MEMUSUHI CINA SEMACAM MELINDUNGI KELEMAHAN MELAYU
Setelah
lebih setengah abad dibebaskan oleh penjajah British, dapat aku katakan bahawa
tidak banyak yang dapat dibanggakan oleh orang Melayu seperti aku di tanah air
sendiri. Ada kemajuan. Ada yang boleh dibanggakan. Tetapi jikalau dibandingkan
dengan kejayaan dan pencapaian kaum Cina boleh dikatakan jauh panggang dari
api.
Orang
Melayu mundur bukan salah Cina. Orang Melayu ketinggalan dalam serba-serbi
lapangan bukan kaum Cina yang patut dipersalahkan. Orang Melayu masih
ketinggalan dalam lapangan ekonomi, pendidikan di negarnya sendiri bukan salah
Cina. Yang sentiasa menyalahkan kaum Cina yang menyebabkan orang Melayu mundur
sebenarnya hanya mencari helah untuk melindungi kegagalan diri sendiri. Sebenarnya
‘yang empunyai diri’ itu yang patut dipersalahkan.
Apa
lagi yang diperlukan oleh orang Melayu untuk maju? Apa lagi?
Kadang-kadang
aku terfikir bahawa sebenarnya orang Melayu tidaklah ‘lekeh’ dan ‘koman’
seperti mana yang dijangkakan. Aku selalu merenung dan melihat ‘gelagat’ orang
Melayu (pelajar Melayu khususnya) zaman penjajahan yang ‘kewujudan’nya tidak
pun memerlukan sokongan dan ‘tongkat’ untuk hidup dan untuk maju. Aku teringat
bagaimana anak-anak Melayu kampung pada zaman penjajahan boleh berjaya
‘menyelamatkan’ diri dalam pelajaran, bertarung dan bertanding dengan anak-anak
kaum lain untuk menempa kejayaan.
Belajar
di sekolah yang sama (sekolah orang putih tentunya). Guru yang sama (dan tidak
ada walau seorang pun guru yang berbangsa Melayu). Menggunakan bahasa Inggeris
sebagai bahasa pengantar. Dan untuk meneruskan pelajaran perlu lulus Bahasa
Inggeris dengan Kepujian. Sama taraf antara pelajar Melayu dengan pelajar bukan
Melayu. Tidak ada pilih kasih. Tidak ada keistimewaan bagi anak Melayu. Dan
yang membanggakan ialah anak Melayu zaman penjajahan mampu bersaing
bersama-sama dengan pelajar bukan Melayu. Berjaya sepertimana juga pelajar Cina
khususnya. Maknanya anak Melayu zaman
penjajahan tidak ‘lekeh’.
Aku
teringat bagaimana anak-anak Melayu kampung (seperti aku) yang miskin, papa
kedana ‘berjuang’ untuk mendapat pelajaran di sekolah-sekolah Inggeris yang
didirikan oleh pihak penjajah. Dengan hanya berbekalkan harapan, kegigihan, dan
tentunya doa dari ibu bapa, kami berjaya menempa kejayaan sebagaimana yang
ditempa oleh anak-anak kaum Cina dan India.
Kami berjaya sepertimana kejayaan yang diperolehi
oleh anak-anak Cina, walaupun dalam keadaan serba kekurangan. Tidak ada
‘keistimewaan’ yang diberikan kepada anak Melayu. Malah kadang-kadang semacam
anak Melayu dianak-tirikan dalam hal-hal tertentu. Namun anak Melayu zaman
penjajahan sentiasa menganggap itu hanya sebagai satu cabaran dalam menempuh
kejayaan. Dan akhirnya anak Melayu zaman penjajahan berjaya juga. Dan sehingga
kini masih ada lagi ‘sisa-sisa’ Melayu yang sebegini yang masih ‘berfungsi’ di
negara ini.
Yang
sukar dilupakan ialah tentang kegigihan anak Melayu zaman penjajahan yang tdak
takut ‘bermain ombak’ dan ‘menempuh gelombang’. Anak Melayu kampung ketika itu
tidak pernah mengerti erti kalah dan tewas. Jauh sekali daripada perasaan putus
asa. Bayangkanlah dugaan-dugaan yang datang seperti terpaksa bersaing ‘on the
same level palying field’ dengan anak Cina yang jauh lebih terkehadapan
berbanding dengan anak Melayu kampung ketika itu. Anak Melayu kampung tidak
pernah kenal erti ‘tution’ dan tidak termampu untuk membeli buku-buku tambahan
sebagai persediaan menghadapi peperiksaan. Namun berkat ketabahan dan kegigihan
anak Melayu kampung zaman penjajahan dapat juga kejayaan yang setanding dengan
pencapaian anak Cina. Ini menunjukkan bahawa anak Melayu juga berkebolehan
seperti anak orang lain.
