Sunday, March 26, 2017


TERKANDAS DI AUCKLAND
PENTADBIRAN MAS SEMACAM ‘BUAT TAK TAHU’

Sudah dua hari mereka terkandas di Auckland kini.  Kononnya mengikut New Zealand Herald, penerbangan tidak dapat diteruskan kerana kerosakan. Dan alat ganti yang sepatutnya untuk membaik pulih kapalterbang berkenaan tidak terdapat di Auckland dan terpaksa menunggu dari tempat lain. Entah berapa lama pula agaknya.

Kata New Zealand Herald, ‘"They were supposed to leave at 1.15pm this afternoon but due to engineering requirement, they were on the plane for close to three and a bit hours before they were off-loaded."
Secara kebetulan ramai pula ‘orang kampung’ aku dalam rombongan berkenaan, yang termasuk juga beberapa orang kanak-kanak. Dan kebanyakan jiran aku adalah terdiri dari warga emas yang tentunya mengalami keadaan yang cukup tidak menyenangkan mereka. Sudah hampir dua hari mereka berada di lapangan terbang berkenaan dan sudah dua hari jugalah ‘kehidupan’ mereka amat terganggu. Mereka tentunya amat ‘runsing’ apabila jadual dan tempat sembahayang dalam keadaan yang tidak menentu.
Aku mendengar sendiri keluhan seorang ibu ( jiran dibelakang rumah aku) yang terpaksa ‘menderita’ mengenangkan anak perempuannya yang berumur 14 tahun melalui detik-detik cemas sedemikian. Si ibu dan si ayah terpaksa pulang awal disebabkan tuntutan tugas dan meninggalkan anaknya untuk terus bercuti di Auckland bersama-sama dengan jiran yang lain.
Walaupun si ibu amat yakin yang anaknya dalam keadaan selamat di bawah jagaan jiran-jiran yang lain, namun kerisauan tetap ada. Dan yang paling menghairankan aku ialah apabila mendengar perbualan telefon antara si ibu dengan pihak MAS semalam, menampakkan seolah-olah pihak MAS tidak melakukan sesuatu yang meyakinkan. Semacam tidak ada jawapan yang tegas dari pihak MAS tentang bagaimana tindakan mereka untuk mengatasi perkara ini.
Yang aku dengar juga melalui perbualan telefon berkenaan, bahawa pihak MAS menyerahkan kepada kebijaksanaan penumpang untuk berurusan sendiri samada untuk menyediakan makanan penumpang ataupun untuk mencari tempat tinggal di Auckland. Aku tak boleh bayangkan kesusahan yang bakal dialami oleh para penumpang ( yang secara kebetulan jiran-jiran aku yang amat aku kenali).
Persoalannya mengapakah pihak MAS memperlakukan sedemikian kepada golongan penumpang sebegini. Apakah pihak pentadbiran MAS tidak langsung bersifat peri kemanusiaan mengenangkan kesusahan yang dialami oleh penumpang berkenaan. Aku dapat merasakan kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh penumpang itu sendiri dan keluarga yang berada di Malaysia.
Aku sendiri pernah mengalami keadaan sedemikian (walaupun lebih tersiksa lagi ) pada tahun 2015. Untuk lebih tepat lagi pada 29 April 2015 ia itu ketika anak aku terkandas di Kathmandu disebabkan keadaan gerak gempa bumi yang berlaku pada ketika itu.

Anak aku adalah antara yang terperangkap di sebuah hotel di bandar Kathmandu ketika gempa bumi 7.9 pada skala Richter melanda Nepal di kawasan antara ibu negaranya Kathmandu dengan bandar Pokhara pada 2.56 petang (waktu Malaysia) pada Sabtu (25 April 2015)

Barulah aku ‘sedar’ sebenarnya satu ‘penyiksaan’ yang terpaksa dideritai ketika malapetaka itu menimpa anak sendiri. Dulu aku bukan tidak bersimpati dengan mangsa beberapa gempa bumi, mangsa banjir yang melanda Pantai Timur, persitiwa malang MH 370 dan MH 17. Tetapi bersedih dan bersimpati dengan nasib yang menimpa mangsa. Namun seperti kata orang tua-tua, betapa berat mata memandang lagi berat bahu memikul’.

