Wednesday, March 22, 2017

APA SALAH TUN MAHATHIR

Hampir setiap hari, TV dan akhbar harian arus perdana memberikan ulasan yang negatif mengenai Tun Mahathir seolah-olah ‘manusia’ yang bernama Mahathir itu melakukan kesalahan dan ‘dosa’ yang amat besar kepada negara dan bangsa. Dan segala komen yang diberikan oleh penulis seolah-olah sudah hilang pertimbangan dan tidak mengiukt prinsip dan ‘adat susila’ penulisan yang sebenar.

Aku tidak pula mengatakan bahawa Tun Mahathir tidak pernah melakukan kesalahan dalam zaman era pemerintahannya. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan laut mana yang tidak bergelora. Namun jika dibandingkan dengan sumbangan yang diberikan kepada rakyat negara ini, aku merasakan berbanding dengan Perdana Menteri lain sumbangan Tun Mahathir tentulah lebih besar dan bermakna.

Yang menyedihkan ialah apabila melihatkan golongan pemimpin yang memberikan ulasan negatif terhadap Tun Mahthir itu bolehlah digolongan sebagai ‘golongan berhingus’ yang tidak tahu dan tidak peka dengan sumbangan yang telah diberikan oleh Tun Mahathir. Mungkinlah disebabkan ‘dedak’ yang begitu banyak yang telah diterima oleh mereka menyebabkan golongan sedemikian tidak dapat berfikir dengan kritis dan lantas mengemukakan hujah-hujah yang langsung tidak menggambarkan sebagai seorang yang rasional. Kadang-kadang sikap mereka adalah seperti ‘anak lembu’ yang baru tumbuh tanduk yang ingin menanduk apa sahaja yang berada dihadapan mereka.

Anak muda yang baru ‘tumbuh tanduk’ harus menyedari hakikat bahawa Tun Mahathir lebih dulu ‘makan garam’ berbanding dengan mereka. Mungkin ketika mereka masih ‘berhingus’ Tun Mahathir sudah pun menjadi Perdana Menteri ataupun sekurang-kurangnya sudah ‘berpencak’ bukan sahaja di pentas Malaysia tetapi juga di pentas dunia.

Sikap yang ditunjukkan oleh DS Nazeri dalam komenya dalam isu debat yang akan diadakan harus dipuji. Beliau masih menghormati Tun Mahathir sebagai seorang yang lebih tua dari beliau dan beliau tidak melupakan bahawa Tun Mahathir pada suatu ketika dahulu adalah ‘boss’nya. Dan debat yang akan diadakan nanti adalah semata-mata untuk mencari penjelasan dan bukan bertujuan untuk menghasut sesiapa.

Buat pertama kalinya rakyat Malaysia mendengar ‘suara’ dari kalangan pemimpin kerajaan yang mempersoalkan tentang tindakan pihak berkuasa membatalkan debat yang sepatutnya diadakan di Padang Rengas itu. Sudah banyak kali kita mendengar kisah bagaimana pihak berkuasa membatalkan sesuatu perhimpunan dengan menggunakan alasan ‘takut kalau akan ada perbalahan dan kekacauan’.

Mengulas tindakan yang sedemikian, DS Nazeri beberapa kali dalam temuramahnya mengatakan yang beliau ‘disturbed’ dengan tindakan pihak polis berkenaan. Dan beliau juga menegaskan bahawa negara Malaysia bukanlah merupakan ‘police state’ dan seharusnya pihak berkuasa mematuhi lunas-lunas dan prinsip demokrasi yang memberikan kebebasan bersuara kepada rakyat Malaysia.

Apa salahnya Tun Mahathir dan apa salahnya DS Nazeri sehinggakan mereka dilarang untuk menyatakan pandangan dan fikiran mereka secara intelek di Padang Rengas itu. Dan apa salahnya rakyat Malaysia sehingga tidak diberikan kesempatan langsung untuk mendengar pandangan dan fikiran dari kedua-dua pemimpin ini.

Dan sebagai anak jati Padang Rengas aku juga merasa ‘terhina’ apabila pihak polis mengemukakan beberapa alsan yang menyebabkan perdebatan berkenaan tidak dapat dilaksanakan. Antara sebabnya ialah takut kalau-kalau timbul kekacauan ekoran daripada perdebatan demikian. Yang menyebabkan aku merasa ‘terhina’ adalah disebabkan oleh anggapan yang mungkin mereka merasakan bahawa orang Padang Rengas terlalu cetek fikiran dan tidak dapat berfikir dengan rasional ( apabila mendengar kedua-dua hujah yang diberikan oleh Tun Mahathir dan DS Nazer) lantas menimbulkan kekacauan dan huru-hara di sini.

Aku tak fikir orang Padang Rengas bersikap begitu. Aku tak fikr orang Padang Rengas begitu mudah menimbulkan kekacauan hanya berpunca daripada ucapan Tun Mahathir dan DS Nazeri.Dan telah pun dijelaskan oleh DS Nazeri bahawa debat itu akan berjalan dalam suasana yang aman tenteram. Malangnya bagi penduduk Padang Rengas kerana tidak dapat ‘menikmati’ wacana yang ditunggu-tunggu oleh mereka.

Ramai golongan orang tua seperti aku menunggu-nunggu debat sedemikian kerana golongan ini adalah anak-anak pejuang kemerdekaan yang pernah mendengar ucapan-ucapan pejuang-pejuang seperti Ahmad Boestamam, Aishah Ghani, Shamsiah Fakeh, Dr Burhanuddin Hilmi pada suatu ketika dulu ketika kongres Angkatan Pemuda Insaf dan Angkatan Wanita Sedar yang pernah diadakan di Padang Rengas pada suatu ketika dulu.

Orang Padang Rengas masih waras dan rasional.

abuhassanadam
22 Mac 2017






2 comments:

  1. Hi En.abuhassan I find this article interesting and if you dun mine me if I share it with my friends tyvm.

    ReplyDelete
  2. Saudara Hoe Lee,

    No problem. Go ahead.

    ReplyDelete