Thursday, October 15, 2015

DILEMMA SEORANG AHLI PARLIMEN – ANTARA PERJUANGAN DAN PRINSIP YANG TERGADAI

            Ahli parlimen penyokong kerajaan semacam bimbang dan takut-takut untuk menghadiri persidangan parlimen yang akan dIadakan tidak lama lagi khususnya dalam keadaan negara menghadapi kemelut ekonomi dan politik yang amat getir di negara kita kini. Dalam keadaan ‘conscience’ yang tidak begitu jelas tentulah amat sukar bagi seseorang yang sentiasa mengatakan sebagai ‘pejuang bangsa Melayu dan agama Islam’ untuk hadir di parlimen untuk membahaskan sesuatu isu takut-taku dituduh seperti ayam jantan, ‘kokok yang berderai-derai sedangkan ekor bergelumang tahi’.

            Tentulah ada asasnya mengapa mereka berperasaan demikian. Tentulah juga ada asasnya mengapa mereka rasa ‘bersalah’ pada diri, pengundi dan kepada bangsa dan agama mereka. Sudah sekian lama isu IMDB dan isu RM 2.6 billion ringgit milik peribadi DS Mohd Najib berlegar dan bermacam-macam ‘cerita’ di dengar mengenai dua isu ini. Dan tentulah sepanjang kedua-dua isu ini diperkatakan dan berlegar dikalangan masyarakat negara, tak mungkinlah para ahli parlimen kita belum lagi dapat membuat kesimpulan dan ‘keputusan’ tentang sahih tidaknya isu berkenaan. Tentulah para ahli parlimen sudah dapat membuat kesimpulan tentang kedua-dua isu yang amat penting kepada negara itu.

            Yang menghairankan ialah bahawa ramai ahli parlimen kita mengamalkan ‘sindrom bisu’. Tidak ramai ahli parlimen kita yang berani tampil kehadapan memperkatakan tentang kedua-dua isu ini. Jikalau pun ada yang agak ‘berani’ tampil kehadapan ‘membela’ IMDB dan isu RM 2.6 billion, hujah yang dikemukakan oleh mereka agak longgar dan tidak meyakinkan. Tetapi sekurang-kurangnya golongan ini ‘berani’ tampil kehadapan walaupun hujah yang dikemukakan oleh mereka boleh dipersendakan sesiap yang membacanya. Tetapi sekurang-kurangnya mereka berani tanpil kehadapan.

            Rakyat Malaysia mempersoalkan tentang ‘sindrom bisu’ yang diamalkan oleh wakil parlimen dari Barisan Nasional. Amat jarang kedengaran mereka menyuarakan pandangan dan pendapat mereka tentang kedua-dua isu yang penting ini. Kadang-kadang kelihatan mereka betul-betul dalam dilemma – semacam ‘ditelan mati emak dan diluah mati bapak’. Dan yang agak jelas kelihatan juga ialah tentang keengganan mereka itu semacam ada sesuatu ‘yang terlekat di kerongkong’. Pendek kata ahli parlimen kita (khususnya dari kalangan BN) betul-betul dalam keadaan serba salah.

            Tetapi persoalannya mengapa mereka bersikap demikian? Bukankah tugas mereka sebagai wakil rakyat untuk memperkatakan sesuatu sebagai mewakil rakyat yang diwakili oleh mereka. Apakah mereka tidak dapat merasakan denyut nadi dan hati rakyat mereka yag diwakili oleh mereka. Apakah mereka masih tidak dapat merasakan ‘suhu panas’ yang berlegar dikalangan rakyat yang mereka mewakili itu yang berkaitan dengan isu IMDB dan Wang RM 2.6 billion milik peribadi DS Mohd Najib.

            Mungkin Ahli Parlimen sudah dapat merasakan denyut nadi pengundi yang diwakili oleh mereka. Dengan sebab itulah agaknya ramai ahli parlimen sudah tidak berani bertemu dan berjumpa dengan rakyat kini takut mereka tidak dapat menjawab berbagai persolaan yang dikemukan oleh pengundi berkaitan dengan dua isu yang penting itu. Lantas ramai pemimpin UMNO peringkat bahagian dan cawangan terus menerus mendiamkan diri dan tidak ‘berani’ untuk bersemuka dengan rakyat yang dipimpin oleh mereka.

