi  orang Melayu sekiranya penyatuan sebegini dapat diwujudkan. Orang Melayu dapat bersatu semula.

Tetapi jikalau diperhalusi pula dan dikemukakan pertanyaan tentang bilakah orang Melayu yang dalam keadaan berpecah-belah. Dan ramai juga yang mengatakan bahawa perpaduan UMNO-PAS akan menyelamatkan orang Melayu daripada ‘serangan’ orang asing di Malaysia. Ini juga merupakan kenyataan dan persolan yang ‘memeningkan’ ramai orang. Ingin juga aku mempersoalkan tentang bilakah tergugatnya orang Melayu? Aku tidak nampak keadaan sedemikian berlaku.

PAS dan UMNO telah pun bergabung pada tahun 1973. Telah pun terbentuk kerajaan campuran atas nama Barisan Nasional yang disertai oleh PAS pada zaman kepimpinan Dato Asri Haji Muda dulu. Dan pada ketika itu juga telah diwar-warkan hasrat penggabungan itu – untuk menyelamatkan orang Melayu. Tetapi nampaknya sekiranya dilihat dari hasrat sedemikian orang Melayu kini masih juga tidak maju dan masih juga tergugat mengikut setengah pihak di Malaysia kini sehinggalah berlaku ‘penceraian’ antara UMNO dan PAS.

Aku agak setuju sekiranya dikatakan bahawa orang Melayu masih mundur berbanding dengan kaum lain di Malaysia. Itupun bukan semata-mata disebabkan oleh kaum Cina. Orang Melayu itu sendiri yang patut dipersalahkan disamping pihak kerajaan yang juga patut dipersalahkan. Tetapi untuk menyatakan bahawa orang Melayu tergugat dan terancam di negara ‘kepuk padi’ ini, aku kurang bersetuju. Sekiranya dikatakan bahawa orang Melayu tergugat, pastilah ada pihak yang menggugatnya. Dan jikalau dikatakan orang Melayu dalam keadaan terancam, maka tentulah ada kumpulan yang mengancamnya.

Dan sekiranya pihak UMNO  (yang menjadi teras pemerintahan negara ini ) mengatakan bahawa orang Melayu terancam, maka UMNO itu yang patut dipersalahkan kerana kelemahannya sebagai kerajaan untuk menyelamatkan orang Melayu. Mengapa perlu menuding jari ke arah orang lain untuk melindungi kesalahan sendiri?

Aku masih yakin dengan pandangan dan penelitian aku ia itu sekiraanya betul orang Melayu tergugat ( sekiranya betul pandangan sedemikian) maka yang menyebabkan keadaan terjadi demikian adalah disebabkan orang Melayu itu sendiri. Samada itu merupakan kesalahan dan sikap negatif orang Melayu ataupun ada terdapat golongan orang Melayu yang ‘kuat’ menindas golongan Melayu ‘lemah’ ataupun ada terdapat golongan Melayu yang ‘berkkuasa’ menindas golongan Melayu yang ‘tidak berdaya’.

Seingat aku semenjak zaman berzaman  orang Melayu sentiasa dalam ‘ketakutan’. Sistem feudal yang mencengkam masyarakat Melayu semenjak zaman berzaman sentiasa menyebabkan orang Melayu hidup dalam ketakutan. Orang Melayu menjadi satu bangsa yang sentiasa takut dan terasa seperti selalu terancam, walaupun tidak ada sesuatu yang boleh menakutkan. Sekiranya sememangnya tidak ada yang mengancam mereka, orang Melayu akan mewujudkan satu ‘lembaga’ atau bayangan yang boleh menyebabkan orang Melayu lain rasa takut dan terancam. Orang Melayu akan mewujdukan ‘hantu’ untuk menakutkan dirinya…….