Aku
tidak pula mengatakan bahawa anak Melayu kini kurang berjaya berbanding dengan
zaman sebagaimana yang dilalui oleh anak Melayu zaman penjajahan. Cuma yang
ingin aku tegaskan ialah kecenderungan orang Melayu kini yang seolah-olah amat
jauh menyimpang dari matlamat yang ingin dicapai yang dihasratkan oleh
perancang kemerdekaan kita dulu.
Kegiatan
dan kecenderungan sebahagian orang Melayu kini di Malaysia kini sudah tidak
mencerminkan hasrat sebagaimana yang dihasratkan oleh perancang kemerdekaan
dulu. Orang Cina sentiasa dipersalahkan. Kadang-kadang semacam sebagai satu
helah orang Melayu untuk menyembunyikan kelemahan diri. Kelihatan semacam
sengaja orang Melayu mencari kesalahan orang lain sedangkan yang melakukan
kesalahan itu ada lah orang Melayu sendiri.
Biarlah
aku berterus terang.
Akhir-akhir
ini menampakkan bahawa ada sebahagian kecil orang Melayu ingin mempamerkan
‘kekuatan’ dan ‘kehebatan’ mereka pada tempat yang salah. Orang Melayu
kadang-kadang seolah-olah telah dipergunakan untuk kepentingan orang lain
dengan hanya mendapat sedikit imbuhan.
Maka beraraklah orang Melayu ke sana dan ke mari untuk menunjukkan ‘kekuatan’
dan ‘kehebatan’ sedangkan cara sedemikian sudah jauh ketinggalan zaman. Bukan
itu caranya untuk menunjukkan kehebatan bangsa!
Masyarakat
yang hidup dalam Kurun ke 21 tidak lagi bersikap demikian. Tambah menyedihkan
lagi ialah kaum Cina dan kaum India di negara ini terus bergerak dan memajukan
diri mereka seiring dengan kehendak zaman Kurun ke21. Orang Cina akan terus
maju dalam berbagai lapangan yang diceburi oleh mereka. Mereka akan terus maju
meninggalkan orang Melayu yang masih jauh berada dibelakang.
Dan
orang Melayu masih terpekik dan terlolong. Para pemimpin Melayu ‘terjerit-jerit’
memberitahu orang kampung bahawa orang Melayu telah maju sedangkan usaha
sedemikian hanya mencari helah dan dalih untuk mengekspoitasi orang Melayu demi
kepentingan mereka. Dan sememangnya terbukti bahawa orang Melayu (terutama yang
tinggal di kampung-kampung dan di kawasan Felda) masih ada lagi yang boleh
diperdayakan……
Betul
kata Lee Kuan Yew pada suatu ketika dulu. “ Sicerdik adalah makanan Sijaga’
abuhassanadam
6 Oktober 2015
Apa saudara ckp adalah benar. Zaman awak masa dulu Melayu memang rajin tekun berusaha sendiri tanpa bantuan org lain. Hanya sekarang setengah ahli politik memainkan perkauman dan mencetuskan huru hara. Tetapi sy tak pandang rendah pada org Melayu malah akan cuba menolong,membantu dengan apa cara pun.
ReplyDeleteWong,
ReplyDeleteTerima kasih. Saya amat menyanjungi hasrat murni saudara.
Pak Abu
Tepat sekali. Seige mentality. Mohon share . TK Cikgu
ReplyDeleteFarouq,
ReplyDeleteMari kita bina bangsa dan negara Malaysia ini dalam ertikata yang sebenarnya. Terima kasih.
Cikgu
Zaman dulu datuk saya sangat aktif dari segi pergaulan, baik Melayu, Cina dan India. Mereka semua, tak kira bangsa apa sekali pun sangat mesra dan setia. Datuk saya adalah antara tokoh yang mahir mengarang pantun dan berdondang sayang.
ReplyDeleteAnak Jawa menangkap punai
Ambik tudung ditutup kepala
Kita bersobat jangan bercerai
Baru bolih kekalnya lama.
Salam Maal Hijrah