MANIS ‘PEMBUKA MULUT’
Terlalu ramai kawan-kawan , anak-anak *rakyat Malaysia' yang dikasihi yang meminta aku mengabadikan apa yang telah aku tuliskan dalam blog (http://abuhasanadam.blogspot.com), demi untuk diketahui oleh ramai terutama golongan muda yang tidak dapat merasakan suasana masyarakat pada ketika yang aku gambarkan itu ia itu tahun-tahun 1950an dan 1960an. Disamping itu aku merasakan juga bahawa bahan-bahan tulisan yang terdapat dalam paparanku itu boleh juga dimanfaatkan oleh para mahasiswa yang ingin membuat kajian tentang masyarakat Melayu pada zaman yang aku sebutkan tadi. Apa yang aku ceritakan adalah merupakan cerita benar belaka dan watak-watak, tempat yang terpapar dalam penceritaan adalah fakta sebenarnya. Fakta yang boleh dijadikan bahan dalam pembentukan perspektif sejarah pada ketika itu kerana ia bukan rekaan.
Misalnya, mungkin ramai pembaca kini yang tidak mengetahui dengan mendalam tentang kuih orang Perak yang diberi nama ‘TUAN PUTERI BAJU HANGUS’. Mungkin sudah ramai yang pernah terjumpa kuih berkenaan tetapi tidak mengetahui dengan mendalam asal usulnya. Kemudian diceritakan juga tentang cara-cara ibu bapa zaman dahulu mengawal anak-anak mereka supaya segera pulang dari sekolah dengan mencipta watak yang dinamakan “NGAH LAOH TUKANG KERAT KEPALA’ yang kononnya mengerat kepala kanak-kanak untuk dijadikan pasak pembinaan sesebuah jambatan.
Kanak-kanak zaman ini tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan ‘Canggung’. Apakah fungsi dan peranan ‘Canggung’ dan bagaimana permainan ‘Canggung’ merupakan permainan yang sangat disukai oleh anak-anak pada tahun-tahun 1950an.
Mungkin juga ramai yang tidak dapat memahami bahawa belalang adalah sejenis makanan yang sedap dimakan tertutama apabila dibuat rendang. Samalah seperti rendang ayam atau rendang daging. Tetapi yang mungkin dipersoalkan oleh masyarakat kurun ke 21 ialah dari manakah sumber untuk mendapatkan bekalan belalang yang begitu banyak untuk dibuat rendang belalang. Apakah makanan rendang belalang masih terdapat di kawasan Padang Rengas / Kuala Kangsar sehingga kini. Cerita selanjutnya dapat diketahui melalui kisah ‘MENYULUH BELALANG’
Kisah persekolahan pada zaman penjajahan banyak dilukiskan melalui kisah, ‘CIKGU SAMAD’. Menceritakan tentang dedikasi dan pengorbanan seorang guru terhadap anak muridnya. Diceritakan dalam bentuk santai yang disulam dengan ayat-ayat yang menggelikan hati tetapi mengandungi pengajaran dan falsafah yang agak mendalam. Kisah pengorbanan seorang guru terhadap muridnya. ‘GURU MENANGIS!...’ adalah mengenai kekecewaan seorang guru tentang rasa bersalahnya dia yang menyebabkan ramai ‘anak murid’nya kini yang menjalani kehidupan yang amat bertentangan dengan apa yang diajarkannya kepada mereka pada suatu ketika dahulu.
Diceritakan juga tentang keadaan murid-murid yang memasuki Darjah 1 pada tahun 1951 dalam ‘DARJAH 1 – 1951”. Dijelaskan tentang bagaimana keadaan suasana pada hari pertama persekolahan zaman penjajahan. Diceritakan juga tentang para pelajar yang memasuki Darjah satu yang mana umur seseorang pelajar itu tidak dipertimbangkan asalkan seseorang pelajar itu mahu belajar. Para pembaca boleh bermenung dan bandingkan dengan keadaan pelajar Darjah satu kini dengan keadaan permulaan persekolahan pada awal tahun 1950an.