Dalam tahun-tahun 1950an dan 1960an, pihak pemerintah akan menggunakan isu ‘pemerintahan Jepun’ untuk menakut-nakutkan orang Melayu. Isu pemerintahan Jepun’ ini akan ‘didendangkan’ menjelang sesuatu pilihan raya pada ketika itu. Orang Melayu (terutamanya di kampung-kampung) akan sentiasa ‘dingatkan’ tentang penderitaan yang dialami oleh orang Melayu dalam zaman pemerintahan Jepun (1939-1945).

Kemunculan generasi baru yang tidak dapat merasakan penderitaan yang dialami pada zaman pemerintahan Jepun dan zaman pemerintahan Komunis menyebabkan pihak-pihak tertentu terpaksa mencari isu baru untuk dijadikan bahan menakutkan orang Melayu. Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan ‘jembalang’  yang agak berkesan untuk menakutkan bukan sahaja orang Melayu tetapi juga masyarakat Malaysia secara umumnya. Sesiapa sahaja yang pernah berada dalam suasana 13 Mei itu, merasakan bahawa peristiwa sedemikian tidak perlulah berulang. Masyarakat Malaysia menjadikan Peristiwa 13 Mei sebagai ‘sempadan’ dalam sejarah Malaysia.

Tidak ada sebab yang boleh menyebabkan orang Melayu masih terancam dan tergugat memandangkan ‘kelengkapan’ yang   cukup memadai untuk melindungi orang Melayu di Malaysia. Perlembagaan Malaysia dengan berbagai-bagai peruntukan yang disediakan adalah untuk melindungi orang Melayu. Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan pada tahun 1970 ( dan dipersetujui dan direstui oleh bukan Melayu) telah jelas untuk ‘memagari’ kepentingan orang Melayu. Tanah Rizab Melayu yang diperkenalkan oleh British dulu turut melindungi kepentingan orang Melayu supaya tidak menjualkan tanah kepada orang asing. Cuma pihak berwajib kini, terutama di negeri-negeri yang berusaha untuk ‘melanggar’ syarat yang telah dikenakan oleh British itu.Banyak lagi yang boleh dihujahkan untuk menyatakan bahawa tidak ada sebab yang orang Melayu akan tergugat.

Tetapi soalnya mengapa masih ada NGO yang mengatakan bahawa orang Melayu sedang terancam dan tergugat. Para NGO berkenaan seharusnya mengkaji apakah kelemahan orang Melayu kini disebabkan oleh ancaman oleh orang asing ataupun digugat oleh orang Melayu sendiri. Pendedahan yang dibuat oleh beberapa pihak tentang ‘kehilangan’ punca pencarian orang Melayu di Johore Bharu ekoran daripada pembangunan secara pesat harus mendapat perhatian pihak NGO yang (kononnya) sentiasa memperjuangkan nasib orang Melayu. Mereka seharusnya berada di medan hadapan mempertahankan nasib orang Melayu di Johore yang sentiasa dihimpit dan terhimpit. Mungkin satu masa nanti negeri yang merupakan tempat asal UMNO Johore ini akan berpindah tangan. Mungkin….

Kesimpulannya sekiranya alasan ‘demi perpaduan orang Melayu’ yang mendorong PAS bergabung dengan UMNO maka tentunya merupakan alasan yang lemah. Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini bahawa PAS dan UMNO telah bergabung menggunakan alasan yang sama. Dan sehingga kini (mereka juga mengatakan) orang Melayu masih lemah dan tergugat.

Justeru ahli PAS terutama golongan mudanya perlu mengingati pesanan orang tua-tua agar pisang jangan berbuah dua kali. Apakah golongan muda dalam PAS sedar apakah yang telah dideritai oleh mereka ketika PAS bergabung dengan UMNO pada tahun-tahun 1970an dulu.

Mungin Cikgu Musatafa Ali boleh memberikan tunjuk ajar tentang pengalaman lama yang agak pahit itu.

abuhassanadam
24 Februari 2015