Monday, January 4, 2021

"NO ANWAR NO DAP"

‘No Anwar no DAP:  ‘DASAR’ YANG AGAK PELIK

Ada beberapa kekeliruan dalam politik di negara kini yang menyebabkan rakyat betul-betul keliru untuk memilih para pemimpin atau parti politik yang mana yang sesuai untuk mentadbir negara ini.

Dasar “No Anwar no DAP’ yang cuba dipopularkan oleh kumpulan teretentu dengan harapan untuk menawan hati rakyat memenangi PRU akan datang.Apakah ia merupakan satu ‘dasar’ atau slogan tidak siapa yang boleh menentukan.

‘Berkecamuk’nya dasar-dasar parti yang bergabung dalam satu gabungan. Misalnya gabungan antara PAS dan UMNO yang mempunyai hala tuju yang sungguh berlainan, jika dilihat perjuangan yang mereka lakukan. Sorot sahaja kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin PAS ketika tidak berada bersama UMNO. Jelas menunjukkan bahawa tidak akan ada persefahaman dari segi dasar dan hala tuju. Tetapi kini mereka dalam satu wadah perjuangan. Ramai yang meragui kejayaannya.

  • Penjelasan oleh YBM Tengku Razaleigh mengenai ’persahabatan’ UMNO-PAS amat jelas sebagaimana yang dirungkaikannya dalam satu temuramah di sebuah rancangan TV. Beliau mengatakan bahawa tidak mudah ahli-ahli UMNO peringkat grassroots menerima PAS yang sudah sekian lama ’mencerca’ dan menempelak para pejuang UMNO dengan berbagai celaan walaupun kelihatan adanya kerjasama di peringkat atasan dalam parti masing-masing. Dan keadaan begini juga hanya menunggu ’retak menjadi belah’. Hanya masa yang menetukan.

  • Keadaan dalam BERSATU lagi agak ’sesat’ dan ’menyesatkan’. Ke manakah arah tujunya. Yang jelasnya ialah parti ini ditubuhkan demi untuk mennewaskan Barisan Nasional dan khususnya ’menenggelamkan’ kepimpinan DS Najib dan rakan-rakannya yang  begitu ghairah memperalatkan IMDB.

    Memang agak pelik tentang ‘dasar’ ‘No Anwar no DAP’ yang dikemukakan setengah pihak dalam usaha mereka untuk memenangi PRU 15 dengan jayanya. Golongan ini lupa bahawa dengan melakukan sedemikian mereka telah mendedahkan diri mereka ke arah satu keadaan yang tidak cerdik mengenai langkah dan strategi untuk memenangi PRU15 yang akan datang.

    Keadaan politik di negara ini menjadi bertambah pelik lagi dan memalukan ialah apabila Tun Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan yang kadang-kadang tidak sepatutnya dihamburkan oleh seorang negarawan yang kononnya disegani tetapi jelas menampakkan kecetekan apabila menyatakan sesuatu yang tidak kena. Misalnya beliau tidak ‘habis-habis’ mengeluarkan kenyataan yang agak kurang sesuai mengenai DS Anwar Ibrahim seolah-olah beliau seorang sajalah pemimpin yang  dalam keadaan semuanya betul belaka.

    Dikatakannya bahawa seolah-olah beliaulah yang boleh menarik undi orang Melayu yang menyebabkan kemenangan sesuatu pilihan raya. Seolah-olah kenyataan yang dikeluarkannya tidak berfikir panjang dan tidak berpijak di bumi nyata. Seolah-olah beliau sajalah yang boleh mendapatkan undi orang Melayu. Hakikat ini dinafikan oleh Saudara Anwar dengan mengemukakan contoh pilihanraya pada tahun 2013 ketika beliau menerajui dan mengemudi PRU pada tahun berkenaan.

    Sebagai contoh, "Even we (PKR) in 2013, when Mahathir and our friends in Pejuang were on the other side with BN, we won 52 percent of the people's support," kata Saudara Anwar. Banyak lagi contoh-contoh dan ‘dalil’ yang dikemukakan menunjukkan bahawa tidak kukuhnya dasar yang diperjuangkan oleh ahli-ahli parti politik di Malaysia kini. Dan jika ada perkara-perkara yang diperjuangkan menampakkan ketidak-cukupan bukti untuk meyakinkan.

    Tidak dilupakan juga tentang tuduhan yang sentiasa dilemparkan oleh Tun Mahathir yang sentiasa mengatakan bahawa terdapat individu yang begitu ghairah untuk menjadi Perdana Menteri. Walaupun tidak dinyatakan terus terang, namun jelas ia ditujukan kepada DS Anwar Ibrahim. Dan tindakkan beliau merasa agak malu membuat tuduhan sedemikian, sedangkan jelasnya tuduhan sedemikian ditujukan kepada dirinya yang jelas menampakkan keghairahan untuk memimpin negara ini buat kali ketiga sedangkan DS Anwar Ibrahim belum pun mencuba untuk melakukannya.

