Wednesday, October 7, 2015

KEPADA SIAPA LAGI RAKYAT HENDAK MENGADU JIKALAU BUKAN KEPADA RAJA

            Sekurang-kurangnya rakyat Malaysia dapat ‘bernafas’ lega mendengar kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Ahmad yang mengatakan bahawa Raja-Raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan dengan IMDB dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat. Dan baginda menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.

            Sebagaimana yang dipetik oleh Bernama, kenyataan itu mengatakan, ‘ penemuan siasatan ini hendaklah dilaporkan secara lengkap dan telus supaya rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran….Kegagalan memberikan penjelasan dan jawapan yang meyakinkan, dikhuatiri telah mengakibatkan berlakunya krisis keyakinan” Malaysiakini 6 Oktober 2015

            Rakyat Malaysia sudah agak lama juga ‘sesak nafas’ mengenangkan nasib yang menimpa rakyat Malaysia berkaitan dengan masalah IMDB dan wang sejumlah RM 2.6 billion ringgit yang terdapat dalam akaun peribadi DS Najib Tun Abdul Razak. Walaupun jawapan telah diberikan bagi menjawab soalan-soalan yang berkaitan, namun jawapan yang diberikan semacam tidak dapat meyakinkan rakyat di negara ini.

            Tambah merunsingkan lagi fikiran rakyat ialah tentang beberapa tindakan yang dilakukan oleh pemerintah yang meragukan rakyat di negara tentang keikhlasan kerajaan dalam menyelesaikan isu ini. Tak payahlah disebutkan beberapa tindakan pihak kerajaan yang semacam tidak mahu menyelesaikan isu IMDB dan RM 2.6 billion itu. Seolah-olah ada sesuatu yang disembunyikan dan supaya rakyat tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku.

            Media arus perdana yang diketahui tentang tugas dan peranan mereka yang sentiasa cuba meyakinkan rakyat tentang ‘ketelusan’ IMDB dan isu RM 2.6 billion semacam agak ‘letih’ dalam usaha mereka. Walaupun masih ada lagi sebilangan kecil rakyat negara ini yang masih percaya kepada penerangan media berkenaan, namun semakin hari keyakinan rakyat terhadap kredibiliti berita yang disiarkan oleh media arus perdana semakin meluntur, apatah lagi dengan ‘serangan’ yang bertubi-tubi yang dilancarkan oleh media sosial yang amat sukar sekali dikawal.

            Rakyat semakin tidak yakin dengan penjelasan yang diberikan oleh para pemimpin negara yang berkaitan dengan wang RM 2.6 billion milik peribadi DS Najib itu. Penjelasan yang sentiasa berubah-ubah dan yang semakin tidak konsisten dalam penjelasannya menyebabkan rakyat semakin keliru yang menyebabkan mereka semakin tidak yakin dengan penjelasan yang diberikan.

            Akhirnya rakyat semakin keliru dan tidak berdaya sehinggakan Tun Mahathir sendiri mengakui bahawa semacam tidak ada jalan lain untuk membetulkan keadaan ini. Yang merumitkan keadaan kini ialah apabila DS Najib sendiri tidak mengakui kesalahan yang dilakukan (kalau ada) sedangkan banyak pihak mengatakan bahawa tindakan beliau ‘menyimpan’ wang RM 2.6 billion dalam akaun peribadinya merupakan satu kesalahan. Dan DS Najib terus menerus berpaut kepada penyokong-penyokongnya yang terdiri dari pemipin-pemimpin UMNO yang terus menerus mengatakan tindakan DS Najib itu tidak menyalahi undang-undang. Mereka terus menerus memberikan sokongan walaupun hati kecil mereka tidak ‘mengatakan’ demikian (mungkin agaknya).

            Kadang-kadang sokongan yang diberikan oleh pemimpin UMNO kepada DS Najib itu semacam ‘membabi buta’. Penjelasan demi penjelasan diberikan oleh pihak-pihak tertentu, namun para pemimpin UMNO (bukan semua) tetap mempertahankan tindakan ‘boss’ mereka. Rakyat secara umumnya merasakan bahawa daripada penjelasan dan penerangan yang diberikan mengenai IMDB dan isu “RM 2.6 billion” yang disokong dengan berbagai fakta yang konkrit, meyakinkan bahawa tindakan DS Najib amat tidak kena dengan amalan sebagai seorang pemimpin negara. Berdasarkan sumber maklumat yang sahih telah dapat meyakinkan bahawa apa yang diperkatakan oleh sumber-sumber berkenaan adalah benar berdasarkan tidak adanya penafian atau tindakan undang-undang yang kenakan ke atas sumber berita berkenaan.

            Namun para pemimpin negara tetap mengatakan bahawa seolah-olah DS Najib berada di pihak yang benar. Rakyat umum hanya mampu memerhatikan keadaan demikian dengan tidak mampu untuk melakukan sesuatu (yang ‘dihalalkan’ oleh perlembagaan negara) untuk mengubah keadaan. Seolah-olah rakyat hanya mampu berdoa dan mengharapkan agar keadaan yang menimpa negara kini tidaklah berlanjutan sehingga terjadi sepertimana yang dialami oleh negara Zimbabwe di Afrika ataupun sebagaimana yang berlaku di Syria dan tempat-tempat lain yang senasib dengannya.

            Campurtangan Majlis Raja-Raja Melayu untuk menyelesaikan masalah IMDB betul-betul melegakan perasaan rakyat yang sangat-sangat mengharapkan kemelut ini dapat diselesaikan dengan cara yang bersesuaian. Sekiranya saranan Majlis Raja-Raja ini juga tidak dihiraukan oleh pihak pemerintah, maka tentulah rakyat merasa cukup buntu dan tidak tahu kepada siapa lagi untuk mengadu.

            Hanya kepada Allah kita berserah.

abuhassanadam
7 Oktober 2015



1 comment: