Thursday, October 8, 2015

 CHEAP MATINEE DAN CHAN SIEW

            Perkataan ‘Cheap Matinee’ sudah lama tidak melintasi fikiran aku. Entah ada entah tidak lagi panggung wayang di negara ini yang menayangkan filem-filem lama berkonsepkan hiburan ‘cheap matinee’. Dan aku yakin di Kuala Kangsar pasti sudah tidak ada lagi tayangan filem berkonsepkan demikian. Jikalau dulu panggung Rex lah yang menayangkan filem berkonsepkan ‘Cheap Matinee’ tetapi kini, panggung Rex pun sudah tidak kelihatan.

            Awal tahun 1960an mana ada Youtube. Bentuk hiburan yang ada dalam bentuk wayang gambar hanya didapati di panggung-panggung wayang. Seingat aku di Kuala Kangsar ada dua buah panggung wayang. Panggung Grand dan Panggung Rex. Sebelum terbinanya Panggung Rex, ada sebuah panggung Empire yang terletak berhampiran dengan Restoran Double Lion bersebelahan dengan Padang Polo. Sedangkan Panggung Grand terletak berhadapan dengan CIMB Bank kini yang dulunya adalah stesen Bas ‘Red & Yellow’.

            Bersebelahan dengan Panggung Grand dan berhadapan dengan Stesen Bas adalah ‘food court’ yang menjual berbagai jenis makanan seperti Ais Kacang (Panjang), Rojak dan Popiah mamak Pak Hassan, Laksa Pak Ngah dan lain-lain. Pendek kata disitulah tempat berkumpulnya (Berlepaknya) pelajar-pelajar ( dari Clifford School, Malay College) pada hari-hari cuti sekolah.

            ‘Cheap Matinee’ akan ditayangkan hanya pada hari minggu. Hari Ahad. Tiket masuknya murah berbanding dengan pertunjukan biasa. Separuh harga. Jikalau harga biasa ‘First Class’ ialah RM1.05 maka untuk tayangan ‘Cheap Matinee’ hanya 65 sen. Walaupun separuh harga, aku tak mampu berada di ‘First Class’. Paling ‘hebat’ pun aku hanya mampu berada di kelas dua ( yang berharga 40 sen), itupun setelah ‘mengikat perut’ selama seminggu, menyimpan wang kocek sekolah yang diberikan oleh bapak aku.

            Aku masih ingat lagi filem-filem yang ditayangkan pada ketika itu seperti ‘ The Bridge on The River Quai’, ‘Tarzan’, ‘Bujang Lapok’, ‘Panggilan Pulau’, ‘Aloha’ dan lain-lain. Kebiasaannya tayangan ‘Cheap Matinee’ ditayangkan pada waktu pagi – pukul 10.00 dan berakhir pada pukul 12.00 atau 1.00 tengah hari. Kebanyakan yang menonton adalah terdiri dari pelajar-pelajar sekolah. Murah. Dan itu sajalah bentuk hiburan yang ada pada ketika itu.

            Suatu hal yang amat sukar aku lupakan yang ada kaitannya dengan ‘Cheap Matinee’ ialah tentang kisah seorang rakan aku. Chong Chan Siew namanya. Sudah tidak ada lagi. Mendiang Chong Chan Siew. Beliau meninggal dalam usia yang begitu muda ketika berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia.Chan Siew ialah anak Towkeh salah sebuah kedai kopi Hailam di Kuala kangsar.

            Persahabatan aku dengan Chan Siew agak rapat disebabkan minat yang agak sama. Berminat filem-filem yang dilakonkan oleh P.Ramlee.   Chan Siew ‘memerlukan’ aku berkemungkinan besar untuk bersama tengok wayang ‘Cheap Matinee’ setiap hari Sabtu di Panggung Rex Kuala Kangsar. Mungkin.

            Yang anihnya, Chan Siew amat meminati filem Melayu terutama yang dilakonkan oleh P. Ramlee. Aku tak tahu mengapa begitu sikap dan perangai Chan Siew. Beliau begitu berminat sekali melihat lakonan P. Ramlee. Dan minatnya terhadap P.Ramlee bukan dibuat-buat. Dan bukan sekadar untuk mengambil hati aku. Beliau pastinya ketawa berdekah-dekah melihat lakonan P. Ramlee. Malah ketawa Chan Siew boleh mengatasi ketawa kebanyakan penonton, apabila melihat kelucuan lakonan P.Ramlee dalam filem ‘Bujang Lapok’ atau ‘Pendekar Bujang Lapok’.

            Aku pasti kini wayang ‘cheap matinee’ sudah tidak ada lagi di panggung wayang. Mungkin ramai anak-anak kini tidak tahu apa dia ‘Cheap Matinee’ atau wayang berharga murah. Disebabkan tiket untuk menonton filem yang ditayangkan berharga murah, maka tentunya filem yang ditayangkan juga filem lama sebagaimana yang aku jelaskan tadi.

            ‘Cheap Matinee’ sudah tidak ada lagi. Dan Chan Siew juga sudah tidak ada lagi. Yang masih tinggal dalam lipatan kenangan ku ialah kenangan bersama Chan Siew, rakan sekolah aku yang berketurunan Cina. Kehilangannya sama juga dengan kehilangan Hamid yang merupakan rakan karib aku ketika bersama-sama mencari ikan Sepilai di bendang Pak Ngah Tengin di kampung aku.

            Bagi aku tidak ada bezanya antara Chan Siew dengan Hamid…..

abuhassanadam
8 Oktober 2015


            

1 comment:

  1. Terima kasih tuan atas tulisan yg menghimbau kenangan. Teringat saya kenangan bersama Tan Hong menyusuri lombong timah di Bidor Perak dengan basikal choppernya. Setelah letih, kami berehat di bawah pokok ubi gajah.Saya lebih banyak mendengar celotehnya kerana dia memang banyak idea.Cuma yang tak boleh sy lupakan ialah bila dia mengatakan keinginannya untuk berkahwin dengan gadis Melayu suatu hari nanti. Itu semuanya di era akhir 60an. Kemudian sy berjiran dengan satu keluarga India di Petaling KL.Kalau mak dan ayah ke pasar borong KL(Central Market sekarang),maka sy akan ditinggalkan dengan auntie Sarsi dan Auntie Sarsi juga tidak segan silu melepak di rumah sy bila kelapangan. Ada juga jiran berketurunan Punjabi yg kadang2 akan menghantar capati yg dibuatnya sendiri utk kami rasa bersama. Alangkah indahnya rasa harmoni dalam kepelbagaian kaum pada waktu itu. Sesungguhnya pengalaman lampau yg dilalui membentuk nilai yg sy pegang sekarang ini. Sy berjaya mengelakkan berprasangka buruk terhadap kaum lain, kerana keburukan perangai individu bukan terletak pada warna kulit atau darimana dia datang.Ada Melayu yg baik dan ada juga Melayu yg haprak tingkah lakunya dan inilah prinsip yg saya pegang apabila melihat kaum lain.

    ReplyDelete