    Mungkin Tun Mahathir lupa atau masih ada  rakyat Malaysia yang tidak faham bahawa rakyat Malaysia masih menunggu kehadiran DS Anwar Ibrahim untuk memimpin negara ini. Yang menjadi penghalang ke arah merealisasikan hasrat tersebut ialah adanya batu penghalang yang bukan kecil halangan yang masih tidak mahu melihat DS Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia. Golongan ini amat takut akan ’penangan’nya sekiranya impian itu menjadi kenyataan  yang akan terbongkar banyak rahsia mereka yang tersimpan dan seterusnya akan mendatangkan bencana kepada anak cucu mereka. Itulah hakikat sebenarnya mengapa sebarang usaha ke arah menjadikan DS Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri terpaksa ditentang dan dihalang.

    Hanya masa dan keadaan yang akan menentukan. Tidak akan lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah ia.

Abuhassanadam

5 Januari 2021

 

Friday, December 25, 2020

 ‘PENGHANTAR MAKANAN’ – MENGAPA ‘DIMONOPOLI’ PEMUDA MELAYU?

Penekanan rencana ini tidak rasis cuma didorong oleh perasaan ingin tahu yang membuak-buak tentang mengapa peranan dan tugas menghantar makanan ke rumah-rumah seolah-olah ’dimonopoli’ oleh pemuda Melayu. Apakah sudah ’termaktub’ bahawa tugas dan kerja sebegini hanya ’dikhususkan’ kepada orang Melayu seperti juga tugas sebagai pengawal keselamatan.

Aku tidak pula mengatakan bahawa tugas sebagai penghantar makanan sebagi kerja yang ’lekeh’ dan tidak berprestij, malah aku amat menghargai dan mneghormati anak-anak muda yang sanggup melakukan kerja-kerja sedemikian terutamanya dalam keadaan dan suasana negara yang mengalami keadaan agak meleset (dari segi ekonomi) ini. Ramai anak muda yang sanggup melakukannya demi untuk menyambung kehidupan yang serba kekurangan ini. Dan pastinya ramai juga yang berkelulusan universiti yang sanggup melakukan kerja sedemikian.

Mereka lebih jujur melakukan kerja yang mendatangkan wang yang halal berbanding dengan indidvidu-individu dan para pemimpin yang sanggup melakukan kegiatan haram dengan kegiatan rasuah untuk menyara keluarga yang tidak berdosa. Bagi aku apa yang dilakukan oleh penghantar makanan ini lebih mulia tugas dan peranan mereka berbanding dengan apa yang dilakukan oleh kebanyakan pemimpin kini yang terpalit dengan berbagai kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Tentulah  terfikir juga tentang mengapa anak-anak muda yang berkelulusan tinggi itu sanggup melakukan tugas sedemikian? Dan kita semacam dikejutkan juga tentang kisah anak Melayu yang sanggup bekerja sebagai buruh kasar di Singapura dan berjaya mendapat pendapatan yang lumayan. Dan tentulah kita merasakan satu kerugian kepada negara anak muda yang berpendidikan tinggi dalam sesuatu bidang melakukan sesuatu yang tidak memerlukan kepakaran yang sepatutnya.

Dari lagak dan gaya yang ditinjolkan oleh anak muda yang bekerja sebagai penghantar makanan dengan menggunakan motorsikal menampakkan bahawa mereka amat bahagia melakukan kerja sedemikian. Tetapi mungkin mereka lupa atau tidak memikirkan bahwa sampai bila mereka akan melakukan tugas sedemikian. Apakah tugas sedemikian akan boleh ’membawa’ mereka sampai bila-bila, samapi kepada suatu keadaan yang membolehkan mereka menanggung anak isteri dan menyediakan persekolahan untuk anak-anak mereka pada masa akan datang. Apakah mereka tidak memikirkan hal yang sedemikian.

Yang anih juga ialah sikap dan tindakan pihak kerajaan yang tidak pun mengambil peduli tentang nasib golongan anak muda sebagi penghantar makanan ini. (Mungkin ada!). Apakah para menteri bertanggungjawab ataupun para wakil rakyat yang kononnya bertanggung jawab menjaga kesejahteraan rakayat memikirkan tentang masa depan anak muda yang sedemikian. Apakah mereka akan terus menerus dibiarkan menjadi penghantar makanan dengan tidak menampakan  sebarang daya usaha untuk memajukan kehidupan mereka.

