Saturday, January 2, 2016

ORANG MELAYU LEBIH HEBAT DI BAWAH PENJAJAH

            Bukan aku tidak menghargai kemerdekaan yang kita capai. Dan bukanlah aku menidakkan perjuangan tokoh-tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan negara. Jasa mereka membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah British harus dikenang dan nama mereka tetap terpahat oleh tinta emas negara. Tetapi persoalan yang selalu bermain di benak aku ialah apakah orang Melayu sudah betul-betul maju setelah negara ini dibebaskan oleh British.

            Dan mungkin juga penjajah British juga akan merasa kecewa melihatkan yang orang Melayu yang merupakan anak negeri Tanah Melayu masih belum maju. Masih ditakuk lama. Ataupun mungkin lebih teruk lagi jika diabdingkan dengan ‘takuk lama. Dan jangan disalah-tafsirkan kenyataan aku yang mengatakan bahawa orang Melayu masih mundur. Orang Melayu sememangnya maju jika dibandingkan dengan orang Melayu pada tahun-tahun 1920an. Tetapi jika dibandingkan dengan orang Melayu pada tahun-tahun 1950an dapat aku katakan bahawa Melayu 1950an mungkin lebih hebat daripada Melayu selepas kemerdekaan.

            Tidak dapat dinafikan bahawa orang Melayu selepas kemerdekaan sememangnya maju diukur dari segi kuantiti – jika diukur dari segi ramainya orang Melayu yang berpeluang berjaya meningkatkan taraf hidup mereka. Memanglah orang Melayu Kurun ke 21 boleh dikatakan maju berdasarkan
·      bilangan yang berjaya memasuki pusat pengajian tinggi.
·      bilangan golongan pertengahan yang berjaya tinggal di bandar-bandar.
·      bilangan yang berjaya memiliki kereta dan rumah mewah yang melambangkan kedudukan ekonomi seseorang itu.
·      bilangan yang berjaya menikmati cuti di luar negara ketika menjelangnya musim cuti sekolah.

            Aku terpanggil memperkatakan tentang kedudukan orang Melayu selepas merdeka setelah membaca kenyataan Homi Kharas yang merupakan Senior fellow di Brookings Instituion Amerika Syarikat. Kata beliau, ‘The greatest improvement since history have occurred in the past thirty years, coinciding with the decision of China and India to open up and reform their economies in 1979 and 1991, respectively. As a result of this opening up of the world’s two most populous countries, a staggering number of people are seeing their living standars improve…” Petikan dari Kishore Mahbubani, ‘ The Great Convergence – Asia, the West and the Logis of One World’.

            Sekiranya dilihat dari sudut ini, maka jelas negara kita Malaysia sudah mendahului apa yang dilakukan oleh negara China dan India itu. Tahun 1970 adalah ‘tahun keramat’ apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan yang merupakan satu usaha bersungguh-sungguh untuk membantu orang Melayu yang sememangnya ketinggalan dalam semua lapangan pada ketika itu. Dan langkah yang diambil oleh kerajaan dengan membantu anak Melayu dari segi pelajaran juga merupakan langkah yang tepat. Dan ‘berduyun-duyunlah’ anak Melayu ke pusat pengajian tinggi samada di dalam atau di luar negara.

            Dari segi bilangan yang berjaya mendapat segulung ijazah semeangnya kita berjaya. Tetapi dari segi kualiti anak Melayu yang dihasilkan oleh sistem sebegini belum begitu meyakinkan. Aku tidak juga menafikan tentang munculnya anak Melayu yang berkualiti tetapi bak kata penyair adalah ibarat setitis embun ditengah pada pasir Sahara yang tandus.

            Kenyataan Kishore Mahbubani sekali lagi ‘membuka mata’ yang menyebabkan aku tersentak hiba membaca kenyataanya. Katanya, ‘…Just look, for example, at the remarkable contributions of Indian Institute’s of Technology (IIT) graduates, many of whom have helped to fuel the Silicon Valley revolution and have gone to become CEOs of major American corporations or the deans of leading American business schools……Many IIT alumni have become entrepreneurs. They include.N.R.Narayana Murthy (cofounder and former chairman of Infosys), Rajendra S.Pawar (cofounder and former chairman of NIIT), Vinod Khosla (cofounder of Sun Microsystems)…… (Kishore Mahbubani, ‘ The Great Convergence – Asia, the West and the Logis of One World’)

            Aku amat merindui untuk melihat nama-nama seperti Alang Ibrahim bin Kulop Derani menjadi CEO sebuah syarikat di Texas Amerika Syarikat ataupun Wan Jusuh bin Wan Hamat menjadi CEO sebuah syarikat di London ataupun Awang Mat bin Chek Hamid menjadi CEO sebuah syarikat IT di California. Terlalu ‘dahaga’ rasanya untuk melihat perkembangan dan kemajuan orang Melayu seperti itu. Mungkinkah kedahagaan itu tidak dapat langsung dibasahi oleh segelas air.

            Yang amat ketara lagi jika ditinjau tentang keadaan orang Melayu zaman Kurun ke 21 ialah kelunturan harga diri dan semangat juang. Jika diperhalusi semacam sudah hilang langsung harga diri dan semangat juang para ‘pejuang’ kita yang mendapat didikan hasil daripada perjuangan pejuang dahulu melancarkan DEB. Kita merindui untuk melihat kembalinya perjuangan dan ketegasan Tun Sufian Hashim yang pernah menjadi Ketua Hakim Negara. Kita juga merindui ketegasan yang ditunjukkan oleh TS Harun Hashim yang bertegas menjalankan amanah negara sehingga ‘berani’ mengharamkan UMNO. Kita merindui ketegasan dan keberanian TS Abu Talib Othman selaku Peguam Negara yang tidak akan melentur dan tunduk dalam menjalankan tugas mereka. Disamping itu kita tidak harus melupakan Zaba, Aminuddin Baki, Ungku Umar dan lain-lain yang telah menghidupkan obor perjuangan orang Melayu sehinggalah tercapai kemerdekaan.

            Tentunya pejuang-pejuang lama ini mengharapkan para pemimpin dan pejuang (kononnya) kini melaksanakan agenda rakyat yang belum selesai ini dan dilaksanakan tanpa takut dan gentar.

            Aku masih ragau-ragu yang hasrat sebegini akan tercapai…

abuhassanadam
2 Januari 2016



No comments:

Post a Comment