APAKAH DEB ATAU UMNO YANG PATUT DIPERSALAHKAN
Aku
terpanggil untuk mengulas kenyataan TS Rafidah Aziz, tokoh veteran yang begitu
lama bergelumang dalam politik tanah air dan sedikit sebanyak telah
menyerlahkan nama negara Malaysia di persada antarabangsa, ketika beliau begitu
lama memegang jawatan sebagai Menteri Perdagngan Antarabangsa dan Industri.
Kata
beliau mengenai orang Melayu (aku tak lupa yang aku juga orang Melayu totok),‘“We have been nurtured to believe that we are special.
Doesn’t matter if we are actually a nobody, we are special….Even if we got
nothing ‘up here’ (brains), we are special! It is the nurturing. We (Malays)
are privileged,” (Malaysiakini – 30 January 2016).
Tentulah tidak dapat dinafikan
kenyataan sedemikian. ‘Betui sangat’ kata orang Perak. Dan disamping itu
tentulah ada juga yang cuba mempertikaikan kenyataan sedemikian. Biasanya yang
berminat untuk terlibat dalam polemik sedemikian adalah terdiri dari golongan
yang tidak mahu langsung orang Melayu dikritik walaupun dengan jelas kelihatan
bahawa orang Melayu kini amat ketinggalan dalam berbagai bidang, tidak banyak
bezanya dengan orang Melayu selepas kemerdekaan. (Maaf!.. agak keterlaluan).
Aku hanya ingin menokok tambah
tentang apa yang dikatakan oleh TS Rafidah Aziz. Orang Melayu merasakan diri
mereka istemewa berkemungkinan juga disebabkan telah termaktub dalam perjanjian
Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang kemudiannya juga termaktub dalam
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.
Dan yang menyebabkan ‘wujud’nya
peruntukan tentang keisimewaan orang Melayu adalah berpunca daripada pemberian
kerakyatan yang diberikan kepada golongan bukan Melayu yang sentiasa mendesak
agar diberikan kerakyatan Jus soli kepada golongan bukan Melayu. Pemimpin
Melayu pada ketika itu berpendapat sekiranya prinsip kerakyatan jus soli
diberikan kepada golongan bukan Melayu maka berkemungkinan besar akan
melemahkan kedudukan orang Melayu. Lantas setelah beberapa rundingan diadakan
antara kedua pihak Melayu dan bukan Melayu, Raja Melayu telah menerima kerakyatan
jus soli dengan syarat orang bukan Melayu mengiktiraf kedudukan istemewa orang
Melayu.
Agaknya syarat inilah yang terus
menerus ‘dipegang’ oleh orang Melayu sehinggakan mereka (termasuk aku) lupa
bahawa mereka hampir ‘lemas’ di tanah air sendiri. Dan bukan disebabkan oleh
orang lain tetapi ‘terlemas’ sendiri. Mungkin kerana sentiasa dibelai dan
dpupuk mengatakan bahawa orang Melayu adalah golongan yang istemewa di negara
ini walaupun tinggal dalam keadaan papa kedana dan sentiasa ‘meminta-minta’ dan
mengharapkan belas iksan dari orang lain. Yang sentiasa memuji dan memuja
disebabkan pemberian BRIM oleh kerajaan!.
Selepas lebih kurang satu dekad
merdeka, kelihatan orang Melayu masih belum berubah sebagaimana yang
diharapkan. Malah pencapaian orang Melayu dalam apa juga lapangan masih
terkebelakang berbanding dengan kaum lain di negara ini. Lantas diperkenalkan
pula Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970 yang diharapkan akan betul-betul
dapat memajukan orang Melayu dari segenap segi, khususnya dari segi pendidikan.
Dari segi kuantiti, memang ramai
yang mendapat pendidikan tinggi samada dari luar negara atau dalam negara. Kini
telah dapat dilihat bahawa DEB itu hanya melahirkan bilangan yang mendapat
pendidikan tinggi tetapi diukur dari segi kualiti berkemungkinan besar orang
Melayu masih ketinggalan. Anak Melayu berduyun-duyun menuntut di luar negara,
menuju universiti-universiti di luar negara yang semata-mata untuk ‘mengejar’
mendapatkan segolong ijazah. Tidak ramai anak Melayu yang menuntut di Universiti-universiti
Cambridge, Oxford, Harvard, Stanford, Princeton, Yale dan sebagainya.
Berbanding dengan pelajar-pelajar dari Jepun, Taiwan, Hong Kong, Korea,
Singapura yang berlumba-lumba untuk menuntut di ‘Ivy League’ ini. Mungkinkah
ini juga merupakan kesan tentang ketidakpedulian kita untuk menghantar
pelajar-pelajar kita ke university yang ternama di Amerika Syarikat atau di
Britain?
Orang Melayu masih terus mundur
berbanding dengan kemajuan bangsa lain. Sebagaimana yang dikatakan oleh TS
Rafidah Aziz bahawa orang Melayu masih merasakan diri mereka istemewa walaupun
dalam ‘kedudukan’ papa kedana, miskin melarat.
Orang Melayu yang menjadi ahli UMNO masih mendabik dada ke sana ke mari
mengatakan yang orang Melayu hebat. ‘Takkan Melayu hilang didunia’, walaupun
keadaan orang Melayu amat menyedihkan.
Mungkinkah disebabkan sentiasa
berada ‘di bawah tempurung’ yang menyebabkan orang Melayu tidak merasakan yang
mereka amat ketinggalan. Atau mungkinkah disebabkan oleh orang Melayu sentiasa
‘didendangkan’ oleh pemimpin negara dengan ‘lagu-lagu’ yang lemak merdu
sehinggakan orang Melayu terbuai dengan
senikata dan irama (kononnya keramat) bahawa ‘takkan Melayu hilang di dunia.
Apa yang dapat dilihat ialah bahawa
para pemimpin negara seolah-olah tidak mahu langsung ‘menyusahkan’ hati dan
perasaan orang Melayu. Pemimpin negara dalam apa suasana sekali pun sentiasa
‘memuji dan memuja’ orang Melayu dengan kata-kata pujian dan lunak sehinggakan
orang Melayu ‘termakan dan terlena’ dengan pujian-pujian itu. Dan keadaan ini
dapat dilihat dengan jelas dalam Persidangan Agung UMNO yang diadakan pada
setiap tahun.
Pada persidangan sedemikian, orang
Melayu seolah-olah berada di awangan dan lupa keadaan mereka sebenarnya. Lupa
bahawa orang Melayu yang kononnya ‘istemewa’ di negara ini sebenarnya berada
dalam keadaan yang amat melarat berbanding dengan kaum lain. Aku tidak dapat
menafikan tentang adanya orang Melayu yang begitu maju dan berharta, terutama
dari kalangan pemimpin UMNO yang kekayaan mereka melampaui dan mengatasi kekayaan
setengah golongan bukan Melayu. Itu tidak akan aku nafikan.
Yang menjadi kebimbangan dan
kerunsingan ialah berapa lama masa yang diperlukan bagi orang Melayu untuk betul-betul akan berubah.
Mari kita jawab bersama.
abuhassanadam
31 Januari 2016