            Pastinya yang paling menakutkan ahli parlimen BN ialah sekiranya diadakan undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri sebagaimana yang telah diura-urakan oleh pihak pembangkang. Suasana sedemikian betul-betul seperti kata peribahasa Melayu,’ ditelan mati emak diluah mati bapak’. Rakyat dan pengundi yang mengundi mereka sudah terang dan jelas pendirian mereka tentang kedua-dua isu penting ini. Rakyat sudah ‘diasuh’ dan diperjelaskan kedudukannya oleh media-media sosial yang tersebar dengan meluas. Walaupun berpuluh-puluh penafian dibuat oleh DS Mohd Najib sendiri dan ‘pembantu-pembantu’nya, namun ‘serangan’ dari media sosial semacam telah dapat menewaskan ‘pertahanan’ kerajaan itu.

            Majoriti rakyat Malaysia merasakan ada sesuatu yang tidak kena mengenai isu IMDB dan isu wang RM 2.6 billion. Dengan berbagai tindakan ‘luar biasa’ yang dilakukan oleh pihak pemerintah memberikan gambaran kepada rakyat bahawa semacam ada sesuatu yang hendak disembunyikan oleh pihak kerajaan dari diketahui oleh rakyat terbanyak. Dan salah satu kesilapan pihak kerajaan dan juga pihak-pihak tertentu yang ‘cuba menegakkan benang basah’ dalam pentadbiran negara ialah anggapan salah mereka tentang rakyat Malaysia. Mungkin mereka merasakan bahawa rakyat Malaysia boleh diperbodohkan dengan penjelasan dan hujah-hujah mereka yang dangkal dan semacam mereka lupa bahawa ramai rakyat Malaysia di luar sana yang jauh lebih pandai dan pintar daripada mereka.

            Para wakil rakyat yang akan ‘memasuki’ parlimen Malaysia tidak lama lagi harus betul-betul bersedia sebelum memulakan ‘pertempuran’. Dan jangan harus dilupakan langsung bahawa tugas anda semua adalah untuk kemajuan bangsa dan negara dan bukan untuk mempertahankan seseorang. Dan kepada ahli parlimen UMNO khususnya jangan dilupakan pesan datuk nenek kita bahawa UMNO adalah untuk membela bangsa, negara dan agama.

            Para pemimpin UMNO….ingat!!....

abuhassanadam
15 Oktober 2015


Wednesday, October 14, 2015

ORANG KAMPUNG TIDAK BOLEH LAGI DI CUCUK HIDUNG

            Kadang-kadang aku agak ‘panas’ juga apabila orang kampung sentiasa ‘dipersalahkan’ dalam hal yang berkaitan dengan IMDB dan wang RM 2.6 billion milik akaun peribadi DS Mohd Najib Tun Abdul Razak. Orang kampung sentiasa dipersalahkan kerana memberikan sokongan yang membabi buta kepada kepimpinan kerajaan BN kini yang dianggap mereka semacam telah menghancur punahkan negara ini. Yang menyebabkan aku agak ‘panas’ adalah disebabkan asal usul aku ialah dari kampung dan ‘roots’ aku masih di kampung. Maknanya aku ialah orang kampung totok.

            Minggu lepas aku balik kampung. Menghadiri kenduri kahwin orang kampung aku. Kawan lama. Kebiasaannya jikalau menghadiri kenduri kampung amat berbeza dengan menghadiri kenduri di bandar. Sekiranya ‘orang kampung’ seperti aku menghadiri kenduri di kampung aku hanya untuk makan dan lepas itu meninggalkan majlis sudah dianggap ‘tidak sopan’. Orang kampung aku tidak ‘merelakan’ perbuatan sedemikian. Aku tahu dan aku amat tahu ‘budaya’ kampung aku, walaupun sudah agak jarang aku balik kampung menghadiri majlis kenduri sedemikian.

            Yang nak aku ceritakan bukan kisah kenduri kahwin sahabat lama aku tetapi kisah orang kampung aku yang agak ‘advance’ dalam hal menceritakan tentang IMDB dan RM 2.6 billion milik akaun DS Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Semacam aku ‘tewas’ berbanding dengan mereka dalam hal mengkisahkan mengenai dua isu besar itu. Semacam mereka lebih tahu dari aku. Mereka tahu menyebut ‘Sarawak Report’ dan mereka tahu tentang ‘surat khabar dan majalah orang putih’ yang menceritakan tentang penyelwengan yang berkaitan dengan IMDB dan RM 2.6 billion.