Anak aku terpaksa menunggu ‘penyelamat’ dari Malaysia selama empat hari sebelum beliau boleh ‘diselamatkan’. Dan selama itulah aku dan keluarga turut menderita mengenangkan nasib yang menimpa. Dan sekurang-kurangnya derita aku ‘terubat’ apabila anak aku pulang ke pangkuan.

Kini aku boleh bayangkan derita mereka kerana aku juga telah mengalami derita hampir sedemikian.Yang agak menyedihkan (mengikut cerita anak aku) ketika beliau berada di lapangan terbang Kathmandu, menunggu bantuan dari negara kita yang tercinta Malaysia, satu demi satu bantuan sampai ke lapangan terbang berkenaan dari negara-negara luar yang agak perihatin tentang rakyat mereka yang malang. Tetapi bukan dari negara kita. Negara-negara lain datang dan pergi sedangkan bantuan dari negara Malaysia belum juga sampai. Dari India, Australia, Thailand dan negara-negara lain yang perihatin.

Dan yang sentiasa diperkatakan dan mendapat pujian ialah keperihatinan negara Singapura yang sanggup menghantar kapal terbang ke Kathmandu untuk menyelamatkan rakyatnya, walaupun bilangan rakyatnya yang terlibat tidak ramai. Ada yang mengatakan bahawa Singapura sanggup menghantar sebuah kapal terbang demi menyelamatkan seorang rakyatnya yang terkandas.

Berdasarkan pengalaman yang dilalui oleh anak aku itu, aku teryakin bahawa sememangnya kerajaan Malaysia agak lambat bertindak untuk menyelamatkan rakyat yang terkandas di Kathmandu. Hal ini aku dasarkan kepada pengalaman seorang rakyat Malaysia yang terpaksa menempah tiket Thai Airways untuk pulang ke Malaysia melalui Thailand disebabkan kegagalannya mendapatkan penerbangan ke Malaysia dengan menggunakan pesawat MAS. Tentulah agak menyedihkan mendengar cerita sedemikian.

Sepanjang tiga hari anak aku berada dalam keadaan ketidaktentuan di Kathmandu, di tengah-tengah kekelam-kabutan suasana di kathmandu, aku cuba juga mendapatkan bantuan dan pertolongan daripada Embassy of Malaysia Kathmandu yang beralamat 2ndFloor, Block B, Karmachari Sanchaya Kosh Bhawan, P.O.Box 24372, Pulchowk, Laltipur, Kathmandu. Sepanjang hari Ahad dan Isnin (26 April dan 27 April 2015) aku menghubungi pejabat berkenaan melalui telefon pejabatnya:  00977-1-5010004 tetapi tidak ada langsung jawapan dari pejabat berkenaan. Aku juga menghubungi melalui talian kecemasannya (Emergency only/ Duty Officer) 00977-9801008000) dan tidak ada juga jawapan yang aku terima. Aku juga menghubungi Wisma Putera dan mendapat jawapan tetapi jawapan yang diterima agak mengecewakan aku kerana tidak menampakkan usaha yang bersungguh-sungguh untuk menolong aku yang betul-betul mengharapkan pertolongan. Mungkin agaknya aku tidak bergelar Dato’ Seri atau Tan Sri yang memungkinkan pertolongan segera dihulurkan kepada aku. Mungkin.

Apabila keadaan sebegini menimpa diri aku barulah aku betul-betul sedar bahawa beginilah rupanya layanan yang diterima oleh rakyat bawahan (yang tidak ada gelaran) terutama rakyat marhaen dari luar bandar. Dan derita yang sedemikian jugalah agaknya yang menimpa mangsa banjir di Pantai Timur sehingga hari ini yang masih menunggu dan menunggu bantuan dari pihak yang berwajib.

