Sunday, May 24, 2020

BKGWPR – ‘Lifeblood’ Dato Khairuddin Arshad (Arwah)

BKGWPR – ‘Lifeblood’ Dato Khairuddin Arshad (Arwah)

Pada hari rahaya begini entah macam mana aku terpanggil untuk menukilkan sesuatu mengenai tajuk di atas disebabkan hampir setiap tahun pada tahun-tahun 1970an, 1980an dan 1990an kami mengadakan ‘perjumpaan Hari Raya keluarga dan anak-anak Padang Rengas di Sekolah Menengah Tun Perak. Biasanya pada hari raya kedua di mana anak-anak Padang Rengas akan pulang berhari raya dari perantauan. Kebiasaannya juga mereka adalah ahli BKGWPR.

Ramai yang tidak tahu apa sebenarnya  acronym  di atas. Hanya orang Padang Rengas dan beberapa golongan tertentu sahaja yang tahu. BAKGWPR adalah Badan Kebajikan Guru-Guru Wlayah Padang Rengas. Ia bukan badan yang ditubuhkan untuk menjaga kebajikan guru-guru Padang Rengas. Bukan itu hasrat penubuhannya dulu pada tahun 1967.

Aku masih ingat lagi ketika hari penubuhannya di Sekolah Menengah Tun Perak Padang Rengas dimana disarankan matlamat dan arah tuju persatuan ini. Ringkasnya memang dinyatakan dalam mesyuarat berkenaan ia bertujuan menjadi sebagai ‘The Lions Club’ yang bermatlamat untuk membantu penduduk Padang Rengas dalam bidang pendidikan. Ini termsuklah memberikan bantuan sekadarnya bagi membantu anak-anak Padang Rengas yang berjaya dalam pelajaran untuk meneruskan pelajaran di peringkat tinggi seterusnya.

Dan tentunya BKGWPR adalah ‘synonym’ dengan nama arwah. Sehingga saat pemergiannya arwah masih memikirkan tentang pertubuhan kesayangannya. Kononnya baru sahaja mendapat bantuan dari seseorang yang bernilai RM20,000. Ketika beliau sedang sakit dan terlantar, masih lagi memikirkan tentang nasib BKGWPR.

Aku pernah menceritakan dengan ringkas sejarah penubuhan BKGWPR  tetapi kali ini biarlah aku tulis dengan agak terperinci asas dan idea penubuhan BKGWPR ini agar anak-anak Padang Rengas dapat meneruskan ‘perjuangan’ BKGWPR ini. Jangan dibiarkan BKGWPR hilang begitu sahaja di dunia ini.

Sebagaimana yang pernah aku jelaskan dalam blog-blog aku yang terdahulu, rumah keluarga arwah merupakan tempat kami berkumpul dan berbincang pada 1960an. Antara pengunjung tetap pada waktu itu ialah Rashidi Sulaiman ( kami panggil Mr. Di kerana beliau mengajar Bahasa Inggeris di sekolahnya), Rasma (arwah), Adam ( arwah), Lias (arwah). Dalam pertemuan dan perbincangan tidak secara langsung itulah lahirnya hasrat untuk membantu orang kampung disekitar Padang Rengas yang rata-rata amat rendah kesedaran terhadap pendidikan anak-anak. Pada ketika itu baru seorang saja anak Padang Rengas yang berjaya melanjutkan pelajaran ke University Malaya ia itu Cikgu Razani Ahmad. Atas semangat dan dorongan sedemikian jugalah aku dan arwah bersungguh untuk memecahkan ‘tembok’ ini disamping membantu anak-anak kampung lain di kampung persekitaran.

Atas asas sedemikianlah tertubuhnya BKGWPR

Antara kegiatan yang kami jalankan ialah mengadakan kursus bimbingan kepada pelajar-pelajar yang mengambil Peperiksaan SPM, PMR dan PPDL. Disamping itu BKGWPR menubuhkan Dermasiswa BKGWPR yang memberi bantuan kepada pelajar-pelajar cemerlang ( anak Padang Rengas) dalam peperiksaan hasil derma dari penderma-penderma ikhlas.

Cara Dermasiswa ini dilaksanakan agak unik yang menyebabkan ramai penderma ingin membuat sumbangan. Derma seseorang penderma akan terus berada dalam simpanan tetap BKGWPR sehingga bila-bila. Yang diberikan sebagai dermasiswa adalah faedah yang diperolehi dari pelaburan yang dibuat oleh BKGWPR hasil dari sumbangan penderma-penderma itu tadi.

Walaupun aku sebagai Setiausaha pertama BKGWPR dan arwah sebagai Yang Dipertuanya, namun aku telah mengundur diri  setelah berpindah ke Kuala Lumpur dan begitu sibuk dengan kerja-kerja kementerian. Namun arwah terus menerus berjuang dalam perjuangan BKGWPR sehinggalah penghujung hayatnya walaupun aku tidak membiarkan beliau keseorangan mengemudikan pertubuhan yang disayangi ini. Tugas sebagai Setiausaha telah aku lepaskan tetapi sebagai YDP tetap dipegang oleh arwah. Terlalu besar dan mulia sumbangan arwah terhadap pertubuhan yang didukungnya.

Melalui blog ini aku merayu pada anak-anak Padang Rengas sambutlah ‘baton’ yang hampir terjatuh ini agar jangan biarkan dia terjatuh. Sambutlah dan terus berlari sebagaimana yang kami harap ketika penubuhannya dahulu. Pernah beberapa kali kami menyuarakan kebimbangan dalam mesyuarat yang kami adakan ia itu tentang ’penerusan warisan’. Sememang dibimbangi tentang penerusan perjuangan ini.

Kini telah ramai anak Padang Rengas yang berkelulusan tinggi dan teruskanlah perjuangan yang mungkin akan terhenti ini.

Sambutlah ‘baton’ supaya jangan terjatuh.

abuhassanadam
24 Mei 2020
Hari Raya

1 comment:

  1. SELAMAT HARI RAYA!!! bestla entry ini.. done follow u, follow me back :) http://acuyuhan.blogspot.com/

    ReplyDelete