            Aku terpegun mendengar ‘ceramah’ mereka, sambil kami sama-sama bergotong royong melapah dan menghiris daging lembu untuk dibuat gulai. Rupa-rupanya amalan bergotong royong masih lagi ‘segar’ dan ‘subur’ di kampung aku. Yang agak menghairankan aku juga ialah tentang beberapa orang ‘penceramah’ yang boleh ‘menganalisis’ tentang isu ini yang hampir sama dengan analisis yang disampaikan oleh penganalisis profesional. Yang amat jelas yang dapat dilihat ialah bahawa mereka merasakan bahwa keadaan negara kini adalah ibarat ‘cacing sudah naik ke mata’ samada dari segi politik atau ekonomi.

            Persepsi aku tentang kenyataan yang mengatakan bahawa orang kampung masih menyokong tindakan kerajaan BN yang ada kini berubah 360 darjah. Aku yakin bahawa bukan orang kampung aku sahaja yang bersikap demikian. Mungkin puluhan ribu kampung lain di Malaysia yang berkeadaan demikian. Dan berkemungkinan juga bahawa rakyat sudah cukup ‘meluat’ dan ‘bosan’ dengan keadaan yang menular dalam negara kita sekarang. Rakyat semacam begitu marah dengan beberapa tindakan pegawai kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan memelihara negara tercinta ini. Mereka lahirkan dengan jelas dan terang.

            Ada juga kedengaran khabar berita yang mengatakan bahawa ada wakil rakyat BN (ahli parlimen dan ADUN) yang sudah tidak ‘berani’ lagi berdepan dengan rakyat pimpinan mereka. Semacam sudah tidak dipedulikan oleh pengundi mereka apa juga penjelasan dan penerangan yang disampaikan oleh mereka berkaitan dengan IMDB dan isu RM 2.6 billion. Orang Melayu kampung dalam keadaan senyap telah melahirkan rasa tidak puas hati mereka tentang tindakan kerajaan BN kini menangani isu IMDB dan RM 2.6 billion ringgit milik akaun peribadi DS Mohd Najib, Perdana Menteri kita. Dan seolah-olah akhbar dan media arus perdana sudah tidak dapat lagi ‘menembusi’ pemikiran orang kampung dengan dakyah mereka. Semacam sudah tidak laku. Kata-kata wakil rakyat mereka semacam sudah tidak laku.

            Peranan media sosial amat berkesan dalam ‘menyedarkan’ orang kampung. Walaupun masih ada lagi orang kampung dan peneroka Felda yang masih ‘tenggelam’ dalam khayalan mereka, namun sebahagian besar rakyat Malaysia sudah menyedari hakikat sebenar tentang apa yang berlaku sekarang. Dulu ‘Penyakit’ yang sedang menular dalam negara kita hanya diketahui oleh golongan intelek bandar tetapi nampaknya wabak ‘penyakit’ sudah merebak ke kampung-kampung dan tentunya amat sukar sekali untuk dibendung.

            Pihak kerajaan khususnya kepimpinan negara harus menangani keadaan buruk yang melanda negara kini dengan penuh cermat dan berhati-hati. Para pemimpin samada di peringkat nasional, negeri, daerah dan kampung harus  melihat perkembangan sebegini dengan cara serious. Sudah sampai masanya giliran para pemimpin mendengar nasihat dan ‘cakap-cakap’ rakyat yang dipimpin pula. Hendaknya jangan sekali-kali para pemimpin memperkecilkan kemampuan berfikir rakyat yang dipimpin. Rakyat sudah mula sedar bahawa ada sesuatu ‘yang tidak kena’ yang dilakukan oleh pemimpin yang mereka pilih. Rakyat sudah mula merasakan bahawa ada sesuatu ‘agenda’ yang cuba disorokkan oleh pmimpin mereka. Dan rakyat dapat merasakan  bahawa semacam ‘ada udang disebalik batu’.

            Janganlah hendaknya retak menjadi belah!!....

abuhassanadam
14 Oktober 2015


Tuesday, October 13, 2015

APAKAH AHLI PARLIMEN KITA MASIH BERMIMPI?

