Monday, October 12, 2015

SEPINGGAN MEE REBUS

            Selama tiga tahun aku ‘mengidam’ mee rebus dari kantin mamak di sekolah aku. Setiap kali wkatu rehat, aku hanya dapat memerhatikan rakan-rakan aku menikmati mee rebus yang aku idamkan. Berselera sungguh nampaknya mereka menghirup kuah mee berkenaan. Aku hanya mampu membeli kuih ‘Kundas’ yang harganya hanya 10 sen.

            Untuk mendapatkan sepinggan mee rebus aku terpaksa berbelanja sebanyak 25 sen. Tak mampu. Duit poket yang dibekalkan oleh bapak aku hanya 20 sen. Aku tidak sampai hati untuk meminta tambahan 5 sen untuk mencukupkan 25 sen supaya dapat aku menikmati mee rebus di kantin sekolah aku itu.Aku sedar bahawa dengan duit poket yang diberikan oleh bapak aku itu sudah dikira agak mewah kerana ramai juga rakan aku yang berbelanja hanya 10 sen ataupun tidak berbelanja langsung dan hanya mengharapkan bekalan ubi rebus atau pisang rebus ke sekolah.

            Keadaan sedemikian menyebabkan tidak ramai anak-anak Melayu (yang miskin seperti aku) yang ‘berani’ menjejakkan kaki di kantin sekolah. Jikalau ada pun anak Melayu yang berani melewati kantin sekolah, mereka adalah terdiri dari pemegang biasasiswa Persekutuan (RM 45 sebulan) ataupun yang mendapat Biasiswa Negeri ( RM 8 sebulan). Selain daripada ‘golongan’ demikian, hanya anak golongan ‘Diraja’ dari Bukit Chandan sahaja yang belawati kantin sekolah.

            Sehingga kini aku masih menceritakan kisah ‘sedih’ ini kepada anak-anak aku dan kepada siapa sahaja yang ‘bersimpati’ untuk mendengar coretan sedih seorang budak kampung yang miskin yang menunutut disebuah sekolah Inggeris yang kebanyakan pelajarnya terdiri dari kaum Cina dalam zaman penjajahan. Yang anihnya aku tidak pernah menyuarakan hasrat aku itu ( untuk menikmati mee rebus di kantin sekolah) kepada bapak dan emak aku. Aku yakin bahawa sekiranya aku lahirkan kepada mereka hasrat aku itu pasti mereka akan mengusahakan untuk menyediakan wang tambahan sebanyak 5 sen itu.

            Aku masih tidak dapat mencari jawapan mengapa aku tidak nyatakan hasrat aku itu kepada bapak atau kepada atuk aku. Dan aku yakin bahawa bapak aku tidaklah begitu susah untuk menyediakan wang tambahan 5 sen itu. Dan Atuk aku juga tidaklah sesusah mana untuk menambahkan wang 5 sen itu. Tetapi soalnya mengapa aku tidak ‘bersuara’. Dan hendak aku katakan yang aku ‘takut’ kepada bapak untuk menyuarakan hasrat berkenaan disebabkan bapak aku seorang yang garang, tidak juga begitu. Bapak aku seorang yang baik hati yang tidak pernah pun sekali dalam hidupnya ‘meletakkan tangan’nya kepada aku atau pun merotan aku. Tidak pernah.

            Tetapi soalnya mengapa aku tidak menyuarakan hasrat ku itu. Mungkin agaknya anak-anak pada ketika itu diajar dan diasuh supaya sentiasa berpuas hati dan ‘bersyukur’ kepada apa yang ada. Mungkin. Seingat aku tidak pernah aku menyuarakan rasa tidak puas hati kepada ibu dan bapak walau diatas perkara apa pun, melainkan kami (aku dan adik aku) sentiasa akur dan bersyukur. Tidak pernah aku bersungut tentang baju dan kasut raya yang telah dibelikan oleh bapak, melainkan sentiasa ‘bersyukur’ tentang apa yang disediakan. Tidak pula dizahirkan ucapan ‘terima kasih’ diatas sumbangan yang diberikan oleh ibu bapa seperti mana yang dilakukan oleh anak-anak kini.

            Ketika ibu bapa aku masih ada, tidak pernah aku ceritakan kisah aku ‘mengidam’ untuk makan mee rebus di kantin sekolah. Tidak pernah. Aku takut mereka terasa bersalah dan mereka terus bersedih. Aku tak mahu mereka berperasaan begitu sebab aku yakin bahawa sekiranya mereka tahu tentang hal ini, pastinya mereka yang akan bersedih berbanding dengan kesedihan aku. Lantas aku tidak pernah sekalipun membuka ‘rahsia’ ini kepada mereka.

            Aku dapat rasakan bahawa ‘kesedihan’ dan ‘kepiluan’ yang aku rasa dan ‘deritai’ itu dideritai juga oleh kebanyakan ‘kampung boy’ yang miskin ketika berskeolah dalam zaman penjajahan dulu. Aku tahu ramai kawan-kawan aku ‘menderita’ ketika itu ‘berperang’ bukan sahaja dengan keadaan kemiskinan keluarga tetapi ‘penghinaan’ yang berbagai-bagai yang terpaksa dilalui. Bukan kecil cabaran yang terpaksa dilalui oleh anak kampung miskin ketika itu demi untuk menempah kejayaan dalam hidup dan menebus maruah keluarga. Tidak mudah untuk mendapat kejayaan pada ketika itu dan hanya melalui pelajaran sahajalah yang boleh mengubah nasib anak-anak kampung yang miskin, demi meletakkan diri sama taraf dengan kaum-kaum lain yang lebih maju di negara sendiri.

            Kini ramai anak kampung yang semacam boleh ‘berdiri sama tegak dan duduk sama rendah’ dengan bangsa lain di negara ini ekoran daripada pencapaian dalam bidang pendidikan. Dengan pencapaian itu juga dapat rasanya aku beli ratusan pinggan mee rebus ( sekiranya aku mahu) untuk aku nikmati. Malangnya mee rebus sebagaimana yang aku perlukan pada suatu ketika dulu sudah tidak lagi dijual.

            Ketika pulang ke kampung aku masih mencari mee rebus yang berharga 25 sen itu. Mungkin harganya sudah ke paras 20 kali ganda. Tak apa. Malangnya sudah tidak ada lagi……

abuhassanadam

12 Oktober 2015

No comments:

Post a Comment