Kisah,’ ANTARA AYAM MALAYSIA DENGAN AYAM ENGLAND’ merupakan coretan yang amat menarik untuk dibaca oleh sesiapa pun khususnya anak-anak muda kini. Ini semacam kisah lucu, kisah anak kampung yang jakun totok yang belajar di sekolah Inggeris yang tidak tahu langsung tentang budaya orang Inggeris sebagaimana yang dibacanya melalui pembacaan buku Inggeris. Secara kebetulan pula guru Bahasa Inggeris ketika itu mahukan anak muridnya yang ‘berlidah Melayu’ menyebut perkataan Inggeris sebagaimana yang lumrah disebut oleh orang Inggeris. Untuk menyebut perkataan ‘G A R D E N’ mengambil masa satu waktu pembelajaran. Amat menarik untuk diselami falsafahnya. Lihat lah atikel berjodol,’ MR ANG CHUI PEK – “G-A-R-D-E-N”
Kisah guru yang penuh dedikasi dalam menyampaikan pelajaran kepada murid-murid boleh dilihat dalam’ ROBIN HOOD’. Mengkisahkan tentang seorang guru Mr. Muthusamy yang mengajar di Government English School Padang Assam, yang memperlihatkan kesungguhan yang bukan kepalang menyampaikan cerita Robin Hood kepada anak murid. Bukan itu sahaja malah beliau turut meminjamkan buku-buku Robin Hood yang berada dalam simpanannya supaya dapat dibaca oleh murid-muridnya yang rata-rata anak Melayu yang miskin yang tidak mampu untuk membeli buku-buku berkenaan.
‘JIKALAU AYAM TIDAK BERKOKOK’ pula tentunya mengkisahkan keadaan orang kampung, khususnya di kampung aku yang tidak mempunyai jam untuk menentukan waktu tetapi sebaliknya hanya mengharapkan kepada kokok ayam atau pergerakan matahari pada siang hari. Ketiadaan jam pada ketika itu mungkin juga disebabkan oleh kekurangan wang untuk membeli jam ataupun berkemungkinan mereka tidak memerlukan jam ataupun kebanyakannya pada ketika itu tidak pandai melihat waktu. Buta huruf.
‘RAYA CINA’ antara paling ‘ditakuti’ oleh orang kampungku berbanding dengan keadaan kini. Mungkin ramai yang tidak dapat mengagak mengapa wujud ketakutan sedemikian. Sebabnya ialah pada hari ‘Raya Cina’ seluruh kedai di Padang Rengas akan tutup kecuali sebuah kedai Barakath Store. Oleh itu orang-orang kampung persekitaran tidak dapat membeli barang keperluan harian mereka yang biasanya mereka perolehi dari kedai Sin Soon Bee atau kedai Ah Soo. Atas sebab itulah orang kampung persekitaran amat bimbang dengan kedatangan Hari Raya Cina.
Kisah, ‘SOTONG BAKAR DAN BULAN PUASA’ juga hanya tinggal dalam lipatan kenangan. Anak-anak kini tidak akan dapat lagi berpesta makan sotong seperti yang dilalui oleh anak-anak tahun 1950an disebabkan harga sotong kering yang begitu tinggi kini berbanding dengan hanya 10 sen harga seekor sotong pada ketika itu. Sotong biasanya menjadi upahan sebagai balasan tugas membasuh pinggan pada bulan Ramadhan kepada anak-anak selepas jamuan berbuka puasa. Disitulah bermula ‘pesta’ makan sotong yang berlarutan sehinggalah menjelangnya malam raya.
Kolam mandi anak-anak kampung pada tahun-tahun 1950an adalah di ‘SUNGAI SAUK’. Mungkin anak-anak pada awal tahun 1950 biasa dengan ‘kolam renang’ yang mana air sungai diempang untuk disalurkan ke sawah-sawah padi. Air yang diempang itu menjadi sebuah kolam tempat anak-anak kampung mandi manda dan belajar berenang. Dari situlah mereka mahir berenang. Anak-anak kampung ini biasanya tidak pernah langsung menikmati suasana di kolam renang sehinggalah mereka dewasa dan dapat menikmati kolam renang di hotel-hotel tempat mereka menginap. Itu pun setelah ada yang berjaya dalam kehidupan dan dapat menikmati kemewahan sebagaimana yang dinikmati oleh orang lain.
