DARI ST PATRICK KE SERDANG – IRINGAN IRAMA ‘SERUNAI
MALAM’
Masih
segar dalam ingatan aku. Tahun 1974. Awal tahun biasanya waktu penempatan
guru-guru baru ke sekolah-sekolah di seluruh Malaysia. Sebagai seorang guru
baru lepasan University (kononnya!) aku telah diarah bertukar ke sebuah sekolah
(aliran Inggeris) di Kulim Kedah. Sekolah Menengah St Patrick. Di pekan Kulim
itu sendiri.
Sebenarnya
dalam borang penempatan baru guru-guru ijazah (sebelum seseorang guru
ditempatkan mengajar) aku telah menyatakan dengan jelas bahawa aku ‘bersedia
untuk ditempatkan di mana-mana saja kawasan luar bandar di Malaysia tidak kira
samada di Sabah atau di Sarawak”. Pada ketika itu ramai rakan-rakan yang ‘takut
dan bimbang’ untuk bertugas di Sabah dan Sarawak. Tidak pula aku perincikan
dengan mereka tentang apakah yang mereka ‘takutkan’ itu.
Dan
ekoran daripada kesediaan aku untuk ‘bertugas di mana-mana saja di Malaysia’
telah menyebabkan ramai rakan-rakan (yang sama-sama melihat apa yang aku tulis
dalam borang penempatan) menganggap aku sebagai ‘tidak siuman’. Hanya mereka
tidak memanggil aku sebagai orang gila. Pada ketika itu sememangnya ramai yang
tidak mahu dihantar bertugas ke Sabah dan sarawak. Dan berbagai-bagai alasan
telah diberikan agar tidak dihantar bertugas di sana.
Bagi
aku pula, aku mahu mencuba satu keadaan tempat mengajar yang lebih ‘teruk’
daripada Kampung Ulu Mengkuang (1965) di daerah Selama Perak. Kini Ulu
Mengkuang telah membangun sama seperti kampung-kampung lain. Ulu Mengkuang pada
tahun 1960an adalah ‘desa pingitan’. Terletak lebih kurang 7 KM dari pekan
kecil Rantau Panjang dan lebih kurang 17KM dari daerah kecil Selama Perak.
Tidak ada jalan bertar dari Rantau Panjang ke kampung Ulu Mengkuang. Melalui
kebun getah, sawah padi dan keadaan banjir ketika musim tengkujuh.
Lima
tahun aku mengajar di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang. Di situlah aku
mempelajari erti hidup, ‘membangunkan’ anak kampung (yang kini sudah ramai
berkelulusan universiti) disamping aku sendiri ‘memperbaiki’ diriku. Di kampung
yang bertuah itulah yang telah ‘menebus’ nasib diri ku. Dari hanya memiliki
Sijil LCE (Lower Certificate of Education)
berjaya pula lulus peperiksaan Senior Cambridge (MCE) dan lulus pula selepas itu Higher School
Certificate (HSC). Dalam masa lima tahun. Dari UM (Ulu Mengkuang) aku ke UM
(University Malaya) (1970)
Tentulah
ada asasnya mengapa aku memilih untuk berkhidmat dimana-mana saja di Malaysia,
terutama di kawasan luar bandar. Jikalau ditanya soalan mengapa aku memilih
kawasan luar bandar, maka jawabnya itulah juga. Tetapi ada sesuatu sebab lain
yang menyebabkan aku terdorong untuk ‘mengabdikan’ diri aku kepada orang
kampung.
Selama
seminggu aku mengajar di Sekolah Menengah St Patrick. Dalam masa seminggu itu
aku tidak merasakan diri aku sebagai seorang guru. Bukan ‘aku’ sebenarnya.
Tidak bersemangat. Dan tentulah aku merasa bersalah pada diri aku. Aku tidak
mahu pelajar pula jadi mangsa. Lantas aku terpaksa membuat keputusan segera
untuk memberitahu ke pihak atasan tentang apa yang terpendam di dalam hati dan
perasaan aku.
