ORANG KAMPUNG TIDAK BOLEH LAGI DI CUCUK HIDUNG
Kadang-kadang
aku agak ‘panas’ juga apabila orang kampung sentiasa ‘dipersalahkan’ dalam hal
yang berkaitan dengan IMDB dan wang RM 2.6 billion milik akaun peribadi DS Mohd
Najib Tun Abdul Razak. Orang kampung sentiasa dipersalahkan kerana memberikan
sokongan yang membabi buta kepada kepimpinan kerajaan BN kini yang dianggap mereka
semacam telah menghancur punahkan negara ini. Yang menyebabkan aku agak ‘panas’
adalah disebabkan asal usul aku ialah dari kampung dan ‘roots’ aku masih di
kampung. Maknanya aku ialah orang kampung totok.
Minggu
lepas aku balik kampung. Menghadiri kenduri kahwin orang kampung aku. Kawan
lama. Kebiasaannya jikalau menghadiri kenduri kampung amat berbeza dengan
menghadiri kenduri di bandar. Sekiranya ‘orang kampung’ seperti aku menghadiri
kenduri di kampung aku hanya untuk makan dan lepas itu meninggalkan majlis
sudah dianggap ‘tidak sopan’. Orang kampung aku tidak ‘merelakan’ perbuatan
sedemikian. Aku tahu dan aku amat tahu ‘budaya’ kampung aku, walaupun sudah
agak jarang aku balik kampung menghadiri majlis kenduri sedemikian.
Yang
nak aku ceritakan bukan kisah kenduri kahwin sahabat lama aku tetapi kisah
orang kampung aku yang agak ‘advance’ dalam hal menceritakan tentang IMDB dan
RM 2.6 billion milik akaun DS Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri
Malaysia. Semacam aku ‘tewas’ berbanding dengan mereka dalam hal mengkisahkan
mengenai dua isu besar itu. Semacam mereka lebih tahu dari aku. Mereka tahu
menyebut ‘Sarawak Report’ dan mereka tahu tentang ‘surat khabar dan majalah
orang putih’ yang menceritakan tentang penyelwengan yang berkaitan dengan IMDB
dan RM 2.6 billion.
Aku
terpegun mendengar ‘ceramah’ mereka, sambil kami sama-sama bergotong royong
melapah dan menghiris daging lembu untuk dibuat gulai. Rupa-rupanya amalan
bergotong royong masih lagi ‘segar’ dan ‘subur’ di kampung aku. Yang agak
menghairankan aku juga ialah tentang beberapa orang ‘penceramah’ yang boleh
‘menganalisis’ tentang isu ini yang hampir sama dengan analisis yang
disampaikan oleh penganalisis profesional. Yang amat jelas yang dapat dilihat
ialah bahawa mereka merasakan bahwa keadaan negara kini adalah ibarat ‘cacing
sudah naik ke mata’ samada dari segi politik atau ekonomi.
Persepsi
aku tentang kenyataan yang mengatakan bahawa orang kampung masih menyokong
tindakan kerajaan BN yang ada kini berubah 360 darjah. Aku yakin bahawa bukan orang
kampung aku sahaja yang bersikap demikian. Mungkin puluhan ribu kampung lain di
Malaysia yang berkeadaan demikian. Dan berkemungkinan juga bahawa rakyat sudah
cukup ‘meluat’ dan ‘bosan’ dengan keadaan yang menular dalam negara kita
sekarang. Rakyat semacam begitu marah dengan beberapa tindakan pegawai kerajaan
yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan memelihara negara tercinta ini.
Mereka lahirkan dengan jelas dan terang.
Ada
juga kedengaran khabar berita yang mengatakan bahawa ada wakil rakyat BN (ahli
parlimen dan ADUN) yang sudah tidak ‘berani’ lagi berdepan dengan rakyat
pimpinan mereka. Semacam sudah tidak dipedulikan oleh pengundi mereka apa juga
penjelasan dan penerangan yang disampaikan oleh mereka berkaitan dengan IMDB
dan isu RM 2.6 billion. Orang Melayu kampung dalam keadaan senyap telah melahirkan
rasa tidak puas hati mereka tentang tindakan kerajaan BN kini menangani isu
IMDB dan RM 2.6 billion ringgit milik akaun peribadi DS Mohd Najib, Perdana
Menteri kita. Dan seolah-olah akhbar dan media arus perdana sudah tidak dapat
lagi ‘menembusi’ pemikiran orang kampung dengan dakyah mereka. Semacam sudah
tidak laku. Kata-kata wakil rakyat mereka semacam sudah tidak laku.
Peranan
media sosial amat berkesan dalam ‘menyedarkan’ orang kampung. Walaupun masih
ada lagi orang kampung dan peneroka Felda yang masih ‘tenggelam’ dalam khayalan
mereka, namun sebahagian besar rakyat Malaysia sudah menyedari hakikat sebenar
tentang apa yang berlaku sekarang. Dulu ‘Penyakit’ yang sedang menular dalam
negara kita hanya diketahui oleh golongan intelek bandar tetapi nampaknya wabak
‘penyakit’ sudah merebak ke kampung-kampung dan tentunya amat sukar sekali
untuk dibendung.
Pihak
kerajaan khususnya kepimpinan negara harus menangani keadaan buruk yang melanda
negara kini dengan penuh cermat dan berhati-hati. Para pemimpin samada di
peringkat nasional, negeri, daerah dan kampung harus melihat perkembangan sebegini dengan cara
serious. Sudah sampai masanya giliran para pemimpin mendengar nasihat dan
‘cakap-cakap’ rakyat yang dipimpin pula. Hendaknya jangan sekali-kali para
pemimpin memperkecilkan kemampuan berfikir rakyat yang dipimpin. Rakyat sudah
mula sedar bahawa ada sesuatu ‘yang tidak kena’ yang dilakukan oleh pemimpin
yang mereka pilih. Rakyat sudah mula merasakan bahawa ada sesuatu ‘agenda’ yang
cuba disorokkan oleh pmimpin mereka. Dan rakyat dapat merasakan bahawa semacam ‘ada udang disebalik batu’.
Janganlah
hendaknya retak menjadi belah!!....
abuhassanadam
14 Oktober 2015
Semangat gotong royong di kalangan masyarakat Melayu memang suatu amalan dan budaya yang indah serta dikagumi. Ini seharusnya diteruskan selama-lamanya. Pasal politik, semua rakyat berhak dan patut mengetahui perkembangan semasa, percaya ke tidak, sokong ke tidak itu hal lain. Yang penting, dengar, lihat, periksa dan proses tanpa bias.
ReplyDeleteSaya harap Pak Abu akan terus menulis. Pandangan pakcik neutral (ikhlas dan "down to earth") dan sering dari pengalaman sendiri.