Pasti ada jalan dan caranya untuk memajukan kehidupan mereka untuk keluar dari kehidupan sebagai penghantar makanan itu. Dan sesuatu yang patut disedari oleh kumpulan pemuda Melayu kita ialah tentang mengapa hampir keseluruhan penghantar makanan yang kelihatan di bandar-bandar terdiri dari orang Melayu, sehinggakan masih tidak kelihatan lagi kaum lain seperti kaum Cina.

Tugas penghantar makanan bukan suatu kerja yang tidak sepatutnya dilakukan. Bukan begitu. Ia sudah merupakan suatu industri yang sepatutnya diterokai bersesuaian dengan peredaran zaman Kurun ke 21. Pihak kerajaan, khususnya kementerian berkaitan sepatutnya mencari jalan tentang bagaimana perusahaan ini dapat dijalankan yang boleh mendatangkan pulangan besar kepada pelaksana penghantar makanan itu.

Mungkin sudah ada satu sistem penyelenggaraan yang dilakukan oleh penghantar makanan ini yang boleh memberikan faedah besar dan keuntungan kepada penghantar makanan itu sendiri dan tidak hanya menguntungkan pihak yang boleh mengeksloitasi kegiatan sedemikian. Mungkin. Dan sekiranya sudah wujud sistem sedemikian, tentu juga ada caranya untuk memajukan apa yang telah wujud. Peranan kerajaan pula lah untuk memantapkan sistem yang telah tercipta. Itupun sekiranya para menteri yang bertanggungjawab ingin dan berhasrat dan ingin meneroka idea-idea baru untuk melakukan perubahan.

Abuhassanadam

25 Disember 2020


Monday, December 21, 2020

 SIAPA NAK GANTI ANWAR

Kini riuh rendah diperkatakan tentang DSAI perlu diganti dengan tokoh yang lebih muda dan berwibawa disebabkan ‘dosa’nya yang tidak dapat ‘menumbangkan’ kerajaan PN pimpinan TS Muhyiddin Yassin. Kononnya DSAI yang mesti dipersalahkan kerana tidak dapat merealisasikan impian sedemikian. 

Tidak pula mereka menuding jari tentang siapakah yang lebih bersalah dan ‘berdosa’  yang menyebabkan keadaan dalam negara ini menjadi begitu huru-hara. Tidak ada siapa yang menyentuh tentang kemunculan kemelut politik dalam negara kini adalah berpunca daripada Tun Mahathir yang cuba berdolak dalik yang tidak mahu menyerahkan tampuk pemerintahan negara ini kepada DSAI walaupun telah dipersetujui sebelum itu. Kini apabila timbul keadaan sebegini maka jari hanya menuding kearah DSAI dengan tidak langsung menyalahkan Tun Mahathir yang menimbulkan ‘angkara’ sedemikian.

Kempimpinan DAP dan Amanah juga terpengaruh dengan ‘cakap-cakap’ dan dakyah yang dilemparkan oleh ‘musush-musuh’ politik Pakatan Harapan yang kelihatan begitu bersungguh-sungguh meletakkan kesalahan kepada DSAI, yang sepenuh bertanggung jawab terhadap kemelut itu. Mungkin ada salah dan silapnya DSAI dalam hal sedemikian namun untuk meletakkan kesalahan itu sepenuhnya kepada kepimpinan beliau tentulah tidak adil juga. Di sinilah letaknya kebijaksanaan pendokong atau kepimpinan parti dalam Pakatan Harapan.

Mungkin perlu difikirkan tentang peralihan kepimpinan dalam Pakatan Harapan. Mungkin sudah sampai masanya ‘orang lama’ perlu menyerahkan ‘baton’ kepada golongan yang lebih muda untuk memimpin. Betul. Patah tumbuh hilang berganti. Itulah yang sedang digembar-gemburkan oleh musuh politik Pakatan Harapan, ia itu hendak mengenepikan kepimpinan Anwar Ibrahim.

Kepimpinan parti dalam Pakatan Harapan perlu juga memikirkan semasak-masaknya siapakah yang akan menggantikan DSAI. Tentulah ada juga yang merasakan bahawa sudah sampai masanya peralihan kuasa demikian. Sudah disebutkan juga tokoh-tokoh yang boleh dan mampu mengambil alih kepimpinan orang lama. Nama-nama seperti Rafizi Ramli dan Nurul Izzah sudah dijaja buat sekian lama seolah-olah rakyat terbanyak di Malaysia begitu yakin dengan kepimpinan tokoh muda itu. Persoalannya ialah apakah tokoh-tokoh muda sedemikian bersedia untuk memikul tugas seberat sebagaimana yang dipikul oleh tokoh-tokoh veteran yang ada sekarang.