Terus
aku ke Pejabat Pelajaran Alor Setar untuk berjumpa dengan Pengarah Pelajaran
pada ketika itu, Tuan Haji Jumaat Mohd Noor (Dato’). Kena dan tepat ‘manusia’
yang aku jumpa untuk ‘mencurahkan’ perasaan aku.
“Mengapa
nak pindah dari St Patrick?’ lebih kurang begitulah pertanyaannya pada aku.
“Saya
nak mengajar anak kampung Tuan’ pendek saja jawab aku. Pengarah merenung tepat
ke muka aku. Mungkin dia menganggap guru (aku) di hadapanya sudah ‘sewel’ sebab
ramai pada ketika itu mahu berkhidmat di kawasan bandar. Dia diam seketika
sambil membelek-belek senarai guru-guru yang baru ditempatkan di Kedah
(agaknya).
“ Di
Langkawi mahu?’ Tanyanya. Aku mengangguk
kepala. Pada ketika itu ramai yang tidak mahu bertugas di Langkawi.
Bukan macam Langkawi kini.
“ Ok
lah. Begini. Di Mahang (sebuah sekolah di Selatan Kedah) setuju?’ katanya lagi.
“Saya
dah kata tadi tuan, yang saya sedia berkhidmat dimana-mana saja. Asalkan
sekolah luar bandar..” Jawab aku tegas tetapi tidak pula biadab terhadap pegawai
atasan. Dia terus membelek lagi senarai yang ada di hadapannya.
“Di
Serdang ada kosong guru Sejarah. Pergi
ke Serdang lah..Setuju?”
“Bila
saya perlu lapor diri tuan?’ Tanya aku.
“Minggu
depan..” Jawab Pengarah
“
Hari ini saya akan lapor diri tuan…selepas ini saya akan pergi ke Sekolah
Menengah Serdang tuan..” Jawab aku. Tuan Haji Jumaat tersenyum. Aku tak tahu
mengapa dia tersenyum. Yang jelasnya Tuan (Dato) Haji Jumaat Mohd. Noor amat
rapat dengan aku ketika sama-sama bertugas di Kementerian Pendidikan suatu
ketika selepas itu. Dan mungkin beliau tidak mudah melupakan ‘persitiwa’ antara
dia dan aku.
Sebenarnya
yang amat kuat mendorong aku untuk ‘mengabdikan’ diri untuk berkhidmat
dikawasan luar bandar adalah dialog yang ditulis oleh Sasterawan Negara Usman
Awang dalam drama radio berjodol, ‘ Serunai Malam’ yang tersiar pada akhir
tahun 1960an. Masih terdengar di telinga aku percakapan antara dua kekasih
Safiah ( lakonan Adibah Amin) dan Azhar Ahmad tentang pekerjaan yang harus
dilakukan oleh seorang mahasiswa setelah lulus dari University.
Safiah
( anak seorang pegawai tinggi kerajaan) mahukan agar Azhar memilih jawatan
Foreign Service agar dapat menjadi Diplomat dan bertugas di luar negara. Azhar
pula, anak kampung berkeras untuk memilih jawatan seorang guru ‘untuk menukarkan
desa menjadi kota’. Kata-kata ‘untuk menukarkan desa menjadi desa’ inilah yang
menjadi obor ‘membakar diri’ aku untuk terus ‘mengabdikan’ diri bertugas di
sebuah kawasan luar bandar-Sekolah Menengah Serdang Kedah.
(Bersambung…)
abuhassanadam
8 Januari 2016
Insan yang seperti Pak Abu lah yang telah mengerakkan dan membawa perubahan kearah kemajuan pendidikan dan pembangunan negara seperti mana yang telah dikecapi dan dinikmatj oleh generasi kini.
ReplyDeleteSaudara Four Wire,
ReplyDeleteTerima kasih. Saya paparkan kisah sedemikian atas dorongan agar lebih ramai lagi anak muda dapat memberikan sumbangan dan jasa bakti kepada negara dan membangunkan bangsa. Sumbangan saya itu terlalu kecil berbanding dengan sumbangan tokoh-tokoh guru - 'unsung heroes' yang lain. Pak Abu
Terima kasih Cikgu, dari hati :)
ReplyDeleteHah.. xjauh dah dr kg saya.. cuma tahun 2 nya berbeza..
ReplyDelete