            Antara intipati titah Raja-Raja Melayu berkaitan dengan IMDB baru-baru ini ialah kekhuatiran takut-takut kegagalan memberi penjelasan yang meyakinkan mengenai IMDB dikhuatiri mengakibatkan timbulnya krisis keyakinan di negara ini. Amat kena pada masanya Duli-Duli Yang  Maha Mulia mengingatkan pihak-pihak tertentu tentang bahaya yang akan dihadapi oleh negara ia itu krisis keyakinan.

            Maknanya dalam bahasa yang mudahnya sebelingan besar rakyat sudah tidak yakin dengan kepimpinan negara. Dalam bahasa ‘kampung’nya, ‘buatlah apa pun aku tak percaya’. “cakaplah apa pun aku tak yakin dan aku tak percaya’. ‘ “Bercakaplah kamu sampai berbuih-buih mulutpun aku tak mahu dengar kerana aku tak percaya cakap kamu’. ‘Cakap kamu tak boleh pakai – cakap pagi tak boleh pakai petang – kamu berbohong”. Pantun Melayu kata, Siakap Senohong, Gelama, Ikan Duri; bercakap bohong lama-lama mencuri…”

            Seolah-olah semacam itulah anggapan rakyat Malaysia kepada kepimpinan negara yang ada sekarang. Dan sebenarnya anggapan yang sebegini sudah lama bertaut di hati dan perasaan rakyat Malaysia, sama ada orang Melayu, Cina, India atau lain-lain. Mereka semacam sudah tidak yakin dengan kepimpinan negara kini. Dan fakta ini tentunya diperkukuhkan dengan keputusan Pilihan Raya Umum 13 yang lalu dimana Pakatan Rakyat memperolehi 52 % daripada jumlah undi keseluruhannya.

            Aku tidak pula mengatakan seluruh rakyat Malaysia tidak yakin dengan kepimpinan sekarang. Tak begitu. Kehadiran puluhan ribu golongan ‘Baju Merah’ ke Padang Merbuk baru-baru ini menunjukkan bahawa  golongan sedemikian masih yakin dengan kepimpinan sekarang. Tak kiralah kehadiran mereka pada perhimpunan berkenaan itu dibayarkah atau diupahkah oleh pihak-pihak tertentu. Yang kelihatan ialah golongan ini semacam tidak peka dengan apa yang telah berlaku pada negara. Golongan sebegini seperti telah memekakkan telinga dan memejamkan mata mereka dan tidak mahu tahu apa yang sedang berlaku. Merugikan bangsakah, meruntuhkan negara kah semuanya tidak penting bagi mereka. Bagi mereka yang penting ialah dapat hadir dengan mendapat sedikit habuan dan bagi yang tinggal di luar Kuala Lumpur dapat berpeluang  ‘makan angin’ di Kuala Lumpur dengan perbelanjaan yang disediakan. Mungkin begitu anggapan mereka. Mungkin.

            Rakyat Malaysia pada umumnya sudah amat bimbang dengan perkembangan yang berlaku dalam negara kini. Namun yang menghairankan ialah ‘kesunyian’ dan ‘kesepian’ yang terdapat dikalangan pemimpin-pemimpin negara yang terdiri daripada wakil-wakil  parlimen dari kalangan Barisan Nasional. Tidak kiralah samada dari UMNO ataupun MCA ataupun dari MIC. Mereka tetap berada ‘dibelakang’ kepimpinan kerajaan kini. Mereka tak peduli apa yang berlaku kepada negara kini. Mereka tetap menyokong kepimpinan DS Najib yang pada anggapan mereka telah memberikan kepimpinan yang amat memuaskan. Apa nak jadi, jadilah. Mereka tetap memberikan sokongan.

            Rakyat akan melihat gelagat dan tindakan wakil-wakil mereka sekiranya diadakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri yang akan dibentangkan di parlimen nanti. Rakyat akan dapat melihat sendiri wakil rakyat mana yang menyokong dan yang mana akan menentang. Dan satu perkembangan yang anih kini di negara kita ialah seolah-olah ada golongan yang tidak memberikan penumpuan kepada salah betul sesuatu tindakan. Seolah-olah ada sesuatu yang mempengaruhi keputusan yang mereka buat, sesuatu yang amat kuat pengaruh dan ‘cengkamannya’.