Kini anak aku telah pun kembali ‘ke pangkuan ‘ku. Selamt. Syukur kepada Allah yang menyelamatkan beliau dan dengan usahanya tersendiri tanpa mendapat bantuan dari pihak kerajaan. Kononnya pada ketika itu Kerajaan sedang berusaha untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Kathmandu itu sebagaimana yang dilaporkan oleh  BERNAMA.

Keluarga jiran aku yang terkandas di Auckland kini sedang menunggu dengan penuh debaran bilakah agaknya anggota keluarga mereka akan ‘diselamatkan’ terutama anak jiran aku yang berumur 14 tahun itu yang kadang-kadang mengidap sakit lelah.

Aku doakan semua akan selamat hendaknya.

abuhassanadam


26 Mac 2017

Saturday, March 25, 2017

YANG SUDAH, SUDAHLAH!!.....

‘Nasihat’ ini aku tujukan kepada rakan-rakan yang masih ‘berjuang’ dalam UMNO. Aku terpaksa menyatakan hasrat ini kepada rakan-rakan yang masih gigih kononnya memperjuangkan bangsa dan negara. Dan lebih bersemangat lagi bunyinya bahawa ‘mereka berjuang demi kepentingan orang Melayu dan agama Islam. Tetapi persoalannya ialah apakah begitu ‘perjuangan’ mereka. Dan apakah perjuangan mereka yang sedemikian lama, belum juga menampakkan hasil yang membanggakan.

Aku amat yakin bahawa golongan ‘pejuang’ ini kadang-kadang tentu merasakan tidak yakin kepada diri mereka sendiri bahawa perjuangan UMNO kini untuk membela bangsa dan negara. Apakah ada terdetik di hati dan perasaan mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu demi bangsa dan negara sama seperti mana pejuangan pejuang-pejuang kemerdekaan yang lampau yang berjuang semata-mata untuk menebus kemerdekaan dan memajukan bangsa. Dan tak kurang dari itu.

Dan seolah-olah perjuangan golongan ‘pejuang UMNO” kini tak ubah seperti untuk kepentingan perut. Aku tak pula mengatakan kesemua pejuang kini begitu keadaannya. Mungkin masih ada lagi yang memikirkan tentang orang Melayu, bangsa Malaysia dan negara dan agama Islam.Tetapi aku yakin golongan pemimpin yang sedemikian tidak ramai. Bak kata Dramatis Kalam Hamidi suatu ketika dahulu ( artis lama) hanya seperti ‘setitik embun dihujung rumput di tengah-tengah padang pasir Sahara yang tandus…”

Aku kadang-kadang bertanya juga diri aku dan kawan-kawan lain yang bukan dari golongan ‘pejuang UMNO’ tentang banyak perkara. Antaranya aku selalu memikirkan tentang apakah para ‘pejuang UMNO’ kini boleh lelap tidur ditengah-tengah suasana ‘kemelut’ yang menyelubungi negara Malaysia kini. Apakah golongan ‘pejuang UMNO’ ini boleh selesa duduk dalam kereta mewah sedangkan kebanyakan rakyat ‘berkira-kira’ untuk membeli seliter petrol disebabkan kenaikan harga minyak yang kadang-kadang tidak tentu ‘hujung-pangkal’nya.

Kadang-kadang aku juga terfikir bahawa apakah tidak tepat masa yang diberikan oleh jam tangan yang dibeli dengan harga RM 300.00 sehinggakan ramai ‘pejuang UMNO’ terpaksa membelanjakan puluhan ribu ringgit ( malah ada yang mencecah ratusan ribu ringgit) untuk membeli sebuah jam tangan. Dan tentunya tidak cukup dan tidak selesa pula dengan sebuah jam yang dibeli. Tentunya memerlukan puluhan jenis jam untukmenyesuaikan keadaan apabila memakainya.