Kadang-kadang kelihatan bahawa kita terlalu gopoh untuk membuat sesuatu keputusan. Pendokong Pakatan Harapan harus memikirkan secara mendalam sebelum merasakan sesuatu perubahan perlu dilakukan. Mereka harus sedar bahawa dakyah politik sedang berkeliaran mempengaruhi pemikiran pendokong Pakatan Harapan agar mengenepikan kepimpinan DSAI kerana golongan itu memikirkan bahawa DSAI sahaja yang merupakan batu penghalang yang menghalang ‘kelicinan’ pentadbiran mereka untuk ‘mengekspoitasi’ kepentingan ekonomi demi kepentingan golongan yang rakus.

Kelihatan tidak hentinya ‘usaha’ untuk menyekat kemaraan DSAI dalam usahanya untuk membawa kemajuan dan menyekat penyelewengan dalam negara. Digembar-gemburkan seolah-olah matlamat perjuangan Anwar Ibrahim adalah untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Betul ada usaha kea rah itu, namun perjuangan Anwar Ibrahim semenjak zaman berzaman adalah untuk memajukan rakyat dan menghapuskan rasuah dan penyelewengan disamping usaha-usaha lain yang boleh mengenengahkan negara Malaysia ini setanding dengan negara-negara lain.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin vetran YB Lim Kit Siang itu tepat,ia itu kepimpinan dalam DAP khususnya dan Aamanah (agaknya) tidak berhasrat untuk menggantikan kepimpinan DSAI. Cuma yang diperlukan ialah anjakan dan cara Pakatan Harapan diselenggarakan. Mungkin ada ‘acuan’ yang sesuai yang boleh dipraktikkan menjelang PRU ke 15.

abuhassanadam

21 Disember 2020 


Sunday, May 24, 2020

BKGWPR – ‘Lifeblood’ Dato Khairuddin Arshad (Arwah)

BKGWPR – ‘Lifeblood’ Dato Khairuddin Arshad (Arwah)

Pada hari rahaya begini entah macam mana aku terpanggil untuk menukilkan sesuatu mengenai tajuk di atas disebabkan hampir setiap tahun pada tahun-tahun 1970an, 1980an dan 1990an kami mengadakan ‘perjumpaan Hari Raya keluarga dan anak-anak Padang Rengas di Sekolah Menengah Tun Perak. Biasanya pada hari raya kedua di mana anak-anak Padang Rengas akan pulang berhari raya dari perantauan. Kebiasaannya juga mereka adalah ahli BKGWPR.

Ramai yang tidak tahu apa sebenarnya  acronym  di atas. Hanya orang Padang Rengas dan beberapa golongan tertentu sahaja yang tahu. BAKGWPR adalah Badan Kebajikan Guru-Guru Wlayah Padang Rengas. Ia bukan badan yang ditubuhkan untuk menjaga kebajikan guru-guru Padang Rengas. Bukan itu hasrat penubuhannya dulu pada tahun 1967.

Aku masih ingat lagi ketika hari penubuhannya di Sekolah Menengah Tun Perak Padang Rengas dimana disarankan matlamat dan arah tuju persatuan ini. Ringkasnya memang dinyatakan dalam mesyuarat berkenaan ia bertujuan menjadi sebagai ‘The Lions Club’ yang bermatlamat untuk membantu penduduk Padang Rengas dalam bidang pendidikan. Ini termsuklah memberikan bantuan sekadarnya bagi membantu anak-anak Padang Rengas yang berjaya dalam pelajaran untuk meneruskan pelajaran di peringkat tinggi seterusnya.

Dan tentunya BKGWPR adalah ‘synonym’ dengan nama arwah. Sehingga saat pemergiannya arwah masih memikirkan tentang pertubuhan kesayangannya. Kononnya baru sahaja mendapat bantuan dari seseorang yang bernilai RM20,000. Ketika beliau sedang sakit dan terlantar, masih lagi memikirkan tentang nasib BKGWPR.

Aku pernah menceritakan dengan ringkas sejarah penubuhan BKGWPR  tetapi kali ini biarlah aku tulis dengan agak terperinci asas dan idea penubuhan BKGWPR ini agar anak-anak Padang Rengas dapat meneruskan ‘perjuangan’ BKGWPR ini. Jangan dibiarkan BKGWPR hilang begitu sahaja di dunia ini.

