APAKAH AHLI PARLIMEN KITA MASIH BERMIMPI?
Antara
intipati titah Raja-Raja Melayu berkaitan dengan IMDB baru-baru ini ialah
kekhuatiran takut-takut kegagalan memberi penjelasan yang meyakinkan mengenai
IMDB dikhuatiri mengakibatkan timbulnya krisis keyakinan di negara ini. Amat
kena pada masanya Duli-Duli Yang Maha
Mulia mengingatkan pihak-pihak tertentu tentang bahaya yang akan dihadapi oleh
negara ia itu krisis keyakinan.
Maknanya
dalam bahasa yang mudahnya sebelingan besar rakyat sudah tidak yakin dengan
kepimpinan negara. Dalam bahasa ‘kampung’nya, ‘buatlah apa pun aku tak
percaya’. “cakaplah apa pun aku tak yakin dan aku tak percaya’. ‘ “Bercakaplah
kamu sampai berbuih-buih mulutpun aku tak mahu dengar kerana aku tak percaya
cakap kamu’. ‘Cakap kamu tak boleh pakai – cakap pagi tak boleh pakai petang –
kamu berbohong”. Pantun Melayu kata, Siakap Senohong, Gelama, Ikan Duri;
bercakap bohong lama-lama mencuri…”
Seolah-olah
semacam itulah anggapan rakyat Malaysia kepada kepimpinan negara yang ada sekarang.
Dan sebenarnya anggapan yang sebegini sudah lama bertaut di hati dan perasaan
rakyat Malaysia, sama ada orang Melayu, Cina, India atau lain-lain. Mereka
semacam sudah tidak yakin dengan kepimpinan negara kini. Dan fakta ini tentunya
diperkukuhkan dengan keputusan Pilihan Raya Umum 13 yang lalu dimana Pakatan
Rakyat memperolehi 52 % daripada jumlah undi keseluruhannya.
Aku
tidak pula mengatakan seluruh rakyat Malaysia tidak yakin dengan kepimpinan
sekarang. Tak begitu. Kehadiran puluhan ribu golongan ‘Baju Merah’ ke Padang
Merbuk baru-baru ini menunjukkan bahawa
golongan sedemikian masih yakin dengan kepimpinan sekarang. Tak kiralah
kehadiran mereka pada perhimpunan berkenaan itu dibayarkah atau diupahkah oleh
pihak-pihak tertentu. Yang kelihatan ialah golongan ini semacam tidak peka
dengan apa yang telah berlaku pada negara. Golongan sebegini seperti telah
memekakkan telinga dan memejamkan mata mereka dan tidak mahu tahu apa yang
sedang berlaku. Merugikan bangsakah, meruntuhkan negara kah semuanya tidak
penting bagi mereka. Bagi mereka yang penting ialah dapat hadir dengan mendapat
sedikit habuan dan bagi yang tinggal di luar Kuala Lumpur dapat berpeluang ‘makan angin’ di Kuala Lumpur dengan
perbelanjaan yang disediakan. Mungkin begitu anggapan mereka. Mungkin.
Rakyat
Malaysia pada umumnya sudah amat bimbang dengan perkembangan yang berlaku dalam
negara kini. Namun yang menghairankan ialah ‘kesunyian’ dan ‘kesepian’ yang
terdapat dikalangan pemimpin-pemimpin negara yang terdiri daripada wakil-wakil parlimen dari kalangan Barisan Nasional. Tidak
kiralah samada dari UMNO ataupun MCA ataupun dari MIC. Mereka tetap berada
‘dibelakang’ kepimpinan kerajaan kini. Mereka tak peduli apa yang berlaku
kepada negara kini. Mereka tetap menyokong kepimpinan DS Najib yang pada
anggapan mereka telah memberikan kepimpinan yang amat memuaskan. Apa nak jadi,
jadilah. Mereka tetap memberikan sokongan.
Rakyat
akan melihat gelagat dan tindakan wakil-wakil mereka sekiranya diadakan undi
tidak percaya kepada Perdana Menteri yang akan dibentangkan di parlimen nanti.
Rakyat akan dapat melihat sendiri wakil rakyat mana yang menyokong dan yang
mana akan menentang. Dan satu perkembangan yang anih kini di negara kita ialah
seolah-olah ada golongan yang tidak memberikan penumpuan kepada salah betul
sesuatu tindakan. Seolah-olah ada sesuatu yang mempengaruhi keputusan yang
mereka buat, sesuatu yang amat kuat pengaruh dan ‘cengkamannya’.
Terdapat
juga dikalangan menteri kabinet negara ini yang seolah-olah memberikan sokongan
melulu kepada apa saja yang berkaitan dengan IMDB. Golongan ini akan terus
‘melenting’ mempertahankan apa saja hujah yang mengkritik IMDB. Seolah-olah
mereka sudah ‘sasau dan sawan’ apabila IMDB dikritik. Yang juga menghairankan
ialah hujah-hujah yang dikemukakan oleh mereka mempertahankan hujah yang mereka
kemukakan amatlah dangkal dan hampir tidak dapat diterima oleh manusia yang
waras pemikirannya. Namun mereka tetap bersuara dan tetap mempertahankan hujah
mereka. Mereka seolah-olah amat ‘berbangga’ dengan hujah yang mereka kemukakan
walaupu ‘ditertawakan’ oleh sebahagian besar rakyat.
Kadang-kadang
kelihatan hujah yang dikemukakan oleh mereka semacam tidak mengandungi fakta
langsung berbanding dengan hujah-hujah yang dikemukakan oleh akhbar-akhbar dan
majalah luar negara yang sarat dengan fakta yang konkrit mengenai IMDB. Semacam
hasrat mengemukakan ‘hujah-hujah’ mereka itu hanyalah untuk ‘dinikmati’ oleh
orang-orang kampung dan di kawasan FELDA dengan perantaraan penyebar media arus
perdana. Seolah-olah golongan ini sajalah yang menjadi sasaran mereka dan yang
pastinya menyokong mereka ketika dalam ‘kesusahan’.
Kini
keadaan dalam negara kita semakin tambah meruncing. Sekiranya tidak meruncing,
masakan Majlis Raja-Raja Melayu mula menyuarakan ‘kebimbangan’ mereka tentang
perjalanan IMDB berkenaan. Dan sekiranya tidak meruncing masakan ‘wira-wira’
tua ‘ bangun semula cuba membetulkan keadaan negara yang agak ‘tenat’ ini. Dan
jikalau begini keadaannya, apakah tugas untuk ‘mengubati’ penyakit negara kini hanya
diserahkan kepada ‘wira tua’ dan rakyat jelata umumnya.
Apakah
wakil-wakil rakyat (khususnya dari Barisan Nasional) sudah tidak berfungsi lagi
dan terus melupakan tanggung jawab mereka kepada negara. Apakah mereka masih
yakin dan percaya bahawa perjalanan pentadbiran negara kini masih di landasan
yang betul sedangkan seluruh negara dan juga seluruh dunia merasakan semacam
ada ‘tempang’nya perjalanan negara Malaysia kita kini.
Apakah
ahli-ahli parlimen kita masih bermimpi?
abuhassanadam
13 Oktober 2015
No comments:
Post a Comment