Friday, January 29, 2016

PETUALANG BANGSA

            Tanyalah siapa pun di Malaysia kini, walaupun kanak-kanak sekolah rendah, mereka akan mengenal-pasti nama petualang-petualang bangsa di Malaysia. Aku pun hairan bagaimana anak-anak seusia sedemikian boleh mengenali ‘manusia’ yang dianggap sebagi petualang bangsa di negara ini. Apakah mereka telah ‘diasuh’ oleh ibu bapa mereka untuk mengenali siapa petualang bangsa itu. Atau apakah mereka ditunjuk ajar oleh guru-guru mereka disekolah tentang bagaimana mengenali ‘rupa’ dan sikap pemimpin negara yang dianggap sebagai petualang bangsa. Ataupun mungkinkah anak-anak ini dapat menganalisis berita-berita yang disiarkan oleh media arus perdana lantas dapat mereka mengenal-pasti manusia yang dianggap sebagai petualang bangsa itu.

            Pendek kata rakyat Malaysia (hampir keseluruhannya) dapat mengenali dan manamakan siapa yang menjadi petualang bangsa dan negara kita kini. Mungkin juga ada yang belum begitu jelas dan pasti tentang takrif dan ‘makna’ petualang bangsa. Dan mungkin juga ada yang mahu membezakan antara ‘pengkhianat’ ‘penderhaka’  bangsa dan negara dengan manusia yang dianggap sebagai ‘petualang’. Bagi aku ‘petualang’ lebih tinggi ‘darjatnya’ berbanding dengan ‘pengkhianat’. Aku merujuk juga dengan pakar-pakar bahasa tentang takrif ‘petualang’ sebelum artikel ini aku tulis. Rata-rata mengatakan hawa ‘petualang dan pengkhianat’ adalah dalam satu ‘keluarga’ yang sama dan perbezaannya ialah tentang ‘darjat’nya.

            Dalam sejarah kerajaan Melayu Melaka, Hang Jebat sentiasa dianggap sebagai ‘penderhaka’ ekoran penentangannya terhadap Sultan Melaka yang berlaku tidak adil, tanpa usul periksa yang teliti yang menyebabkan kematian  saudaranya Hang Tuah. Lantas Hang Jebat mengamuk dan masyarakat Melayu pada ketika itu menganggap Hang Jebat sebagai penderhaka. Hang Jebat dikutuk sekeras-kerasnya oleh masyarakat Melayu kerana menderhaka kepada Sultan Melaka. Kutukan itu berterusan sehinggalah pada pertengahan tahun 1960an apabila muncul seorang tokoh pemikir yang membela dan memberikan gambaran sebenarnya tentang tindakan Hang Jebat yang dikatakan menderhaka itu.Walaupun dipanggil sebagai penderhaka, namun Hang Jebat tidak pernah digelar sebagai ‘petualang bangsa’. Dan tidak pernah juga digelar sebagai ‘pengkhianat’.

            Mungkin  pada anggapan masyarakat Melayu bahawa Hang Jebat hanya sebagai penderhaka kepada Sultan Melaka tetapi Hang Jebat tidak ‘menderhaka’ ataupun mengkhianati bangsa Melayu. Mungkin begitu anggapan orang Melayu terhadap Hang Jebat. Berbanding dengan segelintir ‘tokoh-tokoh’ di negara kini yang terang-terang bertindak sebagai pengkhianat dan petualang merosakkan bangsa Malaysia.

            Seingat aku sepanjang perjalanan sejarah di negara ini tidak pernah lagi menempuh satu keadaan yang ‘merunsingkan’ sebagaimana yang dialami oleh negara kini disebabkan tindakan segelintir pemimpin (politik dan pentadbiran) negara yang sesuai dilabelkan sebagai ‘petualang negara’. Tidak pernah berlaku lagi seingat aku seseorang yang diamanahkan oleh rakyat untuk melaksanakan sesuatu tugas demi kepentingan negara dan bangsa sanggup mengkhianati mandat dan harapan yang diberikan oleh rakyat.

            Rakyat Malaysia khususnya orang Melayu tentunya merasa hairan dengan sikap segelintir petualang ini yang terdiri dari ‘manusia’ yang berbangsa Melayu. Dan apakah mereka tidak malu bersikap sedemikian sedangkan sikap sedemikian bukan merupakan sikap dan amalan yang biasanya diamalkan oleh orang Melayu. Sikap dan peribadi orang Melayu yang dikatakan ‘berbudi bahasa’ itu telah dinyahkan jauh-jauh oleh golongan sebegini yang telah ‘memejamkan mata’ dan ‘memekakkan telinga’ mereka, demi untuk ‘kebahagian dan kesejahteraan’ diri mereka dan keluarga mereka.

            Bangsa Melayu khususnya dan bangsa Malaysia amnya pasti tidak akan dapat melupakan sejarah yang sedang berlaku di Malaysia kini – Malaysia pada awal Kurun ke 21. Sekiranya berlaku peristiwa yang lebih buruk kepada bangsa dan negara akibat daripada tindakan beberapa orang pemimpin yang bersikap sebagai petualang bangsa, maka bangsa Melayu dan bangsa Malaysia pastinya tidak akan dapat memaafkan apa yang telah berlaku.

            Pastinya para pemimpin terdahulu yang telah ‘berpenat lelah’ berusaha memajukan bangsa dan negara ini akan menangis melihatkan keadaan bangsa dan negara yang hampir-hampir terjerumus ke lembah kehinaan. Yang paling menyedihkan lagi ialah betapa malangnya bangsa dan negara Malaysia yang telah pun hampir-hampir berjaya menempah kejayaan seperti mana negara-negara maju lain, telah terundur ke belakang disebabkan wujudnya beberapa orang petualang bangsa yang sentiasa memikirkan kepentingan diri dan keluarga dan mengenepikan perjuangan untuk memajukan bangsa dan negara.

            Aku tidak menuntut simpati. Hanya menunggu negara ini ‘menjadi padang jarak padang tekukur’.

abuhassanadam
29 Januari 2016


No comments:

Post a Comment