Sebagaimana yang pernah aku jelaskan dalam blog-blog aku yang terdahulu, rumah keluarga arwah merupakan tempat kami berkumpul dan berbincang pada 1960an. Antara pengunjung tetap pada waktu itu ialah Rashidi Sulaiman ( kami panggil Mr. Di kerana beliau mengajar Bahasa Inggeris di sekolahnya), Rasma (arwah), Adam ( arwah), Lias (arwah). Dalam pertemuan dan perbincangan tidak secara langsung itulah lahirnya hasrat untuk membantu orang kampung disekitar Padang Rengas yang rata-rata amat rendah kesedaran terhadap pendidikan anak-anak. Pada ketika itu baru seorang saja anak Padang Rengas yang berjaya melanjutkan pelajaran ke University Malaya ia itu Cikgu Razani Ahmad. Atas semangat dan dorongan sedemikian jugalah aku dan arwah bersungguh untuk memecahkan ‘tembok’ ini disamping membantu anak-anak kampung lain di kampung persekitaran.

Atas asas sedemikianlah tertubuhnya BKGWPR

Antara kegiatan yang kami jalankan ialah mengadakan kursus bimbingan kepada pelajar-pelajar yang mengambil Peperiksaan SPM, PMR dan PPDL. Disamping itu BKGWPR menubuhkan Dermasiswa BKGWPR yang memberi bantuan kepada pelajar-pelajar cemerlang ( anak Padang Rengas) dalam peperiksaan hasil derma dari penderma-penderma ikhlas.

Cara Dermasiswa ini dilaksanakan agak unik yang menyebabkan ramai penderma ingin membuat sumbangan. Derma seseorang penderma akan terus berada dalam simpanan tetap BKGWPR sehingga bila-bila. Yang diberikan sebagai dermasiswa adalah faedah yang diperolehi dari pelaburan yang dibuat oleh BKGWPR hasil dari sumbangan penderma-penderma itu tadi.

Walaupun aku sebagai Setiausaha pertama BKGWPR dan arwah sebagai Yang Dipertuanya, namun aku telah mengundur diri  setelah berpindah ke Kuala Lumpur dan begitu sibuk dengan kerja-kerja kementerian. Namun arwah terus menerus berjuang dalam perjuangan BKGWPR sehinggalah penghujung hayatnya walaupun aku tidak membiarkan beliau keseorangan mengemudikan pertubuhan yang disayangi ini. Tugas sebagai Setiausaha telah aku lepaskan tetapi sebagai YDP tetap dipegang oleh arwah. Terlalu besar dan mulia sumbangan arwah terhadap pertubuhan yang didukungnya.

Melalui blog ini aku merayu pada anak-anak Padang Rengas sambutlah ‘baton’ yang hampir terjatuh ini agar jangan biarkan dia terjatuh. Sambutlah dan terus berlari sebagaimana yang kami harap ketika penubuhannya dahulu. Pernah beberapa kali kami menyuarakan kebimbangan dalam mesyuarat yang kami adakan ia itu tentang ’penerusan warisan’. Sememang dibimbangi tentang penerusan perjuangan ini.

Kini telah ramai anak Padang Rengas yang berkelulusan tinggi dan teruskanlah perjuangan yang mungkin akan terhenti ini.

Sambutlah ‘baton’ supaya jangan terjatuh.

abuhassanadam
24 Mei 2020
Hari Raya

Friday, May 22, 2020

LAMBAIAN DESA

LAMBAIAN DESA

Nampaknya semakin ramai yang merelakan diri dikenakan kompound disebabkan melanggar perintah PKP merentas negeri yang dikenakan oleh kerajaan, semata-mata untuk pulang beraya dikampung. Semacam tidak tertahan perasaan yang membuak-buak warga Kuala Lumpur apabila semakin hampir menjelangnya Raya. Semakin tidak tertahan hati dan perasaan untuk berjumpa ayah ibu dan sanak saudara di kampung untuk merayakan lebaran ini.

Perasaan yang melonjak tiba ini didorong pula oleh dendangan lagu Allahyarham P.Ramlee dan Sudirman Haji Arshad. Ada juga betulnya saranan YAB TS Muhyiddin Yassin yang ‘melarang’ warga Kuala Lupur supaya tidak terlalu mendengar lagu ‘Dendang Perantau’. Dan tidak kurang berkesanya lagu Sudirman yang berjodol ‘Balik Kampung’.

Seingat aku, Hari Raya tahun 2020 merupakan hari raya yang sungguh unik sekali. Tidak pernah dirasai kongkongan perasaan yang sebegini. Dan pihak kerajaan tidak harus dipersalahkan kerana berindak ‘menghalang’ dan ‘membendung’ pergerakan demi untuk menyekat ‘kemaraan’ Covit 19. Sekiranya kerajaan tidak bertindak sedemikian rupa maka besar kemungkinannya negara ini akan mengalami keadaan sebagaimana yang dialami oleh negara-negara yang dilanda dengan teruk sekali oleh Covid 19.