Mengenai isteri para ‘pejuang UMNO’ pula. Telah terbukti bahawa para isteri menampakkan ‘sikap dan perangai’ yang lebih ‘hebat’ lagi dari sang suami. Terbukti dengan pendedahan yang dibuat oleh SPRM baru-baru ini apabila terdapat sang isteri ‘pemimpin/pejuang UMNO’ yang memiliki puluhan jenis beg tangan yang berjenama yang tentunya dibeli dengan harga puluhan ribu ringgit.

Rakyat tahu dan sedar bahawa wang yang diperolehi untuk membeli barang-barang yang bernama itu adalah di luar kemampuan seorang menteri atau wakil parlimen atau ADUN. Rakyat tahu dan rakyat sedang ‘membaca’ dengan teliti. Masyarakat Malaysia kini bukan lagi masyarakat Malauysia tahun 1960an yang tidak tahu berapa pendapatan seorang ‘pejuang UMNO’ yang disebutkan itu kerana ramai rakyat Malaysia yang sudah berpendapatan sedemikian. Oleh itu rakyat tentunya mempersoalkan dari manakah sumber pendapatan yang begitu lumayan yang dimiliki oleh para ‘pejuang UMNO’ itu.

Tentulah ada jawapannya. Rasuah. Ataupun dari sumber yang tidak diizinkan. Walaupun tidak dapat dibuktikan, namun para ‘pejuang UMNO’ tentu dapat merasakan bahawa wang yang dimiliki itu adalah dari sumber yang tidak halal.

Agak keterlaluan sekiranya aku mengatakan bahawa isu dan topik yang sedang dibincangkan oleh rakyat terbanyak kini adalah mengenai kegiatan rasuah yang bermaharajalela di negara ini. Cuma yang anihnya para ulamak dan guru agama yang memberikan ceramah-ceramah di masjid dan surau seolah-olah amat takut untuk membincangkan isu rasuah ini. Malah mereka merasa amat takut untuk menjawab soalan sekiranya ada soalan yang dikemukakan yang bersangkut paut dengan rasuah. Sepatutnya golongan ulamak yang sepatutnya berada di barisan hadapan untuk sama-sama dengan rakyat memerangi rasuah.

Rakyat terbanyak kini sudah merasa terpanggil untuk bersama-sama dengan Tun Mahathir dan para pemimpin lain untuk memerangi gejala rasuah ini. Rakyat terpanggil untuk tampil memandangkan pengorbanan yang sedang dilakukan oleh Tun Mahathir walaupun sudah menjangkau usia 90an. Rakyat terpanggil untuk bersama berjuang menentang perbuatan terkutuk ini apabila melihat kesanggupan TS Muhyiddin Yassin dan DS Shafie Afdal yang sanggup meninggalkan jawatan menteri demi membetulkan keadaan kemelut dalam negara.

Kesanggupan Saudara Anwar Ibrahim ‘menyambut tangan’ Tun Mahathir untuk sama-sama berjuang menentang ‘kezaliman’ , dan melupakan sengketa yang lepas, adalah sesuatu yang harus dipuji dan dihormati. Kesediaan Encik Lim Kit Siang, Tuan Haji Mat Sabu ‘berdiri’ bersama-sama dengan ‘musuh lama’ demi membela rakyat yang tertindas adalah sesuatu yang harus dipuji.

Dan kepada para ‘pejuang UMNO’ jadikanlah diri anda sebagai pejuang sebenar supaya kehadiran anda di bumi bertuah ini dihomati oleh rakyat dan bukan dikeji dan dikutuk.

Yang sudah, sudahlah!!...

abuhassanadam
25 Mac 2017



Friday, March 24, 2017

DS NAJIB SEMACAM KESEORANGAN

Kelihatan seolah-olah DS Najib keseorangan dalam mepertahankan ‘serangan’ yang bertubi-tubi yang dilancarkan oleh pihak lawan. Ternampak semacam ‘tokoh-tokoh’ lain mendiamkan diri dan memerhatikan sahaja ‘drama’ yang sedang berlaku kini. Jikalau pun ada yang cuba mempertahankan DS Najib atas tindaknya adalah seorang dua  ‘tokoh-tokoh’ dari Sabah. itu pun seolah-olah semacam terpaksa berbuat demikian.

