Friday, January 1, 2016

‘HAPPY NEW YEAR’ – GEMBIRAKAH  RAKYAT MALAYSIA  MENYAMBUT TAHUN 2016?

            Semenjak zaman berzaman sememangnya aku tak tahu nak jawab apabila kawan-kawan mengucapkan ‘Happy New Year’. Memang aku tak tahu nak jawab. Memang aku jakun dan ‘perak’. Memang aku orang kampung yang tak faham ‘adat’ orang zaman maju.

            Ucapan ‘Happy New Year’ ataupun ucapan ‘Merry Christmas’ atau ucapan ‘Happy Birthday to You’ sememangnya amat asing bagi aku. Ucapan sedemikian baru saja ‘menjelma’ dalam kamus hidup aku. Sebelum itu ucapan selamat yang selalu ditujukan kepada aku dan orang kampung lain ialah seperti,’ jaga diri baik-baik’, ‘jangan lupa emak bapak’ atau pun ucapan yang sering ditujukan kepada pengantin baru ialah, ‘ biar baik-baik, jangan gaduh dan jadi orang’. Pada  Hari Raya pun mereka tidak mengucapkan ‘Selamat Hari Raya’ melainkan apabila berjumpa dengan rakan taulan, kami berjabat salam dan bermaaf-maafan.

            Menyambut hari jadi atau hari lahir sememangnya tidak pernah berlaku dalam hidupku. Dan dengan demikian apabila mendapat jemputan untuk merayakan hari lahir rakan dan taulan, telah menimbulkan kebimbangan dan kerunsingan yang bukan kepalang pada diri aku. Bukan aku tak mahu pergi meraikan, tetapi aku sememangnya tidak tahu bagaimana untuk menyesuaikan diri dalam majlis yang diadakan. Amat kekok. Maklumlah tidak pernah aku lalui semenjak zaman kecil-kecil dulu.

            Aku merasakan aku tidak keseorangan dalam menempuh pengalaman yang sebegini. Ramai lagi anak kampung yang kini sudah menetap di Kuala Lumpur menghadapi suasana seperti mana yang aku hadapi. Tidak dapat menyesuaikan diri dalam majlis sedemikian. Bagaimanalah ibu bapa yang miskin seperti aku untuk mengadakan majlis hari jadi sedangkan untuk mendapatkan sesuap pagi dan sesuap petang pun tidak mencukupi.

            Lagi pun Pak Haji Sulaiman ( guru agama di kampung aku) mengatakan adalah haram menyambut majlis hari jadi (dengan meniup lilin). Malah Pak Haji Sulaiman pernah mengatakan berpakaian seperti orang Barat ( bertali leher, pakai kot, seluar) juga haram di sisi agama Islam. ‘Meniru Nasrani’ katanya. Dan bagaimana pula pendapat majlis agama Islam negeri atau JAKIM  berkaitan dengan perkara ini kini. Ada yang menyarankan memberi ucapan ‘Merry Christmas’ pun dilarang kepada penganut Islam, bagaimana pula dengan pesta menyambut Hari Jadi secara besar-besaran ala Barat oleh penganut Islam.

            Hari ini merupakan tahun baru – 2016. Ramai yang mengucapkan ucapan “Happy New Year’ kepada aku. Aku tak tahu nak jawab juga sebab perkataan ‘happy’ itu bermakna ‘bahagia’ atau ‘gembira’ atau pun ‘seronok’ sedangkan perasaan aku tak berapa seronok, tak berapa bahagia, tak berapa ‘gumbira’. Tentulah banyak sebab yang menyebabkan hati ini tidak ‘gumbira’.

            Kisah IMDB masih belum selesai walaupun dikatakan telah hampir nak selesai. Dan ada pihak yang memahami keadaan sebenarnya mengatakan keadaannya ‘semakin kusut’. Aku tak berani memberikan komen aku. Cuma berdasarkan pandangan aku yang cetek ini, tentulah tidak semudah itu menyelesaikan sesuatu yang telah begitu kusut. Kusut masai. Tentulah tidak semudah itu menyelesaikannya. Namun begitu aku tidak pula menafikan ‘kepandaian’ dan ‘putar-belit’ tokoh-tokoh korporat kini untuk ‘menyelesaikan’ sebarang masalah.

            Kisah pencemaran air di Kuantan Pahang juga merupakan sesuatu masalah yang merunsingkan walaupun kita tinggal di Kuala Lumpur dan jauh dari Kuantan. Perlu diingat bahawa ‘cubit peha kanan, peha kiri juga terasa sakitnya’. Keadaan di Pahang ini juga tentunya rumit sehinggakan Ahli Parlimen Kuantan YB Fuziah Salleh mahu Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob memberi laluan kepada kerajaan persekutuan untuk menangani masalah pencemaran bauksit di Kuantan selepas gagal mengumumkan sebarang tindakan sehingga akhir tahun ini.
            "Saya lihat beliau (Adnan) berdepan cabaran besar yang sukar beliau atasi dan atas sebab itu beliau tidak dapat mengumumkan tarikh moratorium (mengenai eksport bauksit)….Sebab itu saya cadangkan untuk menyelesaikan masalah ini, semua pihak bertanggungjawab - menggantung dan mengawal selia perlombongan bauksit, melaksana dan menguatkuasakan moratorium dan memulihkan semula Kuantan - diserahkan kepada kerajaan persekutuan," Kata YB Puan Fauziah Salleh.

            Dengan keadaan ‘muram’ yang sebegini yang menyelubungi suasana negara kini, dapatkah kita menyatakan tahun baru yang akan kita sambut ini merupakan sesuatu yang menyeronok atau membahagiakan?. Tentu tidak. Dan keadaan banjir di Pantai Timur belum lagi pulih seperti sediakala. Juga merunsingkan fikiran kita.

            Berita dari Malaysiakini bertarikh 31 Disember pula menokok ‘beban’ merunsingkan fikiran rakyat Malaysia. Laporan Malaysiakini melaporkan bahawa,”Malaysia telah dinamakan sebagai antara enam negara yang mempunyai "skandal rasuah paling teruk" di dunia bagi tahun 2015. ‘Anugerah’ itu diberikan oleh foreignpolicy.com - sebuah bahagian di bawah Washington Post Company - dalam laporannya dua hari lalu.Laporan itu, antara lain menyatakan bagaimana pemimpin-pemimpin terpalit dalam skandal rasuah besar-besaran, hakim mahkamah tinggi dan juga mereka yang mengendalilakn industri bola sepak dunia.Bagi skandal rasuah, Malaysia berada di tangga ketiga, di belakang Federation Internationale de Football Association (FIFA) dan Nigeria”

            Rakyat yang tidak berdaya ini hanya mampu berdoa agar negara tercinta terselamat menjelang tahun 2016. Dan aku ingin menyarankan agar JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri dan seluruh pembaca (beragama Islam) yang mengikuti blog ini supaya menganjurkan bacaan Yasiin di seluruh negara, memohon kepada Allah agar negara Malaysia diselamatkan dari segala bencana yang menimpa khususnya yang berkaitan dengan IMDB.

abuhassanadam

1 Januari 2016

No comments:

Post a Comment