TABUNG HAJI ADALAH KERINGAT DAN AIR MATA PETANI
MISKIN
Sayup-sayup
kedengaran lagi tentang kisah Tabung Haji (TH) yang tidak sedap telinga
mendengarnya. Tidak lama dulu kisah TH ‘membantu’ untuk menyelamatkan IMDB
dengan membeli sebidang tanah yang harganya jauh lebih mahal daripada harga
sepatutnya. Dan kononnya harta akan dijual dan kononnya sudah ‘ramai’ pembeli
yang ‘teringin’ untuk membeli harta berkenaan. Agaknya sudah terjual pun harta
berkenaan dan pastinya TH telah pun membuat ‘keuntungan’ yang lumayan. Agaknya
begitu lah…
Kini
terdengar pula kisah TH tidak mengumumkan lagi dividen yang sepatutnya
diumumkan. Penabung yang tahu menahu tentang hal perniagaan tentunya
tertanya-tanya tentang mengapa keadaan terjadi demikian. Dilaporkan bahawa TH
membuat keuntungan yang berlipat ganda dan tidak akan terjejas langsung
simpanan penabung di TH. Nampaknya sehingga kini masih lagi belum membuat
pengumuman untung- ruginya. Apa dah jadi? Mungkin agaknya ‘orang kuat’ TH
terlalu sibuk dengan keadaan kemelut politik di Kedah kini sehinggakan tidak
ada masa untuk menguruskan hal ehawal TH. Agaknya lah…
Seingat
aku, arwah bapak dan emak aku dulu tidak tahu menahu tentang selok – belok
dividen-dividen TH. Mereka hanya tahu menyimpan dan apabila sudah cukup wang
mereka di TH untuk mereka menunaikan Haji, maka mereka berangkat ke Makkah. Dan
begitu jugalah sikap ramai petani miskin di seluruh negara yang menyimpan di
TH. Mereka seolah-olah menyerahkan bulat-bulat dan memberikan sepenuh
kepercayaan kepada pentadbiran dan penguruan TH untuk menguruskan simpanan
mereka. Mereka percaya bulat-bulat sebagaimana yang dijelas dan dirangka oleh
Ybhg Professor Diraja Ungku Aziz yang mengasaskan penubuhan Tabung Haji
berpuluh tahun yang lalu.
Kini
TH telah diuruskan oleh golongan professional yang kononnya amat arif tentang
selok perniagaan. TH kini diterajui oleh golongan ‘bijak pandai’ yang bukan
sahaja ‘bijak’ berpolitik tetapi juga kononnya ‘bijak’ dalam hal ‘jual-beli’
(Tak kiralah jual beli apa pun). TH dipertanggung-jawabkan kepada Menteri yang
amat ‘tahu’ tentang selok belok agama Islam yang kadang-kadang seolah-olah
kelihatan seperti ‘pakar’ yang tidak ada siapa yang boleh menandingi ‘ilmu’
agamanya.
Tetapi
solanya ialah apakah golongan ini sedar bahawa mereka telah mengkhianati
harapan dan hasrat golongan petani miskin yang berada di kampung-kampung. Dan
apabila disebut golongan petani miskin, maka dengan sendirinya perasaan aku
akan terguris disebabkan antara mereka itu termasuklah arwah bapak dan emak
aku, Pak Alang, Pak Ngah, Wan Chu, Mak Cik Lamah, Chu Mi, Pak Alang Palit, Pak
Lop Godak, Tokki Pandak, Pan Peah dan ramai lagi yang tidak perlu aku sebutkan.
Setahu
aku mereka adalah penyimpan di TH yang semata-mata bertujuan untuk menunaikan
fadhu Haji ke Makkah. Berpuluh tahun mereka berjimat-jimat semata-mata untuk
memenuhi matlamat akhir dalam kehidupan mereka – menunaikan Haji ke Makkah.
Hasil jualan buah-buahan (pada musim buah-buahan) mereka simpan di TH. Lebihan
hasil jualan ayam dan itik mereka simpan di TH. Malah ada orang kampung aku
yang hampir setiap hari berbasikal ke bandar demi untuk menyimpan wangnya di TH
(setelah menjual getah torehannya pada hari berkenaan).
Tabung
Haji adalah seperti keringat dan air mata orang kampung. Dan para pengurusan TH
semacam tidak memahami hakikat ini. Ataupun mungkin mereka sudah tidak ‘berhati
perut’ untuk mengenangkan keadaan sedemikian. Mereka hdiup dengan penuh
kemewahan adalah berasaskan ‘titik peluh’ petani miskin. Mereka sewenang-wenang
seolah-olah lupa tentang tanggungjawab mereka tentang hasrat untuk membela
petani miskin di kampung. Mereka hanya ‘menanam tebu di bibir’ ketika bertemu
rakyat pada musim pilihanraya. Dan selepas itu semacam tidak langsung mempunyai
masa dan waktu untuk memikirkan hal ehwal petani miskin di kampung.
Arwah
bapak aku tidak pernah menyebut tentang dividen TH. Dan begitu jugalah agaknya
petani miskin lain di seluruh negara yang menyimpan di TH. Tetapi para
pengurusan TH harus sedar bahawa anak petani miskin itu kini sudah menjadi golongan
terpelajar yang tahu selok-belok mengenai perniagaan. Dan bukan itu saja
anak-anak petani miskin itu tahu tentang ‘sepak-terajang’ yang sedang dilakukan
oleh pihak pengurusan di TH. Janganlah pihak pengurusan TH merasakan bahawa
para penyimpan di TH kini boleh diperkotak-katikan. Malah anak petani miskin
kini boleh bial-bila masa mengambil alih pentadbiran dan pengurusan TH jika
diperlukan.
Sepatutnya
para peneraju yang diberikan tanggungjawab menguruskan TH adalah terdiri dari
golongan yang betul-betul sedar dan peka tentang derita rakyat miskin yang
menyumbang kepada TH. Pak Ungku Aziz tentunya telah memikirkan
sedalam-dalammnya tentang pengrurusan dan perjalanan TH. Dan secara kasarnya
tentu dapat dilihat bahawa TH boleh membuat keuntungan yang besar disamping
memberikan perkhidmatan dalam urusan jemaah Haji ke Makah.
Tetapi
soalnya mengapa begitu malang nasib Tabung Haji.
Bukan
Tabung Haji yang begitu malang nasibnya tetapi pengurusan Tabung Haji yang
patut dipersalahkan oleh rakyat, khususnya petani miskin yang memerah keringat
dan air mata.
abuhassanadam
24 Januari 2016
No comments:
Post a Comment