Maka atas kesedaran sedemikianlah terpaksa dibendung derita bukan sahaja oleh anak-anak cucu yang ingin pulang merayakan hari raya di kampung tetapi sedih dan pilu juga perasaan Opah dan Atuk yang menunggu kepulangan anak cucu dari perantauan. Apalah erti hari raya sekiranya tidak dirayakan bersama anak cucu yang tersayang. Apalah ertinya lemang yang dibakar sekiranya bukan untuk dihidangkan kepada anak cucu yang tercinta. Apalah ertinya malam raya sekiranya ketiadaan anak cucu untuk dirayakan bersama.

Sudah hampir satu tahun anak tidak pulang ke kampung disebabkan kesibukan bekerja di Kuala Lumpur. Sudah setahun jugalah Atuk dan Opah tidak melihat wajah cucu dan hanya melihat wajah mereka melalui Video telefon. Dan jangkaannya pada hari raya nantilah mereka akan berjumpa dan bermesra yang lantasnya bermanja. Pada hari raya nantilah Atuk dan Opah akan menyediakan segala bentuk jenis makanan yang disukai oleh anak cucu. Namun kesemuanya ini hampa belaka. Segala harapan dan impian atuk dan opah hancur berkecai.

Sebenarnya semacam tidak ada penyelesaian untuk mengatasi dan menghadapi keadaan ini. Kerajaan terpaksa mengekang perjalanan balik kampung ini untuk menyelamatkan penduduk negara dari jangkitan Covid 19 sementara warga kota pula semacam tidak tertahan perasaan yang melonjak untuk pulang ke kampung. Dalam keadaan sebeginilah, perasaan ‘kesabaran’ harus diutamakan. Hanya kesabaran yang boleh jadi ubat dan penawar untuk mengatasi keadaan sedemikian.

Semua pihak harus mengerti erti sebenar ‘Lambaian Desa’. Tidak mudah dirungkai apakah erti sebenar ‘Lambaian Desa’ dan hanya yang mengalami sahaja yang dapat mengerti erti sebenar ‘Lambaian Desa’. Dengan sebab itulah warga kota semacam ‘menggila’ untuk balik kampung pada hari raya. Dengan sebab itulah warga kota sanggup dan rela menempuh kesesakan lalu lintas walaupun mengambil masa 13 jam untuk pulang ke desa. Itulah yang dinamakan ‘LAMBAIAN DESA’.

abuhassanadam
22 Mei 2020

Thursday, May 21, 2020

DATO’ OBJ HAJI KHAIRUDDIN BIN HAJI ARSHAD (BALASUNGKAWA)

DATO’ OBJ HAJI KHAIRUDDIN BIN HAJI ARSHAD
(Untuk Isteri dan anak-anaknya dan sesiapa sahaja yang mengenali arwah)

Tarikh 19 Mei 2020 bersamaan dengan 26 Ramadhan 1441 merupakan tarikh ‘pemergian’ rakan baik aku Mat Ha ( nama glamournya bagi kami dan rakan-rakan karibnya). Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan di kalangan orang beriman.

Aku terasa benar kehilangan seorang kawan. Walaupun berjauhan dan jarang berjumpa namun dihati merasa sungguh hampir. Aku di Kuala Lumpur dan beliau masih tidak mahu meninggalkan Padang Rengas, tempat kelahiran kami. Pernah ketika berjumpa di majlis-majlis beliau sentiasa menyatakan bahawa beliau merupakan ‘tikus kampung’ sedangkan aku disifatkannya sebagai ‘tikus bandar’. Aku tak tahu mengapa kami diibaratkannya sebagai tikus, sedangkan aku juga merupakan anak kampung totok. Dari desa pingitan.

Kami tidak pernah bergaduh dan berselisih faham. Dan orang kawasan Padang Rengas tahu dan amat faham tentang persahabatan kami berdua. Aku menganggap Pak Tunggal Arshad sebagai ayah ku dan diapun menganggap Pak Adam (bapak aku) sebagai bapak dia. Indah sekali persahabatan yang terjalin. Bagi menunjukkan 'persamaan' antara aku dan dia pernah seorang penduduk di Padang Rengas bertanyakan kepada beliau pada suatu hari tentang isterinya yang bersalin (kononnya) sedangkan yang bersalin pada ketika itu adalah isteri aku. Seolah-olah mereka tidak dapat membezakan antara aku dan arwah.

Kini beliau sudah tiada. Hanya tinggal kenangan.