Ada peribahasa Melayu yang mengatakan,’ jikalau tidak ada-ada, takkan tempua bersarang rendah’. Memang betul jika diperhatikan sememangnya burung Tempua tidak bersarang rendah. Kebiasaannya Tempua akan memilih pohon buluh dan pastinya ia membuat sarangnya di pucuk buluh. Kisah burung Tempua ini dipaparkan semula untuk mengenang keadaan burung Tempua yang bergayutan di pohon buluh yang kini sudah tidak ada lagi. Coretan ini dapat di lihat melalui paparan berjodol,’ MANA PERGINYA TEMPUA KU SAYANG’
'WAYANG ESTET DAN COKLAT CADBURY’ pula memaparkan kisah anak kampung yang tidak pernah merasai atau menikmati coklat yang berjenama. Bagi mereka coklat itu adalah gula-gula yang dijual di kedai-kedai kampung. Namun begitu anak-anak kampung ini dapat juga menikmati coklat sedemikian dengan cara yang tidak terfikir oleh fikiran yang biasa. Terpulanglah kepada para pembaca untuk terus menerus membaca dan mencari jawapan bagaimana anak-anak kampung dapat juga menikmati coklat-coklat berjenama sepert Cadbury.
Anak kampung pada zaman penjajahan juga tidak berpeluang untuk menonton wayang di panggung wayang disebabkan kesempitan hidup dan tempat tinggal mereka (di kampung-kampung ) yang terletak jauh dari bandar. Namun mereka dapat menonton wayang percuma dengan adanya wayang yang disediakan oleh pengusaha-pengusaha estet getah pada ketika itu.
‘GURU MENANGIS!...” merupakan curahan hati seorang guru yang amat sedih mengenangkan keadaan ‘anak murid’ mereka yang telah menjadi pemimpin, pegawai kerajaan dan memegang berbagai jawatan penting dalam kerajaan tetapi telah melakukan berbagai penyelewengan dan rasuah. Guru menangis melihatkan seolah-olah para pemimpin ini mengabaikan ajaran guru dan tidak langsung menghormati ajaran-ajaran guru yang pada suatu ketika dahulu sentiasa berpesan supaya menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat dan negara. Guru menangis disebakan seolah-olah ajaran-ajaran mereka sudah tidak dipedulikan.
Ramai sudah tidak mengetahui apa yang dikatakan ‘PANJUT’ walaupun bagi mereka yang berasal dari daerah Kuala Kangsar. Cuba dijelaskan tentang apa yang dimaksudkan dengan panjut dan keseronokan yang boleh ditimbulkan ekoran mengadakan pesta panjut pada malam tujuh likor atau Malam 27 Ramadhan. Panjut lebih mirip kepada pelita yang dinyalakan dengan menggunakan minyak tanah dan tidak begitu sesuai gelaran panjut itu jika menggunakan lampu letrik. Namun begitu masyarakat kini masih menggelarkan panjut juga walaupun menggunakan lampu letrik.
Cara berfikir anggota masyarakat tahun-tahun 1950an atau lebih awal daripada itu sememangnya luar biasa. Isu-isu yang berkaitan dengan hal ini dapat dilihat dalam paparan berjodol,’ ZAMAN ALANG ISKANDAR’. Pada ketika itu anggota masyarakat yakin bahawa pemerintah sesuatu zaman itu boleh menentukan keadaan yang wujud dalam negara. Misalnya ada pemerintah yang dianggap tidak mendatangkan keamanan kepada negara dan ada juga pemerintah yang betul-betul kelihatan mendatangkan kemakmuran kepada negeri. Misalnya dalam zaman pemerintahan Sultan Alang Iskandar Shah di negeri Perak, diperhatikan bahawa terdapat kemewahan yang luar biasa. Padi menjadi, pokok buah-buahan juga menjadi-jadi dan rakyat menikmati kebahagiaan.
‘MENGGOLEK’ adalah merupakan proses terakhir sebelum semaian padi di tanam. Proses awal dalam perusahaan menanam padi adalah menggunakan tenggala untuk menenggala sawah yang diikuti kemudiannya (selepas beberapa hari) dengan menyikat tanah dengan menggunakan sikat. Tujuannya ialah untuk menghancurkan tanah yang masih berbongkah-bongkah. ‘Menggolek’ adalah proses akhir dimana tujuannya ialah untuk meratakan tanah supaya semaian padi dapat ditanam dengan sempurna. Proses ‘Menggolek’ sangat ditunggu-tunggu oleh kanak-kanak adalah disebabkan kegiatan menangkap ikan akibat digilis oleh golek. Suasana yang sedemikian sudah tidak wujud lagi dimana-mana kampung pun di Malaysia setelah datangnya jentera tractor.
Tentulah tidak perlu aku huraikan satu persatu daripada paparan dalam naskah ini. Terpulanglah kepada para pembaca untuk terus membaca dan meneroka disamping terus memikirkan dan menganalisis keadaan yang wujud pada ketika itu.
Selamat membaca!
abuhassanadam
13 Disember 2024