Saturday, March 18, 2017

PADANG RENGAS 'MELETOP' LAGI

Aku pernah menulis dalam blog yang sama mengenai tempat tumpah darah ku ini pada 21 Ogos 2013 dengan tajuk, ‘PADANG RENGAS MELETUP DENGAN TIBA-TIBA’. Isunya mengenai YB Dato Nazeri juga kerana beliau adalah Wakli Parlimen Padang Rengas walaupun beliau bukan ‘anak’ Padang Rengas jati. Beliau berasal dari Lenggong Perak.

Sebagai anak jati Padang Rengas tentulah aku ada ‘authority’ untuk menulis dan memperkatakan mengenai Padang Rengas. Ramai kawan dan rakan menelipon aku bertanyakan kisah ‘Padang Rengas’. Mereka tahu yang aku memang amat taksub dengan nama Padang Rengas. ‘Tak boleh sentuh’ kata mereka, merujuk kepada ketaksuban aku kepada tempat kelahiranku ini. Ada rakan-rakan yang cuba ‘mengusik’ aku dengan memperkatakan sesuatu yang negatif mengenai Padang Rengas. Amat gembira mereka melihat aku ‘melenting’.

Kini Padang Rengas diperkatakan hampir segenap lapisan masyarakat di seluruh negara, ia itu mengenai debat antara Tun Dr Mahathir dengan YB DS Nazeri. Selaku anak Padang Rengas jati aku mengalu-alukan dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kedua-dua pemimpin ini yang sanggup ‘menongkah arus’ dan ‘menafikan’ pandangan setengah pihak yang mengatakan bahawa debat bukan budaya rakyat Malaysia.

Samada Tun Mahathir atau DS Nazeri, bagi aku memang telah menunjukkan ‘kejantanan’ mereka sebagai seorang pemimpin yang sanggup berdepan untuk berdebat dalam apa suasana sekali pun. Mereka telah membuka ‘mata’ dan minda rakyat Malaysia bahawa debat adalah merupakan ‘ujian’ untuk membuktikan kehebatan seseorang pemimpin itu.

Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri telah menunjukkan kehebatannya berdebat di pentas dunia samada di Bangsa-Bangsa Bersatu atau di Persidangan Komanwel atau pun di mana-mana saja. Aku pernah hadir dalam beberapa persidangan yang di hadiri oleh Dr Mahathir ketika di London. Dan aku telah dapat melihat dengan ‘mata kepala’ aku sendiri kehebatan Dr. mahathir mengemukakan hujah-hujahnya. Itulah yang dikatakan pemimpin sejati.

Aku pernah bersama dan melihat kehebatan Saudara Anwar Ibrahim berdebat dan berhujah. Aku ikuti ucapannya ketika menyampaikan uacapan (dalam Bahasa Inggeris) di UNESCO selepas sahaja beliau dipilih untuk menjawat jawatan sebagai Presiden UNESCO pada awal tahun 1990an. Itulah yang dikatakan pemimpin tulin yang sanggup berdebat dan berdepan dalam suasana yang macam mana sekali pun.

Kini DS Nazeri telah muncul untuk menunjukkan ‘kejantanan’nya. Bagi aku tidak kira siapa yang menang dan siapa yang kalah. Rakyat akan menentukan  dan membuat penilaian. Ia pastinya bergantung kepada hujjah-hujjah yang diutarakan oleh mereka. Rakyat akan membuat penilaian akhirnya.

Bagi aku perdebatan antara Tun Mahathir dan DS Nazeri ini akan menjadi ‘watershed’ dalam sejarah Malaysia. Amat penting. Aku katakan begitu kerana telah dapat memberikan satu gambaran bahawa rakyat Malaysia telah mula menyedari tentang kepentingan ilmu. Rakyat Malaysia akan dilihat oleh orang luar sebagai rakyat bukan lagi menunjukkan kekuatan dengan menayang kekuatan secara fizikal tetapi dengan mempamerkan kebolehan berfikir. Maknanya di situlah dapat kita menunjukkan kematangan kita dan bukan dengan menunjukkan ‘punggung’ dan ‘lengan’ seseorang.

Bertambah bahgia dan bangga lagi apabila ‘pecahan tradisi’ ini diadakan di tempat kelahiran aku, Padang Rengas. Aku katakan debat ini sebagai ‘pemecah tradisi’ kerana tidak pernah lagi perdebatan sehebat ini berlaku di Malaysia. Sudah begitu lama aku mengimpikan perdebatan seperti ‘Presidential Debate’ seperti yang diadakan di Amerika itu diadakan di Malaysia. Pernah dianjurkan perdebatan serupa itu, tetapi dengan berbagai helah dan alasan, debat sedemikian tidak juga dapat diadakan.

Bukan sahaja orang Padang Rengas yang menunggu-nunggu hari yang bersejarah ini berlaku. Malah seluruh negara sedang menanti-nanti dan akan membuat penilaian.

Selamat berdebat kepada kedua-dua tokoh agung ini.

abuhassanadam
18 Mac 2017



No comments:

Post a Comment