Sekiranya media eletronik dan media cetak arus perdana tidak memainkan peranan nya melaporkan tentang kegiatan-kegiatan yang dilakukan oleh pemimpin kerajaan, maka suasana di Malaysia kini seolah-olah ‘dikuasai’ oleh pihak pembangkang. Walaupun media arus perdana sedaya upaya cuba menengelamkan suara pembangkang namun peranan yang dimainkan oleh media sosial cukup berkesan, memberikan penjelasan kepada rakyat bukan sahaja di bandar tetapi juga di kawasan luar bandar dan kawasan FELDA.

Yang agak malang pula bagi media arus perdana ialah sudah ramai rakyat Malaysia ‘berpisah’ dengan akhbar atau media elektronik berkenaan. Ini dapat dilhat di gerai-gerai makan dimana siaran TV ditayangkan. Seolah-olah ‘TV’ berkenaan bercakap ‘keseorangan’ tanpa dipedulikan oleh pengunjung kedai makan berkenaan.

Berkenaan dengan media cetak pula, akan kelihatan suratkhabar yang ‘bertimbun-timbun’ di kedai-kedai mamak tanpa dipedulikan seolah-olah sudah terdapat suatu budaya di negara ini dimana masyarkatnya sudah tidak mempedulikan akhbar harian untuk mendapatkan sumber berita. Seolah-olah masyarakat Malaysia tidak lagi membaca akhbar sebagai sumber berita.

Pihak pembangkang kini seolah-olah tidak lagi gundah dan bimbang sekiranya media elektronik dan media cetak milik kerajaan tidak menyiarkan maklumat yang ingin disampaikan kepada rakyat. Media sosial kini bukan sahaja dapat menyampaikan berita secara ringkas, malah telah dapat mengadakan siaran terus menerus ( live) bagi memancarkan kegiatan-kegiatan pembangkan seperti ceramah-ceramah umum yang dilaksanakan oleh mereka.

Bersandarkan kepada senario di Malaysia kini, memungkinkan akan berlaku perubahan pemerintahan di negara ini dalam PRU 14, dengan izin Allah. Berbagai penyelewengan yang telah dilakukan telah didedahkan kepada umum. Walaupun pada mulanya amat sukar bagi masyarakat untuk menerima dan mempercayai apa yang didedahkan ( bagi setengah golongan masyarakat), namun setelah terus menerus dipantakkan ke dalam benak mereka, masyarakat meyakini apa yang disampaikan kepada mereka.

DS Najib seolah-olah keseorangan memberikan penjelasan atau sebagaimana yang sentiasa diperkatakan oleh ramai orang bahawa beliau ceba ‘menegakkan benang basahnya’. Rakyat sudah mula tidak peduli tentang apa yang disampaikan. Ibarat masuk telinga kiri dan keluar ikut telinga kanan. Sebahagian dari rakyat terpaksa ‘menerima’ apa saja yang disogokkan kepada mereka kerana ‘takut’ kepada ‘sesuatu’ yang akan menimpa sekiranya menunjukkan ‘belang’ yang sebenarnya.

Aku dapat merasakan kini bahawa sekiranyalah sesuatu peristiwa terjadi kepada negara ini dan DS Najib tidak lagi berkuasa seperti kini, aku boleh bayangkan bagaimana para ‘sahabat’ yang ‘mencium tangannya’ kini akan ‘lari bertempiaran’ meninggalkan beliau keseorangan. Mungkin DS Najib sedar bahawa ikatan persahabatan beliau dengan ‘rakan-rakan karib’ disekelilingnya adalah ‘diikat’ dengan ‘dedak’ yang bertaburan. Beliau pun selalu menyatakan bahawa ‘cash is king’.