            Terdapat juga dikalangan menteri kabinet negara ini yang seolah-olah memberikan sokongan melulu kepada apa saja yang berkaitan dengan IMDB. Golongan ini akan terus ‘melenting’ mempertahankan apa saja hujah yang mengkritik IMDB. Seolah-olah mereka sudah ‘sasau dan sawan’ apabila IMDB dikritik. Yang juga menghairankan ialah hujah-hujah yang dikemukakan oleh mereka mempertahankan hujah yang mereka kemukakan amatlah dangkal dan hampir tidak dapat diterima oleh manusia yang waras pemikirannya. Namun mereka tetap bersuara dan tetap mempertahankan hujah mereka. Mereka seolah-olah amat ‘berbangga’ dengan hujah yang mereka kemukakan walaupu ‘ditertawakan’ oleh sebahagian besar rakyat.

            Kadang-kadang kelihatan hujah yang dikemukakan oleh mereka semacam tidak mengandungi fakta langsung berbanding dengan hujah-hujah yang dikemukakan oleh akhbar-akhbar dan majalah luar negara yang sarat dengan fakta yang konkrit mengenai IMDB. Semacam hasrat mengemukakan ‘hujah-hujah’ mereka itu hanyalah untuk ‘dinikmati’ oleh orang-orang kampung dan di kawasan FELDA dengan perantaraan penyebar media arus perdana. Seolah-olah golongan ini sajalah yang menjadi sasaran mereka dan yang pastinya menyokong mereka ketika dalam ‘kesusahan’.

            Kini keadaan dalam negara kita semakin tambah meruncing. Sekiranya tidak meruncing, masakan Majlis Raja-Raja Melayu mula menyuarakan ‘kebimbangan’ mereka tentang perjalanan IMDB berkenaan. Dan sekiranya tidak meruncing masakan ‘wira-wira’ tua ‘ bangun semula cuba membetulkan keadaan negara yang agak ‘tenat’ ini. Dan jikalau begini keadaannya, apakah tugas untuk ‘mengubati’ penyakit negara kini hanya diserahkan kepada ‘wira tua’ dan rakyat jelata umumnya.

            Apakah wakil-wakil rakyat (khususnya dari Barisan Nasional) sudah tidak berfungsi lagi dan terus melupakan tanggung jawab mereka kepada negara. Apakah mereka masih yakin dan percaya bahawa perjalanan pentadbiran negara kini masih di landasan yang betul sedangkan seluruh negara dan juga seluruh dunia merasakan semacam ada ‘tempang’nya perjalanan negara Malaysia kita kini.

            Apakah ahli-ahli parlimen kita masih bermimpi?

abuhassanadam
13 Oktober 2015


Monday, October 12, 2015

SEPINGGAN MEE REBUS

            Selama tiga tahun aku ‘mengidam’ mee rebus dari kantin mamak di sekolah aku. Setiap kali wkatu rehat, aku hanya dapat memerhatikan rakan-rakan aku menikmati mee rebus yang aku idamkan. Berselera sungguh nampaknya mereka menghirup kuah mee berkenaan. Aku hanya mampu membeli kuih ‘Kundas’ yang harganya hanya 10 sen.

            Untuk mendapatkan sepinggan mee rebus aku terpaksa berbelanja sebanyak 25 sen. Tak mampu. Duit poket yang dibekalkan oleh bapak aku hanya 20 sen. Aku tidak sampai hati untuk meminta tambahan 5 sen untuk mencukupkan 25 sen supaya dapat aku menikmati mee rebus di kantin sekolah aku itu.Aku sedar bahawa dengan duit poket yang diberikan oleh bapak aku itu sudah dikira agak mewah kerana ramai juga rakan aku yang berbelanja hanya 10 sen ataupun tidak berbelanja langsung dan hanya mengharapkan bekalan ubi rebus atau pisang rebus ke sekolah.

            Keadaan sedemikian menyebabkan tidak ramai anak-anak Melayu (yang miskin seperti aku) yang ‘berani’ menjejakkan kaki di kantin sekolah. Jikalau ada pun anak Melayu yang berani melewati kantin sekolah, mereka adalah terdiri dari pemegang biasasiswa Persekutuan (RM 45 sebulan) ataupun yang mendapat Biasiswa Negeri ( RM 8 sebulan). Selain daripada ‘golongan’ demikian, hanya anak golongan ‘Diraja’ dari Bukit Chandan sahaja yang belawati kantin sekolah.

