PENJAJAH BRITISH
SEKURANG-KURANGNYA MEMELIHARA HAK ORANG MELAYU
Menilik kepada berbagai perkembangan yang berlaku di negara kita pada
akhir-akir ini, terasa mahu mengatakan bahawa penjajah British
sekurang-kurangnya ada juga memikirkan tentang nasib masa depan orang Melayu.
Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini terutama golongan yang
sentiasa mendabik dada yang kononnya merekalah yang menjadi jaguh
memperjuangkan nasib orang Melayu!
Betul bahawa British yang
‘mengeringkan’ sumber hasil bumi kita seperti bijih timah dan getah. Aku tidak
menafikannya. Tetapi British ada juga memikirkan tentang keadaan alam sekitar
ketika melakukan ‘penerokaan’yang dilakukan oleh mereka. Berbanding dengan para
‘ pejuang Melayu’ kini yang begitu ghairah meneroka hutan untuk kerja-kerja
pembalakan yang langsung tidak memikirkan tentang ‘keruntuhan’ alam sekitar.
Dan apabila sudah ‘menggila’ untuk mendapatkan hasil bumi telah lupa kesan
‘lumpur’ yang mungkin menyusahkan kehidupan masyarakat sekitar.
Aku ulang semula kenyataan
aku dengan mengatakan bahawa penjajah British sekurang-kurangnya ‘berhati
perut’ juga untuk menyelamatkan orang Melayu pada masa hadapan. Satu
sumbangannya yang aku rasakan bermakna sekali kepada orang Melayu ialah dengan
mengekalkan tanah rizab Melayu, walaupun ada komen-komen yang negatif berkaitan
dengan isu Rizab Melayu ini. British berusaha meletakkan ‘Malay Reservation’
kepada geran-geran tanah milik Melayu. Sekiranya pihak British tidak mengambil
langkah sedemikian tidak dapat aku bayangkan apa yang telah terjadi kepada
orang Melayu di Tanah Melayu.
Sedangkan dengan sekatan-sekatan sedemikian pun sudah banyak tanah orang
Melayu yang berstatus ‘Malay Reservation’ telah pun berpindah tangan kepada
pihak lain. Aku mendasarkan kenyataan ini berdasarkan beberapa tangkapan yang
dilakukan oleh SPRM baru-baru ini di Johor yang kononnya membabitkan isu
sebegini.
Dan agak menyedihkan lagi sebagaimana yang didedahkan oleh Tun Mahathir
dalam blognya ialah tentang hak milik tanah di kawasan tertentu di Johor yang
diberikan milik kekal yang bermakna sesiapa sahaja yang memiliki tanah
berkenaan akan mendapat taraf kekal.
Aku bukannya ‘manusia’ yang anti pembangunan, malah amat bangga dan
bahagia ketika melihat apa juga bentuk pembangunan yang dilaksanakan oleh pihak
tertentu. Apatah lagi melihatkan pembangunan yang begitu pesat di persekitaran
Selat Tebrau. Cuma yang menyedih dan memilukan hati ini ialah apabila
melihatkan persekitaran Selat Tebrau yang dahulunya semacam ‘dikuasai’ oleh
orang Melayu telah berpindah tangan dan dikuasai oleh orang asing.
Tidak pula aku hendak menyalahkan sesiapa yang menyebabkan keadaan jadi
begini. Tidak juga ingin aku ratapi mengapa keadaan jadi begini. Jikalau aku
keluarkan air mata darah sekalipun, tentulah tidak dapat mengubah keadaan yang
telah terjadi begini. Dan hendak aku salahkan pula ibu yang mengandung,
tentulah amat tidak adil bersikap sedemikian. Apakah begini suratan dan
ketentuan yang telah ditakdirkan kepada orang Melayu seperti aku, menjadi
bangsa yang merempat dan terhina di tanah air sendiri.
Yang paling menyedihkan lagi ialah wujudnya golongan pemimpin di negara
ini yang disifatkan sebagai ‘ harapkan pegar, pegar makan padi’. Nampaknya
hampir setiap peringkat kepimpinan samada pemimpin politik ataupun kepimpinan
dikalangan pegawai kerajaan sudah tidak langsung menghiraukan amanah yang
seharusnya dipikul oleh mereka. Dan seolah-olah matlamat mereka ialah untuk
mencari wang dan meperkayakan diri walaupun dengan cara yang tidak dihalalkan.
Bukanlah semua bersikap demikian.
Penangkapan demi penangkapan dilakukan oleh pihak SPRM akhir-akhir ini.
Memberikan satu gambaran bahawa kegiatan rasuah di negara kita adalah merupakan
satu lumrah, satu amalan yang dilakukan tanpa segan silu. Dan jumlah wang dan
nilai yang terbabit bukanlah jumlah yang sedikit mebabitkan jutaan ringgit.
Mungkin ada juga yang mencecah angka billion ringgit agaknya sekiranya
‘diterokai’ dengan lebih terperinci oleh pihak SPRM.
Kadang-kadang terfikir juga di benak ini bahawa sekiranyalah negara ini
ditadbirkan dengan berkesan tanpa adanya unsur-unsur rasuah, maka aku tidak
dapat bayangkan keadaan negara Malaysia yang tercinta ini. Dengan berbagai
kurniaan Tuhan dalam bentuk yang berbagai-bagai – minyak, bijih timah, kelapa
sawit, getah – pastinya negara ini sentiasa dicemburui oleh negara-negara lain
yang tidak dapat menikmati kekayaan negara seperti kita. Tapi apakan daya, itu
hanyalah merupakan mimpi dan angan-angan sahaja…
Aku hanya mampu berdoa agar muncullah suasana yang baru di negara ini
dalam masa terdekat…
abuhassanadam
20 Mac 2017
Alhamdulillah, lamanya Pak Abu tak buat artikel. Sentiasa menunggu artikel dari Pak Abu.. Apa pun saya mohon share..
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteHi sir! Daryn here. Do you mind typing a blog in English for us?
ReplyDelete