DS Najib mungkin sudah dapat menyedari bahawa ‘rakan-rakan’ yang berada disekeliling ‘pinggang’ kini adalah disebabkan keadaan beliau yang berkuasa. Beliau tentu ingat bagaimana ‘rakan-rakan karib’ Saudara Anwar Ibrahim ‘berbondong-bondong’ meninggalkan beliau, pada malam pemecatan beliau pada tahtun 1998 yang lalu. Aku telah dapat melihat sendiri denga mata kepala aku keadaan demikian. Yang tinggal bersama beliau mengharungi suasana ‘susah senang’ adalah rakan-rakan karib yang sanggup menangis dan tertawa ketika susah-senang.

DS Najib tentu tahu yang hal sedemikian berlaku. DS Najib juga tentu ingat bagaimana Harris Salleh ‘ditinggalkan’ oleh ‘rakan-rakan’nya pada malam pengumuman keputusan pilihanraya di Sabah ketika PBS pimpinan Pairin Kitingan memenangi pilihan raya berkenaan.

Dalam keadaan DS Najib ‘nyawa-nyawa ikan’ kini pun sudah kelihatan sikap dan perangai rakan-rakannya yang ‘karib’ sudah beransur-ansur merenggangkan diri dengan beliau apatah lagi apabila sudah kelihatan isyarat yang cukup jelas menunjukkan UMNO/ Barisan Nasional akan tewas dalam PRU 14 nanti. DS Najib harus selalu mengingati kata-kata orang tua, ‘ yang ketawa amat ramai tetapi yang menangis akan keseorangan’.

Hilai ketawa ‘rakan dan taulan ‘ hanya akan terdengar sekiranya ‘perut kekenyangan’ tetapi setelah ‘dedak’ tidak dapat dibekalkan lagi segala ‘rakan dan taulan’ akan lari bertempiaran meninggalkan kita.

“Ingat sebelum kena…”

abuhassanadam

24 Mac 2017

Wednesday, March 22, 2017

APA SALAH TUN MAHATHIR

Hampir setiap hari, TV dan akhbar harian arus perdana memberikan ulasan yang negatif mengenai Tun Mahathir seolah-olah ‘manusia’ yang bernama Mahathir itu melakukan kesalahan dan ‘dosa’ yang amat besar kepada negara dan bangsa. Dan segala komen yang diberikan oleh penulis seolah-olah sudah hilang pertimbangan dan tidak mengiukt prinsip dan ‘adat susila’ penulisan yang sebenar.

Aku tidak pula mengatakan bahawa Tun Mahathir tidak pernah melakukan kesalahan dalam zaman era pemerintahannya. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan laut mana yang tidak bergelora. Namun jika dibandingkan dengan sumbangan yang diberikan kepada rakyat negara ini, aku merasakan berbanding dengan Perdana Menteri lain sumbangan Tun Mahathir tentulah lebih besar dan bermakna.

Yang menyedihkan ialah apabila melihatkan golongan pemimpin yang memberikan ulasan negatif terhadap Tun Mahthir itu bolehlah digolongan sebagai ‘golongan berhingus’ yang tidak tahu dan tidak peka dengan sumbangan yang telah diberikan oleh Tun Mahathir. Mungkinlah disebabkan ‘dedak’ yang begitu banyak yang telah diterima oleh mereka menyebabkan golongan sedemikian tidak dapat berfikir dengan kritis dan lantas mengemukakan hujah-hujah yang langsung tidak menggambarkan sebagai seorang yang rasional. Kadang-kadang sikap mereka adalah seperti ‘anak lembu’ yang baru tumbuh tanduk yang ingin menanduk apa sahaja yang berada dihadapan mereka.