Sejarah kami bermula pada tahun 1951 apabila kami sama-sama masuk sekolah Darjah 1 di Malay Boys School Padang Rengas. Sekolah Melayu zaman British. Aku dan arwah diletakkan sebangku ( Pada ketika itu bangku boleh muat dua atau tiga orang). Cikgu kami adalah Cikgu Yunus Shamsuddin. Tentulah banyak peristiwa yang melucukan ketika kami berada dalam Darjah 1. Yang masih segar dalam ingatanku ialah Arwah pandai melukis gambar ‘Cowboy’ dengan topi yang menyerupai angka 8. Dia selalu mengajar aku melukis gambar ‘cowboy’ di papan batu.

Kini beliau sudah tiada. Hanya tinggal kenangan.

Apabila berada dalam Darjah 3, kami sekelas lagi. Sentiasa duduk bersama. Entah mengapa Cikgu Samad meletakkan kami duduk bersama. Yang aku tahu antara kami berdua bersaing juga dalam pelajaran, untuk tempat pertama dan kedua.Kadang-kadang dia menduduki tempat pertama dan kadang-kadang  aku. Aku rasa arwah pun masih menyimpan buku tulis yang dihadiahkan oleh Cikgu Samad menduduki tempat kedua.

Ketika dalam Darjah tigalah banyak sekali peristiwa lucu berlaku. Dan peristiwa inilah yang kerap kali diulang dan diulang yang kemudiannya diekoran dengan hilaian yang kuat. Suatu hari Cikgu Samad mengajar pelajaran Ilmu Alam (Geografi). Ditulis oleh Cikgu Samad satu ayat di papan hitam yang berbunyi,'Pulau ialah sekeping tanah yang dikelilingi oleh air'. Kebiasaannya ayat ini akan ditanya apabila waktu hendak pulang nanti. Apabila sampai waktunya Cikgu Samad pun bertanyalah. Dan kami berjaya melepasinya. Seorang kawan kami yang agak kurang bernasib baik tidak dapat menyebut ayat berkenaan. Sehingga pukul 3.00 petang masih berada di sekolah bersama dengan Cikgu Samad ( yang sudah menanggalkan baju disebabkan kepanasa atap zink sekolah!!). Peristiwa ini yang sangat melucukan kami. Dan menunjukkan kehebatan dan dedikasi seorang guru yang betul-betul mahu anak muridnya pandai.

Kini beliau sudah tiada. Hanya tinggal kenangan.

Arwah ‘meninggalkan’ aku kerana arwah lebih awal memasuki sekolah orang putih (Special Malay Class) ketika beliau tamat sahaja Darjah 3 sedangkan aku memasukki sekolah Orang Putih ketika darjah 4 sekolah Melayu. Ketika itulah saat perpisahan antara kami. Maksudnya tidak serapat dulu.

Kini beliau sudah tiada. Hanya tinggal kenangan

Perhubungan kami rapat semula apabila kami sama-sama menjadi guru di sekolah rendah. Beliau bernasib baik kerana bertugas di Sekolah Kebangsaan Paya Salak ( Kampung aku) sedangkan ku di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang Selama Perak. Walaupun aku tinggal di Selama Perak namun setiap hujung minggu aku akan balik ke Padang Rengas untuk berjumpa dengan kawan-kawan di Pasar Minggu Bawah Gunung Pondok. Ada ketikanya Kugiran arwah 'The Swampers' akan membuat persembahan dan aku terpaksa berada juga disitu. Bukan pemain muzik tetapi diberi tugas jadi juruacara majlis!!

Pada ketika inilah kami merancang untuk penubuhan sebuah persatuan untuk membantu anak-anak miskin dalam pelajaran di kawasan Padang Rengas. Tertubuhlah Badan Kebajikan Guru-Guru Wilayah Padang Rengas ( BKGWPR) pada tahun 1967. Beliau menjadi Yang Dipertua dan aku sebagai Setiausahanya. Sehingga saat pemergiannya masih segar dibawah pimpinan beliau dan mempunyai kedudukan kewangan yang amat kukuh. Aku tak tahu apakah nasib yang akan dialami oleh BKGWPR selepas ini.

Di rumah arwah itulah sebagi pusat tempat kami membincang berbagai perkara yang berfaedah untuk masyarakat Padang Rengas khususnya. Di rumah itulah kami merancang untuk menyampaikan sumbangan derma bagi pembinaan University Kebangsaan. Dan hasilnya kami berjaya mengutip wang sebanyak RM 314.24 sen untuk disumbangkan kepada pembinaan University Kebangsaan Malaysia. Kami berbangga dengan sumbangan sedemikian.

Sebagai anak muda yang hidup dalam zaman Pop Yeh Yeh (1960an) kami juga tidak mahu ketinggalan. Lantas arwah menubuhkan Kugiran ' The Swampers' mengambil nama kumpulan dari Kampong Paya Panjang. Arwahlah yang menjadi ketua Kugiran berkenaan disamping  Saudara Rasma Rashid ( arwah), Alias Shamsuddin (Arwah), Malik. Dan aku hanya sebagai 'penumpang' dan diberi tugas sebagai Juruacara Majlis disebabkan tiada bakat untuk bermain muzik. Sekurang-kurangnya arwah boleh juga memtik guitar bass.

