PANJUT TIADA LAGI
Kebiasaanya pada hari-hari menjelang Aidil Fitri begini orang kampung ku sudah bersiap sedia untuk memasang panjut. Ataupun sekurang-kurangnya cakap-cakap mengenai panjut sudah kedengaran di mana-mana. Kami merasakan memasang panjut itu merupakan satu pesta tahunan yang mesti diadakan. Bukan ada penganjurnya dan tidak pula ada yang mengarahkan penduduk kampung suaya memasang panjut.
Mungkin anak-anak zaman ini tidak tahu apa yang dinamakan panjut atau ‘memasang panjut’ itu. Panjut itu merupakan pelita yang diperbuat mengikut kreativiti sesorang itu. Ada yang berbentuk pelita bersumbu. Ada yang diperbuat daripada buluh yang dibubuh sumbu dan dinyalakan menggunakan minyak tanah. Ada juga yang diperbuat daripada tepurung yang disusun berlapis, yang dibakar daripada atas sehinggalah ke lapisan bawah. Ada juga panjut yang direka seperti bintang yang kemudiannya dibubuh pelita ke dalam rekaan bintang itu.
Yang menghairankan aku pada hari ini (selepas setengah abad) ialah tidak ada ‘arahan’ atau penganjuran yang ‘memaksa’ penduduk kampung aku dan di kampung-kampung lain untuk memasang panjut pada Malam 23 Ramdhan, ataupun Malam 25 Ramdhan atau Malam 27 Ramdhan atau Malam Tujuh Likur. Malam 27 merupakan malam kemuncak memasang panjut. Dalam istilah orang zaman ini bolehlah dikatakan seperti Malam Perdana.
Kegembiraan menyambut Hari Raya sudah bermula semenjak Malam 23 puasa lagi. Setiap rumah sudah bersedia dengan panjut untuk dipasang. Sekurang-kurangnya pelita bersumbu ataupun panjut tempurung yang disusun berlapis (dimana tempurung-tempurung itu telah pun dikumpulkan semenjak setahun lalu selepas Hari Raya sebelumnya).
Malam memasang panjut nampak riang di kampung disebabkan malam-malam berkenaan sahaja yang kelihatan kampung kami terang benderang sedangkan malam-malam lain dalam keadaan gelap gelita. Tidak ada lampu jalan untuk menerangi jalan (atau lorong berjalan kaki) di kampung kami. Tidak ada letrik untuk menerangi rumah-rumah. Yang boleh menerangi kampung kami selain dari memasang panjut pada penghujung bulan puasa ialah pada malam-malam cahaya bulan penuh. Itu pun samar-samar tidak seperti cahaya lampu letrik kini.
Namun begitu cahaya bulan di kampung aku begitu romantis sekali. Dapat aku bayangkan betapa nikmat dan indahnya menikmati cahaya bulan sekiranya berdiri di hadapan rumah Encik Kontak menghadapi Kampung Pulau yang diselangi oleh sawah padi yang sedang menguning. Kampung Pulau dapat aku bandingkan dengan Pulau Hawaii yang begitu menarik. Cuma bezanya Hawaii dikelilingi oleh lautan, Kampung Pulau dikelilingi oleh sawah padi. Menikmati cahaya bulan sebegitulah merupakan hiburan anak muda di kampung aku pada ketika itu untuk menghilangkan rasa rindu dendam yang terpendam yang mendapat tiupan angin sepoi-sepoi bahasa. Satu kenikmatan yang mungkin tidak adapat dirasai lagi kini.
Kedatangan Malam 27 sememangnya dinanti-nantikan oleh anak muda dan anak dara juga. Malam itulah boleh dianggap sebagai malam ‘pertemuan’ anak muda dan anak dara di kampung aku yang sudah sekian lama menyimpan perasaan rindu yang tidak ketentuan kepada siapa. Walaupun terselit perasaan kerinduan kepada seseorang, namun tidak dapat dilepaskan kerinduan berkenaan dan hanya pada malam-malam beginilah dapat sedikit sebanyak melepaskan kerinduan berkenaan. Itupun dalam keadaan yang amat terhad dan amat terbatas (disebabkan adat dan budaya yang mebelengukan)
Selesai sahaja berbuka puasa maka bermulalah pesta memasang panjut. Dan setiap rumah akan kelihatan terang benderang. Dan terlalu janggal dipandang mata sekiranya ada rumah yang tidak melakukan sedemikian. Tidak akan kelihatan suasana muram diwajah penduduk kampung ketika merayakan pesta memasang panjut seolah-olah tidak ada langsung kerunsingan perasaan kepada penduduk kampung walaupun kehidupan kami dalam keadaan yang amat sederhana.
Kami tidak merasakan yang diri kami miskin disebabkan hampir keseluruhan penduduk kampung kami dalam kemiskinan. Kami tidak tahu apa maksud miskin disebabkan tidak ada penduduk di kampung yang kaya untuk dibuat perbandingan. Hilaian gelak ketawa hampir sama bagi penduduk di kampung aku. Kami meraskan cukup bahagia disamping keluarga tercinta.
Pesta memasang panjut akan terus berlanjutan sehingga tengah malam. Seolah-olah penduduk kampung terutamanya muda-mudinya tidak mahu malam akan berakhir. Seolah-olah kami mahu malam 27 terus berlanjutan supaya dapat kami terus menerus menikmati suasana Malam 27. Malam ini jugalah anak muda dapat berjalan mundar melalui jalan sempit (lorong berjalan kaki) di kampung kami dengan diterangi cahaya pelita panjut.
Nikmatnya kehidupan di kampung pada ketika itu…
abuhassanadam
17 Mei 2020
No comments:
Post a Comment