KU DOAKAN CIKGU ‘BERBAHAGIA’ DISANA
Walaupun Cikgu sudah tiada namun Cikgu sentiasa berada dihatiku. Sumbangan dan jasamu amat sukar ku lupakan.
CIKGU SAMAD KULUP SEMAN – Aku masih ingat Cikgu hadiahkan kepada aku empat buah buku tulis (yang harganya setiap satu hanya 10 sen pada ketika itu ia itu ada tahun 1953) sebagai hadiah kepada aku kerana kejayaan aku dalam peperiksaan Darjah Tiga pada ketika itu. Cikgu tulis pada kulit buku berkenaan, ‘ Hadiah kerana mendapat tempat pertama dalam peperiksaan akhir Darjah Tiga – 1953’. Masih ada lagi tersimpan ‘hadiah’ berkenaan. Semoga Cikgu Samad ‘berbahagia dan dicucuri rahmat’ disana!
CIKGU YUNUS SHAMSUDDIN - Mengajar aku ketika aku Darjah Dua di Malay Boys School Padang Rengas pada tahun 1952. Masih terasa lagi sakitnya apabila Cikgu Yunus mencubit perut aku kerana tidak mendapat jawapan ‘CONGAK’ (mental Arithmatic). Arwah Cikgu Yunus terus menerus mengikuti perkembangan kerjaya aku sehinggalah arwah menghembuskan nafas terakhir.
CIKGU IBRAHIM ABDULLAH - Aku tak tahu yang beliau merupakan ‘peminat setia’ ku. Maklumlah beliau pada ketika itu seorang guru besar disekolah itu. Justeru tentulah aku ‘takut’ berjumpa beliau sedangkan beliau mengikuti perjalanan hidup ku.Aku merasa sedih dan sayu apabila beliau ketika bercuti di London pada tahun 1996, beliau telah mengunjungi pejabat aku bekerja di Bryanston Square, London. Malangnya pada ketika itu aku berada di Glasgow Scotland bertugas. Mengiku kata Pembantu Pejabat aku Arwah Cikgu Ibrahim merenung dan mengusap namaku yang tertulis di luar pintu bilik aku. Menitis air mataku mengenangkan peristiwa berkenaan.
Tentulah ramai lagi para guru yang sepatutnya aku nukilkan di sini namun tentulah memakan ruang yang luas. Cukuplah sekadar mengatakan bahawa sumbangan mereka seluas lautan yang tidak bertepi yang menjadikan kita sebagai seorang manusia.
Berbahagialah hendaknya mereka ‘disana’ dan ditempatkan mereka dikalangan golongan yang beriman.
AMIN….
abuhassanadam
16 Mei 2020
Hari Guru
No comments:
Post a Comment