            Sehingga kini aku masih menceritakan kisah ‘sedih’ ini kepada anak-anak aku dan kepada siapa sahaja yang ‘bersimpati’ untuk mendengar coretan sedih seorang budak kampung yang miskin yang menunutut disebuah sekolah Inggeris yang kebanyakan pelajarnya terdiri dari kaum Cina dalam zaman penjajahan. Yang anihnya aku tidak pernah menyuarakan hasrat aku itu ( untuk menikmati mee rebus di kantin sekolah) kepada bapak dan emak aku. Aku yakin bahawa sekiranya aku lahirkan kepada mereka hasrat aku itu pasti mereka akan mengusahakan untuk menyediakan wang tambahan sebanyak 5 sen itu.

            Aku masih tidak dapat mencari jawapan mengapa aku tidak nyatakan hasrat aku itu kepada bapak atau kepada atuk aku. Dan aku yakin bahawa bapak aku tidaklah begitu susah untuk menyediakan wang tambahan 5 sen itu. Dan Atuk aku juga tidaklah sesusah mana untuk menambahkan wang 5 sen itu. Tetapi soalnya mengapa aku tidak ‘bersuara’. Dan hendak aku katakan yang aku ‘takut’ kepada bapak untuk menyuarakan hasrat berkenaan disebabkan bapak aku seorang yang garang, tidak juga begitu. Bapak aku seorang yang baik hati yang tidak pernah pun sekali dalam hidupnya ‘meletakkan tangan’nya kepada aku atau pun merotan aku. Tidak pernah.

            Tetapi soalnya mengapa aku tidak menyuarakan hasrat ku itu. Mungkin agaknya anak-anak pada ketika itu diajar dan diasuh supaya sentiasa berpuas hati dan ‘bersyukur’ kepada apa yang ada. Mungkin. Seingat aku tidak pernah aku menyuarakan rasa tidak puas hati kepada ibu dan bapak walau diatas perkara apa pun, melainkan kami (aku dan adik aku) sentiasa akur dan bersyukur. Tidak pernah aku bersungut tentang baju dan kasut raya yang telah dibelikan oleh bapak, melainkan sentiasa ‘bersyukur’ tentang apa yang disediakan. Tidak pula dizahirkan ucapan ‘terima kasih’ diatas sumbangan yang diberikan oleh ibu bapa seperti mana yang dilakukan oleh anak-anak kini.

            Ketika ibu bapa aku masih ada, tidak pernah aku ceritakan kisah aku ‘mengidam’ untuk makan mee rebus di kantin sekolah. Tidak pernah. Aku takut mereka terasa bersalah dan mereka terus bersedih. Aku tak mahu mereka berperasaan begitu sebab aku yakin bahawa sekiranya mereka tahu tentang hal ini, pastinya mereka yang akan bersedih berbanding dengan kesedihan aku. Lantas aku tidak pernah sekalipun membuka ‘rahsia’ ini kepada mereka.

            Aku dapat rasakan bahawa ‘kesedihan’ dan ‘kepiluan’ yang aku rasa dan ‘deritai’ itu dideritai juga oleh kebanyakan ‘kampung boy’ yang miskin ketika berskeolah dalam zaman penjajahan dulu. Aku tahu ramai kawan-kawan aku ‘menderita’ ketika itu ‘berperang’ bukan sahaja dengan keadaan kemiskinan keluarga tetapi ‘penghinaan’ yang berbagai-bagai yang terpaksa dilalui. Bukan kecil cabaran yang terpaksa dilalui oleh anak kampung miskin ketika itu demi untuk menempah kejayaan dalam hidup dan menebus maruah keluarga. Tidak mudah untuk mendapat kejayaan pada ketika itu dan hanya melalui pelajaran sahajalah yang boleh mengubah nasib anak-anak kampung yang miskin, demi meletakkan diri sama taraf dengan kaum-kaum lain yang lebih maju di negara sendiri.

            Kini ramai anak kampung yang semacam boleh ‘berdiri sama tegak dan duduk sama rendah’ dengan bangsa lain di negara ini ekoran daripada pencapaian dalam bidang pendidikan. Dengan pencapaian itu juga dapat rasanya aku beli ratusan pinggan mee rebus ( sekiranya aku mahu) untuk aku nikmati. Malangnya mee rebus sebagaimana yang aku perlukan pada suatu ketika dulu sudah tidak lagi dijual.

            Ketika pulang ke kampung aku masih mencari mee rebus yang berharga 25 sen itu. Mungkin harganya sudah ke paras 20 kali ganda. Tak apa. Malangnya sudah tidak ada lagi……

abuhassanadam

12 Oktober 2015