Anak muda yang baru ‘tumbuh tanduk’ harus menyedari hakikat bahawa Tun Mahathir lebih dulu ‘makan garam’ berbanding dengan mereka. Mungkin ketika mereka masih ‘berhingus’ Tun Mahathir sudah pun menjadi Perdana Menteri ataupun sekurang-kurangnya sudah ‘berpencak’ bukan sahaja di pentas Malaysia tetapi juga di pentas dunia.

Sikap yang ditunjukkan oleh DS Nazeri dalam komenya dalam isu debat yang akan diadakan harus dipuji. Beliau masih menghormati Tun Mahathir sebagai seorang yang lebih tua dari beliau dan beliau tidak melupakan bahawa Tun Mahathir pada suatu ketika dahulu adalah ‘boss’nya. Dan debat yang akan diadakan nanti adalah semata-mata untuk mencari penjelasan dan bukan bertujuan untuk menghasut sesiapa.

Buat pertama kalinya rakyat Malaysia mendengar ‘suara’ dari kalangan pemimpin kerajaan yang mempersoalkan tentang tindakan pihak berkuasa membatalkan debat yang sepatutnya diadakan di Padang Rengas itu. Sudah banyak kali kita mendengar kisah bagaimana pihak berkuasa membatalkan sesuatu perhimpunan dengan menggunakan alasan ‘takut kalau akan ada perbalahan dan kekacauan’.

Mengulas tindakan yang sedemikian, DS Nazeri beberapa kali dalam temuramahnya mengatakan yang beliau ‘disturbed’ dengan tindakan pihak polis berkenaan. Dan beliau juga menegaskan bahawa negara Malaysia bukanlah merupakan ‘police state’ dan seharusnya pihak berkuasa mematuhi lunas-lunas dan prinsip demokrasi yang memberikan kebebasan bersuara kepada rakyat Malaysia.

Apa salahnya Tun Mahathir dan apa salahnya DS Nazeri sehinggakan mereka dilarang untuk menyatakan pandangan dan fikiran mereka secara intelek di Padang Rengas itu. Dan apa salahnya rakyat Malaysia sehingga tidak diberikan kesempatan langsung untuk mendengar pandangan dan fikiran dari kedua-dua pemimpin ini.

Dan sebagai anak jati Padang Rengas aku juga merasa ‘terhina’ apabila pihak polis mengemukakan beberapa alsan yang menyebabkan perdebatan berkenaan tidak dapat dilaksanakan. Antara sebabnya ialah takut kalau-kalau timbul kekacauan ekoran daripada perdebatan demikian. Yang menyebabkan aku merasa ‘terhina’ adalah disebabkan oleh anggapan yang mungkin mereka merasakan bahawa orang Padang Rengas terlalu cetek fikiran dan tidak dapat berfikir dengan rasional ( apabila mendengar kedua-dua hujah yang diberikan oleh Tun Mahathir dan DS Nazer) lantas menimbulkan kekacauan dan huru-hara di sini.

Aku tak fikir orang Padang Rengas bersikap begitu. Aku tak fikr orang Padang Rengas begitu mudah menimbulkan kekacauan hanya berpunca daripada ucapan Tun Mahathir dan DS Nazeri.Dan telah pun dijelaskan oleh DS Nazeri bahawa debat itu akan berjalan dalam suasana yang aman tenteram. Malangnya bagi penduduk Padang Rengas kerana tidak dapat ‘menikmati’ wacana yang ditunggu-tunggu oleh mereka.

Ramai golongan orang tua seperti aku menunggu-nunggu debat sedemikian kerana golongan ini adalah anak-anak pejuang kemerdekaan yang pernah mendengar ucapan-ucapan pejuang-pejuang seperti Ahmad Boestamam, Aishah Ghani, Shamsiah Fakeh, Dr Burhanuddin Hilmi pada suatu ketika dulu ketika kongres Angkatan Pemuda Insaf dan Angkatan Wanita Sedar yang pernah diadakan di Padang Rengas pada suatu ketika dulu.

Orang Padang Rengas masih waras dan rasional.

abuhassanadam
22 Mac 2017