Kini beliau sudah tiada.  Hanya tinggal kenangan.

Ketika menjalankan tugas menguruskan BKGWPR (ketika itu masih muda remaja – peminat Pop Yeh Yeh) timbul kesedaran untuk memajukan diri dalam pelajaran. Kesedaran beliau lebih awal. Dan beliau memasuki University Malaya lebih awal. Namun pada tahun 1970 aku juga dapat melanjutkan pelajaran di University Malaya yang mana ketika itu beliau berada tahun 3. Kami tinggal serumah ia itu menyewa rumah di No 81, Jalan Limau Manis, Bangsar Park.

Pada ketika itu kami sudah pun memiliki Scooter untuk menyenangkan kami berulang -alik ke Campus. No plet scooter arwah adalah AW 3144 sedangkan nombor plet scooter milik aku adalah AK195.

Kini beliau sudah tiada. Hanya tinggal kenangan.

Keluar dari University beliau mengajar di Lenggong Perak sedangkan aku ditempatkan di Sekolah Menengah Serdang Kedah. Pada tahun 1977,kami sama-sama ditempatkan di Sekolah Menengah Bukit Mercu Kuala Kangsar. Beliau mengajar Bahasa Melayu dan aku mengajar matapelajaran Sejarah. Pada ketika itulah kami berjaya meningkatkan keputusan 100% bagi matapelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah (STPM) bagi sekolah berkenaan. Hanya tujuh bulan aku berada di sekolah berkenaan sebelum ditukarkan ke Kuala Terengganu.

Suatu keadaan yang agak lucu berlaku ketika kami berada disekolah berkenaan. Dalam suatu mesyuarat PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) kami dipilih oleh ibu bapa sekolah berkenaan sebagai Yang Dipertua ( arwah) dan aku sebagai Setiausaha yang mana pemilihan sedemikian menyalahi perlembagaan PIBG. Sepatutnya mesti didokong oleh ibu bapa jawatan berkenaan dan bukan dari kalangan guru. Namun apabila dijelaskan kesalahan berkenaan kepada mesyuarat, mereka ramai-ramai menjawab, ' tak apa. takda salahnya. Dema berdua tu padan sangatlah. Apa dibuat dek dema semuanya berjaya. Tak apa..." Aku dan arwah terus diam membisu.

Kini beliau sudah tiada. Hanya tinggal kenangan.

Penghujung tahun 1977 aku ditukarkan ke Terengganu untuk jawatan Jemaah Nazir sekolah. Hanya tujuh bulan aku disitu yang kemudiannya berpindah ke Lembaga Peperiksaan, Jalan Duta Kuala Lumpur untuk menggalas tugas sebagia Pakar Peperiksaan.

Arwah meneruskan ‘perjalanan’nya sebagai Pengetua di Chenderong Balai Teluk Intan, Sekolah Menegah Sains Taiping, Pegawai Pendidikan Daerah di Parit Buntar dan akhirnya Pengarah Pendidikan Negeri Perak. Sedangkan aku meneruskan ‘perjalanan’ aku dari satu bahagian kementerian pendidikan ke satu bahagian lain. Menjadi Pegawai Khas kepada tiga menteri pendidikan ( Pak Lah Badawi, Saudara Anwar Ibrahim dan Dato Sulaiman Daud) sebelum dilantik menjadi Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia UK & Eire berpusat di London.

Kini beliau sudah tiada. Hanya tinggal kenangan.

Yang anihnya dalam persahabatan kami, sentiasa ‘ikut-mengikut’. Misalnya aku berada di Stanford University, Palo Alto, California USA untuk ijazah Sarjana pada tahun 1986 dan beliau pun pernah mengiukti kursus pendek di Stanford University, Palo Alto, California dalam tahun 1996.

Walaupun berjauhan dan tidak bersama, namun antara kami sentiasa berhubung. Itu yang dikatakan jauh dimata dekat di hati.

Kepada Datin Isteri beliau dan anak-anak dan cucu-cucu,

"Mikeme harus berbangga 'memiliki' ayah yang amat bertanggungjawab yang menjadi kebanggaan penduduk Padang Rengas khususnya dan negara umumnya. Teruskanlah apa juga perjuangannya yang boleh dimanfaatkan'


Kini rakan karib ku ini sudah tiada lagi. Aku doakan berbahagialah dia disana. Hanya yang mampu aku lakukan ialah iringan doa.

ALFATIHAH…

ABUHASSANADAM
19 MEI 2020